Friday, July 26, 2013

Sejarah Jambatan Sultan Ismail FT5 di Muar / The history of Sultan Ismail Bridge FT5 in Muar

Salam sejahtera,

Kali ini, Blog Jalan Raya Malaysia amat berbesar hati untuk berkongsi sejarah awal bagi jambatan pertama Muar iaitu Jambatan Sultan Ismail FT5. Terima kasih kepada blog Muzium Muar kerana sudi mendokumentasikan sejarah awal jambatan tersebut untuk dikongsi bersama-sama para pembaca.

Terdapat beberapa sejarah awal mengenai jambatan ini yang rata-rata di kalangan kita tidak sedari. Misalnya, jambatan ini merupakan jambatan tol kedua di Malaysia selepas Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 di Kota Bharu. Selain itu, tiga bulatan utama di Muar iaitu Bulatan Bentayan (dikenali sebagai Bulatan Bakri semasa Jambatan Sultan Ismail FT5 baru dibuka), Bulatan Sulaiman dan Bulatan Khalidi yang pernah saya sebutkan dalam entri laluan FT5 di Muar juga sebenarnya turut dibina pada masa itu. Selain itu, persimpangan antara Jalan Maharani, Jalan Salleh J32, Jalan Bakri FT5 dan Jambatan Sultan Ismail FT5 asalnya merupakan bulatan sebelum ia ditukarkan menjadi simpang empat. Selain itu, jambatan ini juga dibina serentak dengan Jambatan Peserai FT5 di Batu Pahat, juga dibina oleh kontraktor yang sama iaitu Wing Co. Ltd. dan Development Services Ltd.



(Sempena Ulangtahun ke-46 Perasmian Jambatan Sultan Ismail Muar pada 16 April 1967)

Jambatan Sultan Ismail berhampiran Laman Maharani sekarang

Jambatan Sultan Ismail merupakan jambatan pertama yang dibina merentangi Sungai Muar yang menghubungkan Bandar Maharani dengan Tanjung Agas.

Sebelum pembinaan jambatan ini, penduduk yang ingin ke Seberang (panggilan untuk ke Tanjung Agas dan Melaka) terpaksa menyeberangi Sungai Muar menggunakan kemudahan feri yang dipanggil Penambang. Penambang atau feri ini mula beroperasi sekitar tahun 1890 sejak Muar dibuka dengan rasmi oleh Almarhum Sultan Abu Bakar.

Oleh kerana pembangunan pesat ketika itu, Penambang dirasakan tidak dapat menampung kenderaan yang ingin menyeberang Sungai Muar. Perjalanan menggunakan feri ini agak memakan masa malah membahayakan terutamanya pada musim banjir. Oleh itu, cadangan telah dibuat untuk membina sebuah jambatan yang akan menghubungkan Bandar Muar ke Tanjung Agas dan Melaka.

Sejarah

Pada asalnya, kerajaan hanya bercadang untuk membina jambatan merentangi Sungai Batu Pahat sahaja. Tetapi setelah menerima desakan dari penduduk Muar, maka kerajaan menambah cadangan membina jambatan bagi Muar dan Batu Pahat. Cadangan untuk membina kedua-dua jambatan itu telah dimasukkan di dalam Rancangan Malaya Kedua (1961-1966)oleh Jabatan Kerja Raya dan diumumkan oleh Menteri Kerjaraya ketika itu, Tun V.T Sambanthan.

Kerajaan kemudiannya telah membuka pelawaan tender pada tahun 1960 dan menerima 25 tender dari 10 firma yang berminat di mana dua daripadanya merupakan syarikat dari Perancis yang berpangkalan di sini. Kerajaan terpaksa menunggu hampir 4 tahun bagi mendapatkan pembiayaan bagi membina jambatan tersebut.

Akhirnya, pada bulan Julai 1964 kerajaan telah mengumumkan dua buah syarikat tempatan iaitu Wing Co. Ltd dan Development Services Ltdtelah memenangi tender berjumlah RM5.2 juta bagi kedua-dua buahjambatan Muar & Batu Pahat.

Kos Pembinaan

Pada mulanya, kerajaan menganggarkan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi pembinaan kedua-dua buah jambatan tersebut dan akhirnya kerajaan berjaya mendapatkan pembiayaan sebanyak RM9 juta hasil pinjaman dari Chase Manhattan Bank.

Bagi Jambatan Sultan Ismail Muar, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3.25 juta bagi kerja-kerja pembinaannya. Kerja-kerja pembinaanya telah dimulakan pada penghujung tahun 1965 dan siap sepenuhnya pada awal tahun 1967. Ianya dibina hanya 1.5 kilometerdari Tangga Batu iaitu Terminal Feri Penambang Muar.


Tangga Batu, terminal feri Penambang Muar

Kerja-kerja Pembinaan

Jambatan sepanjang 1,264 kaki (385 meter) dibina dengan keluasan 24 kaki (7 meter) bagi lorong kenderaan, 8 kaki (2 meter) bagi laluan motosikal/basikal, dan 5 kaki bagi lorong pejalan kaki. Ianya boleh menampung bebanan sebanyak 500 tan bagi setiap 100 kaki (30 meter).

Bagi menyiapkan jambatan ini, 4 pontun digunakan untuk membawa pembancuh konkrit, simen, pasir dan kren setinggi 120 dengan lif seberat 50 tan di mana sebanyak 2 buah jeti dibina khusus untuk memuatkan acuan rasuk konkrit.

Kerja-kerja memasang rasuk konkrit (Sumber : Akhbar The Straits Times Singapura)

Jambatan tersebut dibina di atas 48 cerucuk besi khas yang diimport dari Jerman dan diperkuat dengan 82 cerucuk konkrit. Dianggarkan lebih daripada 9,000 meter padu konkrit dan 2100 tan keluli serta tenaga kerja sebanyak 130 orang telah digunakan ketika pembinaan jambatan tersebut.

Dengan pembinaan jambatan ini, pengguna jalan raya dari Johor Bahru ke Melaka ketika itu telah menjimatkan lebih kurang 64 km berbanding melalui jalan Segamat-Tangkak-Jasin.

Bulatan Jalan Yahya berhampiran Padang Nyiru (sekarang bulatan ini telah digantikan dengan lampu isyarat)

Untuk menangani kebanjiran lalulintas akibat dari pembinaan jambatan tersebut, 4 buah bulatan (roundabout) telah dibina dengan kos sebanyakRM1 juta iaitu Bulatan Jalan Yahya, Bulatan Jalan Bakri, Bulatan Jalan Sulaiman dan Bulatan Jalan Khalidi.

Perasmian

DYMM Sultan Johor Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim sedang menarik tirai merasmikan Jambatan Sultan Ismail

Jambatan Muar telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Johor Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim pada hari Sabtu 16 April 1967  jam 10.30 pagi dan dinamakan secara rasmi sebagaiJambatan Sultan Ismail. Perasmian tersebut telah disaksikan oleh ribuan rakyat yang pertama kali dibuka dan dapat menyeberangi Sungai Muar menggunakan jambatan tersebut.

Orang ramai membanjiri sekitar Jambatan Sultan Ismail selepas pembukaannya pada 16 April 1967.

Sejurus dengan perasmian jambatan tersebut, perkhidmatan feri atauPenambang Muar telah ditamatkan berkuatkuasa tengah malam Jumaat 15 April 1967.

Tol

Jambatan Sultan Ismail Muar merupakan jambatan kedua di Malaysia ketika itu yang mempunyai tol selepas Jambatan Yahya Petra di Kelantan. Sebuah plaza tol berharga RM80,000 telah dibina di Tanjung Agas bagi mengutip tol bagi menampung kos pembinaan jambatan tersebut.

Tol Jambatan Sultan Ismail (1974) berhampiran Kawasan Perindustrian Tanjung Agas

Pada mulanya, kerajaan mengumumkan bahawa harga tol yang dikenakan adalah sebanyak RM0.25 bagi motosikal, RM0.75 bagi kereta dan RM1.75 bagi kenderaan berat seperti lori dan bas.

Selepas pembukaanya harga tol telah dinaikkan kepada RM0.50 bagi motosikal, RM1.50 bagi kereta dan teksi manakala RM3.50 bagi kenderaan berat seperti lori dan bas. Ini telah mengundang bantahan dari penduduk terutamanya pengusaha bas dan teksi di mana pada mulanya mereka memulaukan penggunaan jambatan tersebut.

Setelah pelbagai bantahan dibuat terutamanya daripada peniaga dan sektor industri, maka mulai 1 Julai 1971, Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengumumkan pengurangan tol kepada RM0.50 bagi kereta dan RM1.00 bagi kenderaan berat seperti lori dan bas manakala bagi pengguna motosikal ianya adalah percuma.

Kemudian pada suatu lawatan Allahyarham Tun Abdul Razak ke Muar pada Mei 1975, beliau mengumumkan bahawa tol yang dikenakan bagi Jambatan Sultan Ismail Muar telah dimansuhkan.

Bersejarah

Pada 25 November 2012, bersempena Sambutan Hari Keputeraan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar serta Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja,buat pertama kali dalam sejarah, selepas 45 tahun dibuka untuk lalulintas, Jambatan Sultan Ismail telah ditutup selama lebih kurang 12 jam bermula 3 petang hingga 5 pagi.

Papantanda pemberitahu Jambatan Sultan Ismail ditutup sementara

Penutupan jambatan tersebut bagi membolehkan rakyat jelata menyaksikan acara perarakan bot berhias dan pertunjukan bunga api di Jambatan Sultan Ismail. Selain acara tersebut, pelbagai gerai telah dibuka bagi membolehkan orang ramai bersantai di atas jambatan tersebut.

DYMM Sultan Ibrahim juga telah mencemar duli bersama-sama rakyat jelata menyaksikan acara perarakan bot berhias di atas jambatan tersebut.

Orang ramai tidak melepaskan peluang bersantai di atas Jambatan Sultan Ismail yang mula dibuka kepada orang ramai mulai jam 5 petang hingga tengah malam. 
 
Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim bersama-sama Menteri Besar Johor & Ketua Polis Johor serta rakyat jelata bersantai di atas Jambatan Sultan Ismail



Sumber: Muzium Muar

1 comment: