Sunday, January 4, 2015

Senarai Hajat: Lebuhraya Seludang (Segamat-Kluang-Pasir Gudang) / Wishlist: Seludang Expressway (Segamat-Kluang-Pasir Gudang)


Pelan penggunaan tanah daerah Segamat tahun 2020 menurut Rancangan Tempatan Daerah Segamat
(klik untuk besarkan)



Salam sejahtera,

Seperti yang telah saya janjikan, saya bawakan kepada anda siri entri Senarai Hajat sempena Tahun Baru 2015 serta sempena tahun terakhir pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), bertujuan untuk menambah baik rancangan pembinaan jalan raya baharu sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) yang akan bermula pada tahun 2016 nanti.

Entri sulung dalam siri Senarai Hajat ini ialah Lebuhraya Segamat-Kluang-Pasir Gudang, juga dikenali sebagai Lebuhraya Seludang ataupun Lebuhraya Gemas-Segamat-Pasir Gudang. Projek lebuh raya capaian terkawal ini mula diutarakan cadangannya pada tahun 1996 bersama-sama dengan projek Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11, Lebuhraya Pandan (yang kini menjadi Lebuhraya Sambungan Besraya E9) dan Lebuhraya Segamat-Muar (yang akhirnya dimuktamadkan sebagai naik taraf Jalan Segamat-Muar FT23). Memandangkan cadangan tersebut diutarakan tatkala Malaysia baru sahaja hendak mengenali internet dan teknologi maklumat, maka berita-berita mengenainya tidak diarkibkan di mana-mana laman web akhbar arus perdana dan hanya boleh diperolehi daripada keratan akhbar pada masa tersebut - itu pun kalau masih lagi ada yang menyimpannya. Saya tidak pasti sama ada Pusat Rujukan Jalan Raya Negara (PRJN) di ibu pejabat Kementerian Kerja Raya ada menyimpan keratan akhbar-akhbar lama mengenainya, tetapi jika ada maka sudah tentu ia amat membantu.

Buat masa sekarang, saya memperoleh hanya tiga sahaja sumber rujukan bagi cadangan pembinaan Lebuhraya Seludang ini, iaitu Rancangan Strategik Negeri Johor, blueprint Sistem Perhubungan Perbandaran Iskandar Malaysia dan arkib berita mengenai Lebuhraya Segamat-Kluang-Pasir Gudang ini di laman web Utusan Malaysia. Disebabkan sumber rujukan yang terlalu terhad, maka terlalu sedikit maklumat yang dapat saya perolehi mengenainya, dan beberapa maklumat penting yang saya perlukan pula tiada dalam sumber rujukan tersebut, terutamanya mengenai bilangan persimpangan bertingkat, hentian sebelah dan kawasan rehat dan rawat. Dengan berpandukan sumber rujukan yang sangat terhad ini, saya tiada cara lain selain memberi pelbagai cadangan bagi mempastikan projek Lebuhraya Seludang dapat direalisasikan dalam tempoh RMK11 nanti.

Sedikit mengenai latar belakang Lebuhraya Seludang ini. Sejarah mengenai cadangan pembinaan Lebuhraya Seludang ini sebenarnya bertitik-tolak daripada kesan negatif yang dibawa semasa pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E2 sepanjang dekad 1980an dan awal 1990an. Seperti yang kita semua ketahui, Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 dibina selari dengan Jalan Persekutuan 1. Namun, jajaran Simpang Ampat-Yong Peng pula dilencongkan jauh untuk membolehkan E2 melalui Melaka. Selain itu, satu lagi sebab utama kenapa laluan Simpang Ampat-Yong Peng dilencongkan sebegitu jauh daripada Jalan Persekutuan 1 adalah kerana laluan yang dipilih itulah yang merupakan laluan terpendek dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Sebab itulah jarak dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru melalui Lebuhraya Utara-Selatan hanya 318 km sahaja (termasuk 8 km jajaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37).

Jadi apakan impak negatif yang terhasil daripada pemilihan jajaran tersebut...? Pada tahun 2013, saya pernah membuktikan bagaimana pembinaan lebuh raya ekspres sebenarnya lebih banyak membunuh nyawa kampung-kampung, pekan-pekan dan bandar-bandar kecil yang amat bergantung kepada jalan persekutuan dan negeri sebagai sumber ekonomi utama sekiranya tidak dirancang dengan teliti - sebab itulah lebuh raya ekspres tidak dibina di Sabah dan Sarawak buat masa sekarang. Dalam konteks Segamat pula, pelencongan laluan Lebuhraya Utara-Selatan E2 jauh dari Segamat sedikit-sebanyak telah membunuh nyawa bandar kelima terpenting di negeri Johor itu. Sejak berdekad-dekad lamanya, Segamat membangun dengan makmur sebagai salah satu bandar persinggahan utama bagi para musafir yang menggunakan Jalan Persekutuan 1 sebelum pembukaan Lebuhraya Utara-Selatan E2. Sungguhpun Segamat masih lagi ada Lebuhraya Tun Razak FT12 sebagai talian hayatnya, namun impak negatif yang dirasai Segamat hasil pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E2 sangat ketara. Ekonomi Segamat sebahagian besarnya sekadar bergantung kepada sektor pertanian dan perladangan semata-mata. Meskipun Segamat memang mempunyai kawasan perindustriannya sendiri, namun usaha menarik pelabur juga sukar disebabkan lokasinya yang jauh dari Lebuhraya Utara-Selatan E2. Akibatnya, ramai anak-anak muda Segamat yang berhijrah keluar dan daerah Segamat mencatatkan antara kadar pertumbuhan penduduk yang terendah di negeri Johor. Hanya pada tahun 2011 barulah nasib penduduk daerah Segamat terbela kembali setelah kerajaan persekutuan memulakan pembinaan Lebuhraya Segamat-Muar sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 23 sedia ada kepada lebuh raya kembar.

Sementara itu pula, Lebuhraya Utara-Selatan E2 pula semakin lama semakin sesak dengan kenderaan yang semakin banyak saban tahun. Kesesakan di E2 semakin ekstrim akhir-akhir ini setiap kali musim perayaan, dengan jajaran Seremban-Nilai merupakan jajaran paling sesak di sepanjang E2 sehingga ada kalanya tidak bergerak langsung semasa musim perayaan. Sebab itulah jajaran Nila-Seremban kini dilebarkan kepada lapan lorong. Di sebelah Johor pula, jajaran Yong Peng-Johor Bahru pula semakin sesak kerana ramai pengguna jalan raya dari Johor Bahru yang menggunakan laluan sama untuk ke pantai timur melalui Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12. Sebenarnya memang ada pihak yang menyuarakan kepada Plus Malaysia Berhad untuk menaik taraf jajaran Johor Bahru-Yong Peng kepada enam lorong, tetapi akhirnya ditolak kerana Plus Malaysia Berhad mendakwa bahawa tahap perkhidmatan di jajaran tersebut masih lagi dalam tahap B atau C yang merupakan tahap optimum. Sungguhpun demikian, Plus Malaysia Berhad terpaksa menerima hakikat bahawa Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 kini semakin sesak sehingga memerlukan beberapa batang lebuh raya selari untuk melegakan kesesakan di situ.

Itu baru ceritu lebuh raya paling untung di Malaysia. Bagaimana pula dengan dua batang lebuh raya yang mencatatkan kerugian...? Dua batang lebuh raya yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Lebuhraya Senai-Desaru E22 dan Lebuhraya Lekas E21. E22 mencatatkan kerugian berpunca daripada 2 sebab utama - kurang kenderaan yang menggunakan jajaran Senai-Cahaya Baru E22 akibat persaingan dengan Lebuhraya Pasir Gudang FT17 dan Jalan Permas Jaya FT35, serta kualiti turapan yang kurang memuaskan, Lebuhraya Lekas E21 juga mengalami kerugian akibat kurang kenderaan yang menggunakannya, namun akhir-akhir ini sudah semakin banyak kenderaan yang menggunakannya untuk memintas kesesakan E2 bagi laluan KL-Seremban - itu pun saya masih tidak pasti sama ada Lekas akhirnya mula mencatatkan keuntungan atau masih menanggung kerugian. Untuk membela nasib dua lebuh raya ekspres ini, maka Lebuhraya Seludang - dan seterusnya sambungannya ke Lebuhraya Lekas E21 - perlu dibina supaya bilangan kenderaan di kedua-dua lebuh raya berkenaan dapat dipertingkatkan, sekaligus membolehkan kedua-dua lebuh raya tersebut mencatatkan keuntungan. Ia amat kritikal di E22 untuk membolehkan Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) memperbaiki kualiti turapan lebuh raya agar keyakinan orang ramai dapat dipulihkan kembali.

Tiga faktor utama - keadaan ekonomi Segamat yang terancam akibat pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E2 yang memintas Segamat, kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan E2 itu sendiri, dan kekurangan aliran trafik di Lebuhraya Lekas E21 dan Lebuhraya Senai-Desaru E22 sehingga menyebabkan kerugian di kedua-dua lebuh raya tersebut - merupakan faktor-faktor utama yang membawa kepada keperluan membina Lebuhraya Seludang ini. Namun, menurut blueprint Iskandar Malaysia dan Rancangan Strategik Negeri Johor, Lebuhraya Seludang yang dicadangkan itu akan bermula di Lebuhraya Senai-Desaru E22 (antara Plaza Tol Senai dengan Exit 2203 Persimpangan Ulu Tiram) dan berakhir di Gemas Baharu. Untuk membolehkan Lebuhraya Seludang ini berfungsi sebagai alternatif bagi Lebuhraya Utara-Selatan E2, maka Lebuhraya Seludang ini perlu dihubungkan dengan Lebuhraya Lekas E21.

Sebenarnya nama syarikat konsesi bagi Lebuhraya Seludang ini sudah pun diumumkan pada tahun 1998 iaitu Konsortium Syuhada dan Makmur Ria Sdn. Bhd., tetapi kerja-kerja pembinaan tidak pula dimulakan, menyebabkan perjanjian konsesi yang ditandatangani itu terbatal. Ia berkemungkinan kesan daripada krisis ekonomi tahun 1997 yang melanda negara, yang menyebabkan banyak syarikat yang sudah menandatangani perjanjian konsesi pada masa itu menarik diri disebabkan masalah kewangan. Akibatnya, berita mengenai nasib projek Lebuhraya Seludang senyap begitu sahaja, sehinggalah projek itu disebut semula di dalam blueprint Iskandar Malaysia. Kini, masanya sudah tiba untuk menghidupkan semula projek Lebuhraya Seludang ini.

Satu-satunya maklumat mengenai persimpangan bertingkat yang bakal dibina di Lebuhraya Seludang hanya dapat diperolehi dalam Rancangan Tempatan Daerah Segamat (yang juga dihimpunkan dalam Rancangan Strategik Negeri Johor) - itu pun hanya bagi daerah Segamat sahaja. Menurut Rancangan Tempatan Daerah Segamat, terdapat dua (atau saya patut katakan sebagai tiga) persimpangan Lebuhraya Seludang yang bakal dibina dalam daerah Segamat. Persimpangan tersebut ialah:-
  1. Persimpangan Gemas - penamat Lebuhraya Seludang, dihubungkan ke Gemas Baharu, Gemas dan Batu Anam melalui Jalan Persekutuan 1
  2. Persimpangan Segamat - dihubungkan ke Segamat melalui Lebuhraya Tun Razak FT12
  3. Persimpangan Labis - dihubungkan ke Labis dan Pekan Air Panas melalui Jalan Negeri Johor J151.

Untuk menambah baik pengurusan trafik di kedua-dua Lebuhraya Seludang dan Lebuhraya Utara-Selatan E2, sebatang jalan raya kembar sepanjang 11 km akan dibina di Kulai bagi menghubungkan kedua-dua lebuh raya tersebut.

Selebihnya...? Itu sajalah maklumat yang dapat saya peroleh daripada ketiga-tiga sumber tadi. Maka saya ingin utarakan beberapa cadangan penambahbaikan untuk diterapkan dalam projek Lebuhraya Seludang ini:-
  1. Lebuhraya Seludang perlu disambungkan terus dengan Lebuhraya Lekas E21 melalui Bahau dan Kuala Pilah. Maka, sudah tentulah saya ingin mencalonkan IJM untuk pelaksanaan projek ini, memandangkan IJM memiliki Lebuhraya Lekas E21 yang seterusnya membolehkan Lebuhraya Seludang menggunakan kod laluan yang sama sekiranya kedua-dua lebuh raya ini disambungkan sebagai satu laluan berterusan. Selain itu, kualiti pembinaan lebuh raya oleh IJM begitu cemerlang sehinggakan mutu Lebuhraya Lekas E21 seakan-akan ia baru beberapa bulan sahaja dibuka.
  2. Memandangkan tiada butiran mengenai hentian rehat yang bakal dibina di Lebuhraya Seludang, saya mencadangkan agar hentian rehat dibina di Kluang, Segamat dan Kuala Pilah (sekiranya Lebuhraya Seludang disambung terus dengan Lebuhraya Lekas E21). Ia sekaligus memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di samping mengukuhkan ekonomi ketiga-tiga bandar tersebut sebagai bandar persinggahan utama.
  3. Persimpangan yang saya cadangkan adalah seperti berikut:-
    • Persimpangan Seludang-SDE - dihubungkan dengan Lebuhraya Senai-Desaru E22
    • Persimpangan Taib Andak - ke Kulai dan Kota Tinggi melalui Jalan Persekutuan 94
    • Persimpangan Seludang-NSE - dihubungkan ke Lebuhraya Utara-Selatan melalui jalan hubungan NSE-Seludang
    • Persimpangan Renggam - ke Renggam, Simpang Renggam dan Layang-Layang melalui Jalan Negeri Johor J25
    • Persimpangan Kluang - ke Kluang dan Mersing melalui Jalan Persekutuan 50
    • Persimpangan Paloh - ke Paloh dan Yong Peng melalui Jalan Negeri Johor J16
    • Persimpangan Bekok - ke Bekok dan Chaah melalui Jalan Negeri Johor J150
    • Persimpangan Labis - ke Labis, Pekan Air Panas dan Bukit Kepong melalui Jalan Negeri Johor J151
    • Persimpangan Segamat - ke Segamat, Muadzam Shah dan Kuantan melalui Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12
    • Persimpangan Gemas - ke Gemas, Batu Anam dan Tampin melalui Jalan Persekutuan 1
    • Persimpangan Pasir Besar - ke Pasir Besar, Rompin dan Gugusan Felda Palong melalui Jalan Persekutuan 10
    • Persimpangan Bahau - ke Bahau, Juasseh dan Bandar Seri Jempol melalui Jalan Persekutuan 13
    • Persimpangan Kuala Pilah - ke Kuala Pilah dan Sri Menanti melalui Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51
  4. Sistem tol yang dijalankan mestilah daripada jenis sistem tol tertutup. Namun, untuk mengelakkan daripada terpaksa berhenti dua kali di plaza tol pangkalnya nanti, ada baiknya jika sistem kutipan tol Lebuhraya Seludang diselaraskan dengan SDE E22, yang membolehkan kedua-dua lebuh raya berkongsi kad tiket yang sama.

Kesimpulannya, projek Lebuhraya Seludang wajar dihidupkan semula bagi menunaikan janji kerajaan terhadap penduduk Segamat hampir dua dekad lalu. Pujian harus diberikan kepada pucuk pimpinan baharu kerajaan negeri di bawah Daruk Seri Khaled Nordin yang komited mahu membangunkan semula sektor pertanian dan perladangan di Segamat. Namun, untuk menarik pelaburan asing ke Segamat, maka Lebuhraya Seludang sudah tentunya amat diperlukan bagi meningkatkan tahap kebolehsampaian serta bagi membolehkan kegiatan ekonomi di Segamat berkembang dengan rancak. Apa yang saya tulis dalam entri ini hanya sebahagian cadangan yang dapat saya utarakan berasaskan sumber rujukan yang sangat terhad. Selebihnya, saya serahkan kepada kebijaksanaan Kementerian Kerja Raya, Unit Perancang Jalan dan Lembaga Lebuhraya Malaysia untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan Lebuhraya Seludang ini dapat dijayakan dalam tempoh RMK11 nanti.

No comments:

Post a Comment