Saturday, June 14, 2014

Pesta memburu nikmat pemanduan dengan Honda City 2014 Gred V / The Hunting Party of driving pleasure in a 2014 Honda City Grade V

Salam sejahtera,

Masih ingatkah anda dengan berita pelancaran Honda City generasi keenam pada penghujung Mac lalu...? Kali ini Blog Jalan Raya Malaysia berkesempatan menguji sendiri varian termahal Honda City 2014 di pusat servis Honda terbesar di Malaysia, iaitu Kah Motor Sdn. Bhd. Selayang, yang terletak di Batu 7, Lebuhraya Kuala Lumpur-Rawang FT1, tidak jauh dari Pasar Borong Selayang. Pusat servis Honda yang dilaburkan dengan kos RM30 juta ini berkeluasan 157,000 meter persegi, dan ia akan diperbesarkan lagi untuk menempatkan sebuah pusat mengecat badan kenderaan.

Kedatangan saya disambut oleh Encik Jackson Low, selaku jurujual yang mengendalikan sesi pandu uji kali ini. Kebetulan saya tiba di Kah Motor Selayang semasa sepasang suami isteri baru sahaja selesai memandu uji model yang hendak saya uji itu. Menurut Encik Jackson, sambutan terhadap Honda City generasi keenam memang di luar jangkaan, terutamanya bagi Gred V - lebih 10,000 tempahan diterima oleh Honda Malaysia pada bulan pertama ia diperkenalkan, sekaligus berjaya memecahkan monopoli Toyota Vios yang selama ini merajai jualan kereta subpadat bukan nasional di Malaysia. Kesemua 10,000 tempahan tersebut dijangka akan menerima kereta mereka selewat-lewatnya pada penghujung Jun ini. Tidak cukup dengan itu, kereta bilik pameran pun sudah dijual, berikutan sambutan yang amat memberangsangkan. Akibatnya, mereka yang hendak menempah Gred V terpaksa menunggu sehingga 3 bulan untuk menerima kereta mereka. Kalau anda hendak menempah Gred V berwarna Biru Sporty Terang Metalik pula lagi teruk; anda perlu menunggu sehingga paling awal pun bulan Oktober sebelum menerima kereta tersebut. Begitulah ceritanya betapa larisnya generasi keenam City ini, umpama pisang goreng panas.

Nadi utama yang menggerakkan Honda City generasi keenam ini masih lagi enjin L15A7 i-VTEC yang turut digunakan pada generasi kelima City, namun terdapat beberapa perubahan yang dilakukan pada enjin tersebut. Rongga masukannya kali ini menggunakan plastik resin gred automotif seperti yang digunakan pada rongga masukan enjin Campro Proton. Rongga masukan baharu itu lebih licin daripada rongga masukan jenis aluminium tuang yang digunakan pada City generasi terdahulu, sekaligus mengurangkan kehilangan kuasa pengepaman dan menjadikan udara masuk lebih lawas. Aliran masuk udara juga diubah daripada masukan dari arah tepi kepada arah hadapan supaya udara masukan lebih tumpat. Kedua-dua perubahan tersebut dilakukan kerana enjin tersebut sebenarnya perlu ditala semula bagi membolehkan kotak gear CVT Earth Dreams terkini digunakan, memandangkan kotak gear tersebut memerlukan kelajuan enjin berooperasi yang lebih rendah. Hasilnya, enjin L15A7 kali ini tetap menghasilkan kuasa kuda maksimum 120 PS tetapi pada rpm lebih rendah iaitu 6,600 rpm.

Menghidupkan kereta ini menggunakan butang penghidup tekan amat mudah, hanya perlu pijak injak brek dan tekan butang tersebut. Tiada tutorial grafik mengenainya seperti mana Honda Civic 2012 ataupun Proton Preve 2012, tetapi ia sangat mudah digunakan. Untuk mematikan enjin, hanya tekan sahaja butang yang sama dan enjin akan dimatikan dengan sendirinya.

Memandangkan saya hendak menguji kereta Honda City Gred V, saya turut mengambil kesempatan untuk mencuba beberapa ciri yang diterapkan pada kereta tersebut, terutamanya sistem radio serta penyaman udara yang menggunakan skrin sentuh - pertama kali seumpamanya diperkenalkan pada kereta segmen B. Ia sangat responsif umpama mengendalikan telefon pintar. Radionya pula dilengkapi 8 biji pembesar suara, 2 port USB dan satu port HDMI. Tanpa membuang masa, saya memalamkan pemacu kilat USB saya. Masa untuk layan lagu Linkin Park sambil memandu...!!!

Album The Hunting Party oleh Linkin Park ini sememangnya album terbaik yang pernah mereka hasilkan, dengan permainan dram dan gorengan gitar yang jauh lebih ganas dan bertenaga daripada album sulung mereka, Hybrid Theory, di samping raungan ganas vokalisnya, Chester Bennington. Gorengan gitar yang sungguh ganas, ditambah pula dengan sistem audio 8 pembesar suara pada City ini, menghasilkan bunyi-bunyian yang sangat padu dan mantap. Jika dibandingkan dengan Honda City generasi kelima yang dimiliki adik lelaki saya, saya lebih menyukai sistem audio City 2014 yang benar-benar mampu memuaskan kehendak pencinta sistem audio seperti saya.

Oh ya, ada satu perkara yang perlu saya beritahu kepada anda - unit kepala radio City Gred V ini sebenarnya tidak dilengkapi sistem navigasi GPS, tetapi ia boleh dinaik taraf pada bila-bila masa sahaja di mana-mana kedai aksesori kereta. Ingatkan City Gred V ada GPS, rupanya tak ada. Sedih. Namun, Honda Malaysia sebenarnya memang sengaja tidak memasang GPS pada unit kepala radio City Gred V supaya membolehkan pengguna menaik taraf radio mereka sendiri di kedai-kedai aksesori. Bukan semua pemilik kereta yang memang dilengkapi GPS benar-benar menggunakan GPS mereka. Lagipun, bukan semua orang tahu membaca peta, jauh sekali menggunakan sistem kod laluan bagi merancang perjalanan. Kalau ramai pemandu menggunakan GPS sekalipun, tidak semua pengguna berpuas hati akan sistem GPS kereta mereka - ada yang komplen skrin terlalu kecil, lambat bertindak balas, peta tak boleh dikemas kini, nak kemas kini peta pun kena bayar ongkos yang tak masuk akal, dsb.

"Litar" pandu uji kali ini pendek sahaja, iaitu dari Kah Motor Selayang ke Bulatan Batu Caves melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Ipoh / Jalan Ipoh FT1, berpatah balik ke arah utara, memasuki Persimpangan Pasar Borong Selayang dan seterusnya melakukan pusingan U di Jalan 1/2b untuk berpatah balik ke Kah Motor Selayang. Memang pendek, tetapi apa boleh buat, semua orang berebut-rebut untuk memandu uji kereta ini. Saya boleh dikatakan bernasib baik kerana saya tiba di Kah Motor Selayang betul-betul semasa pelanggan terdahulu baru sahaja selesai memandu uji kereta tersebut.

Honda City generasi keenam ini menggunakan kotak gear jenis transmisi boleh laras berterusan (CVT) Earth Dreams. Sebenarnya, ini bukan kali pertama Honda menggunakan CVT. Honda City generasi keempat juga menggunakan CVT, tetapi terdapat banyak kes kerosakan kotak gear CVT City tersebut yang dilaporkan. Anehnya, kesemua kerosakan yang dilaporkan itu hanya berlaku di Malaysia sahaja dan tiada langsung di negara lain. Kenapa ia berlaku...? Untuk pengetahuan, CVT yang digunakan Honda pada masa itu adalah dari jenis Honda Multimatic yang menggunakan klac pemula dan bukannya penukar tork (lebih kurang sama seperti CVT Punch Powertrain yang digunakan Proton). Bezanya ialah klac pemula pada CVT Punch Powertrain ditempatkan pada bahagian paling awal transmisi dan dihubungkan pada roda tenaga enjin, manakala Honda Multimatic pula menempatkan klac pemula selepas takal dan tali sawat. Ia membolehkan rayapan (creep) seperti pada transmisi automatik biasa dihasilkan, tetapi CVT Punch Powertrain pula tiada rayapan. Namun demikian, keadaan cuaca panas, ditambah pula dengan tabiat pemanduan kebanyakan pemandu kereta CVT di Malaysia yang tidak menukar ke gear neutral semasa berhenti banyak menyumbang kepada kes panas lampau pada CVT yang seterusnya membawa kepada kerosakan. Anda boleh bayangkan keadaan tersebut sama seperti memandu kereta transmisi manual di Cameron Highlands dalam keadaan kesesakan berterusan, yang mana ada pemandu yang "menahan" kereta semasa cerun mendaki dengan menggunakan klac dan bukannya brek tangan - penggunaan klac untuk menahan kereta secara berterusan boleh menyebabkan klac terbakar akibat panas lampau. Setelah belajar daripada kes-kes kegagalan CVT sebelum ini, Honda menghasilkan CVT generasi terbaharu yang dikenali sebagai Earth Dreams CVT, yang menggunakan penukar tork bagi menggantikan klac pemula. Sebenarnya, kalau diikutkan, kecekapan mekanikal teori pada Earth Dreams CVT adalah lebih rendah daripada CVT Punch Powertrain dan Honda Multimatic kerana penukar tork merupakan punca utama kehilangan kuasa pada transmisi automatik, tetapi penggunaan bendalir CVT yang lebih pekat serta enjin L15A7 itu sendiri yang memang jimat minyak berupaya menghapuskan defisit tersebut. Penggunaan penukar tork juga menjadi punca kenapa CVT City 2014 lebih senyap daripada CVT Proton Saga FLX.

Satu faktor utama yang menjadikan City semakin diminati ramai ialah penggunaan bahan api yang sangat jimat. Honda mendakwa City generasi kelima seperti yang dimiliki adik saya berupaya mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 15 km/L, tetapi catatan terbaik saya dengan City adik saya itu ialah sekitar 20-21 km/L. Namun, setelah Proton mengeluarkan kereta Proton Saga FLX, ia berjaya menewaskan City dengan penggunaan bahan api purata 17 km/L hasil penggunaan CVT. Maka, Honda bertindak balas dengan kembali menggunakan CVT pada City 2014. Jika Honda mendakwa City generasi keenam menggunakan bahan api purata 17 km/L, maka saya sudah tentu berupaya mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 23-24 km/L sebagai catatan terbaik peribadi. Untuk memaksimumkan penjimatan bahan api, butang Econ turut dijadikan ciri standard sejak pengenalannya pada Honda Insight 2010, berfungsi dengan menggunakan pemetaan ECU yang mengorbankan sedikit prestasi untuk penjimatan bahan api maksimum.

Pengendalian City 2014 kali ini sedikit berbeza daripada City 2009 milik adik saya. Sterengnya agak berat sedikit, tidak seperti stereng City 2009 yang terlalu ringan bagi sesetengah pemandu. Pemberatan stereng kuasa elektrik (EPS) yang digunakan kali ini berkadaran dengan kelajuan enjin sebagai mana stereng kuasa hidraulik, hasil teknologi EPS mudah suai - di kawasan bandar, stereng tersebut cukup ringan dan lincah, tetapi pada kelajuan tinggi pula ia memberat sedikit untuk kestabilan pemanduan. Mengenai brek pula, pada mulanya saya begitu skeptikal akan rasional Honda menggunakan brek gelendong belakang berbanding brek cakera belakang yang digunakan pada Citu generasi sebelumnya, tetapi setelah mencubanya sendiri saya tarik balik kata-kata saya tersebut. Kuasa membrek City 2014 kali ini lebih lembut sedikit daripada pendahulunya tetapi lebih kuat daripada Proton Persona. Jadi tak adalah teruk sangat bukan? Cuma saya ingin mencadangkan kepada Honda Malaysia agar menggunakan tayar-tayar yang lebih lebar sedikit (seperti 195/55 - R16) agar pengendaliannya lebih stabil di selekoh.

Secara kesimpulannya, saya semakin menyukai Honda City generasi keenam ini setelah mencubanya sendiri. Ia sememangnya kereta subpadat terbaik dalam kelasnya, dengan pelbagai ciri-ciri hebat seperti enam beg udara, radio dan penyaman udara kawalan skrin sentuh, serta salur penyaman udara belakang diterapkan di dalamnya, yang selama ini hanya ada pada kereta-kereta mewah. Sungguhpun demikian, Honda berjaya menurunkan harga City Gred V ini sehingga menjadi lebih murah daripada City 2009 Gred E. Maka, sudah tentulah City Gred V merupakan pembelian yang paling berbaloi dengan harganya, tetapi anda perlu sabar menunggu kerana City Gred V ini sangat laris seperti pisang goreng panas. Perkembangan sebegini sudah tentu menjadikan Honda berjaya merampas takhta kereta subpadat bukan nasional terlaris di Malaysia yang selama ini dipegang oleh Toyota Vios. Jadi, datanglah beramai-ramai ke Kah Motor Selayang ataupun mana-mana pusat servis Honda yang berhampiran anda dan sertailah pesta memburu nikmat pemanduan dengan memandu uji sendiri Honda City terbaru ini.

Laman web rasmi: http://www.honda.com.my
Laman Facebook Kah Motor Selayang: Klik sini

Spesifikasi Honda City 2014 Gred V

Enjin: L15A7 SOHC 16 injap 4 silinder 4 lejang i-VTEC 1.5 liter sejukan cecair
Sesaran: 1,497 cc
Lubang x lejang: 73 x 89.4 mm
Nisbah mampatan: 10.3:1
Kuasa kuda: 120 PS @ 6,600 rpm
Tork: 145 N-m @ 4,600 rpm
Jarak roda: 2,600 mm
Berat kering: 1,106 kg
Muatan tangki bahan api: 40 liter

Apa yang saya suka
  1. Pakej harga yang paling berbaloi dengan sebegitu banyak ciri ditawarkan
  2. Dilengkapi VSA dan 6 biji beg udara
  3. Salur penyaman udara di belakang serta kawalan penyaman udara jenis panel sentuh
  4. 8 biji pembesar suara bagi kepuasan sistem audio maksimum
  5. Enjin yang paling berkuasa dalam kelasnya serta terbukti sangat jimat minyak kini jadi semakin jimat
  6. Ada varian hibrid yang bakal menjadi antara kereta hibrid paling seronok untuk dipandu
Apa yang saya tidak suka
  1. Tiada paddle shifter walaupun pada Gred V - lebih baik tunggu Honda City Hybrid jika mahukan paddle shifter
  2. Tempoh menunggu yang sangat lama - tapi kalau nak barang baik kenalah banyak bersabar, betul tak...?







Bahagian hadapan Honda City 2014 Gred V






Pandangan bahagian tepi






Enjin L15A7 1.5 liter SOHC i-VTEC dari City generasi kelima masih digunakan tetapi ditambah baik untuk disesuaikan dengan CVT Earth Dreams






Rekaan meter City geenrasi keenam menampilkan sedikit design cues dari generasi kelima






Gabungan jeritan Chester Bennington serta gorengan gitar yang ganas dan bertenaga, di samping sistem multimedia skrin sentuh dengan lapan pembesar suara terkini, menghasilkan bunyi-bunyian yang padu, jitu dan mantap






Honda City 2014 Gred V memang terbaik...!!!

No comments:

Post a Comment