Thursday, January 30, 2014

Nasib industri motosikal elektrik dan hibrid yang tidak menentu / The unknown fate of electric and hybrid motorcycle industry

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina buat para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang terdiri daripada kaum Cina. Sebelum pulang ke kampung, pastikan anda sudah menservis kenderaan anda dan mendapat rehat secukupnya terlebih dahulu. Jangan lupa merujuk jadual nasihat waktu perjalanan lebuh raya agar anda tidak terperangkap dalam kesesakan yang tidak diingini. Sentiasa patuhi undang-undang jalan raya, patuhi had laju dan ingatlah orang yang tersayang.

Hari ini, saya ingin membawakan kepada anda kisah industri motosikal elektrik dan hibrid di Malaysia yang tidak menentu nasibnya kerana kurang mendapat perhatian dan juga pembelaan. Mungkin ramai di antara anda semua yang tidak sedar bahawa Malaysia sebenarnya sudah melahirkan beberapa syarikat pengeluar motosikal dan basikal elektrik dan hibrid yang sewajarnya menjadi kebanggaan negara. Apa tidaknya, sungguhpun Thailand dan Indonesia mendominasi industri automotif Asia Tenggara, namun tidak ada negara lain di Asia Tenggara yang mengeluarkan motosikal elektrik dan hibrid selain Malaysia. Namun, industri motosikal elektrik dan hibrid negara seakan-akan tidak mendapat pembelaan sewajarnya apabila boleh dikatakan saya tidak pernah ada ternampak langsung kelibat motosikal elektrik dan hibrid membanjiri jalan raya Malaysia, terutamanya di Kuala Lumpur. Kenapa boleh jadi begitu...? Apa sebenarnya yang tidak kena pada industri motosikal elektrik dan hibrid negara...?




MZ Charly, antara skuter elektrik terawal yang dibawa masuk di Malaysia


Motosikal elektrik pertama yang saya pernah saksikan di depan mata ialah MZ Charly 2003, keluaran MZ Motorrad- und Zweiradwerk GmbH dari Jerman, antara pengeluar motosikal tertua di dunia. Syarikat tersebut pernah dibeli oleh Hong Leong pada tahun 1996 dan Charly adalah antara model terawal yang dibawa masuk ke Malaysia. Dikuasakan oleh sebiji bateri asid-plumbum 12 volt, MZ Charly ini perlahan sahaja, dengan kelajuan maksimum 40 km/j. Namun, ia sangat comel dan boleh dilipat, membolehkannya disimpan di dalam but kereta. Ia amat mudah ditunggang hatta oleh budak-budak kecil sekalipun, sehinggakan ia pernah cuba hendak diharamkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan daripada digunakan di atas jalan raya, berikutan kegagalannya mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 mengenai definisi "motosikal elektrik" dan "basikal elektrik" - MZ Charly ditakrifkan sebagai "motosikal elektrik" kerana kelajuan maksimumnya lebih daripada 25 km/j, tetapi ia tidak dilengkapi lampu-lampu isyarat yang diwajibkan sesuai dengan statusnya sebagai motosikal elektrik. Namun, MZ kembali malap sehingga membawa kepada penjualannya semula kepada Martin Wimmer, bekas pelumba motosikal Jerman. Sungguhpun beliau cuba hendak menghidupkannya semula, namun nasib malang MZ berterusan apabila Wimmer diisytiharkan muflis pada tahun 2013.




Skuter hibrid Gwheel GW800HB, motosikal hibrid pertama di Malaysia


Setelah begitu lama tiada khabar berita mengenai motosikal elektrik di Malaysia, saya disajikan dengan model skuter hibrid pertama seumpamanya di sebuah pameran produk teknologi hijau di Taman Tasik Titiwangsa (saya lupa tarikh sebenarnya, tapi kalau tak silap saya dalam tahun 2011). Skuter elektrik yang saya maksudkan itu ialah Gwheel Hybrid Scooter 80 cc (GW800HB). Ia merupakan sebuah skuter hibrid selari yang menggunakan enjin 80 cc yang digandingkan dengan motor elektrik pacuan terus (direct drive) 800 W pada roda belakang, Sungguhpun konsepnya sama seperti kereta Honda Insight yang merupakan sebuah kereta hibrid selari, namun sistem kawalan skuter GW800HB ini sangat ringkas - tidak seperti sistem Bantuan Motor Bersepadu (IMA) Honda Insight yang dikawal sepenuhnya oleh Unit Kuasa Pintar secara automatik, skuter GW800HB pula sekadar menggunakan satu suis mod kuasa bagi membolehkan penunggang memilih salah satu daripada 3 mod tunggangan, iaitu mod pacuan enjin petrol, mod pacuan motor elektrik, dan mod gabungan petrol-elektrik. Mod elektrik boleh membawa anda sehingga 40 km/j, manakala mod enjin petrol pula lebih laju sedikit iaitu 55 km/j. Mod hibrid...? Tiada pula angka kelajuan sebenar yang diberi, tetapi saya percaya mungkin sekitar 60-70 km/j. 

Meskipun idea motosikal hibrid ini satu idea yang sangat menarik walaupun kawalannya sangat ringkas dan bukannya automatik seperti Honda Insight, namun sayangnya sehingga sekarang saya tidak pernah nampak walau satu pun model sebegini menakluki jalan raya Malaysia. Mungkin kerana kelajuan maksimum yang terlalu rendah menjadikannya kurang menarik perhatian. Tambahan pula, skuter ini cuma mampu menangani kecerunan maksimum 12%. Semasa mula dikeluarkan pada tahun 2011, syarikat pengeluarnya, Revolution Manufacturing Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Dengkil, Selangor begitu bercita-cita tinggi mahu menguasai sekurang-kurangnya 2% pasaran motosikal Malaysia, tetapi sayangnya sasaran tersebut tidak tercapai. Kini, Revolution Manufacturing sudah pun beralih kepada pengeluaran basikal elektrik yang lebih mendapat sambutan. Tidak seperti MZ Charly yang pernah cuba diharamkan penggunaannya suatu ketika dahulu, basikal-basikal elektrik keluaran Revolution Manufacturing pula dibenarkan penggunaannya oleh JPJ walaupun tanpa lesen memandu kerana kelajuan maksimum bagi mod elektrik dan mod bantuan kayuhan dihadkan kepada 25 km/j sahaja; jika anda mahu lebih laju daripada itu, anda perlu menukar kepada mod kayuhan sepenuhnya dan mengayuh lebih laju.




Motosikal elektrik Eclimo ES11 yang digunakan oleh KFC sebagai motosikal penghantaran makanan


Seterusnya, kita beralih pula kepada model motosikal elektrik yang masih dikeluarkan sehingga sekarang. Motosikal elektrik sepenuhnya yang pertama di Malaysia dikeluarkan oleh Eclimo Marketing Sdn. Bhd. pada tahun 2011. Model sulung mereka, Eclimo ES11, digerakkan oleh motor elektrik 5 kW yang dibekalkan oleh KLD Energy Technologies yang dipasang pada hab roda belakang. Motor ini mampu menghasilkan tork setinggi 100 N-m, satu angka yang sungguh memeranjatkan kerana angka setinggi ini selalunya hanya mampu dicapai oleh kereta 1.2 L. Tork yang sebegitu tinggi ini membolehkan skuter ini mempunyai nisbah penurunan keseluruhan 1:1 (direct drive) dan mampu mencapai kelajuan maksimum 80 km/j. Eclimo ES11 menggunakan pek bateri litium-ion 60 V yang mempunyai kitaran cas semula 1,000 kali, membolehkan motosikal bergerak sejauh 100 km pada kelajuan 50 km/j bagi sekali cas. Masa mengecas pula ialah 3 jam melalui plag 3 pin 13A biasa. Kesemua motosikal keluaran Eclimo dipasang oleh Naza Bikes di Shah Alam. Namun, harganya yang sangat mahal (lebih kurang RM10,000 seunit) di samping ketiadaan infrastruktur mengecas motosikal elektrik menyebabkan begitu sukar untuk mencari skuter ini di atas jalan raya. Namun demikian, nasib Eclimo mula berubah setelah KFC Malaysia mula membeli 50 unit motosikal elektrik Eclimo ES11 sebagai kenderaan penghantaran makanan dan merancang untuk membeli lebih banyak lagi sebagai langkah menggalakkan penggunaan motosikal elektrik sebagai kenderaan penghantaran makanan.




Modenas CTric, motosikal elektrik termurah dan mampu dimiliki sesiapa sahaja





Seterusnya, Modenas juga ada mengeluarkan motosikal elektrik mereka sendiri iaitu Modenas CTric yang diasaskan dari siri Modenas CT sedia ada. Mula dikeluarkan pada tahun 2011, ia dikeluarkan hasil kerjasama Modenas dengan Universiti Sains Malaysia. Modenas CTric pula menggunakan motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 3.6 kW (diratifikasikan kepada 1 kW) dan tork 9.0 N-m, sekaligus mampu menghasilkan kelajuan maksimum antara 70-80 km/j. Harganya juga mampu milik, iaitu RM4,755.00, hasil penggunaan bateri nano-gel yang lebih murah. Sungguhpun Modenas mendakwa sebanyak 800 unit ditempah pada bulan pertama pengeluarannya, namun saya tidak pernah terserempak dengan mana-mana pengguna Modenas CTric di sekitar Kuala Lumpur.

Jadi apa yang menjadikan industri motosikal elektrik dan hibrid kurang mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya...? Berikut adalah punca-puncanya:-
  1. Ketiadaan infrastruktur mengecas - Punca utama kenapa motosikal elektrik kurang mendapat sambutan ialah berikutan ketiadaan infrastruktur khas bagi mengecasnya. Di sekitar Kuala Lumpur sendiri pun memang tiada parkir khas yang dilengkapi soket kuasa bagi mengecas motosikal - langsung tak ada...!!! Kalau bernasib baik, ada jugalah kedai-kedai yang mempunyai soket di luar premis mereka, yang memerlukan penunggang memparkir motosikal di kaki lima dan di siar kaki untuk mengecas, mendedahkan mereka kepada risiko motosikal mereka bakal diangkut oleh pihak berkuasa tempatan. Nak mengecas di rumah pun, nak mengecas di mana kalau tinggal di pangsapuri ataupun rumah kedai...? Pihak berkuasa tempatan pun bukannya ada membina parkir khas untuk motosikal elektrik yang dilengkapi soket pengecas. Jadi bagaimana hendak menggalakkan penggunaan motosikal elektrik yang mesra alam kalau nak mengecas pun tiada tempat...?
  2. Limitasi teknikal motosikal elektrik itu sendiri - Memandangkan saiz fizikal motosikal elektrik yang kecil berbanding kereta elektrik, maka motosikal elektrik hanya boleh dipasang dengan pek bateri kecil yang terhad kapasitinya. Motor elektrik yang digunakan pula berkuasa rendah bagi mengelakkan bateri kehabisan cas dengan cepat. Nak mengecas penuh pun perlu memakan masa berjam-jam lamanya, tidak seperti mengisi setangki penuh petrol yang cuma mengambil masa beberapa minit sahaja. Jarak perjalanan bagi sekali cas pun tak panjang, selalunya sekitar beberapa puluh kilometer sahaja, menjadikannya tidak sesuai bagi perjalanan jauh dan hanya sesuai digunakan dalam kawasan bandar sahaja. Kalau mahukan jarak perjalanan yang lebih panjang serta motor elektrik yang lebih berkuasa, maka terpaksa menggunakan bateri litium-ion yang lebih mahal daripada bateri asid-plumbum yang lebih murah tetapi sangat berat. Setakat ini, hanya Modenas CTric sahaja motosikal elektrik yang paling murah dan mampu milik, tetapi jarak perjalannya pula sangat pendek iaitu sekitar 30-50 km sahaja bagi sekali cas.
  3. Dasar kerajaan yang tidak cukup kuat - Banyak syarikat pengeluar motosikal elektrik tumbuh sejak 5 tahun kebelakangan ini hasil galakan daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), tetapi malangnya motosikal elektrik lambat dipasarkan berikutan ketiadaan piawaian serta akta yang menyokong penggunaan motosikal elektrik di atas jalan raya. Hanya setelah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dipinda pada tahun 2011 barulah motosikal elektrik dibenarkan penggunaannya secara sah di atas jalan raya, iaitu dengan menukarkan kadaran kuasa kepada nilai setara yang boleh dihasilkan oleh motosikal petrol; misalnya, Modenas CTric menghasilkan kuasa maksimum 3.6 kW, nilai kuasa setara dengan motosikal kapcai 70 cc. Kalau pun sekarang motosikal sudah pun dibenarkan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, dasar-dasar bagi menyokong penggunaan motosikal elektrik masih lagi lemah, dan ia boleh dibuktikan dengan ketiadaan insentif bagi menggalakkan pembinaan petak-petak parkir motosikal yang dilengkapi soket pengecas.
  4. Persepsi pengguna itu sendiri - Sungguhpun kenderaan elektrik memang mengujakan sesiapa sahaja yang melihatnya setiap kali diadakan pameran kenderaan berikutan ia tidak menggunakan walau setitik pun petrol, namun akhirnya persepsi pengguna tetap jadi penentu sama ada model-model kenderaan elektrik boleh berjaya atau tidak. Walau secanggih mana pun sesebuah kenderaan elektrik, pengguna akhirnya tetap menggunakan kenderaan petrol sebagai kenderaan harian mereka. Ketiadaan stesen mengecas, kelajuan maksimum yang rendah, masa mengecas yang lama dan jarak perjalanan yang pendek bagi sekali cas kesemuanya menjejaskan persepsi masyarakat terhadap kenderaan elektrik. Sekurang-kurangnya, tempoh mengecas sebuah motosikal elektrik masih lagi pendek berbanding kereta elektrik yang perlu dicas semalaman sekiranya menggunakan plag 13 ampere biasa.

Serius saya katakan, saya berasa amat sedih apabila memikirkan nasib industri motosikal elektrik dan hibrid di Malaysia. Malaysia sudah banyak mengeluarkan model-model motosikal elektrik bertaraf dunia, tetapi malangnya industri mesra alam sebegini kurang mendapat perhatian sewajarnya daripada orang-orang kita sendiri. Sungguhpun pindaan Dasar Automotif Nasional 2014 turut memperuntukkan insentif bagi menggalakkan pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) termasuklah kenderaan elektrik dan hibrid, namun ia tidak berguna tanpa infrastruktur yang diperlukan serta sokongan daripada kita sendiri.

Jadi bagaimana hendak menggalakkan orang ramai menggunakan motosikal elektrik...? Perkara paling penting ialah perbanyakkan petak parkir dengan soket pengecas. Paling mudah, pasang peti bayaran layan diri yang disambungkan ke soket 3 pin biasa. Dengan hanya mengenakan bayaran 50 sen sejam untuk mengecas, ia sememangnya berpotensi untuk menjadi satu bentuk perniagaan yang menguntungkan di samping membantu mengurangkan gas-gas pencemar udara dari asap ekzos. Bukankan langkah yang sebegitu mudah lagi menguntungkan ini dapat membantu menunaikan fardu kifayah iaitu memenuhi keperluan pengguna motosikal elektrik...?




Dengan hanya bermodalkan petak parkir, soket elektrik dan peti pembayaran wang kertas atau syiling seperti di atas, anda sudah boleh memulakan bisnes stesen mengecas motosikal elektrik - menguntungkan dan mampu menunaikan fardhu kifayah dengan memenuhi keperluan pengguna motosikal elektrik

2 comments:

  1. betullah tu... kerajaan sembang jer suruh jaga alam sekitar, mesra alam, kurangkan pencemaran, peningkatan harga petrol dan macam-macam lagilah.. tapi bila ada 'benda' yang boleh selesaikan tu semua, timbul pulak soal keselamatanlah, kemalanganlah, tidak mematuhi piawaianlah...
    skuter elektrik misalnya. perlahan katanya. buat yang laju, oh, kelajuan menyamai motorsikal, perlukan piawaian ciri-ciri keselamatan motorsikal.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setuju. Dua perkara utama yang menyebabkan industri motosikal elektrik dan hibrid di Malaysia berkubur ialah ketiadaan infrastruktur mengecas dan juga kerenah birokrasi dan perundangan.

      Delete

Advertisement