Salam sejahtera,
Semalam (11 Oktober 2014), Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, telah selesai membentangkan Bajet 2015 dengan menggunakan tema "Ekonomi Keperluan Rakyat". Sebelum pembentangannya, Datuk Seri Najib telah memberi jaminan awal bahawa bajet kali ini menumpukan kepada pengurangan kos sara hidup. Namun, adakah ia benar-benar mampu menjana ekonomi keperluan rakyat ataupun ekonomi kehendak rakyat...? Adakah ia berupaya membantu meringankan beban kos sara hidup seperti yang dicanangkan...? Sama-sama kita kaji mengenainya...!!!
Memandangkan ada banyak perkara yang disebut dalam pembentangan bajet negara setiap tahun, seperti biasa saya hanya akan lebih memfokuskan kepada sektor pengangkutan dan automotif sahaja, dengan menyentuh sedikit bidang ekonomi selaras dengan tema bajet kali ini. Bagi sektor automotif, ada satu berita baik dan dua berita buruk, jadi saya mulakan dahulu dengan berita baik dalam Bajet 2015 ini. Satu-satunya berita baik dalam sektor automotif ini ialah pengumuman Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dikenakan kepada petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG). Itu sahaja. Namun, sudah tentulah ramai yang tidak akan menganggapnya sebagai "berita baik", memandangkan "rasionalisasi subsidi" tatkala harga minyak dunia turun akan diteruskan secara berperingkat-peringkat sehingga tiada lagi subsidi bahan api yang akan diberikan. Anda pasti boleh menjangkakan ramai pihak yang bakal naik minyak kerana harga minyak memang akan naik seperti yang telah diduga.
Jadi apakah jalan penyelesaian yang bakal diambil oleh Datuk Seri Najib bagi menghadapi kemarahan rakyat yang masih meluap-luap susulan kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini...? Teruskan membaca untuk mengetahuinya.
Selain itu, insentif pengecualian duti eksais oleh kerajaan bagi kereta hibrid pemasangan tempatan (CKD) yang bakal berakhir pada 31 Disember 2015 tidak akan disambung. Maka, kita boleh jangkakan jumlah jualan kereta hibrid yang sekarang ini sudah menyusut berikutan penghentian insentif pengecualian duti import dan eksais bagi kereta hibrid import (CBU) pada 31 Disember 2013 akan terus menyusut lagi pada tahun 2016. Apa tidaknya, buat masa sekarang ini hanya Honda dan Mercedes-Benz sahaja yang memanfaatkan insentif tersebut. Begitu juga dengan jualan kenderaan elektrik yang amat mengecewakan berikutan ketiadaan sambutan daripada pengguna - apa tidaknya, stesen mengecas pun tak ada; kalau ada pun, ia terlalu sedikit dan boleh dibilang dengan jari.
Sekarang kita beralih pula kepada sektor pengangkutan. Memandangkan harga minyak sudah naik, maka tumpuan seharusnya lebih diberikan kepada pembangunan rangkaian pengangkutan awam, terutamanya pengangkutan rel yang terbukti lebih cekap tenaga berbanding kereta. Rasional kenapa pengangkutan rel memerlukan lebih perhatian adalah bagi mengurangkan bilangan kenderaan di kawasan metropolitan utama yang menjadi punca kepada peningkatan beban subsidi bahan api, sekaligus membolehkan harga bahan api setidak-tidaknya dikekalkan untuk jangka masa yang lebih lama. Selain itu juga, layanan yang diberikan terhadap sistem pengangkutan jalan raya berbanding sistem pengangkutan rel juga sangat berat sebelah - tatkala berbilion ringgit wang sanggup dibelanjakan untuk membangunkan rangkaian jalan raya baharu, sistem pengangkutan rel pula masih di takuk lama.
Malangnya, dalam Bajet 2015 ini, tumpuan masih lebih banyak diberikan kepada pembinaan lebuh raya baharu berbanding pembinaan landasan kereta api. Hanya dua sahaja laluan pengangkutan rel baharu yang diumumkan dalam Bajet 2015, iaitu projek MRT2 dari Selayang ke Putrajaya sejauh 56 km serta LRT3 dari Bandar Utama ke Shah Alam dan Klang. Itu sahaja. Tiada pembinaan landasan kereta api dari Mentakab ke Kuantan dan Terengganu, dan tiada peruntukan diberikan kepada Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) untuk menambah rolling stock mereka di samping memanjangkan lagi landasan kereta api Sabah ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Keningau. Malah, peruntukan untuk membeli lokomotif baharu bagi menggantikan kereta api yang musnah dalam kebakaran akibat dilanggar sebuah lori minyak yang bebal itu juga masih tidak diterima sehingga kini, meskipun JKNS sudah lama memohon peruntukan tersebut sejak September 2011. Jika dibandingkan, empat batang lebuh raya baharu bakal dibina di Lembah Klang meskipun saya sudah pun menegaskan bahawa projek lebuh raya baharu di Lembah Klang sewajarnya dibekukan dahulu kerana tidak sesuai dilaksanakan pada masa sekarang berikutan beban kos bahan api yang semakin tinggi menggunung. Malangnya, pandangan saya ini langsung tidak diberi perhatian walau sebelah mata sekalipun.
Empat projek lebuh raya tersebut ialah:-
- Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) berharga RM5.3 bilion sejauh 56 km - bukankah panjang keseluruhan KL MRR2 FT28 cuma 39 km sahaja...? Apa signifikannya membina sebatang lebuh raya yang bermula di KL MRR2 FT28 dan melencong jauh sebelum berakhir di FT28 juga...?
- Lebuhraya Pantai Barat (WCE) E32 sejauh 276 km dengan kos RM5 bilion - meskipun projek E32 ini wajar disambung, namun saya membantah sekeras-kerasnya sekiranya WCE masih berdegil mahu menggunakan laluan FT5 sebagai sebahagian laluan lebuh raya
- Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) sejauh 47 km dengan kos RM4.2 bilion - satu lagi projek lebuh raya yang dibantah keras oleh penduduk, di samping bakal menjahanamkan satu kawasan tadahan air utama di Selangor iaitu Empangan Subang.
- Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) sejauh 36 km dengan kos RM1.6 bilion - jika ia berakhir di Lebuhraya Karak E8/FT2 seperti yang dilaporkan sebelum ini, saya akan membantah sekeras-kerasnya kerana ia hanya bakal menyesakkan Lebuhraya Karak E8/FT2 dan MRR2 FT28; EKVE sepatutnya berakhir di Lebuhraya Rawang FT1 dekat Bandar Baru Selayang.
Dengan sebegitu banyak projek lebuh raya baharu berbanding projek landasan rel baharu, maka terbuktilah bahawa sistem pengangkutan rel di Malaysia sememangnya dianaktirikan berbanding sistem pengangkutan jalan raya. Jangan salah sangka pula; sebagai pencinta jalan raya, saya tidak menentang pembinaan jalan raya dan lebuh raya baharu, tetapi apa yang saya tuntut sekarang ialah layanan adil dan saksama bagi kedua-dua sistem pengangkutan darat tersebut tanpa berat sebelah atau pilih kasih. Sebenarnya, saya amat menyambut baik akan pengumuman pembinaan lebih banyak jalan raya luar bandar di samping projek naik taraf Lebuhraya Pan Borneo AH150 (FT1 di Sarawak, dan FT1, FT22 dan FT13 di Sabah) kepada sekurang-kurangnya jalan super two, dengan peruntukan sejumlah RM27 bilion. Namun, kerajaan perlu menyeimbangkannya dengan pembangunan sistem rangkaian landasan kereta api agar pengguna mempunyai pilihan alternatif sekiranya terpaksa berdepan dengan kenaikan harga bahan api.
Kenapa saya menggesa agar projek lebuh raya ekspres baharu ditangguhkan sementara...? Boleh dikatakan kesemua projek lebuh raya ekspres baharu dibina dengan dakwaan kononnya lebuh raya tersebut "mampu mengurangkan kesesakan jalan raya" serta merupakan "penyelesaian mutlak bagi masalah trafik". Namun, hakikat tersebut hanya benar bagi jangka masa pendek sahaja. Bagi jangka masa panjang pula, ia hanya akan menyebabkan peningkatan bilangan kenderaan berdaftar melalui permintaan teraruh (induced demand), sekaligus menyebabkan peningkatan permintaan bahan api bersubsidi. Keadaan semakin teruk apabila majoriti pemandu di Kuala Lumpur memandu kereta berseorangan. Akhirnya, ia hanya akan membawa kepada kesesakan yang jauh lebih teruk. Jika lebuh raya sesak, maka bertan-tan petrol dibazirkan begitu sahaja, di samping bertan-tan gas-gas rumah hijau yang dilepaskan ke atmosfera.
Satu contoh negara yang perlu diambil iktibar ialah China. Sejak tahun 1993, China membina berpuluh ribu kilometer rangkaian lebuh raya ekspres bagi merangsang industri automotif di sana. Hasilnya, permintaan terhadap kereta buatan China semakin bertambah, sehingga membawa kepada pembinaan lebih banyak lebuh raya ekspres baharu. Malah, peratus pertumbuhan rangkaian lebuh raya ekspres di China turut mengejutkan negara-negara maju termasuklah Amerika Syarikat yang selama ini gah sebagai negara yang mempunyai paling banyak lebuh raya capaian terkawal. Akibat daripada peningkatan mendadak bilangan kereta di China, harga minyak dunia mencanak-canak naik. Hanya setelah kerajaan China menarik balik subsidi bahan api barulah harga minyak dunia turun, kerana harga minyak yang mahal sudah tentu berupaya mengawal jumlah kereta persendirian di sana, memandangkan mereka masih ada kereta api sebagai pengangkutan alternatif.
Jadi apa yang dilakukan bagi membantu meringankan beban rakyat akibat peningkatan kos sara hidup...? Selain hanya dua sahaja laluan pengangkutan rel baharu, tiga laluan bas antarabandar ke Kuala Lumpur diperkenalkan, iaitu laluan KL-Rawang, KL-Seremban dan KL-Klang, khusus buat pekerja yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi menetap jauh dari ibu kota, dengan diskaun tambang bulanan 30%. Namun, sudah tentulah mutu perkhidmatan bas masih diragui kerana bas masih boleh tersangkut dalam kesesakan sebagaimana kereta biasa, memandangkan bas juga menggunakan jalan raya biasa. Bagi meminimakan kos bahan api, bas elektrik bakal dihasilkan, dengan 50 buah bas dikeluarkan bagi batch pertama. Selebihnya...? Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bakal naik tahun hadapan dan dibayar 3 kali sepanjang tahun hadapan.
Jujur saya katakan, saya tidak bersetuju akan idea BR1M ini, dan saya mempersoalkan bagaimana BR1M ini dikatakan sebagai "subsidi bersasar". Malah, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri membantah pelaksanaan BR1M yang disifatkan beliau sebagai membazir wang negara serta mendakwa bahawa ada penerima BR1M yang duduk di rumah yang selesa serta memiliki kereta baharu. Malah, majoriti daripada penerima BR1M terdiri daripada golongan yang sudah ada rumah dan kereta yang selesa - malah, dalam kes Lembah Klang, majoriti penerima BR1M terdiri daripada golongan yang memiliki dua atau lebih kereta di rumah masing-masing, dan jarang saya temui penerima BR1M yang tinggal di rumah uzur serta berpakaian lusuh dan koyak. Inikah yang dinamakan "subsidi bersasar"...? Jika ada di kalangan ahli politik yang menganggap BR1M itu satu bentuk "inovasi", maka ia sebenarnya satu lawak yang tidak kelakar langsung. Adakah BR1M itu membolehkan penerimanya sampai awal ke pejabat...? Adakah BR1M itu berupaya menjadikan seseorang itu bekerja lebih rajin sehingga mampu membuat lebih banyak kerja dan seterusnya mendapat gaji yang lebih tinggi...? Adakah BR1M membolehkan kerajaan memperoleh lebih banyak hasil dalam bentuk kutipan cukai...? Dan adakah BR1M itu berupaya meningkatkan bilangan penyokong kerajaan secara mutlak...? Jawapannya tidak sama sekali. Lainlah kalau yang diberi itu bantuan perniagaan atau pertanian secara kecil-kecilan - nasib baiklah memang ada peruntukan seumpamanya dalam Bajet 2015.
Terus-terang saya katakan bahawa BR1M itu hanyalah ibarat "kokain" yang diberikan kepada rakyat bagi mengubat ketagihan "ganja" subsidi. Lihat sahajalah, setiap tahun peruntukan untuk BR1M semakin meningkat dan bilangan penerima pun semakin bertambah dan bukannya semakin berkurangan. Di samping itu, Perdana Menteri terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi (aka Pak Lah) pernah cuba memperkenalkan baucar petrol bagi menangani kemarahan rakyat semasa harga petrol dinaikkan sehingga mencecah RM2.70 seliter, paling mahal dalam sejarah Malaysia, tetapi pendekatan baucar petrol terbukti gagal sama sekali. Malangnya, Datuk Seri Najib langsung tidak mengambil iktibar daripada kegagalan Pak Lah sebelum ini tetapi tetap meneruskan rancangan pemberian BR1M sehingga menjadikan penerimanya penagih "kokain subsidi" tegar tanpa sedikit pun berusaha untuk mengubah nasib hidup. Sedangkan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) pun boleh disalahgunakan untuk membeli komik dan novel cinta dan bukannya bahan bacaan ilmiah, sebelum syarat penebusannya dipinda semula. Maka, BR1M sudah tentulah akan menggagalkan rancangan "rasionalisasi subsidi" oleh kerajaan, sebaliknya rakyat masih kekal malas berusaha mengubah nasib diri dan keluarga dan semakin menagih subsidi kerajaan. Para penagih subsidi yang cukup sempurna tubuh badan mereka sepatutnya malu dengan orang-orang kurang upaya yang masih mampu berjaya dan hidup senang-lenang tanpa mengharapkan sebarang bantuan daripada kerajaan.
Jadi apa yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan untuk meringankan beban rakyat tanpa menjadikan mereka sebagai penagih subsidi tegar...?
- Membekukan dahulu semua projek lebuh raya ekspres perbandaran dan memberi keutamaan kepada pembinaan lebih banyak laluan kereta api, MRT, LRT dan monorel agar dapat memberikan liputan sistem pengangkutan awam yang lebih menyeluruh dan holistik. Peruntukan perlu diberikan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) untuk menambah rolling stock mereka agar kekerapan perjalanan dapat ditingkatkan. Landasan perlu dipanjangkan dengan membina laluan baharu dari Mentakab ke Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu (bagi kes KTMB) serta laluan dari Tanjung Aru-KKIP-Tuaran-Kota Belud dan Tenom-Keningau-Sook (bagi kes JKNS).
- Jika wang menjadi kekangan, maka kerajaan boleh mula menguatkuasakan sistem caj kesesakan di semua jalan masuk utama ke pusat bandar raya, yang mana bas, teksi dan motosikal dikecualikan daripada caj kesesakan tersebut. Wang yang diperolehi daripada caj kesesakan ini boleh digunakan untuk membina lebih banyak rangkaian pengangkutan rel di ibu kota. Memandangkan sistem ERP mempunyai kelemahannya tersendiri sehingga ada yang boleh terlepas daripada kutipan ERP, maka satu mekanisme baharu berasaskan teknologi AES perlu dibangunkan agar tiada kos melepas.
- Memperbanyakkan pasar-pasar tani yang dibuka pada setiap hari termasuk hari Ahad. Seperti yang kita semua sedia maklum, harga barangan di pasar tani lebih murah daripada di pasar biasa mahupun di kedai-kedai, berikutan ketiadaan orang tengah yang paling banyak mengaut untung. Dengan membeli secara terus daripada petani, penternak mahupun nelayan, kita bukan sahaja dapat membeli barangan dengan harga yang lebih murah, malah mereka turut memperoleh harga yang lebih setimpal dengan titik peluh mereka.
- Universiti-universiti perlu memberi kelonggaran kepada para pelajar untuk membolehkan mereka untuk bekerja secara sambilan. Di Jepun, hanya golongan yang berwang sahaja yang mampu belajar di universiti memandangkan tiada biasiswa mahupun pinjaman pendidikan ditawarkan; orang kebanyakan yang berhasrat untuk belajar di universiti di Jepun selalunya akan bekerja secara sambilan untuk membolehkan mereka membayar yuran. Selain membolehkan pelajar memperoleh wang untuk membayar yuran pengajian, kerja sambilan yang dilakukan itu jugalah yang sebenarnya bakal membantu mereka untuk memperoleh pekerjaan yang lebih terjamin setelah bergraduat kelak.
- Pada zaman harga minyak mahal ini, kerajaan seharusnya mengadakan kempen agresif untuk menggalakkan rakyat menggunakan bahan api secara berhemah, iaitu dengan menaiki pengangkutan awam, berkongsi kereta, atau setidak-tidaknya menaiki motosikal pancitan bahan api ke tempat kerja.
- Program siswazah tani serta siswazah niaga perlu diperkenalkan, dengan menyerap golongan graduan yang masih menganggur ke sektor pertanian dan keusahawanan agar dapat membantu mengurangkan masalah pembayaran balik pinjaman pendidikan.
- Kerajaan juga perlu menawarkan insentif pemotongan cukai bagi menggalakkan syarikat-syarikat menggunakan sistem pengangkutan kereta api sebagai pengangkutan utama bagi mengangkut barangan. Honda Malaysia sudah pun melaksanakannya, dan mereka berjaya membuktikan bahawa penggunaan kereta api bukan sahaja menjimatkan kos pengangkutan, malah turut mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 60%.
Kesimpulannya, Bajet 2015 masih ada kelemahannya yang masih perlu diperbaiki meskipun niat mengurangkan beban rakyat dalam mengharungi peningkatan kos sara hidup melalui Bajet 2015 sewajarnya dihargai. Pembinaan lebuh raya ekspres baharu di Lembah Klang tidak membantu langsung dalam mengurangkan kos sara hidup; sebaliknya, lebih banyak laluan sistem pengangkutan rel perlu dibina agar rakyat masih mempunyai alternatif yang lebih cekap tanpa perlu dibebani kos bahan api dan tol lebuh raya. Bagi meringankan beban kos sara hidup, kerajaan sewajarnya mewujudkan lebih banyak pasar tani harian serta menggalakkan syarikat-syarikat mengangkut barangan dengan menggunakan kereta api dan bukannya sekadar memberi BR1M yang boleh habis dibelanjakan dalam masa yang singkat. Akhir kata, kerajaan seharusnya mendengar pendapat dan rintihan rakyat dari akar umbi dan bukannya sekadar mahu mendengar pujian dan bodekan semata-mata daripada golongan pengampu agar berupaya mengambil keputusan yang lebih baik demi kesejahteraan negara.
No comments:
Post a Comment