Friday, September 30, 2016

Yang merah itu Proton Saga 2016 / The red one is the 2016 Proton Saga



Yang merah itu Proton Saga





Yang merah itu (Proton) Saga,
Yang kurik itu kundi;
Yang indah itu bahasa,
Yang elok itu budi.

Salam sejahtera,

Tanggal 28 September 2016, Proton telah pun selamat melancarkan model kereta Proton Saga generasi ketiga, sebagai sebahagian daripada siri marathon pelancaran 4 model baharu pada tahun 2016 bagi mengembalikan semula kedudukan Proton sebagai teraju utama industri automotif Malaysia. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, memandangkan golongan belia berpendapatan rendah merupakan salah satu pasaran sasaran bagi model ini.

Jika kita imbas kembali 31 tahun dahulu, Proton Saga generasi pertama dilancarkan oleh Perdana Menteri pada masa itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebagai model sulung Proton. Sebelum ia mula dilancarkan, banyak persepsi yang kurang enak kedengaran mengenai keupayaan Proton Saga. Ada yang mengatakannya sebagai "kereta tin Milo". Ada yang mengatakannya "tidak cukup kuat untuk mendaki Genting Highlands". Namun, sebaik sahaja selepas pelancarannya, Proton Saga laris bagaikan pisang goreng panas, sekaligus menjadikannya sebagai "model periuk nasi" utama Proton sehingga kini. Permintaan yang sangat tinggi di kalangan rakyat Malaysia juga menjadikan Proton Saga sinonim dengan kehidupan rakyat Malaysia sehingga ia diangkat sebagai salah satu ikon nasional.

Projek kereta nasional Proton Saga mula diilhamkan pada tahun 1979 semasa Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Pada masa itu, Tun Dr. Mahathir merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Maka, Tun Hussein Onn mengarahkan agar kajian kemungkinan dijalankan. Seterusnya pada tahun 1981 setelah Tun Dr. M menjadi Perdana Menteri, beliau menjemput Presiden Mitsubishi Motors Corporation (MMC) pada masa itu, Yohei Mimura-san bagi menjayakan projek tersebut. Seterusnya pada tahun 1983 Tun Dr. M melawat kilang Mitsubishi di Jepun bagi melihat sendiri dua model prototaip terawal bagi Proton Saga. Prototaip terakhir dibina berasaskan Mitsubishi Lancer Fiore, dan prototaip inilah yang dipilih untuk dikembangkan sehingga ke peringkat pengeluaran. Sepanjang tahun 1984, prototaip terakhir ini diuji bagi memastikan tahap kesesuaiannya dengan keadaan iklim dan jalan raya Malaysia. Setelah kilang utama Proton di Shah Alam siap pada Januari 1985, sesi pengeluaran ujian dilakukan. Akhirnya, Proton Saga generasi pertama selamat dirasmikan pada 1 September 1985, dengan slogan "Kejayaan Malaysia".




Iklan Proton Saga generasi pertama - "Proton Saga Kejayaan Malaysia"


Generasi pertama Proton Saga merupakan model kereta paling lama dikeluarkan dalam sejarah Proton. Ia dibina berasaskan model kereta Mitsubishi Lancer Fiore 1983, tetapi direkabentuk sedikit berbeza daripada rekaan asal Lancer bagi membezakan antara kedua-duanya. Antara perbezaan yang ketara ialah lampu-lampu serta papan pemuka yang digunakan. Ia boleh didapati dalam dua pilihan enjin iaitu enjin Orion 8 injap SOHC 4 silinder sebaris sejukan cecair 1.3L (4G13) dan 1.5L (4G15) dan hanya dipadankan dengan transmisi manual 5 kelajuan. Asalnya hanya varian sedan sahaja boleh didapati sebelum varian hatchback dikeluarkan pada tahun 1987. Varian hatchback ini mulanya dikenali sebagai Proton Saga Knight sebelum ditukar namanya kepada Proton Saga Aeroback. Model-model Saga yang dikeluarkan pada tahun 1987 dikenali sebagai Magma kerana ia menggunakan enjin Magma 1.3L & 1.5L, juga enjin 8 injap. Transmisi automatik 3 kelajuan juga diperkenalkan pada Proton Saga Magma. Pada tahun 1990, Proton Saga mula menggunakan enjin 12 injap dan dikenali sebagai Megavalve. Enjin-enjin Megavalve ini meningkatkan keluaran kuasa kepada 75 bhp bagi 1.3L dan 90 bhp bagi 1.5L. Seterusnya pada tahun 1992, Proton mengeluarkan model facelift yang paling lama bertahan, iaitu Proton Saga Iswara. Kemudian pada tahun 2001, versi facelift Proton Saga Iswara Aeroback dikeluarkan dengan hanya pilihan enjin 1.3L dan transmisi manual. Seterusnya, Proton Saga Iswara Aeroback ini mengalami perubahan besar pada tahun 2003 dengan papan pemuka yang berlainan sepenuhnya serta penggunaan meter dengan paparan LCD digital, dikenali dengan nama Proton Saga LMST. Proton Saga LMST ini kemudiannya menerima rekaan gril hadapan baharu sebagai facelift terakhir sebelum generasi pertama ini dihentikan pengeluarannya pada Januari 2008. Pemberhentian pengeluaran Saga generasi pertama ini sejajar dengan perkembangan teknologi automotif yang menjadikan Saga lama tidak lagi relevan dengan perkembangan teknologi automotif semasa.




Iklan Proton Saga BLM (generasi kedua) yang menampilkan Dato David Arumugam daripada kumpulan Alleycats


Generasi kedua dikeluarkan pada Januari 2008 dengan berasaskan pelantar Proton Savvy yang dipanjangkan. Ia menggunakan rekaan sendiri dan enjin buatan sendiri, iaitu enjin Campro IAFM 1.3L yang mampu menghasilkan 94 bhp @ 6,000 rpm dan tork 120 N-m @ 4,000 rpm, lebih berkuasa daripada enjin 4G15 1.5L. Enjin tersebut juga merupakan enjin 1.3L paling berkuasa dalam pasaran pada ketika itu walaupun ia tidak dilengkapi sistem pemasaan injap boleh laras. Enjin Campro IAFM itu digandingkan sama ada dengan transmisi manual 5 kelajuan keluaran Aichi Kikai ataupun transmisi automatik Invecs 4 kelajuan keluaran Mitsubishi. Model ini dipertingkatkan pada tahun 2010 sebagai Proton Saga FL, yang dilengkapi tingkap kuasa bagi keempat-empat pintu, lampu-lampu serba baharu, lampu belakang LED serta radio yang boleh memainkan lagu MP3 daripada pemacu kilat USB. Lebih kurang setahun kemudian, ia diperbaharui lagi sebagai Proton Saga FLX, yang menampilkan transmisi boleh laras berterusan (CVT) bagi menggantikan kotak gear 4 kelajuan konvensional, enjin Campro IAFM+ baharu, beg udara berkembar dan sistem brek cegah kunci (ABS) bagi varian termahal. Ia juga merupakan kereta pertama Proton yang menggunakan teknik Pembentukan Tekanan Panas (HPF) bagi beberapa komponen penting kerangka kereta, membolehkannya mencapai penarafan 3 bintang dalam Program Penarafan Kereta Baharu Asean (Asean NCAP).




Kereta Proton Saga BLM yang saya gunakan semasa siri reviu Kembara Merdeka Sabah 2013


Saya membesar dan menjadi dewasa bersama-sama Proton Saga. Keluarga saya pernah memiliki sebuah Proton Saga pada tahun 1993 sebelum bertukar kepada Proton Wira beberapa tahun kemudian. Sepanjang memiliki Saga generasi pertama, keluarga saya pernah merasai suasana memandu dari Segamat ke Kuala Lumpur melalui Jalan Persekutuan 1 kerana tidak cukup wang untuk membayar tol. Semasa saya bercuti di Sabah pada tahun 2013, saya menggunakan kereta Proton Saga generasi kedua sebagai kenderaan rasmi saya sepanjang berada di Sabah. Seorang adik lelaki saya pula memiliki sebuah Proton Saga FLX. Begitulah kisah bagaimana saya dibesarkan dan didewasakan oleh pengalaman bersama-sama Proton Saga.




Iklan Proton Saga generasi ketiga, "Saga Berterusan"


Kini setelah 31 tahun berada dalam pasaran, Proton Saga kini kembali dengan generasi ketiga serba baharu. Generasi ketiga Saga ini dibina berasaskan pelantar generasi kedua Saga. Mungkin ada yang menganggap penggunaan pelantar Saga generasi kedua ini hanya melayakkannya untuk dikenali sebagai model facelift dan bukan model baharu sepenuhnya, tetapi sila ambil perhatian bahawa pengeluar kereta global seperti Mitsubishi pun pernah mengitar semula pelantar terdahulu sebagai asas kepada model terbaharu, contohnya Mitsubishi Lancer. Penggunaan semula pelantar generasi kedua ini membolehkan Proton menurunkan kos pembangunan Saga 2016 ini kepada hanya RM150 juta sahaja. Jika dibandingkan, kos pembangunan Saga generasi pertama yang sememangnya berasaskan Lancer Fiore itu pula memakan belanja RM405.4 juta. Selain itu, Proton juga mensasarkan tempoh pengeluaran Saga 2016 ini kepada hanya 5 tahun sahaja, sebab itulah kos pengeluaran Saga ini perlulah serendah mungkin agar Proton berupaya untuk balik modal sepanjang masa pengeluarannya yang begitu pendek.

Ada banyak pembaharuan yang dilakukan oleh Proton agar Saga 2016 ini benar-benar model baharu dan bukannya facelift kitar semula semata-mata. Rekaan luarannya memang 100% baharu. Meskipun jarak rodanya sama seperti Proton Saga FLX, namun Saga 2016 ini sebenarnya lebih panjang sedikit daripada Saga FLX. Lengkuk bumbungnya juga berbeza, menjadikannya lebih rendah sedikit. Pintu-pintunya pun berbeza, terutamanya pintu belakang yang diberikan tingkap suku baharu. Lampu-lampunya juga serta baharu. Tiada lagi lampu LED di belakang, tetapi rekaan lampu belakangnya tetap anggun. Sementara itu, lampu hadapannya sangat ringkas, terdiri daripada lampu kepala halogen serta lampu isyarat membelok yang besar. Oleh kerana kereta ini dibina berasaskan pelantar pendahulunya, maka tidak banyak penambahbaikan yang dapat dilakukan dari segi keselamatan pasif (Proton Saga ini tidak menggunakan kerangka RESS sebagaimana Proton Persona). Sebab itulah ia hanya mampu memperoleh 4 bintang dalam Asean NCAP. Tapi kira OKlah juga kerana ia lebih baik daripada Proton Saga FLX yang memperoleh 3 bintang.

Jika anda masuk ke dalamnya, anda akan dapati bahawa ruang dalamannya lebih kurang sama besar seperti Saga FLX. Namun, masih ada banyak perubahan yang diterapkan di dalamnya. Antaranya termasuklah kerusi belakang yang boleh dilipat, tetapi bukannya terbelah 60:40; sebaliknya, kerusi belakang Saga 2016 dilipat keseluruhan umpama bangku. Suis tingkap kuasa adalah dari jenis sama seperti Proton Preve, samalah seperti model-model baharu yang lain. Selak pengunci pintu adalah dari jenis togel dan bukannya jenis batang panjang. Papan pemukanya juga diperbaharui dengan rekaan berbeza, tetapi mengekalkan suis-suis penyaman udara serta meter yang sama seperti Saga FLX. Pun begitu, terdapat sedikit perbezaan antara meter Saga FLX dengan meter Saga 2016 ini, seperti lampu Eco. Di samping itu, tatkala Saga generasi ketiga mengitar semula suis kawalan penyaman udara daripada generasi kedua, salur udara sejuk pula adalah dari jenis petak dan bukannya jenis bulat seperti Saga FLX. Sterengnya pula dikitar semula daripada Preve (varian Premium, siap dengan butang-butang kawalan radio) ataupun Proton Exora B-line (bagi varian lain). Semua varian Saga 2016 dihidupkan dengan menggunakan kunci; tiada butang penghidup tekan walaupun pada varian paling mahal.

Sementara itu, suis-suis tengah dipindahkan ke bawah radio. Jika Saga FLX ada sehingga 4 sahaja suis di tengah, Saga 2016 pula ada sehingga maksimum 7 suis di tengah, iaitu suis lampu kabut hadapan, suis pengunci pintu, penyahkabut belakang, lampu kecemasan (hazard light), lampu kabut belakang, suis sensor parkir hadapan dan kawalan kestabilan elektronik (ESC). Dua suis paling tepi merupakan pilihan yang hanya ada pada varian Executive (lampu kabut hadapan sahaja) dan Premium (lampu kabut hadapan dan ESC). Buat pertama kalinya, lampu kabut belakang dan sensor parkir hadapan bukan sahaja diperkenalkan pada Saga 2016, malah ia dijadikan komponen standard pada semua varian.

Seterusnya kita pergi pula kepada radio. Radio yang digunakan adalah radio "biasa-biasa" sahaja dan bukannya radio bersepadu mahupun jenis unit skrin sentuh. Varian Standard dan Executive memperoleh radio DIN tunggal rekaan baharu tetapi mempunyai port USB serta keupayaan Bluetooth bagi tujuan sambungan bebas tangan ke telefon bimbit. Sementara itu, varian Premium pula menerima radio 2 DIN yang dikitar semula daripada Proton Exora. Mungkin ada yang kecewa kerana Saga ini tiada unit skrin sentuh walaupun pada varian termahal, tetapi kita kena ingat bahawa Proton Saga dibina sebagai kereta untuk rakyat marhaen berpendapatan rendah, bukannya kereta untuk dibuat berlagak. Jika Proton memasang jenis radio skrin sentuh yang canggih seperti pada model-model yang lebih mahal, ia sudah tentu akan meningkatkan kos pembuatannya dan seterusnya menjadikan harga Saga terlalu mahal untuk dibeli oleh golongan berpendapatan rendah, sekaligus menggagalkan matlamat pembangunan Proton Saga itu sendiri. Jadi, kalau anda terlalu bosan akan radio biasa itu, anda boleh bila-bila masa sahaja menukarkan radio asal itu kepada radio-radio yang lebih mahal dan lebih canggih. Pun begitu, varian Premium masih ada kamera undur, tetapi imejnya dipaparkan pada cermin pandang belakang.

Seterusnya kita pergi pula ke bahagian enjin. Untuk generasi ketiga ini, hanya satu sahaja pilihan enjin yang ada, iaitu enjin 1.3L VVT bagi menggantikan enjin IAFM+ yang digunakan pada Proton Saga FLX. Seperti Proton Persona 2016 yang hanya mempunyai pilihan enjin 1.6L VVT, keputusan untuk menggunakan hanya satu sahaja pilihan enjin adalah bagi mengelakkan model-model Proton daripada saling "berbunuhan" sesama sendiri. Sebelum ini, Proton pernah memperkenalkan varian enjin 1.6L yang asalnya khusus untuk pemandu teksi tetapi kemudian dijual kepada umum berikutan wujud permintaan di kalangan pengguna biasa, mengakibatkan Saga dan Persona saling berbunuhan. Justeru, jika siapa yang kurang berwang boleh membeli Saga yang murah dan dikuasakan oleh enjin 1.3L; kalau ada wang lebih ataupun mahukan kereta yang lebih besar dan lebih laju, boleh pilih Persona, dan seterusnya. Enjin 1.3L VVT ini dipadankan sama ada dengan transmisi manual  kelajuan (varian Standard sahaja) ataupun CVT (semua varian). Seperti Persona, CVT pada Saga ini ditala semula perisian tegarnya bagi mendapatkan respons yang lebih baik.

Tidak seperti Proton Persona generasi kedua dan Proton Iriz, Proton Saga generasi ketiga ini tidak menggunakan stereng kuasa elektrik seperti pada Persona dan Iriz. Ia kekal menggunakan stereng kuasa hidraulik konvensional kerana ia lebih murah. Hendak menalanya pun mudah. Peminat tegar kereta lebih meminati stereng kuasa hidraulik kerana sifatnya yang semakin memberat jika semakin laju secara semulajadi. Cuma kelemahannya ialah ia memerlukan penyelenggaraan dari segi penukaran minyak stereng kuasa serta kehilangan kuasa parasitik memandangkan sebahagian kuasa enjin digunakan untuk menggerakkan pamnya. Hasilnya, tahap penggunaan bahan api agak "kureng" sedikit berbanding Proton Iriz 1.3L yang memang menggunakan enjin sama tetapi turut menggunakan stereng kuasa elektrik. Justeru, jika Proton Saga FLX berupaya mencatatkan pengunaan bahan api sekitar 17 km/L, maka anda boleh menjangkakan sekitar 18 km/L pada Proton Saga 2016 ini. Seperti Persona, Saga ini turut dilengkapi lampu Eco bagi melatih pemandu memandu dengan tabiat yang lebih menjimatkan minyak.

But Saga 2016 kali ini lebih besar sedikit daripada Saga FLX. Jika but Saga FLX sebesar 413 liter, but Saga 2016 pula 7 liter lebih besar. Tidak seperti Persona 2016 yang butnya boleh dibuka secara elektrik melalui suis pembuka di belakang serta melalui alat kawalan jauh, but Saga 2016 pula dibuka secara konvensional sama ada menggunakan kunci ataupun melalui tuas pembuka di sebelah pemandu.

Proton Saga generasi ketiga didatangkan dalam tiga varian, iaitu Standard (paling cikai), Executive dan Premium (paling mahal). Kesemua varian didatangkan dalam pilihan transmisi CVT, tetapi hanya varian Standard sahaja yang mempunyai pilihan transmisi manual. Harganya amat berpatutan, bermula daripada RM36,800 bagi varian Standard manual (termasuk GST, insurans dan cukai jalan) sehinggalah kepada RM45,800 bagi varian Premium CVT. Varian paling mahal hanya murah sedikit sahaja daripada varian termurah Persona, dan ia penting agar tiada lagi kes model kereta Proton "berbunuhan" sesama sendiri. Ia ternyata pembelian yang amat berbaloi. Jika dibandingkan, julat harga bagi varian Perodua Bezza 1.0 pun lebih kurang sama dengan julat harga Saga, yang mana varian 1.3L Advance sudah pun memasuki julat harga Persona. Mungkin Perodua Bezza 1.3 lebih canggih dengan penghidup tekan dan hentian melahu, tetapi harganya sudah jadi terlalu mahal untuk rakyat marhaen berpendapatan rendah. Di sinilah terletaknya kekuatan Saga yang mampu menggugat Bezza.

Dengan terlancarnya Proton Saga 2016, diharapkan agar Saga dan Persona dapat bersama-sama merampas kembali kedudukan sebagai pendahulu utama dalam pasaran automotif Malaysia setelah sekian lama tewas kepada Perodua.




Spesifikasi Proton Saga 2016

Enjin:- Campro VVT 1.3 liter DOHC 16 injap 4 lejang 4 silinder sebaris sejukan cecair
Sesaran: 1,332 cc
Lubang x lejang: 76 x 73.4
Nisbah mampatan: 10:1
Kuasa kuda: 94 bhp (70 kW) @ 5,750 rpm
Tork: 120 N-m @ 4,000 rpm
Jarak roda: 2,465 mm
Berat kering: 1,035-1,075 kg
Muatan tangki bahan api: 40 liter

Apa yang saya suka
  1. Harga yang sangat murah dan berpatutan
  2. Kesemua varian dilengkapi 2 biji beg udara, sensor parkir hadapan dan lampu kabut belakang walaupun pada varian termurah
  3. Lampu Eco untuk melatih pemandu memandu dengan cara yang menjimatkan minyak
  4. Port pengecas USB khas untuk telefon pintar
  5. Talaan CVT yang ditambah baik
Apa yang saya tidak suka
  1. Beberapa komponen seperti suis penyaman udara dan meter seakan dikitar semula daripada generasi terdahulu walaupun ada tambahan lampu Eco







Pandangan hadapan Proton Saga 2016






Bahagian belakang Proton Saga 2016






Lampu hadapan Proton Saga 2016 dengan lampu isyarat membelok yang besar






Cermin sisi dengan lampu isyarat membelok, dikitar semula daripada generasi terdahulu






But Saga 2016 ini 7 liter lebih besar daripada generasi kedua






Stereng pada varian Standard dan Executive menggunakan stereng sama seperti Proton Exora B-line...






...manakala varian Premium pula menggunakan stereng Proton Preve






Meter Saga 2016 hampir sama seperti meter Saga FLX, tetapi dengan tambahan lampu Eco






Kesemua varian Proton Saga 2016 dihidupkan dengan menggunakan kunci biasa walaupun pada varian termahal






Varian Standard dan Executive menggunakan radio DIN tunggal dengan port USB dan keupayaan Bluetooh...






...manakala varian Premium pula menggunakan radio sama seperti Proton Exora






Tombol gear CVT menggunakan tombol sama seperti Proton Iriz. Juga perhatikan butang SAT (Stepped Automatic Transmission) yang kini sudah dibuang kerana langsung tidak digunakan oleh pengguna






Bukaan pintu Saga kali ini sangat besar, menghampiri 90° - lebih kurang sama seperti Perodua Viva. Juga perhatikan tingkap belakang yang dilengkapi tingkap suku






Tidak seperti Iriz dan Persona yang tidak menawarkan port pengecas USB pada varian paling cikai, Proton kali ini bermurah hati menawarkan port pengecas USB pada kesemua varian






Suis tingkap kuasa






Kerusi belakang Saga 2016 kali ini boleh dilipat, tetapi dengan gaya bangku memanjang seperti pada Perodua Kancil






Hanya pilihan enjin 1.3L VVT ditawarkan pada Saga. Juga perhatikan takungan minyak stereng kuasa, membuktikan bahawa Saga generasi ketiga tidak menggunakan stereng kuasa elektrik sebagaimana Persona

No comments:

Post a Comment