Monday, May 22, 2017

Modenas Pulsar RS200, NS200 & V15 - Pelancaran paling berani / The boldest launch ever



Pelancaran 3 model motosikal serentak
(dari kiri ke kanan: Modenas V15, Modenas Pulsar NS200 & Modenas Pulsar RS200)
(Kredit gambar: MotoMalaya)


Salam sejahtera,

Buat pertama kalinya dalam sejarah Modenas, mereka akhirnya telah memecahkan tradisi mereka dengan melancarkan model-model motosikal yang bergenre berbeza daripada model-model keluaran mereka sebelum ini. Sejak mereka mula-mula mengeluarkan motosikal Modenas Kriss 110 pada tahun 1996, rata-rata model keluaran mereka asyik-asyik model-model kapcai ataupun skuter. Satu-satunya model bergenre berbeza yang dikeluarkan oleh Modenas pada masa itu hanyalah Modenas Jaguh 175 yang diasaskan daripada model Kawasaki Eliminator 175.

Pada awalnya, sambutan rakyat Malaysia terhadap motosikal keluaran Modenas sangat menggalakkan, sehingga ke tahap Modenas pernah menapau pasaran motosikal kapcai 4 lejang sehingga ke tahap 52%. Namun, penguasaan tersebut tidak kekal lama, bermula dengan kemunculan model pesaing terkuat iaitu Yamaha Lagenda 110. Akhirnya, dominasi Modenas berjaya dipecahkan hasil kemunculan model-model motosikal baharu yang lebih berkuasa, lebih bergaya serta menepati citarasa pengguna.

Salah satu sebab utama kejatuhan Modenas pada ketika itu ialah disebabkan pengguna sudah bosan dengan lambakan model-model kapcai Modenas yang hanya sekadar mengitar semula enjin lama tanpa sebarang inovasi baharu, sedangkan para pesaing pula sentiasa menambah baik model-model keluaran mereka termasuklah menggunakan enjin baharu. Di samping itu, ramai di kalangan peminat motosikal Malaysia yang sudah bosan kerana Modenas tidak mengeluarkan motosikal bergenre berbeza sesuai dengan peningkatan usia dan tahap kematangan para penggunanya. Para pemilik yang sebelum ini sering menggunakan kapcai ingin merasai motosikal bergenre berbeza seperti motosikal sport, naked, cafe racer dsb. Akibat ketandusan model-model seumpamanya, Modenas sering dikritik dan dikecam oleh para peminat motosikal Malaysia kerana tidak mahu keluar daripada kepompong mereka selama ini. Jika dibandingkan, Demak yang dahulunya hanya dikenali sebagai pengeluar motosikal picisan yang menghasilkan model-model "klon" kini sudah pun mengeluarkan model-model motosikal yang lebih besar seperti Demak Skyline 200. Bukan itu sahaja, malah mereka turut berjaya membuka kilang kedua mereka di Olak Lempit, Banting, Selangor pada tahun 2014 sebagai tambahan kepada kilang induk mereka di Kuching, Sarawak.

Namun demikian, Modenas tetap tidak mahu terus dihentam oleh peminat motosikal yang kecewa dengan perkembangan mereka yang tampak lesu. Untuk mengubah kembali nasib mereka, Modenas mengambil langkah drastik dengan bekerjasama dengan beberapa pengeluar motosikal di luar negara bagi kerjasama penghasilan model-model baharu. Hasilnya, pada tahun 2017 Modenas begitu agresif mengeluarkan sebegitu banyak model-model motosikal baharu, yang mana ada di antaranya yang merupakan model-model game changer seperti Modenas Karisma generasi kedua, Modenas Elegan 250 dan Modenas Kriss MR2.

Pada 19 Mei 2017, Modenas mempertaruhkan tiga lagi model baharu dalam satu majlis pelancaran yang saya sifatkan sebagai pertaruhan paling berani oleh Modenas. Apa tidaknya, buat pertama kali dalam sejarah Modenas, mereka mengeluarkan model motosikal sport dan naked, yang sebelum ini tidak pernah dikeluarkan oleh mereka. Model-model yang saya maksudkan itu ialah Modenas Pulsar RS200, Modenas Pulsar NS200 dan Modenas V15. Ketiga-tiga model adalah hasil usaha sama dengan syarikat pengeluar motosikal terkemuka India iaitu Bajaj. Model-model tersebut dilancarkan sempena acara DRB-HICOM Autofest 2017 oleh DRB-HICOM yang merupakan syarikat induk bagi Modenas di ibu pejabat mereka di Hicom Glenmarie, Shah Alam.

Mungkin ada di antara anda yang langsung tidak mengenali nama Bajaj mahupun motosikal flagship mereka iaitu Pulsar. Untuk pengetahuan anda, Bajaj Auto ditubuhkan pada tahun 1945 di Pune, India, dan ia dikenali sebagai pengeluar beca berenjin terbesar di dunia. Selain itu, Bajaj juga ada mengeluarkan motosikal, di mana Bajaj Chetak merupakan antara model terawal keluaran Bajaj yang diasaskan daripada model klasik Vespa 2 lejang.

Sementara itu, Bajaj Pulsar merupakan model game changer Bajaj yang mula dikeluarkan pada tahun 2001, hasil ilham CEO baharunya pada waktu itu iaitu Rajiv Bajaj. Ia dihasilkan daripada penyelidikan yang dilakukan oleh divisyen kejuruteraan Bajaj Auto bersama-sama Tokyo R&D. Model ini dibangunkan susulan ketiadaan model-model motosikal jalanan berkapasiti sederhana dalam pasaran India kecuali motosikal Royal Enfield. Kejayaan pelancaran model motosikal naked Hero Honda CBZ menjadi pencetus terhadap pembangunan Bajaj Pulsar. Pembangunan Pulsar mengambil masa selama 3 tahun dengan kos keseluruhan 1 bilion rupee (RM67.058 juta).

Model asal Pulsar merupakan sebuah motosikal naked dengan enjin 150 cc sejukan udara. Ia menghasilkan 13 kuasa kuda. Pada masa itu, Pulsar amat dikenali sebagai antara motosikal terawal di India yang menampilkan brek cakera hadapan. Pada tahun 2003, model generasi kedua dikeluarkan, dengan menampilkan enjin dua palam pencucuh yang dikenali sebagai DTS-i.yang merupakan teknologi motosikal kebanggaan Bajaj.

Model Modenas Pulsar ini dibina berasaskan Bajaj Pulsar model tahun 2014. Ia menampilkan enjin 1 silinder 200 cc SOHC 4 injap sejukan cecair dengan tiga palam pencucuh dan sistem pancitan bahan api bagi menghasilkan keluaran kuasa kuda sebanyak 24.5 PS @ 9,750 rpm dan tork 18.6 N-m pada 8,000 rpm, digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan. Angka-angka kuasa ini sebenarnya sudah menghampiri angka-angka prestasi motosikal KTM Duke 200 dan Honda CBR250R yang lebih besar sedikit. Prestasi sebegini berjaya dihasilkan susulan penggunaan tiga palam pencucuh bagi memastikan pembakaran bahan api benar-benar lengkap dan bersih, membolehkan Bajaj Pulsar lulus piawaian emisi Bharat Stage IV (bersamaan piawaian emisi Euro 4) untuk motosikal. Teknologi DTS-i ini menjadikan Pulsar yang dijenamakan semula oleh Modenas ini sebagai motosikal Modenas pertama yang lulus piawaian emisi Euro 4. Bajaj mendakwa bahawa motosikal ini mampu mencapai kelajuan maksimum 140 km/j, tetapi ramai pemiliknya yang berupaya mencapai kelajuan yang lebih tinggi sehingga sekitar 160 km/j. Angka-angka kelajuan ini cukup untuk memalukan Honda CBR250R yang dikritik di Malaysia kerana masih dikeluarkan dalam konfigurasi enjin 1 silinder, sedangkan model-model pesaingnya yang lain pula menggunakan enjin dua silinder sebaris.

Sebenarnya, langkah Modenas menjenamakan model ini sebagai Modenas Pulsar sebenarnya samalah seperti yang dilakukan oleh Kawasaki yang menjual Pulsar di beberapa buah negara seperti Indonesia dan Filipina. Ia kerana negera-negara sebegini dikenal pasti sebagai pasaran baru bangkit (emerging market); justeru, model motosikal sport kecil yang sangat murah amat diperlukan bagi menembusi pasaran sebegini. Bukan kerana Kawasaki tidak berkeupayaan membina motosikal sport kecil, cuma kosnya nanti mungkin tidak mesra warga marhaen. Justeru, Kawasaki menggunakan strategi menjenamakan Bajaj Pulsar sebagai Kawasaki Pulsar di beberapa negara pasaran baru bangkit, dan kali ini Modenas turut mengikut jejak langkah Kawasaki bagi membolehkan mereka mula menghasilkan motosikal sport kecil.

Sebaik sahaja kali pertama saya terlihat akan kelibat Modenas Pulsar di ruang pameran Modenas semasa acara DRB-HICOM Autofest berlangsung, serius saya katakan bahawa Modenas Pulsar RS200 merupakan motosikal paling cantik, paling seksi dan paling menggiurkan yang pernah dikeluarkan oleh Modenas. Anda yang melihat gambar-gambar Modenas Pulsar RS200 buat pertama kali pun pasti tidak akan menyangka bahawa motosikal keluaran Modenas boleh jadi seseksi ini. Lihat sajalah pada rekaan lampu-lampu hadapannya yang menggunakan lampu projektor berkembar, lampu DRL LED putih serta lampu-lampu isyarat membelok LED yang kecil dan capang tetapi tampak seksi. Lampu belakangnya juga daripada jenis LED yang disusun membentuk reka bentuk kristal. Reka bentuk motosikal yang tampak seksi lagi menggiurkan ini pastinya menyerlahkan kemachoan anda, seolah-olah anda seperti seorang hero sejati dalam filem Tamil mahupun filem Hindustan. Motosikal ini turut dilengkapi brek cakera depan dan belakang serta dilengkapi sistem brek cegah kunci (ABS). Kelajuan maksimum...? Bajaj mendakwa motor ini mampu mencapai 140 km/j sahaja, tetapi banyak video di YouTube yang membuktikan bahawa motor ini sebenarnya mampu mencapai sehingga 160 km/j atau lebih dalam keadaan standard, bergantung kepada berat penunggang dan teknik penunggangan.

Kita beralih pula kepada versi naked bagi Pulsar iaitu Modenas Pulsar NS200. Tak adillah kalau saya asyik menumpukan perhatian kepada RS200 sahaja, sedangkan Modenas melancarkan tiga model baharu pada 19 Mei. Bagi yang ingin memiliki motosikal untuk kembara secara santai tetapi tetap mahukan kuasa, Modenas Pulsar NS200 sesuai untuk anda. Postur tunggangannya juga lebih selesa daripada RS200 kerana hendalnya ditinggikan sedikit berbanding hendal RS200 yang memang direka untuk merempit sakan. Enjin yang digunakan juga sama seperti RS200. Cuma, tangkinya lebih kecil sedikit - jika RS200 mendapat tangki 13 liter, tangki NS200 pula bersaiz 12 liter. Kedua-duanya sama-sama menjimatkan, dengan penggunaan bahan api purata sekitar 35 km/L. Namun, tidak seperti RS200, NS200 pula tidak dilengkapi ABS.

Akhir sekali, kita tinjau pula model terakhir yang ditampilkan dalam trio tiga model baharu hasil kerjasama dengan Bajaj. Model terakhir yang ditampilkan ialah Modenas V15, juga hasil penjenamaan semula model Bajaj V15. Tidak seperti dua model tadi yang berpaksikan prestasi, V15 ini pula sekadar sebuah motosikal naked asas yang lebih sesuai sebagai kenderaan harian untuk berulang-alik ke tempat kerja. Enjinnya pun berlainan, iaitu enjin 150 cc 1 silinder SOHC 2 injap sejukan udara dengan 2 palam pencucuh yang sekadar mampu menghasilkan 12 PS @ 7,500 rpm dan tork 13 N-m @ 5,500 rpm. Ia juga menggunakan karburetor berbanding model-model Pulsar yang menggunakan pancitan bahan api. Sungguhpun demikian, V15 masih berupaya untuk lulus piawaian emisi Bharat Stage IV hasil penggunaan teknologi DTS-i. Meskipun direkabentuk berasaskan motosikal cafe racer klasik, namun ia tetap menerima sentuhan model seperti lampu belakang LED dan tolok bahan api jenis LED.

Jadi bagaimana dengan ketiga-tiga model baharu Modenas ini...? Serius saya katakan bahawa ketiga-tiga jentera terbaru Modenas ini merupakan model-model game changer yang mampu melonjak semula angka-angka jualan Modenas ke tahap yang sukar dipercayai. Apa tidaknya, ketiga-tiganya boleh anda miliki dengan harga mampu milik, yang mana Modenas V15 boleh dimiliki dengan harga sebuah motosikal kapcai, iaitu RM5,989.00 (termasuk GST tetapi tidak termasuk insurans). Modenas Pulsar NS200 dan RS200 pula masing-masing dijual dengan harga RM9,220.00 dan RM11,342.00 (termasuk GST tetapi tidak termasuk insurans). Itu baru masuk bab harga. Semasa saya mula-mula kongsikan gambar-gambar bagi ketiga-tiga motosikal ini, boleh dikatakan rata-rata pembaca begitu teruja untuk memilikinya, memandangkan ia merupakan model motosikal sport pertama Modenas yang mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja. Jadi apa tunggu lagi...? Jangan pula anda gunakan Modenas Pulsar untuk merempit sakan sudah...!!!


Bagaimana teknologi DTS-i berfungsi




DTS-i tiga palam pencucuh (Modenas Pulsar RS200/NS200)




DTS-i dua palam pencucuh (Modenas V15)


Teknologi yang menjadi teras utama bagi Modenas Pulsar RS200, NS200 dan V15 ialah teknologi DTS-i (Penyalaan Bunga Api Berkembar Digital). Teknologi DTS-i ini menggunakan berbilang palam pencucuh untuk meningkatkan kuasa enjin melalui pembakaran yang lebih sempurna berbanding dengan menggunakan hanya satu sahaja palam pencucuh bagi setiap silinder dalam enjin konvensional. Teknologi ini samalah seperti teknologi i-DSI (Penyalaan Berjujukan Berkembar Pintar) Honda yang digunakan pada model Honda Jazz 2001, Honda City 2003, Honda Civic Hybrid dan Honda Insight.

Dalam enjin konvensional, sebiji palam pencucuh digunakan untuk membakar campuran udara-bahan api. Namun, pemasaan penyalaannya perlu diawalkan kerana bunga api yang dihasilkan mengambil masa untuk membakar keseluruhan campuran udara-bahan api dalam kebuk pembakaran. Semasa kelajuan enjin semakin tinggi, masa bagi setiap lejang kuasa pula menjadi semakin pendek, jadi pemasaan penyalaan pula perlu diawalkan untuk pembakaran lebih sempurna kerana masa untuk bunga api palam pencucuh membakar keseluruhan campuran udara-bahan api kekal sama.






Enjin DTS-i 3 palam pencucuh yang digunakan pada Modenas Pulsar






Enjin DTS-i 2 palam pencucuh yang digunakan pada Modenas V15


Dalam enjin DTS-i pula, dua atau tiga biji palam pencucuh digunakan. Oleh kerana lebih banyak palam pencucuh digunakan, maka masa pembakaran juga semakin singkat untuk pembakaran yang lebih sempurna. Hasilnya, pemasaan penyalaan boleh dilengahkan tetapi masa pembakaran jauh lebih singkat daripada enjin dengan palam pencucuh tunggal sesilinder - jika pemasaan bagi sistem penyalaan enjin konvensional adalah sekitar beberapa darjah sebelum titik tetap atas (BTDC), pemasaan palam pencucuh bagi enjin DTS-i pula boleh ditetapkan 13° lebih lewat daripada enjin konvensional bagi enjin dua palam pencucuh (Modenas V15) dan 15° lebih lewat bagi enjin tiga palam pencucuh (Modenas Pulsar RS200 & NS200) - pun begitu, kedua-dua enjin membakar campuran bahan api 26% (bagi kes V15) hingga 50% (bagi kes RS200 dan NS200) lebih pantas daripada enjin konvensional.

Jadi apakah faedah utama bagi teknologi DTS-i ini...? Menurut Bajaj, terdapat empat faedah utama teknologi DTS-i ini, iaitu masa pembakaran yang lebih pantas, pembakaran yang lebih sempurna, peningkatan prestasi enjin, dan akhir sekali kurang pelepasan gas-gas pencemar yang dihasilkan. Ketiga-tiga model Bajaj yang dijenamakan oleh Modenas ini lulus piawaian emisi Bharat Stage IV (bersamaan Euro 4), menjadikan model-model tersebut sebagai model-model terawal Modenas yang lulus Euro 4. Sebelum ini, Modenas 118EFI merupakan model pertama Modenas yang lulus piawaian emisi Euro 3 hasil penggunaan sistem pancitan bahan api.






Spesifikasi Modenas Pulsar RS200 2017

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 4 injap sejukan cecair DTS-i dengan tiga palam pencucuh
Sesaran: 199.5 cc
Lubang x lejang: 72 x 49 mm
Kuasa kuda maksimum: 24.5 PS (18.02 kW) @ 9,750 rpm
Tork maksimum: 18.6 N-m @ 8,000 rpm
Penghidup: Elektrik
Transmisi: 6 kelajuan (1 bawah, 5 atas)
Sistem bahan api: Pancitan bahan api
Brek: Cakera (depan dan belakang) dengan ABS
Berat kering: 155 kg
Kapasiti tangki bahan api: 13 L
Kelajuan maksimum: 140 km/j (dakwaan pengeluar); sekitar 160 km/j (ujian)
Penggunaan bahan api: 35 km/L (bandar); 43 km/L (lebuh raya)

Apa yang saya suka
  1. Motosikal sport pertama keluaran Modenas
  2. Ditampilkan dengan teknologi termaju daripada Bajaj iaitu DTS-i
  3. Reka bentuk yang sangat seksi
  4. Salah satu daripada trio motosikal Modenas terawal yang lulus piawaian emisi Euro 4
  5. Antara model motosikal sport yang paling jimat minyak
  6. Dijual dengan harga yang sangat mampu milik
  7. Dilengkapi ABS sebagai komponen standard
Apa yang saya tidak suka
  1. Tiada penunjuk kedudukan gear
  2. Penggunaan 3 palam pencucuh bermaksud kos penukaran palam pencucuh menjadi 3 kali ganda berbanding model pesaing yang hanya ada 1 palam pencucuh sahaja



Spesifikasi Modenas Pulsar NS200 2017

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 4 injap sejukan cecair DTS-i dengan tiga palam pencucuh
Sesaran: 199.5 cc
Lubang x lejang: 72 x 49 mm
Kuasa kuda maksimum: 24.5 PS (18.02 kW) @ 9,750 rpm
Tork maksimum: 18.6 N-m @ 8,000 rpm
Penghidup: Elektrik
Transmisi: 6 kelajuan (1 bawah, 5 atas)
Sistem bahan api: Pancitan bahan api
Brek: Cakera (depan dan belakang) tanpa ABS
Berat kering: 155 kg
Kapasiti tangki bahan api: 12 L
Kelajuan maksimum: 140 km/j (dakwaan pengeluar); sekitar 160 km/j (ujian)
Penggunaan bahan api: 35 km/L (bandar); 43 km/L (lebuh raya)

Apa yang saya suka
  1. Ditampilkan dengan teknologi termaju daripada Bajaj iaitu DTS-i
  2. Posisi tunggangan yang selesa
  3. Salah satu daripada trio motosikal Modenas terawal yang lulus piawaian emisi Euro 4
  4. Antara model motosikal naked yang paling jimat minyak
  5. Dijual dengan harga yang sangat mampu milik
Apa yang saya tidak suka
  1. Tiada penunjuk kedudukan gear
  2. Penggunaan 3 palam pencucuh bermaksud kos penukaran palam pencucuh menjadi 3 kali ganda berbanding model pesaing yang hanya ada 1 palam pencucuh sahaja


Spesifikasi Modenas V15 2017

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 2 injap sejukan udara DTS-i dengan dua palam pencucuh
Sesaran: 149.5 cc
Lubang x lejang: 56 x 58 mm
Kuasa kuda maksimum: 12 PS (8.83 kW) @ 7,500 rpm
Tork maksimum: 13 N-m @ 5,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 5 kelajuan (1 bawah, 4 atas)
Sistem bahan api: Karburetor
Brek: Cakera (depan); gelendong (belakang)
Berat kering: 136 kg
Kapasiti tangki bahan api: 13 L
Kelajuan maksimum: 100-110 km/j (dakwaan pengeluar)
Penggunaan bahan api: 45 km/L (bandar); 55 km/L (lebuh raya)

Apa yang saya suka
  1. Motosikal naked pada harga motosikal kapcai
  2. Ditampilkan dengan teknologi termaju daripada Bajaj iaitu DTS-i
  3. Salah satu daripada trio motosikal Modenas terawal yang lulus piawaian emisi Euro 4
  4. Antara model motosikal naked yang paling jimat minyak
Apa yang saya tidak suka
  1. Hanya cukup makan untuk mencapai kelajuan lebuh raya ekspres
  2. Penggunaan 2 palam pencucuh bermaksud kos penukaran palam pencucuh menjadi 2 kali ganda berbanding model pesaing yang hanya ada 1 palam pencucuh sahaja






Pandangan keseluruhan Modenas Pulsar RS200




Pandangan hadapan Modenas Pulsar RS200




Pandangan sisi Modenas Pulsar RS200




Modenas Pulsar RS200 menggunakan sepasang lampu hadapan jenis projektor serta dilengkapi lampu DRL LED yang menjadikannya tampak garang




Lampu belakang Modenas Pulsar RS200 adalah daripada jenis LED kristal




Enjin 200 cc SOHC 4 injap 1 silinder sejukan cecair DTS-i dengan 3 palam pencucuh




Ekzos RS200 yang nampak comel tetapi sporty




Meter Modenas Pulsar RS200 yang menggabungkan takometer digital, tolok bahan api LCD dengan paparan LCD yang memaparkan speedometer, odometer, tripmeter dan jam




Pandangan sisi Modenas Pulsar NS200




Lampu hadapan Modenas Pulsar NS200 pula adalah jenis mentol halogen tunggal




Lampu belakang NS200 yang berlainan daripada RS200




Meter NS200 sama sahaja seperti RS200




Pandangan sisi Modenas V15




Lampu hadapan V15, juga daripada jenis mentol halogen tunggal




Lampu belakang V15 dari jenis LED




Meter Modenas V15 sangat ringkas, terdiri daripada speedometer analog, odometer dan tolok bahan api jenis LED

No comments:

Post a Comment