Salam sejahtera,
Sejarah penggunaan skuter di Malaysia bermula dengan pengenalan model skuter Vespa dan Lambretta yang popular pada tahun-tahun 1960an sehingga menjadi ikon muzik Pop Yeh Yeh. Sungguhpun demikian, sejarah motosikal skuter keluaran Yamaha di Malaysia bermula dengan model Yamaha Passola yang dilengkapi enjin 2 lejang 50 cc, mula dikeluarkan pada tahun 1980. Ia sememangnya menarik perhatian warga kota kerana menggunakan transmisi automatik - hanya putar kunci, hidupkan enjin, dan terus pulas pendikit untuk bergerak. Namun, memandangkan ia menggunakan enjin kecil dua lejang 50 cc, maka skuter ini begitu perlahan dan hanya sesuai digunakan di dalam bandar. Tambahan pula, model skuter Passola yang dijual di Malaysia tiada penghidup elektrik, memaksa penunggang menggunakan tongkat tengah dan menggunakan penghidup tendang untuk menggunakannya. Akibatnya, motosikal kapcai terus kekal mendominasi pasaran motosikal di Asia Tenggara termasuklah Malaysia.
Pada tahun 1990an, skuter-skuter keluaran Suzuki pula yang mendominasi pasaran skuter di Malaysia. Bermula dengan model Suzuki V100 dengan enjin 2 lejang 100 cc, ia mula mempopularkan kembali penggunaan skuter melalui penggunaan transmisi automatik boleh laras berterusan (CVT) serta dilengkapi penghidup elektrik sebagai ciri standard. Demam skuter berterusan melalui pengenalan model VS125 yang ditenagai enjin 125 cc 4 lejang yang lebih mesra alam. Budaya skuter turut membawa kepada trend pemasangan sistem audio seakan kereta yang membingitkan sehingga membawa kepada pengharamannya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Dalam masa yang sama, Yamaha membawa masuk model skuter maksi pertama yang dipasang di Malaysia iaitu Yamaha Majesty 250. Malangnya, harganya yang mahal akibat cukai-cukai import dan eksais yang terlampau mencekik darah itu menyebabkan ia kurang popular.
Tirai 2000an dibuka dengan lambakan skuter-skuter murah dari China. Harga skuter-skuter tersebut yang sangat murah menjadi ancaman kepada Suzuki yang selama ini tiada pencabar langsung. Namun, pengguna skuter-skuter murah tersebut sering berdepan dengan masalah kualiti yang serius seperti kegagalan pramatang enjin, kerosakan modul penyalaan nyahcas kapasitor (CDI), lampu-lampu yang cepat kusam, dsb. menyebabkan banyak pengedar skuter klon murahan yang gulung tikar.
Dalam masa yang sama, Modenas mula mengeluarkan skuter buatannya sendiri hasil usaha sama dengan PGO (bagi model Karisma, Elit, Ceria dan Passion) dan SYM (bagi model Elegan dan Elegan 200). Honda pula mula mengeluarkan model skuter Click 110 (sejukan air), diikuti Icon 110 (sejukan udara) dan yang terkini adalah Spacy. Sementara itu, Yamaha pula menubuhkan satu pasukan R&D bagi menghasilkan model skuter hasil pemerhatian mereka terhadap gaya tunggangan penunggang motosikal di Asia Tenggara. Hasilnya ialah Yamaha Nouvo AT115 dan diikuti dengan Yamaha Mio (dikenali di Malaysia sebagai Yamaha Ego).
Yamaha Nouvo AT115 mula dikeluarkan pada April 2002 di Malaysia sebelum mula diperkenalkan di negara-negara lain. Ia kelihatan seperti motosikal kapcai biasa kerana menggunakan tayar 16 inci, seinci lebih kecil sedikit daripada tayar motor kapcai biasa iaitu 17 inci. Namun, jika diperhatikan dengan lebih teliti, ia sebenarnya sebuah skuter sejati dengan transmisi CVT, dibuktikan melalui kotak CVT di sebelah belakang kiri. Bahagian kerangka boleh langkah yang menjadikannya kelihatan seperti sebuah kapcai itu sebenarnya menempatkan penapis udara dan karburetor. Penggunaan roda-roda besar 16 inci itu membolehkan Nouvo mencatatkan penggunaan minyak yang lebih kurang sama seperti motor kapcai biasa, menjadikan Nouvo sebagai skuter bawah 125 cc paling jimat minyak. Model facelift dikeluarkan pada tahun 2006, dikenali sebagai Yamaha Nouvo S.
Kejayaan Yamaha Nouvo membawa kepada penghasilan Yamaha Ego pada Ogos 2004 yang menggunakan enjin 115 cc yang sama seperti Nouvo tetapi dengan roda bersaiz 14 inci serta rupa bentuk skuter sejati. Ia juga sangat jimat minyak, kalah hanya di belakang Nouvo sahaja. Namun, rekaannya yang comel itu menjadikan Ego sebagai antara model skuter paling banyak dicuri. Sehubungan dengan itu, model facelift Ego yang diperkenalkan pada tahun 2007 turut menyertakan penutup slot kunci sebagai perlindungan tambahan daripada pencuri.
Permintaan yang semakin menggalakkan bagi kedua-dua model sudah tentunya bermaksud terdapat permintaan tinggi bagi pilihan enjin yang lebih berkuasa. Maka, Hong Leong Yamaha memperkenalkan Nouvo LC yang ditenagai enjin 4 lejang 135 cc sejukan air pada tahun 2008, diikuti dengan Ego LC yang menggunakan enjin 125 cc sejukan air pada tahun 2010. Sementara pengeluaran Nouvo S dihentikan bagi memberi laluan kepada Nouvo LC, Ego S pula terus dijual bersama-sama Ego LC.
Pada 18 Disember 2013, Hong Leong Yamaha melancarkan model generasi ketiga bagi Yamaha Ego S. Ego S kali ini turut dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api bagi menggantikan karburetor. Pengenalan Ego S terbaru ini menjadikannya sebagai model motosikal bawah 150 cc ketiga yang menggunakan pancitan bahan api, iaitu selepas Yamaha FZ150i dan Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection. Namun, sistem pancitan yang digunakan dalam Ego S kali ini adalah berbeza daripada yang digunakan pada pada Lagenda Fuel Injection - Lagenda menggunakan sistem YEC_FI, manakala Ego S pula menggunakan sistem YMJET_FI.
Gambar rajah sistem pancitan bahan api YMJET_FI
Perbandingan corak pancitan antara sistem konvensional (termasuk YEC_FI) dengan YMJET_FI
Apa itu sistem YMJET_FI...? Sementara sistem YEC_FI merupakan sistem pancitan konvensional yang menjanjikan peningkatan kuasa dan tork lebih tinggi, YMJET_FI pula lebih menumpukan kepada penjimatan bahan api. Bagaimana penjimatan bahan api lebih baik boleh dicapai...? Ia dicapai melalui penggunaan salur udara tambahan bagi menghasilkan "pusaran" udara-bahan api. Prinsip sebegini adalah sama seperti enjin CVCC yang digunakan pada Honda Civic terawal.
Sementara YEC_FI menggunakan hanya satu injap pendikit, YMJET_FI pula menggunakan dua injap pendikit. Terdapat satu salur udara (sub-port) yang terletak di antara dua injap pendikit tersebut pada badan pendikit. Hujung yang satu lagi pula disambungkan pada rongga masukan, berdekatan dengan pemancit bahan api. Pada kelajuan rendah, injap pendikit sekunder tertutup manakala injap pendikit primer terbuka sedikit. Maka, udara akan lebih banyak memasuki sub-port daripada salur utama, menghasilkan aliran udara berkelajuan tinggi bertekanan tinggi (lapisan nipis), manakala aliran udara pada salur utama pula begitu perlahan dan bertekanan rendah (lapisan tebal). Pemancit bahan api pula memancitkan bahan api pada tekanan 250 kPa. Hasilnya, satu pusaran campuran udara-bahan api terbentuk, menghasilkan lapisan nyata antara campuran udara-bahan api (lapisan tebal) dengan lapisan nipis. Seterusnya, pusaran udara-bahan api tersebut menolak lapisan tebal ke palam pencucuh. Bunga api dari palam pencucuh membakar lapisan tebal terlebih dahulu, diikuti lapisan nipis.
Pada kelajuan tinggi pula, kedua-dua injap pendikit dibuka. Hanya sedikit sahaja udara melalui sub-port; sebahagian besar udara melalui rongga utama. Hasilnya, udara meluru masuk dengan laju, sekaligus menambah baik kuasa bagi jentera tersebut.
Hasil penggunaan sistem YMJET_FI, penggunaan bahan api semakin berkurangan. Tidak seperti Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection yang menyaksikan peningkatan kuasa kuda yang sangat ketara, angka-angka kuasa bagi Ego pula lebih kurang sama seperti model berkarburetor. Namun, penggunaan bahan api pula dapat dijimatkan sehingga 20%.
Yamaha Ego S YM_JET ini boleh dimiliki dengan harga RM4,918.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans). Ingin tahu apa model pesaingnya? Model pesaing bagi Yamaha Ego S ini sudah tentulah Honda Spacy dan Modenas Passion.
Laman web rasmi: http://www.yamaha-motor.com.my
Laman web rasmi: http://www.yamaha-motor.com.my
Spesifikasi 2014 Yamaha Ego S YMJET_FI
Enjin: 4 lejang SOHC 2 injap silinder tuggal 115 cc
Sesaran: 113 cc
Lubang x lejang: 50 x 57.9 mm
Nisbah mampatan: 8.8:1
Kuasa kuda: 5.98 kW (8.02 PS) @ 8,000 rpm
Tork: 7.53 N-m @ 6,500 rpm
Jarak roda: 1,240 mm
Berat kering: 90 kg
Muatan tangki bahan api: 4.1 liter
Saiz tayar: 70/90-14 M/C 34P (hadapan); 80/90-14 M/C 40P (belakang)
Apa yang saya suka
Apa yang saya suka
- Bentuk badan yang kecil sesuai untuk penunggang wanita
- Enjin pancitan bahan api yang jimat minyak dan mesra alam
- Reka bentuk serba baharu dan menarik
Apa yang saya tidak suka
- Bentuk badannya mungkin kurang sesuai untuk orang yang tinggi lampai atau berbadan besar
- Masih berpotensi untuk dicuri berikutan beratnya yang begitu ringan
Pandangan sisi hadapan 2014 Yamaha Ego S YMJET_FI
Pandangan belakang
Pandangan hadapan
Lampu belakang yang besar dan terang
Panel meter yang ringkas tetapi jelas
Enjin YEC_FI 113 cc serba baru menjadi penggerak kepada Yamaha Ego S ini
Penghidup tendang dan kotak gear CVT. Penghidup tendang ini hanya berguna apabila dalam kecemasan
Kotak barangan ini memang tidak cukup muat sebiji topi keledar, tetapi sekurang-kurangnya ia masih boleh memuatkan peralatan, baju hujan dan sarung tangan
(Semua kredit gambar: motomalaya.net)
very good info..tqvm..cuma nak tegur sikit typo error " Pada 18 Disember 2014,"
ReplyDeleteSaya mohon maaf kerana tersalah taip. Ia sudah pun diperbetulkan. Terima kasih atas teguran.
Deletemaklumat dan review yang menarik mengenai motosikal skuter.. cuma rasanya kena buat pembetulan sikit... rasanya Modenas 118cc produce lebih awal dari lagenda injection dan ego injection ni...
ReplyDeleteModenas 118EFI memang keluar lebih awal daripada Yamaha Lagenda 115Z FI dan Yamaha Ego S YMJET_FI. Tapi saya memang sengaja tulis dengan gaya sebegitu kerana hendak menampilkan mengenai sejarah skuter Yamaha secara khusus.
DeleteHahahaha...memang terbaik admin.. admin sememangnya mempunyai pengetahuan yang luas mengenai dunia motosikal kapcai di Malaysia.. Syabas!!!.. Saya harap admin dapat memberikan sedikit review mengenai motosikal yang legend pada zamannya seperti Yamaha TZM, Honda NSR dengan single swing armnya, dan Suzuki dengan Suzuki Panther Jerung.. Saya juga mencadangkan kepada amin untuk membuat sedikit review ringkas mengenai perbezaan alat ganti tulen dengan alat ganti tiruan bagi motosikal kapcai bagi membantu rider motosikal kapcai membeli barang alat ganti... terima kasih... teruskan usaha!!!!!
DeleteReviu mengenai Yamaha TZM150 sudah ada, anda boleh baca di http://blogjalanraya.blogspot.com/2012/09/yamaha-tzm150-dalam-kenangan-yamaha.html
DeleteSaya ada ego s ni sejak akhir2 ni rosak aja enjin mati dan susah nak start semula pakai manual pun tak boleh hidup dah dua kali kena pomen pun pening kepala Nak cari puncanya
ReplyDeleteTukar coil plug. Kalau jadi jugak tukar cdi. Sepatutnya ok.
Delete