Monday, January 6, 2014

Analisis Lebuh Raya Cadangan: EKVE, SUKE dan DASH - apa yang tidak kena...? / Proposed Expressway Analysis: EKVE, SUKE and DASH - what went wrong...?

Salam sejahtera,

Sempena dengan Tahun Baru 2014 ini, saya akan membawakan kepada anda analisis beberapa lebuh raya yang dicadangkan pembinaannya, hasil daripada cadangan oleh seorang pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia iaitu Saudara oni.asyraf. Sebagai pembuka tirai kepada segmen baharu ini, saya akan mulakan dengan menganalisis tiga buah lebuh raya yang dicadangkan iaitu Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE), Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) dan Lebuhraya Shah Alam-Damansara (DASH).




Jajaran EKVE




Peta skematik sistem Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR)


Kita mulakan dengan analisis bagi EKVE terlebih dahulu. EKVE adalah komponen terakhir yang masih belum dibina bagi melengkapkan rangkaian Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR). Komponen-komponen bagi KL ORR adalah seperti berikut:-
  1. Lebuhraya Latar E25 (Taman Rimba Templer-Kuang)
  2. Lebuhraya Guthrie E35 (Kuang-Shah Alam)
  3. Lebuhraya Elite E6 (Shah Alam-Saujana Putra)
  4. SKVE E26 (Saujana Putra-Universiti Tenaga Nasional)
  5. Lebuhraya Kajang Silk E18 (Universiti Tenaga Nasional-Sungai Long)
  6. EKVE (Sungai Long-Sungai Pusu)

Sebanyak 6 persimpangan bertingkat bakal dibina di sepanjang EKVE:-
  1. Persimpangan UIA (dihubungkan ke Lebuhraya Karak E8/FT2)
  2. Persimpangan Ukay Perdana (dihubungkan ke Persiaran Ukay Perdana dan KL MRR2 FT28
  3. Persimpangan Ampang (dihubungkan ke Jalan Ampang B31)
  4. Persimpangan Hulu Langat (dihubungkan ke Jalan Hulu Langat B52)
  5. Persimpangan Bandar Mahkota Cheras (dihubungkan ke Persiaran Cheras Mahkota 1)
  6. Persimpangan Sungai Long (dihubungkan ke Lebuhraya Kajang Silk E18)

Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.




Sila rujuk kepada peta di dalam Laporan Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi EKVE ini. Apa yang tidak kena pada jajaran EKVE ini? Terdapat beberapa kecacatan reka bentuk utama dalam pembangunan EKVE sehingga membawa kepada penentangan orang ramai terutamanya penduduk di kawasan terlibat. Kecacatan yang didapati dalam rekaan EKVE adalah seperti berikut:-
  1. Hampir keseluruhan jajaran EKVE melalui kawasan hutan simpan di sepanjang kaki Banjaran Titiwangsa, seperti Hutan Simpan Gombak, Hutan Simpan Ampang dan Hutan Simpan Hulu Langat. Maka, pembinaan EKVE memerlukan banyak hutan yang ditebang dan dibersihkan. Akibatnya, hedupan liar kehilangan habitat, manakala pengguna kenderaan pula terpaksa berdepan dengan ancaman tanah runtuh. Syarikat konsesi yang merancang pembinaan EKVE ada mencadangkan pembinaan terowong bagi meminimakan kesan kemusnahan hutan, tetapi ia masih belum mencukupi kerana terlalu pendek.
  2. Jalan Ampang B31 perlu dilebarkan bagi jajaran ke Bukit Belacan, tetapi ia turut bermaksud memusnahkan Kampung Lembah Jaya. Untuk pengetahuan anda, jajaran dari Persimpangan Taman Putra sehingga ke penghujungnya di Bukit Belacan merupakan jalan raya dua lorong. Selain itu, pelebaran Jalan Ampang B31 dari Kampung Lembah Jaya sehingga ke Persimpangan Jalan Ampang turut bermaksud Hutan Rekreasi Bukit Belacan, Ampang bakal dimusnahkan.
  3. Jajaran EKVE turut melintasi Permatang Kuartza Klang Gates sepanjang 16 km, permatang kuartza terpanjang di dunia. 5 daripada 265 spesies tumbuh-tumbuhan yang hidup di kawasan tersebut tidak dapat ditemui di mana-mana tempat lain di dunia. Maka, pembinaan EKVE sudah tentunya bakal memusnahkan warisan geologi dan kepelbagaian spesies flora dan fauna di kawasan tersebut.
  4. Barangkali kecacatan reka bentuk terbesar pada EKVE ialah persimpangan penamatnya di Lebuhraya Karak E8/FT2 dekat Sungai Pusu berhampiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Ia terlalu hampir dengan Plaza Tol Gombak dan seterusnya menambah beban di plaza tol tersebut yang memang sudah sedia sesak terutamanya pada musim perayaan dan seterusnya menyesakkan KL MRR2 FT28 di Batu Caves. Rekaan sebegini jelas menunjukkan seolah-olah syarikat konsesi begitu pemalas dan mengambil jalan mudah yang bukan sahaja menjadikan sistem KLORR tidak lengkap malah menyesakkan jalan-jalan sedia ada.




Ringkasan ancaman alam sekitar di sepanjang EKVE (kredit: The Star)


Seterusnya mari kita tinjau pula analisis bagi SUKE pula. SUKE dikatakan dibina bagi mengurangkan kesesakan KL MRR2 FT28 (?) terutamanya di sepanjang jajaran dari Ulu Klang sehingga ke Sri Petaling di mana kadar aliran trafik adalah yang tertinggi.




Cadangan jajaran SUKE


Jika diperhatikan pada peta cadangan jajaran laluan, ia seolah-olah menunjukkan bahawa SUKE tidak mengambil pengajaran daripada kegagalan sistem rangkaian lebuh raya ekspres Lembah Klang bagi menangani kesesakan, sebaliknya hanya menyumbang kepada kesesakan yang lebih teruk dalam masa tidak sampai 5 tahun. Tambah memburukkan keadaan, SUKE menggunakan sebahagian KL MRR2 FT28 sebagai sebahagian laluannya, menyebabkan SUKE nanti bukan sahaja gagal mengurangkan kesesakan FT28, tetapi juga menambah beban kepada FT28 dan juga Lebuhraya Shah Alam E5. Maka, tidak hairanlah mengapa boleh dikatakan rata-rata penduduk di sekitar Ampang, Pandan Indah dan Cheras menolak sekeras-kerasnya projek lebuh raya tersebut.




Empat jajaran pilihan bagi DASH




Jajaran terkini yang dipilih bagi DASH


Kes yang sama juga turut berlaku bagi cadangan projek DASH dari penamat Lebuhraya Sprint (Penchala Link) E23 di Exit 2316 Persimpangan Penchala. Tidak seperti jajaran SUKE yang tiada jajaran alternatif setelah menerima bantahan penduduk, DASH pula sudah bersiap sedia dengan 4 pilihan jajaran sekiranya menerima bantahan penduduk.

Sungguhpun demikian, keempat-empat jajaran pilihan bagi DASH kesemuanya berkongsi kelemahan yang sama:-

  1. Keempat-empatnya menggunakan sebahagian jajaran Jalan Batu Tiga-Subang-Sungai Buloh FT3214/FT15
  2. Keempat-empatnya berakhir di Jalan Batu Arang B49, maka kesemuanya melalui kawasan perumahan pinggir Subang dan seterusnya mencabuli ketenangan kawasan tersebut
  3. Jarak antara persimpangan di sepanjang jajaran yang melalui FT3214 adalah terlalu rapat
  4. Keempat-empatnya bermula di LDP E11 dan menambah parah masalah kesesakan LDP E11 yang sudah sedia kronik

Kesimpulannya, ketiga-tiga projek lebuh raya baharu ini ditolak penduduk Lembah Klang berikutan terdapat sebegitu banyak kecacatan reka bentuk, sama ada dari segi kesan alam sekitar mahupun kecacatan reka bentuk fizikal (guna jalan arteri sedia ada, jarak antara persimpangan terlalu rapat, dsb.) Kesemuanya berpunca daripada kegagalan perancangan pembangunan holistik di Lembah Klang. Cuba kaji kembali, kenapa lebuh raya seperti Lebuhraya Persekutuan FT2, Lebuhraya Baru Lembah Klang E1, Lebuhraya Shah Alam E5, Lebuhraya Lembah Klang Selatan E26 dan Lebuhraya Elite E6 boleh dibina dengan sebegitu sempurna tanpa mencabuli keperluan kawalan masuk penuh sebagaimana beberapa projek "mi segera" seperti LDP E11...? Lebuh raya tersebut adalah hasil perancangan teliti yang dibuat sekian lama hasil kerja sama badan-badan dalam kerajaan persekutuan seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT). Namun, apa yang berlaku sekarang adalah berpunca daripada pembangunan tidak tarancang oleh para penyangak hartanah yang sekadar mementingkan keuntungan semata-mata, di samping dasar pembangunan pengangkutan yang begitu lemah.

12 comments:

  1. Nak tanya, highway apa yang tgh dibuat dari pandan jaya, melalui pinggir tmn shamelin, maluri(ada pondok tol kalau tak salah. Tembus ke mana tu saya tak tahu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lebuh raya yang sedang dibina di situ ialah Lebuhraya Sambungan Besraya (BEE) E9.

      Delete
  2. Jalan Batu Tiga-Sungai Buloh bukanlah FT15 dan FT3214 tetapi ianya adalah B9. Hampir keseluruhan jalan itu telah di bahagikan oleh pembahagi jalan kecuali di Bukit Subang. Di situ, rumah dan segala bentuk bangunan diletakkan berdekatan dengan jalanraya itu. Maka susahlah untuk menaiktarafnya. Tetapi, DASH pasti akan memintasnya dengan menggunakan jambatan jadi ianya tiada masalah dan B9 pasti tidak akan hilang jalannya. Dan saya rasa, ianya lebih baik untuk diakhiri/dimulai di Kayangan Heights. Saya memang tidak setuju dengan EKVE dan SUKE. EKVE akan memusnahkan alam sekitar. SUKE mengambil hampir setengah bahagian dari MRR2. Baik buat Jambatan dari DUKE ke Sri Petaling terus daripada kena bayar tol dan pusing jauh-jauh.

    ReplyDelete
    Replies
    1. B9 itu kod laluan lama bagi Jalan Subang-Batu Tiga. Ia sudah pun diwartakan sebagai FT3214, bersama-sama dengan Persiaran Kuala Selangor sehingga ke salah satu penamat LDP E11 di Persimpangan USJ. Harap maklum.

      Delete
  3. salam,apa nama company yg nk bangunkan highway DASH ni?tq

    ReplyDelete
  4. Syarikat konsesi bagi SUKE dan DASH ialah Prolintas.

    ReplyDelete
  5. salam..mohon analisis cadangan jajaran lebuhraya pantai barat (WCE),setahu saya ia akan guna sebahagian jajaran FT5 dari sitiawan ke tanjung karang..tq

    ReplyDelete
    Replies
    1. Insya-Allah saya akan cuba menganalisis jajaran Lebuhraya Pantai Barat tersebut dalam masa terdekat.

      Delete
  6. Salam.. adakah DASH akan dilaksanakan? Kebanyakan kawasan kediaman tumbuh mcm cendawan di kwsn P.Perdana, Elmina 8 dan Subang Bestari?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setakat ini masih dalam proses perancangan berikutan bantahan oleh penduduk di sepanjang jajaran DASH tersebut.

      Delete
  7. Salam.. adakah hgway EKVE akan diteruskan atau sebaliknya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Proobably yes, I can assume the highway itself take 11 years to complete due to destroy forest environment itself, I hate to hear that but I can’t do anything about it :(

      Delete