Saturday, September 17, 2016

Malaysia Day Special: Train to KL (쿠알라룸푸르행) - Reviu eksklusif LRT Aliran Kelana Jaya / Kelana Jaya LRT Line exclusive review




Salam sejahtera dan Selamat Hari Malaysia kepada semua peminat Blog Jalan Raya Malaysia.

Blog Jalan Raya Malaysia ingin mengambil kesempatan sempena cuti Hari Malaysia dengan membawakan kepada anda satu kisah parodi kepada sebuah filem seram popular Korea, Train to Busan (부산행), iaitu Train to KL (쿠알라룸푸르행). Bezanya, tidak seperti filem Train to Busan, cerita parodi ini langsung tidak melibatkan sebarang zombi dalam pembikinannya.




Tidak, cerita Train to KL ini bukannya sambungan filem Zombi Kampung Pisang oleh Mamat Khalid




Trailer filem Train to Busan


Kenapa boleh timbul parodi Train to Busan yang dipanggil Train to KL itu...? Jika filem Train to Busan mengisahkan tentang "perlumbaan" kelangsungan hidup para penumpang kereta api ke Busan, Korea Selatan yang berdepan gelombang serangan hantu zombi, "filem" parodi Train to KL muncul gara-gara dua siri kerosakan yang berlaku pada sistem LRT Aliran Kelana Jaya yang berlaku pada selang masa yang amat rapat, iaitu pada 7 dan 9 September 2016. Insiden pada 7 September berlaku di jajaran Ampang Park-Masjid Jamek akibat gangguan bekalan elektrik di jajaran berkenaan, manakala insiden seterusnya berlaku akibat gangguan bekalan elektrik pada tren itu sendiri yang dalam perjalanan dari Setiawangsa ke KLCC - kedua-dua insiden berlaku semasa waktu gegas di sebelah pagi. Akibatnya, ramai warga kota yang lewat ke pejabat, dan dalam insiden kedua pula ramai mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang tertinggal bas ekspres mahupun tren elektrik ETS - kesudahan yang disifatkan oleh netizen sebagai "lebih menyeramkan" daripada filem Train to Busan itu sendiri. Demi meredakan kemarahan warga kota, Prasarana Malaysia Berhad selaku pengendali LRT Aliran Kelana Jaya menawarkan perkhidmatan tren LRT percuma bagi Aliran Kelana Jaya selama tiga hari, bermula 13 September 2016 sehingga 15 September 2016.

Susulan dengan pengumuman perkhidmatan LRT percuma itu, saya mengambil kesempatan untuk menghasilkan satu reviu hujung ke hujung bagi laluan LRT Aliran Kelana Jaya ini. Jika selama ini saya banyak menghasilkan reviu jalan raya serta pandu uji kenderaan, kali ini saya tampil dengan satu kelainan, iaitu reviu sistem pengangkutan awam yang julung kali saya hasilkan. Pada hari terakhir promosi LRT percuma itu pada 15 September 2016, berkesempatan untuk mencuba sendiri pengalaman menaiki LRT Aliran Kelana Jaya dari hujung ke hujung, bermula dari stesen LRT Gombak sehingga ke stesen LRT Putra Heights dan berpatah balik. Dah alang-alang tambang percuma kan, rugilah kalau tak cuba sampai hujung.

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama saya menaiki LRT Aliran Kelana Jaya, cuma selama ini laluan saya hanyalah pendek sahaja. Anda sendiri pun sedia maklum, jika saya mahu menghasilkan sesuatu reviu, saya lebih suka menghasilkan reviu lengkap dari hujung ke hujung. Kali pertama saya mencuba LRT Aliran Kelana Jaya ialah pada tahun 2003 semasa saya menetap di Johor Bahru. Pada masa itu, saya datang ke Kuala Lumpur dengan menaiki motosikal untuk melawat (bekas) teman wanita pertama saya dahulu. Nak saya cerita lebih lanjut lagi...? Tak payahlah, saya tidak berminat untuk membuka cerita kisah pahit zaman silam. Pada masa itu, saya sempat mencuba perkhidmatan LRT Aliran Kelana Jaya dari stesen KLCC sehingga ke stesen Dang Wangi yang melalui terowong bawah tanah. Pada masa itu juga, ia dikenali sebagai PUTRA LRT sebelum ia ditukar namanya kepada LRT Aliran Kelana Jaya yang kita kenali sekarang.

Laluan LRT Aliran Kelana Jaya ini merupakan laluan kedua bagi sistem rangkaian transit aliran ringan di Kuala Lumpur serta diwartakan sebagai Laluan 5 bagi sistem pengangkutan rel Lembah Klang. Ia dibina sebagai antara laluan metro tanpa pemandu terpanjang di dunia, dengan panjang keseluruhan laluan asal 29 km dari stesen Gombak sehingga ke Kelana Jaya dan depoh di Lembah Subang. Ia kemudiannya dipanjangkan 17 km lagi ke Putra Heights, menjadikan panjang keseluruhan kini 46 km. Ia mula beroperasi pada tahun 1998 dengan nama Putra LRT, yang mana Putra merupakan kependekan bagi nama syarikat pengendali asal iaitu Projek Usahasama Transit Ringan Automatik sebelum diambil alih oleh Prasarana Malaysia Berhad. Tidak seperti sistem pengangkutan rel lain di Lembah Klang yang menggunakan pemanduan secara manual, Aliran Kelana Jaya pula dikawal secara automatik sepenuhnya tanpa pemandu secara berpusat; panel pemanduan manual turut disediakan sekiranya berlaku sebarang insiden kecemasan. Kesemua stokereta bagi LRT Aliran Kelana Jaya terdiri daripada tren jenis Bombardier Innovia Metro 200; pada masa akan datang, Aliran Kelana Jaya akan berhijrah kepada penggunaan tren model Bombardier Innovia Metro 300 yang lebih baharu. Tren-tren asal adalah dari jenis 2 gerabak, tetapi kemudiannya versi 4 gerabak mula digunakan pada tahun 2009. Kesemua tren digerakkan oleh motor elektrik aruhan linear AC 750V, yang mendapat bekalan elektrik daripada rel ketiga. Motor aruhan linear tersebut terdiri daripada lilitan rotor yang dipasang pada tren itu sendiri dan stator (pemegun) yang terdiri daripada plat aluminium yang ada di tengah-tengah landasan. Sebab itulah keseluruhan landasan "dikepung" untuk melindungi landasan daripada bendasing yang boleh menjejaskan operasi tren, dan sebab itu jugalah sebahagian besar jajaran Aliran Kelana Jaya dibina secara bertingkat, dengan 4 km laluan bawah tanah serta hanya sedikit sahaja jajaran searas, itu pun tetap "dikepung".

Senarai stesen adalah seperti berikut:-


Nama stesen
Jenis pelantar
Kedudukan
Nota
Gombak
Terminal (pulau)
Bertingkat
fka Terminal Putra
Taman Melati
Sisi
Bertingkat

Wangsa Maju
Pulau
Bertingkat

Sri Rampai
Sisi
Searas

Setiawangsa
Pulau
Bertingkat

Jelatek
Sisi
Bertingkat

Dato’ Keramat
Sisi
Bertingkat

Damai
Pulau
Bertingkat

Ampang Park
Pulau
Bawah tanah
Cadangan pertukaran ke MRT Aliran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya
KLCC
Pulau
Bawah tanah

Kampung Baru
Pulau
Bawah tanah

Dang Wangi
Pulau
Bawah tanah
Pertukaran ke KL Monorail melalui stesen monorel Bukit Nanas (perlu berjalan kaki 350 m)
Masjid Jamek
Pulau
Bawah tanah
Pertukaran ke Aliran Sri Petaling
Pasar Seni
Pulau
Bertingkat
Pertukaran ke KTM Komuter melalui stesen Kuala Lumpur (perlu berjalan kaki 250 m); pertukaran ke MRT Aliran Sungai Buloh-Kajang sedang dibina
KL Sentral
Sisi
Bertingkat
Pertukaran ke KTM Komuter & KL Monorail (melalui Nu Sentral); pertukaran ke MRT Aliran Sungai Buloh-Kajang melalui stesen MRT Muzium Negara sedang dibina (perlu menapak 650 m)
Bank Rakyat-Bangsar
Sisi
Bertingkat

Abdullah Hukum
Sisi
Bertingkat
Cadangan pertukaran ke KTM Komuter & MRT Aliran Bulatan
Kerinchi
Sisi
Bertingkat

KL Gateway-Universiti
Pulau
Bertingkat

Taman Jaya
Sisi
Bertingkat

Asia Jaya
Pulau
Bertingkat

Taman Paramount
Sisi
Bertingkat

Taman Bahagia
Sisi
Bertingkat

Kelana Jaya
Pulau
Bertingkat

Lembah Subang
Sisi
Bertingkat
Cabang ke depoh utama
Ara Damansara
Pulau
Bertingkat

Glenmarie
Pulau
Bertingkat
Cadangan pertukaran ke LRT3 (Aliran Bandar Utama-Klang)
Subang Jaya
Pulau
Bertingkat
Pertukaran ke KTM Komuter
SS15
Pulau
Bertingkat

SS18
Pulau
Bertingkat

USJ7
Pulau
Bertingkat
Pertukaran ke BRT Aliran Sunway
Taipan
Sisi
Bertingkat

Wawasan
Sisi
Bertingkat

USJ21
Sisi
Bertingkat

Alam Megah
Pulau
Bertingkat

Subang Alam
Pulau
Bertingkat

Putra Heights
Terminal (pulau & sisi)
Bertingkat
Pertukaran ke LRT Aliran Sri Petaling


Semasa saya datang ke stesen LRT Gombak untuk mencuba keseluruhan laluan LRT Aliran Kelana Jaya dari hujung ke hujung, saya dapati tidak terlalu ramai orang yang ada di stesen, lebih kurang sama seperti hari-hari biasa sahaja. Ia kerana tawaran tambang percuma diadakan tatkala warga kota sedang sibuk bekerja. Kalau promosi tambang percuma diadakan pada waktu hujung minggu, mungkin dapat jugalah Prasarana menarik minat orang yang berkereta agar berhijrah kepada penggunaan sistem pengangkutan rel. Namun, ada jugalah beberapa orang penumpang yang lebih kurang sama seperti saya, mengambil kesempatan daripada promosi tambang percuma untuk mencuba keseluruhan laluan Aliran Kelana Jaya. Selebihnya, biarlah gambar-gambar berbicara; bagi jajaran Damai-Pasar Seni pula, saya gunakan video berikutan keadaannya di bawah tanah yang gelap.

Semasa saya keluar di stesen Putra Heights, keadaan di sana boleh dikatakan agak lengang, mungkin kerana Putra Heights masih lagi kawasan yang baru hendak naik. Pun begitu, sudah ada peniaga yang mengambil kesempatan membuka gerai makanan di tepi jalan untuk kemudahan pengguna LRT, dan saya jangkakan Putra Heights akan menjadi lebih meriah dan lebih sibuk pada masa beberapa bulan akan datang. Secara kebetulan gerai yang ada pula ialah gerai nasi bajet, maka saya mencubanya sendiri memandangkan saya belum makan tengah hari lagi; tambahan pula, inilah cara saya menyokong ekonomi hiliran yang diwujudkan daripada pembukaan satu sistem pengangkutan baharu.

Secara kesimpulannya, saya amat berpuas hati dengan mutu perkhidmatan LRT Aliran Kelana Jaya semasa saya menggunakannya dalam reviu kali ini. Tren tiba dengan kekerapan tinggi, tiada kelewatan yang berlaku, dan tiada insiden yang tidak dikehendaki sepanjang perjalanan. Perjalanan dari hujung ke hujung sepanjang 46 km memakan masa 1 jam 23 minit, yang mana saya sifatkan sebagai lebih pantas daripada menggunakan kereta bagi perjalanan sama melalui KL MRR2 FT28, Lebuhraya Shah Alam E5 dan Lebuhraya Elite E6. Cuma, dua insiden yang berlaku baru-baru ini sebenarnya adalah disebabkan ketidakupayaan sistem bekalan elektrik bagi laluan berkenaan untuk membekalkan tenaga elektrik mencukupi susulan pembukaan sambungan jajaran Aliran Kelana Jaya ini. Dua faktor utama yang membawa kepada ketidakupayaan tersebut ialah kegagalan pramatang pada kabel elektrik utama serta pencawang elektrik yang perlu dinaik taraf bagi meningkatkan keupayaannya sesuai dengan penambahan jarak laluan tersebut. Dalam hal ini, saya amat menghargai kesediaan Prasarana Malaysia Berhad yang sudi memohon maaf serta mengambil langkah memulihkan kembali keyakinan pengguna dengan menawarkan khidmat percuma selama 3 hari. Pun begitu, dasar pengangkutan negara seharusnya dikaji semula agar dapat mengurangkan kebergantungan terhadap kereta yang dipandu seorang sebuah supaya masalah penurunan produktiviti akibat pembaziran masa, kesesakan, parkir, harga minyak dan tol dapat diatasi.





Tren Bombardier Innovia Metro 200 yang digunakan dalam sistem LRT Aliran Kelana Jaya




Mula bertolak dari stesen LRT Gombak




Stesen Taman Melati - bahagian tengah landasan yang diperbuat daripada aluminium itu sebenarnya berperanan sebagai pemegun (stator) bagi motor aruhan linear yang digunakan bagi menggerakkan tren ini




Melintasi Jalan Genting Klang




Sudah semakin ramai penumpang yang menunggu di stesen Wangsa Maju




Pemandangan di Wangsa Maju




Antara beberapa terowong pendek di Wangsa Maju




Stesen Sri Rampai merupakan satu-satunya stesen LRT searas di sepanjang Aliran Kelana Jaya serta merupakan stesen yang paling kemudian dibuka di jajaran asal




Antara sebahagian kecil jajaran landasan searas di Aliran Kelana Jaya tatkala majoriti laluan dibina bertingkat. Juga perhatikan Persimpangan Sri Rampai yang sedang dalam pembinaan bagi projek laluan terus Kg. Pandan-Jelatek-Wangsa Maju




Exit 3306 Persimpangan Setiawangsa di Lebuhraya Duke E33 kelihatan dari landasan Aliran Kelana Jaya




Tren LRT 2 gerabak yang diparkir untuk digerakkan ketika waktu gegas serta ketika kecemasan




Stesen Setiawangsa




Stesen Jelatek




Kelihatan Exit 1203 Persimpangan Jelatek di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) E12 tatkala tren mengambil selekoh ke Datuk Keramat




Stesen Datuk Keramat




Laluan Aliran Kelana Jaya bergerak selari dengan AKLEH E12 sepanjang jajaran Jelatek-Damai




Menghampiri stesen Damai sebelum memasuki terowong bawah tanah




Video perjalanan sepanjang Aliran Kelana Jaya dari stesen Damai sehingga ke stesen Pasar Seni




Stesen kereta api lama Kuala Lumpur kelihatan tidak jauh dari stesen LRT Masjid Jamek




Jalan Damansara, sebahagian jajaran KL MRR1




Brickfields, kawasan paling ramai penduduk kaum India di Malaysia




Menghampiri stesen KL Sentral




Stesen LRT KL Sentral merupakan antara stesen LRT paling sibuk di sepanjang Aliran Kelana Jaya selain stesen KLCC dan stesen Masjid Jamek




Stesen Bank Rakyat-Bangsar




Kelihatan tanjakan ke Hubungan Mid Valley di Persimpangan Bangsar




Stesen Abdullah Hukum - dahulunya kawasan ini merupakan kampung Melayu, tetapi sekarang ia sudah lenyap dan digantikan dengan perumahan rakyat dan juga projek rumah mampu tengok




Kelihatan jambatan arca keluli di Persimpangan Lembah Pantai




Tren membelok menghala ke arah Lebuhraya Persekutuan FT2




Bangunan Angkasapuri yang menjadi markas utama Radio Televisyen Malaysia (RTM)




Stesen Kerinchi - kelihatan kelibat Menara TM




Mula melintasi Lebuhraya Persekutuan FT2




Kelihatan Exit 2308 Persimpangan Kerinchi




Stesen KL Gateway-Universiti, stesen terakhir dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur




Mula memasuki negeri Selangor - lagi kelibat tren LRT yang diparkir untuk kegunaan waktu puncak dan kecemasan




Amcorp Mall, mercu tanda utama di pusat bandar lama Petaling Jaya




Stesen Taman Jaya, stesen utama di pusat bandar lama Petaling Jaya




Stesen Asia Jaya, stesen utama di Seksyen 13 Petaling Jaya




Stesen Taman Paramount




Stesen Taman Bahagia




Stesen Kelana Jaya, stesen terakhir bagi jajaran asal LRT Aliran Kelana Jaya




Pemandangan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11 dari LRT Aliran Kelana Jaya




Melintasi LDP E11 - anda nampak pencabulan piawaian lebuh raya ekspres yang dilakukan...?




LRT Aliran Kelana Jaya dilencongkan ke jejambat laluan baharu untuk meneruskan perjalanan - tanjakan ke kiri merupakan laluan asal ke depoh Lembah Subang




Stesen Lembah Subang didirikan betul-betul di atas kawasan depoh




Pemandangan di depoh Lembah Subang




Stesen Ara Damansara ini dekat sahaja dengan stesen Lembah Subang - sila perhatikan tanjakan masuk dari depoh di sebelah kiri




Melintasi Jalan Lapangan Terbang Subang FT15




Pemandangan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1 dari tren LRT Aliran Kelana Jaya




Stesen Glenmarie ini bukanlah betul-betul terletak dalam Kawasan Perindustrian Glenmarie; anda tetap perlu masuk ke dalam melalui Persiaran Kerjaya FT3213




Tren mula melencong ke arah bukit berhampiran untuk ke stesen Subang Jaya




Tarahan di bukit berhampiran Persimpangan Lapangan Terbang Subang




Persimpangan Lapangan Terbang Subang




Stesen Subang Jaya




Kelihatan landasan kereta api KTM Komuter di stesen Subang Jaya




Melalui terowong silinder yang berfungsi sebagai penebat bunyi




Di dalam terowong peredam bunyi berhampiran Subang Parade




Stesen Subang Jaya bukanlah satu-satunya stesen LRT yang ada di Subang Jaya - masih ada beberapa stesen lain seperti stesen SS15 ini




Melintasi Lebuhraya Baru Pantai (NPE) E10




Stesen SS18, stesen LRT ketiga di Subang Jaya




Melintasi Lebuhraya Shah Alam E5




Exit 510 Persimpangan Kewajipan




The Summit USJ, mercu tanda utama di sebelah utara UEP Subang Jaya (USJ)




Stesen USJ7 yang juga merupakan penamat bagi laluan transit laju bas (BRT) Aliran Sunway




Stesen Taipan




Keseluruhan jajaran LRT Aliran Kelana Jaya yang melalui USJ menggunakan laluan Persiaran Kewajipan




Stesen Wawasan




Stesen USJ21, stesen LRT terakhir di USJ




Persimpangan USJ di LDP E11




Persimpangan lampu isyarat untuk ke Lebuhraya Elite E6 melalui Exit 604 Persimpangan USJ




Melintasi Lebuhraya Elite E6




Simpang ke Persiaran Kuala Selangor FT3214




Stesen Alam Megah - saya pernah tinggal di Alam Megah semasa mendapat pekerjaan pertama saya sebaik tamat pengajian di universiti




Tarahan bukit di Alam Megah




Stesen Subang Alam, stesen kedua terakhir di Aliran Kelana Jaya




Stesen Putra Heights, stesen terakhir bagi LRT Aliran Kelana Jaya dan Aliran Sri Petaling




Tren LRT Aliran Sri Petaling di stesen sama




Tren LRT Aliran Kelana Jaya di stesen Putra Heights




Papan tanda maklumat perjalanan bagi kedua-dua Aliran Kelana Jaya dan Aliran Sri Petaling




Keadaan dalaman stesen Putra Heights yang masih lengang tanpa sebarang kedai mahupun gerai kerana ia masih baharu




Kain rentang pengumuman perkhidmatan LRT percuma selama 3 hari




Gerai makan tepi jalan seperti gerai nasi bajet pasti akan semakin banyak apabila semakin ramai penduduk Putra Heights yang menggunakan LRT Aliran Kelana Jaya nanti


No comments:

Post a Comment