Salam sejahtera,
Blog Jalan Raya Malaysia kembali bersiaran setelah sebegitu lama saya berdepan dengan kesibukan kerja sehingga menyebabkan rancangan saya untuk melengkapkan siri reviu FTRoadpedia sering tertangguh. Namun, sebelum saya menyambung semula siri entri FTRoadpedia, izinkan saya untuk membawakan kepada anda berita pelancaran motosikal terbaharu keluaran Modenas iaitu Modenas Kriss MR2.
Modenas Kriss MR2 ini selamat dilancarkan pada petang 6 April 2017 sebagai pengganti kepada Modenas Kriss MR1 yang mula dikeluarkan pada tahun 2011. Seperti yang kita semua sedia maklum, varian Modenas Kriss memang merupakan model terlaris Modenas sejak mula diperkenalkan pada penghujung tahun 1996. Pada masa itu, Modenas Kriss dibangunkan berasaskan model motosikal Kawasaki Kaze R110, yang merupakan "kembar 4 lejang" bagi model 2 lejang Kawasaki K-1 110 cc. Enjin Kawasaki AN110 yang menggerakkan Kriss ini mampu menghasilkan kuasa kuda 9.0 PS (6.6 kW) pada 8,500 rpm dan kilasan 9.3 N-m (0.95 kgf-m) pada 4,000 rpm, serta berupaya mencatatkan penggunaan bahan api sehingga 44 km/L.
Modenas Kriss 110 dibina berasaskan model Kawasaki Kaze R110
Sejak ia mula diperkenalkan, Kriss pernah menapau habis pasaran motosikal kapcai 4 lejang pada beberapa tahun awal penjualannya. Pada tahun 1997 sahaja, Modenas Kriss menapau 46% pasaran kapcai 4 lejang, mengalahkan pesaing utamanya pada waktu itu iaitu Honda EX5. Susulan kejayaan Kriss, Modenas mula mempelbagaikan beberapa varian Kriss seperti Kriss 2 (model brek cakera hadapan), Kriss SG (model bajet 110 cc yang dihentikan penjualannya tidak lama kemudian disebabkan rekaannya yang ketinggalan zaman), Kriss 100 (menggunakan enjin berasaskan seni bina Honda EX5) dan Kriss 120 (menggunakan enjin AN110 yang dikorek semula)
Namun, penguasaan Kriss mula tergugat setelah para pesaing turut mengeluarkan model-model motosikal 4 lejang masing-masing, antaranya termasuklah siri Honda Wave dan siri Yamaha Lagenda. Namun, pencabar sebenar yang berjaya menggugat penguasaan Modenas Kriss sudah tentulah Yamaha Lagenda 110.
Modenas pernah dua kali mencuba untuk mengeluarkan model-model pengganti bagi Kriss ini. Model pengganti pertama ialah Modenas Kristar yang dikeluarkan pada tahun 2004 dengan menggunakan enjin sama, tetapi pengeluarannya dihentikan pada tahun 2006 kerana reka bentuknya yang gagal menarik perhatian pengguna, sehinggakan Modenas terpaksa mengeluarkan semula Kriss 110 sebagai Kriss 110SE. Cubaan kedua yang betul-betul berjaya ialah pada tahun 2009 melalui siri Modenas CT, yang dikeluarkan dalam 2 varian iaitu CT110 dan CT100. Malangnya, promosi tidak seimbang oleh Modenas menyebabkan varian 110 cc tenggelam begitu sahaja, sedangkan varian 100 cc pula begitu laris sehinggakan sempat "bersalin kulit" beberapa kali. Kedua-dua varian kemudian digantikan dengan model Modenas CT115S yang kembali menggunakan enjin AN110 yang dikorek semula.
Selain itu, Modenas juga ada mengeluarkan varian pancitan bahan api iaitu Modenas 118EFI, tetapi model ini juga menjadi mangsa kanibalisme produk akibat ketiadaan promosi serta lambakan model-model berkarburetor lain oleh Modenas sendiri yang membunuh jualan 118EFI. Ia juga mengakibatkan Yamaha pula yang menapau habis pasaran motosikal kapcai pancitan bahan api melalui Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection yang kini merupakan motosikal kapcai pancitan bahan api terlaris di Malaysia.
Pada penghujung 2011, Modenas kembali mengeluarkan varian Kriss 100 cc sebagai model bajet dengan nama Kriss MR1. Seperti yang dijangka, model bajet Kriss MR1 ini merupakan antara model terlaris bagi Modenas, dan kini Modenas mengeluarkan penggantinya iaitu Modenas Kriss MR2.
Modenas Kriss MR2 ini memang 100% berbeza daripada MR1 lama. Ia tidak lagi berasaskan pelantar lama Modenas Kriss yang digunakan buat sekian lamanya. Enjinnya juga dinaik taraf kepada enjin 110 cc. Namun, enjin yang digunakan ini bukanlah enjin Kawasaki AN110 seperti yang digunakan pada model asal Kriss mahupun CT110, tetapi merupakan "enjin klon" berasaskan seni bina enjin Honda Wave 110. Sebab itulah jika anda perhatikan betul-betul pada enjinnya, ia memang betul-betul mirip enjin Honda Wave 110.
Cuba perhatikan betul-betul enjin yang digunakan - lebih kurang sama macam enjin Honda Wave 110
(kredit gambar: Paul Tan)
Namun demikian, enjin ini tetap ada kelebihannya yang tersendiri jika dibandingkan dengan enjin AN110 yang digunakan sekian lama. Antaranya, enjin 110 cc baharu ini lebih padat, nampak lebih kemas, dilengkapi lengan jumpelang dengan alas penggelek (roller bearing rocker arm), tidak memerlukan penapis minyak enjin seperti yang digunakan pada Kriss 110 lama, kurang menggunakan minyak enjin, dan boleh bertukar-tukar alat ganti dengan Honda. Ia sudah tentu satu berita baik, kerana saya sering juga mendengar cerita-cerita yang mengatakan enjin Honda Wave 110 mudah bermasalah. Justeru, jika benar enjin Modenas Kriss MR2 ini tahan, pemilik Wave 110 sudah tentu ada pilihan untuk menggunakan komponen enjin Kriss MR2 pada Wave 110 mereka. Apa pun, itu cumalah inferens saya sahaja. Namun, kelebihan utamanya ialah enjin baharu ini sedia mematuhi piawaian Euro 3. Ironinya, Kriss MR2 ini menggunakan karburetor dan bukannya pancitan bahan api.
Sebenarnya kalau diikutkan, saya memang tidak mengharapkan model bajet seperti Kriss MR2 ini menggunakan pancitan bahan api yang tentunya menambahkan kos pembinaannya, tetapi dakwaan Modenas yang mengatakan bahawa enjin 110 cc baharu itu lulus piawaian emisi Euro 3 tanpa menggunakan pancitan bahan api merupakan satu dakwaan yang sangat berani dan agak sukar untuk saya percayai. Apa tidaknya, pada pendapat saya enjin berkarburetor sebenarnya sudah tidak lagi mampu untuk lulus piawaian emisi yang lebih ketat daripada Euro 2 disebabkan sifat titisan petrol yang terhasil masih lagi lebih kasar daripada titisan petrol dalam enjin pancitan bahan api, menyebabkan pembakaran kurang sempurna dan seterusnya pelepasan emisi lebih tinggi berbanding enjin pancitan bahan api. Justeru, saya ingin memohon Modenas untuk memberikan pencerahan dengan menunjukkan perbandingan antara keluaran karbon monoksida, hidrokarbon tak terbakar dan nitrogen oksida (kesemuanya dalam g/km) bagi Modenas Kriss MR2 berbanding piawaian yang ditetapkan dalam Euro 3 iaitu tidak lebih daripada 2.00 g/km karbon monoksida, 0.80 g/km hidrokarbon tak terbakar dan 0.15 g/km nitrogen oksida.
Dari segi prestasi, enjin 110 cc baharu ini berupaya menghasilkan kuasa kuda 8.3 PS (6.2 kW) pada 7,500 rpm dan tork 8.4 N-m pada 5,500 rpm, lebih kurang sama seperti angka-angka prestasi bagi model-model 110 cc Honda. Jadi, sudah tentulah motor ini akan kalah dengan Kriss 110 mahupun CT110. Namun, apa yang lebih dititikberatkan di sini ialah enjin baharu ini lebih jimat minyak dan lebih mesra alam berbanding enjin "klon EX5" yang digunakan pada model Kriss MR1 terdahulu.
Model "kembar" Modenas Kriss MR2 iaitu Zongshen Forge Ahead ZS110
Dari segi reka bentuk luaran, ia memang sangat cantik, malah anda sedikit pun tidak akan menyangka bahawa motosikal ini sebenarnya model bajet. Dengan harga atas jalan hanya RM4,123 termasuk GST, anda sudah boleh memiliki sebuah motosikal 110 cc lengkap dengan brek cakera hadapan dan rim aloi, dengan pilihan warna merah, biru dan kuning. Bagaimana Modenas boleh membina motosikal 110 cc yang siap dengan brek cakera hadapan dan rim aloi dengan harga sebegitu murah...? Carian di Google membawa saya kepada satu model "kembar" bagi Kriss MR2 ini iaitu Zongshen Forge Ahead ZS110-56 model tahun 2014. Namun, anda tidak perlu risau kerana Kriss MR2 ini sebahagian besarnya menggunakan komponen buatan Malaysia dan bukannya buatan China. Kriss MR2 ini bukannya seperti skuter-skuter Comel atau Nitro yang memang menggunakan komponen-komponen cap ayam dari China sehingga menyebabkannya cepat rosak. Tambahan pula, Kriss MR2 sudah pun menjalani ujian sehingga 20,000 km dalam pelbagai kondisi jalan sebelum ia mula dikeluarkan.
Untuk tahun 2017 ini, saya boleh anggap model Kriss MR2 ini sebagai model game changer bersama-sama dengan Modenas Karisma 2016 dan Modenas Elegan 250. Pun begitu, model game changer sebenar sudah tentulah model kapcai 150 cc hasil buatan sendiri yang digembar-gemburkan selama ini. Apa pun, Modenas perlulah mempunyai satu pelan hala tuju bagi mengembalikan kedudukannya sebagai pendahulu bagi pasaran motosikal Malaysia. Untuk menjayakannya, Modenas perlu memulakan transisi ke arah penggunaan teknologi pancitan bahan api sepenuhnya dan menghentikan penggunaan karburetor secara beransur-ansur. Selain itu, Modenas perlu mempelbagaikan produknya dengan meneroka genre lain seperti cafe racer, motosikal jalanan dan motosikal sport sesuai dengan perkembangan ekonomi dan usia pelanggan Modenas. Modenas juga perlu mengkhususkan setiap kelas motosikal kepada hanya satu sahaja model untuk mengelakkan daripada kanibalisme produk yang menjadi salah satu punca kejatuhan Modenas sebelum ini. Paling penting, khidmat lepas jualan perlu lebih mantap, aktiviti promosi mesti lebih agresif dan seimbang, dan bekalan alat ganti perlu dipastikan sentiasa mencukupi. Jika Modenas sanggup melakukan semua ini, tidak mustahil sasaran penguasaan 13% pasaran motosikal Malaysia mampu dicapai.
Pandangan keseluruhan Modenas Kriss MR2
Lampu hadapan Modenas Kriss MR2 adalah dari jenis halogen
Seperti kebanyakan model-model kapcai yang lebih baharu, Kriss MR2 menggunakan lampu belakang dengan lampu-lampu isyarat membelok capang
Masih menggunakan karburetor, sesuai dengan fungsinya sebagai model motor bajet
Paparan meter Kriss MR2 ini sudah ada penambahan berbanding Kriss MR1, dengan lampu penunjuk isyarat membelok berasingan dan lampu penunjuk posisi bagi semua gear
Ruang barangan bawah pelana Kriss yang sekadar mencukupi untuk memuatkan sehelai baju hujan dan sepasang sarung tangan
Tangki minyak Kriss MR2 ini lebih besar sedikit daripada Kriss MR1
(Semua kredit gambar: Paul Tan)
Spesifikasi Modenas Kriss MR2 110 2017
Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 2 injap sejukan udara
Sesaran: 109 cc
Lubang x lejang: 50 x 55.6 mm
Kuasa kuda maksimum: 8.3 PS (6.2 kW) @ 7,500 rpm
Tork maksimum: 8.4 N-m @ 5,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 4 kelajuan
Brek: Cakera (depan); gelendong (belakang)
Berat kering: 94.5 kg
Kapasiti tangki bahan api: 4.5 L
Kapasiti tangki bahan api: 4.5 L
Apa yang saya suka
- Pakej lengkap dengan brek cakera hadapan dan rim aloi pada harga bajet
- Enjin serba baharu yang boleh saling berkongsi komponen dengan Honda Wave 110
- Kombinasi warna-warna terang dan ceria
Apa yang saya tidak suka
- Enjinnya masih menggunakan karburetor, sedangkan pesaing segmen bajet iaitu Honda EX5 Dream FI pun sudah menggunakan pancitan bahan api
- Modenas Kriss MR2 ini dibina berasaskan Zongshen Forge Ahead ZS110, jadi Modenas perlu bekerja keras melawan persepsi tentang kualiti, memandangkan barangan buatan China sering dianggap tidak berkualiti
Pandangan keseluruhan Modenas Kriss MR2
Lampu hadapan Modenas Kriss MR2 adalah dari jenis halogen
Seperti kebanyakan model-model kapcai yang lebih baharu, Kriss MR2 menggunakan lampu belakang dengan lampu-lampu isyarat membelok capang
Masih menggunakan karburetor, sesuai dengan fungsinya sebagai model motor bajet
Paparan meter Kriss MR2 ini sudah ada penambahan berbanding Kriss MR1, dengan lampu penunjuk isyarat membelok berasingan dan lampu penunjuk posisi bagi semua gear
Ruang barangan bawah pelana Kriss yang sekadar mencukupi untuk memuatkan sehelai baju hujan dan sepasang sarung tangan
Tangki minyak Kriss MR2 ini lebih besar sedikit daripada Kriss MR1
(Semua kredit gambar: Paul Tan)
usedless mr2...without battery cannot run
ReplyDeleteSeriously...? It is not even a fuel-injected bike.
Delete