Friday, January 10, 2014

Ah Long Bukit Beruntung Part 1: EKSKLUSIF - Majlis perasmian Exit 117 Persimpangan Sungai Buaya / EXCLUSIVE - Exit 117 Sungai Buaya Interchange inaugural ceremony

Salam sejahtera,

Siri kembara Ah Long Bukit Beruntung membuka tirai sebagai siri reviu terawal bagi tahun 2014. Idea mengadakan kembara ke Sungai Buaya dan Bukit Beruntung ini datang secara spontan pada pagi 9 Januari 2014 setelah dikhabarkan oleh laman Facebook Kementerian Kerja Raya mengenai perasmian persimpangan bertingkat terbaru di Lebuhraya Utara-Selatan E1 iaitu Exit 117 Persimpangan Sungai Buaya pada petangnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak. Jutaan terima kasih kepada Kementerian Kerja Raya atas jemputan.

Memandangkan upacara perasmian itu dijalankan pada sebelah petang, saya terus bertolak dari Kuala Lumpur sebaik selepas makan tengah hari dan perlu tiba semula di Kuala Lumpur sebelum pukul 7.00 malam kerana ada urusan kerja. Maka, saya turut menggunakan kesempatan ini untuk turut menghasilkan dua lagi reviu jalan raya pembuka tirai 2014 iaitu Jalan Bukit Beruntung FT3208 dan Jalan Sungai Buaya FT1208.

Kita mulakan dahulu dengan majlis perasmian Exit 117 ini. Jika dikaji semula sejarah Lebuhraya Utara-Selatan E1 ini, lebuh raya tersebut mula menjauhi Jalan Persekutuan 1 sebaik sahaja melepasi Exit 116 Persimpangan Rawang sebelum bertemu semula dengan Jalan Persekutuan 1 di Exit 121 Tanjung Malim, dengan perbezaan jarak sehingga 42 km. Maka, penduduk di sekitar Serendah, Hulu Yam, Kuala Kubu Bharu dan Sungai Buaya terpaksa memandu jauh ke Rawang atau Tanjung Malim sebelum memasuki lebuh raya. Pada pertengahan 1990an, projek Bukit Beruntung yang dicanang-canangkan sebagai "Petaling Jaya Kedua" dimulakan, diikuti Lembah Beringin. Kedua-dua bandar baharu tersebut dibina di tepi lebuh raya, siap dengan persimpangan bertingkat sendiri. Seterusnya, jalan raya dua lorong biasa turut dibina bagi menghubungkan kedua-dua bandar baharu tersebut dengan Jalan Persekutuan 1. Malangnya, keputusan kerajaan persekutuan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak telah menyebabkan nilai hartanah di Bukit Beruntung dan Lembah Beringin jatuh merudum.

Sementara itu pula, penduduk di sekitar Sungai Choh, Serendah dan Sungai Buaya pula sebelum ini perlu ke Bukit Beruntung sejauh 14 km untuk memasuki Lebuhraya Utara-Selatan E1. Kalau diikutkan, Bukit Beruntung tidaklah sejauh mana, tetapi keadaan Jalan Bukit Beruntung FT3208 yang semakin sesak itu terpaksa diharungi pengguna jalan raya, khususnya lori-lori berat dari kawasan perindustrian Sungai Choh, sehingga menyebabkan jalan mudah rosak. Industri automotif di Sungai Choh turut menyumbang kepada kesesakan, memandangkan kilang Perodua dan Nissan merupakan antara pengguna setia Exit 118 Bukit Beruntung. Pergerakan kenderaan berat dari kawasan perindustrian ini sememangnya mengganggu kelancaran perjalanan pengguna lebuh raya dari Sungai Choh, Sungai Buaya dan Serendah.

Bagi tujuan memudahkan pergerakan lebih kurang 301,000 penduduk di sekitar Sungai Buaya, Sungai Choh, Serendah dan utara Rawang, maka kerajaan mengambil keputusan untuk membina sebuah persimpangan bertingkat jenis trompet berharga RM87 juta di Sungai Buaya. Sebenarnya, keputusan membina persimpangan bertingkat ini berpotensi mencabut nyawa Bukit Beruntung yang selama ini memang seakan-akan hidup segan mati tak mahu; tambahan pula, Jalan Sungai Buaya FT1208 yang dihubungkan dengan Exit 117 ini cuma bertaraf jalan raya tertier - atau dengan kata lain, jalan pengumpul - tidak seperti Jalan Bukit Beruntung FT3208 yang terletak pada hirarki yang lebih atas iaitu sebagai jalan raya sekunder. Namun, pembinaan persimpangan bertingkat ini penting berikutan keperluan yang dicetuskan oleh kawasan perindustrian di Sungai Choh. Kerajaan persekutuan mengambil keputusan membina Exit 117 Persimpangan Sungai Buaya ini pada 3 Disember 2010. Seterusnya, pembinaannya dimulakan pada Jun 2011 dan siap sepenuhnya pada November 2013. Eh, dah lama siap rupanya, tapi kenapa baru sekarang ia dibuka...? Sebenarnya, setiap projek pembinaan yang sudah siap perlu diaudit dan dinilai oleh jurutera bertauliah sebelum disahkan selamat untuk digunakan, termasuklah penilaian oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Jambatan Kedua Pulau Pinang juga hanya akan dibuka bulan hadapan atas sebab yang sama.

Setibanya saya di Exit 117 Persimpangan Sungai Buaya melalui Jalan Sungai Buaya FT1208, saya mendapati kawasan Plaza Tol Sungai Buaya dibanjiri penduduk Sungai Buaya, Sungai Choh dan Serendah, termasuklah pekerja-pekerja kilang Perodua yang mengambil kesempatan hadir dalam majlis perasmian tersebut. Sebaik tiba di khemah penonton, kehadiran saya turut disambut oleh Encik Mohd. Hasrul Nizam dari Lebuhraya Duke E33, rakan baik saya dalam industri lebuh raya ekspres. Terdapat juga beberapa orang kakitangan Plus Expressways Berhad yang turut mengenali saya, memandangkan saya pernah menghadiri majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kementerian Kerja Raya di Persada Plus pada bulan puasa lalu. Saya turut dihadiahkan sedikit cendera hati berupa beg berisi buku aturcara majlis serta kad Touch 'n Go PLUSMiles edisi terhad sempena perasmian Exit 117. Selain itu, saya turut menerima dua naskhah Buletin Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta sekeping DVD berjudul "Rancang Awal-awal" oleh kakitangan LLM. Jutaan terima kasih kepada kakitangan Plus Expressways Berhad dan Lembaga Lebuhraya Malaysia...!!!

Saya hanya dapat berada sekejap sahaja di Exit 117 dan saya terpaksa pulang awal ke Kuala Lumpur atas urusan kerja. Maka, saya ingin meminta izin kepada rakan-rakan media seperti Sinar Harian, Berita Harian dan wakil media Kementerian Kerja Raya sendiri untuk "mencilok" sedikit bahan-bahan mereka untuk dikongsi bersama pembaca Blog Jalan Raya Malaysia. Sepeninggalan saya, (menurut laporan oleh Berita Harian dan Sinar Harian) Datuk Seri Najib berkata bahawa buat masa sekarang kerajaan persekutuan masih belum membuat sebarang keputusan sama ada hendak membenarkan sebarang kenaikan tol atau tidak; segala-galanya bergantung kepada hasil "eksperimen" dan "kajian" oleh "makmal kos sara hidup" yang ditubuhkannya. Meskipun secara amnya saya berpuas hati dengan penjelasan oleh Datuk Seri Najib mengenai dasar penswastaan pembinaan lebuh raya (memandangkan saya sendiri pun sudah menyebut perkara yang sama berulang kali), namun saya kurang berpuas hati apabila disebut mengenai "makmal kajian kos sara hidup". Adakah kajian mengenai kos sara hidup itu memerlukan makmal, saintis, radas dan bahan kimia...? Jadi ke mana perginya peranan Unit Perancang Ekonomi...?

Baiklah, jika Datuk Seri Najib benar-benar serius untuk menangani permasalahan rakyat tentang peningkatan kos sara hidup, ini pula hasil kajian saya yang tidak memerlukan sebarang makmal, radas mahupun bahan kimia:-
  1. Di Malaysia, setiap kali harga minyak naik, maka ia menimbulkan satu tindak balas berantai yang turut menyebabkan harga barang-barang lain terutamanya makanan dan barang keperluan turut naik, sebagaimana pembedilan neutron pada uranium-235 yang memulakan tindak balas nuklear. Berbeza pula di luar negara hatta Thailand sekalipun, harga makanan dan barang keperluan tidak banyak berubah meskipun harga minyak di sana lebih mahal daripada di Malaysia. Maka, harga barang di Malaysia pula naik mencanak-canak setiap kali harga minyak naik adalah berpunca daripada sistem pengangkutan yang kurang cekap.
  2. Sistem pengangkutan di Malaysia yang kurang cekap bukanlah berpunca daripada rangkaian jalan raya yang kurang baik. Jika dibandingkan dengan negara-negara lain di Asia Tenggara, rangkaian jalan raya kita adalah yang terbaik kerana kita turut memiliki rangkaian lebuh raya ekspres bertaraf dunia yang panjang. Rangkaian lebuh raya ekspres di negara-negara Asia Tenggara yang lain kecuali Singapura pula rata-ratanya pendek dan hanya merangkumi ibu negara dan bandar raya utama sahaja. Ia termasuklah Thailand, yang mana lebuh raya ekspres di sana hanya terdapat di Bangkok; "lebuh raya" yang dikatakan percuma di sana itu sebenarnya adalah jalan raya kembar sahaja.
  3. Faktor utama yang membawa kepada ketidakcekapan sistem utama kita sebenarnya adalah pengabaian terhadap rangkaian jalan kereta api. Buktinya, banyak jalan kereta api yang sudah dicabut landasannya, misalnya landasan Seremban-Port Dickson. Selain itu, cakap-cakap mengenai pembinaan landasan kereta api dari Mentakab ke Kuantan, Kuala Terengganu dan seterusnya Kota Bharu pula tidak lebih daripada sekadar sembang kosong semata-mata tanpa sebarang tindakan susulan. Projek pelebaran landasan kereta api dari Padang Besar ko Johor Bahru hanya sekadar naik taraf landasan sedia ada dan bukannya menambah panjang keseluruhan sistem.
  4. Sepanjang saya berada di Sabah pada Ogos 2013, saya dapati harga produk-produk pertanian di tamu-tamu di sekitar pantai barat Sabah boleh dikatakan murah dan berpatutan, sungguhpun petani-petani yang menjual hasil pertanian mereka itu bercucuk-tanam secara kecil-kecilan dengan skala ekonomi yang begitu kecil. Jadi kenapa mereka boleh menjual hasil pertanian dengan begitu murah? Jawapannya datang daripada peranan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) yang menggalakkan petani-petani di pedalaman menggunakan perkhidmatan kereta api mereka dengan tambang yang begitu murah supaya kos jualan dapat diminimakan dan keuntungan dapat ditingkatkan walaupun dengan harga jualan yang murah. Malangnya, inisiatif sebegini tidak ada pula di Semenanjung.
  5. Maka, saya membuat kesimpulan bahawa penggunaan kereta api boleh mengurangkan kos pengangkutan dengan begitu drastik, sekaligus mengurangkan harga barangan dan seterusnya kos sara hidup. Bayangkan, sebuah lori hanya dibenarkan mengangkut muatan sehingga sekitar 30 tan metrik, kerana lori yang terlebih muatan merupakan salah satu punca utama kenapa jalan raya sering rosak. Namun, sebuah lokomotif pula mampu menarik beratus-ratus tan muatan. Maka, berpuluh-puluh trip diperlukan oleh pemandu lori bagi mengangkut barangan pada kuantiti yang sama yang boleh diangkut menggunakan kereta api. Maka, itulah punca utama kenapa sistem pengangkutan kita tidak cekap.
  6. Justeru, saya menyeru agar kerajaan memperbanyakkan landasan kereta api di Malaysia agar kos pengangkutan dan logistik dapat diminimakan agar harga barangan dapat diturunkan. Selain itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) seharusnya mengambil inisiatif menggalakkan petani dan penggiat industri menggunakan kereta api bagi mengangkut barangan dengan mengenakan tambang yang murah. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga perlu menggalakkan para petani menggunakan kereta api dan memberi insentif kepada peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) untuk menggunakan kereta api bagi mengangkut hasil pertanian mereka. Industri sewajarnya mencontohi inisiatif yang diambil oleh Honda Malaysia yang mula menggunakan kereta api bagi mengangkut komponen-komponen kenderaan untuk dipasang di kilang mereka di Alor Gajah.
  7. Bagi menangani beban rakyat akibat kenaikan kadar tol, Datuk Seri Najib seharusnya membantu Kementerian Kerja Raya menjayakan dasar memartabatkan jalan persekutuan bagi menggalakkan rakyat agar menggunakan jalan raya persekutuan sebagai alternatif percuma kepada lebuh raya ekspres. Laluan sibuk perlu dilebarkan. Jalan yang berbengkang-bengkok perlu diluruskan. Jabatan Kerja Raya boleh juga menggunakan iklan di radio, televisyen dan Internet bagi menggalakkan rakyat menggunakan jalan persekutuan. Kempen-kempen kesedaran perlu diadakan. Rakyat perlu diberi pendedahan serta kesedaran mengenai kelebihan menggunakan jalan persekutuan, dan bukannya disajikan dengan kenyataan dangkal seperti "kalau tak suka bayar tol jangan guna lebuh raya ekspres". Memandangkan tahun ini merupakan tahun pesta naik harga barang, maka tahun 2014 ini wajar dijadikan Tahun Menyayangi Jalan Persekutuan.

Memandangkan Blog Jalan Raya Malaysia ini turut dibaca oleh orang-orang kuat dalam industri pembinaan rangkaian jalan raya dan lebuh raya negara, maka saya berharap agar Kementerian Kerja Raya dapat menyampaikan pesanan saya ini kepada Datuk Seri Najib demi kesejahteraan rakyat. Oleh itu, saya menggesa agar Datuk Seri Najib mendengar pesanan saya ini dan melakukan tindakan segera bagi menangani peningkatan kos sara hidup demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Kita tidak perlukan BR1M yang hanya berkesan dalam jangka masa beberapa hari sahaja sebagai ubat tutup mulut - duit makin habis tetapi kos sara hidup tidak turun-turun - sebaliknya, tindakan jangka masa panjang itulah yang sebenar-benarnya diperlukan sekarang agar kemelut kos sara hidup yang tinggi tidak terus membelenggu rakyat. Apa pun, jutaan tahniah saya ucapkan kepada Plus Expressway Berhad atas pembukaan Exit 117 Persimpangan Sungai Buaya.

Ikuti sambungan seterusnya dalam reviu Jalan Bukit Beruntung FT3208.


Aturcara Majlis Perasmian Exit 117 Persimpangan Sungai Buaya
  • 4.00 pm - Ketibaan tetamu jemputan, wakil media dan dif-dif kehormat
  • 4.30 pm - Ketibaan Datuk Haji Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia
  • 5.00 pm - Ketibaan Datuk Seri Mohd. Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia
  • 5.05 pm - Nyanyian lagu Negaraku
  • 5.10 pm - Bacaan doa
  • 5.15 pm - Ucapan alu-aluan oleh Menteri Kerja Raya
  • 5.25 pm - Ucapan perasmian oleh Perdana Menteri, gimik pelancaran dan penyampaian sumbangan dan bantuan
  • 6.00 pm - Sidang media dan jamuan
  • 6.30 pm - Bersurai

Pautan berita perasmian: Berita Harian dan Sinar Harian







Plaza Tol Sungai Buaya selebar lapan lorong






Suasana di perkarangan plaza tol umpama pesta






Khemah promosi Plus Expressways Berhad dan Lembaga Lebuhraya Malaysia






Suasana di khemah utama yang dibanjiri penduduk Sungai Buaya (kredit gambar: Kementerian Kerja Raya)






Ucapan alu-aluan oleh Datuk Fadillah Yusof (kredit gambar: Kementerian Kerja Raya)






Ucapan perasmian oleh Datuk Seri Mohd. Najib Razak (kredit gambar: Kementerian Kerja Raya)






Gimik pelancaran Exit 117 Persimpangan Sungai Buaya (kredit gambar: Kementerian Kerja Raya)






Datuk Seri Najib dan Datuk Fadillah dibawa melihat sekitar plaza tol (kredit gambar: Kementerian Kerja Raya)

No comments:

Post a Comment