Tuesday, May 7, 2013

Zahirkan sokongan anda dengan membeli produk Kedai Jalan Raya Malaysia / Show your support by buying Malaysian Highway Shoppe products



Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang setia menyokong perjuangan kami memartabatkan jalan raya Malaysia. Sejak blog ini mula diwujudkan pada 15 November 2011 sehingga sekarang, sudah lebih 79 ribu pengunjung bertandang ke blog ini setakat 7 Mei 2013. Entri paling popular di Blog Jalan Raya Malaysia sudah tentunya entri mengenai Honda Future 125, yang mana ia turut dijadikan sumber maklumat serta sudut nasihat ubahsuai motosikal. Ia disusuli rencana mengenai lokasi kamera AES dan seterusnya reviu-reviu jalan raya dan lebuh raya di Malaysia.

Saya amat menghargai sokongan anda terhadap reviu-reviu jalan raya yang dipaparkan di Blog Jalan Raya Malaysia, malah ada di antara anda yang turut membuat permintaan untuk membuat reviu jalan raya yang lebih panjang seperti Jalan Persekutuan 50 dan Jalan Persekutuan 3. Saya amat gembira dan teruja untuk menerokai jalan raya dan lebuh raya yang lebih panjang untuk menghasilkan lebih banyak reviu jalan yang berkualiti. Namun, halangan-halangan utama semasa menghasilkan reviu jalan ialah kesuntukan masa, keadaan cuaca yang buruk dan kekangan kewangan.

Dalam beberapa halangan utama bagi menghasilkan reviu jalan yang telah saya sebutkan tadi, kekangan kewangan adalah halangan terbesar. Kenapa? Untuk pengetahuan anda semua, saya terpaksa menggunakan wang sendiri demi menghasilkan reviu jalan, tanpa tajaan daripada mana-mana pihak, sedangkan saya hanya bergaji sederhana sahaja. Maka, untuk meminimumkan kos, saya hanya mampu menghasilkan reviu jalan yang pendek serta dekat dengan rumah supaya tidak perlu untuk berbelanja lebih untuk petrol dan penginapan. Lebih 90% reviu jalan raya dihasilkan menggunakan motosikal kerana lebih jimat - kos bahan api sahaja dapat dijimatkan antara 50% hingga lebih kurang 80% berbanding kereta, di samping tidak perlu membayar tol. Gambar-gambar pula diambil menggunakan kamera telefon bimbit biasa, memandangkan harga kamera DSLR yang sering digunakan jurugambar yang lebih profesional adalah mahal dan di luar kemampuan saya. Ini belum campur lagi kos makanan semasa berhenti rehat. Pendek kata, kos untuk menghasilkan reviu jalan (terutamanya jalan raya yang lebih panjang) adalah tinggi - semakin panjang sesebuah jalan raya, semakin tinggi jugalah kos untuk menghasilkan reviu untuk jalan tersebut.

Sebagai pencinta jalan raya Malaysia, saya mempunyai impian untuk meneroka kesemua jalan raya yang ada di Malaysia; dari Johor Bahru ke Bukit Kayu Hitam, Padang Besar dan Rantau Panjang, serta dari Sematan di Sarawak sehinggalah ke Kalabakan dan Serudong di Sabah, demi menghasilkan reviu-reviu jalan raya yang berkualiti dan berguna buat tatapan anda semua. Namun demikian, saya amat memerlukan sokongan padu anda, terutamanya dari segi kewangan, agar ia dapat direalisasikan.

Bagaimana anda boleh membantu dan menzahirkan sokongan anda terhadap Blog Jalan Raya Malaysia? Ada beberapa cara yang anda boleh lakukan bagi menzahirkan sokongan anda:-

  1. Derma melalui akaun PayPal - Derma melalui akaun PayPal merupakan kaedah yang paling pantas dan paling selamat bagi menzahirkan sokongan anda dari segi kewangan. Hanya klik butang Donate di lajur sebelah kanan blog dan nyatakan jumlah derma anda. Jika anda masih belum membuka akaun PayPal, apa tunggu lagi, bukalah akaun PayPal anda secara percuma dan pautkan kad kredit / debit anda pada akaun tersebut (Petua: Kebanyakan kad ATM sekarang mempunyai keupayaan sebagai kad debit, sila semak dengan bank anda untuk maklumat lanjut).
    Jika anda ingin menderma melalui akaun bank, anda boleh menderma melalui akaun bank berikut (kedua-dua akaun atas nama Mohd. Hezery bin Hussin):-
    • Hong Leong Bank: 151-50-05077-8
    • Bank Simpanan Nasional: 01133-29-00024751-3
  2. Beli bahan penerbitan oleh Blog Jalan Raya Malaysia (akan datang) - Blog Jalan Raya Malaysia sedang merancang untuk mendokumentasikan sejarah jalan raya serta reviu-reviu jalan raya terpilih dalam bentuk buku. Sekiranya ia diterbitkan kelak, belilah buku-buku tersebut sebagai tanda sokongan padu anda kepada Blog Jalan Raya Malaysia.
  3. Beli barangan dari Kedai Jalan Raya Malaysia serta squall-shinoda's Online Shoppe - Kedua-dua kedai ini merupakan kedai atas talian yang diadakan sebagai sokongan terhadap aktiviti Blog Jalan Raya Malaysia. Setakat ini squall-shinoda's Online Shoppe dibuka terlebih dahulu, dengan menawarkan beberapa produk penjagaan diri serta produk makanan halal. Pembelian di squall-shinoda's Online Shoppe bukan sahaja menyokong perjuangan Blog Jalan Raya Malaysia, malah membantu industri makanan halal negara serta pengusaha-pengusaha IKS (industri kecil dan sederhana) tempatan. Sementara itu pula, Kedai Jalan Raya Malaysia akan menjual produk-produk cenderahati Blog Jalan Raya Malaysia (seperti baju, pelekat cermin kereta, rantai kunci, kole dsb.), peta-peta, pakaian bermotosikal (jaket dan baju hujan) serta beberapa produk automotif (seperti rawatan minyak enjin dsb.), yang bakal diperkenalkan secara berperingkat-peringkat. Selain itu, Kedai Jalan Raya Malaysia akan mengadakan program keahlian Sahabat Jalan Raya Malaysia, diadakan bagi menjalin ikatan silaturrahim sesama kita. Oleh itu, promosi produk baru bagi kedua-dua kedai turut diadakan di sini.
  4. Kongsi dan sebar - Matlamat utama Blog Jalan Raya Malaysia dibuka ialah sebagai sumber ilmu bagi peminat jalan raya Malaysia, memandangkan maklumat mengenai jalan raya Malaysia amat jarang didokumentasikan. Oleh itu, ajaklah ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan anda seramai mungkin untuk melawat Blog Jalan Raya Malaysia. Kongsikan juga segala maklumat dan ilmu yang anda perolehi dari Blog Jalan Raya Malaysia ke blog anda sendiri, laman forum, laman sosial Facebook dan Twitter, dan jangan lupa nyatakan kredit kepada Blog Jalan Raya Malaysia.
Sokongan padu daripada anda semua amat saya hargai. Terima kasih 1Malaysia!

No comments:

Post a Comment