Pages

Friday, August 12, 2016

Jelajah FTRoadpedia @ Lekir Part 1: Jalan Klang-Teluk Intan FT5 / Klang-Teluk Intan Road FT5



Bas rasmi kami sedang menyelusuri Jalan Klang-Teluk Intan FT5
(Kredit gambar: Puan Misiah Taib)


Salam sejahtera,

Siri reviu Jelajah FTRoadpedia @ Lekir membuka tirainya dengan reviu Jalan Klang-Teluk Intan FT5 yang menjadi laluan pertama dalam siri reviu kali ini. Seperti yang telah saya nyatakan dalam prolog sebelum ini, rombongan Kementerian Kerja Raya terdiri daripada para pegawai tertinggi KKR yang diketuai Menteri Kerja Raya sendiri iaitu Datuk Seri Fadillah Yusof, kedua-dua admin Blog Jalan Raya Malaysia iaitu saya (Mohd. Hezery bin Hussin) dan Aiman Ab. Majid, ahli-ahli Rakan KKR, serta wartawan dari Bernama dan TV3. Kami menaiki kenderaan rasmi kami untuk jelajah kali ini iaitu bas persiaran milik KKR bernombor pendaftaran X OIC 940. Selain itu, beberapa SUV milik KKR turut sama dalam konvoi kami yang turut membawa bersama beberapa orang jurugambar. Kesemua SUV ini kemudiannya berperanan membawa pulang para pegawai tertinggi KKR dalam perjalanan pulang; tatkala kami pulang ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya (7 Ogos 2016), mereka pula perlu mengendalikan program bersama-sama Jurutera Daerah (JD) Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara dan hanya pulang pada 8 Ogos.

Siri Jelajah FTRoadpedia ini adalah yang pertama kali dianjurkan oleh KKR sebagai langkah penjenamaan semula jalan persekutuan sebagai laluan kembara santai untuk bercuti bersama keluarga dan sahabat-handai, di samping membangunkan semula komuniti yang selama ini bergantung kepada para pengguna jalan persekutuan sebagai punca ekonomi utama mereka. Untuk Jalan Persekutuan 1 sahaja sudah lebih daripada sejuta rakyat Malaysia yang mencari rezeki di situ, sama ada sebagai penjaja, pengusaha warung makan, pengusaha hotel, pengusaha homestay dsb. Untuk siri pertama kali ini, kami menyelusuri perjalanan sepanjang 191 km dari Kuala Lumpur ke Batu 10 Lekir, Perak.




Peta laluan jelajah FTRoadpedia dari Kuala Lumpur ke Lekir
(sila zum peta untuk perincian lebih lanjut)


Kami memulakan perjalanan pada jam 7.50 pagi, 6 Ogos 2016 di ibu pejabat Kementerian Kerja Raya di Kuala Lumpur. Dari ibu pejabat KKR, kami menggunakan laluan Jalan Tuanku Abdul Halim, NKVE E1. Lebuhraya Utara-Selatan E1, Lebuhraya Latar E25, Jalan Klang-Teluk Intan FT5 dan seterusnya Jalan Sitiawan-Teluk Intan FT5 untuk ke Lekir. Checkpoint pertama kami ialah di Padi Box di pekan Sekinchan, yang mana kami tiba pada lebih kurang pukul 9.30 pagi. Sepanjang perjalanan, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan) KKR, Datuk Sarani Dollah bertindak sebagai pemandu pelancong atau tourist guide. Apa tidaknya, kampung halaman beliau memang terletak di tengah-tengah laluan perjalanan kami, jadi tidak hairanlah kenapa beliau banyak mengetahui apa yang menarik di sekitar Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sekinchan dan Sabak Bernam, termasuklah tempat-tempat makan yang sedap-sedap belaka.

Sebelum saya teruskan, saya ingin mulakan dahulu serba-sedikit mengenai Jalan Klang-Teluk Intan FT5 ini. Jalan Klang-Teluk Intan FT5 merupakan salah satu daripada tiga batang jalan raya pantai di Selangor yang dibina oleh pihak penjajah British dan dibuka pada tahun 1939; dua lagi jalan raya pantai yang dibuka pada tahun yang sama ialah Jalan Langat FT5 dan seterusnya Jalan Sepang FT5. Sejak pembukaannya, Jalan Klang-Teluk Intan FT5 serta Jalan Langat FT5 mengendalikan jumlah trafik yang tinggi kerana ia merupakan laluan utama tepi pantai bagi penduduk di daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Klang. Bagi membolehkan kedua-dua jalan tersebut mengendalikan amaun trafik yang semakin meningkat, Jalan Langat FT5 dinaiktaraf sebagai jalan raya kembar manakala Jalan Klang-Teluk Intan FT5 dari Klang sehingga ke Sabak Bernam dinaiktaraf sebagai jalan super four dengan garisan chevron yang besar selebar satu lorong trafik di tengah-tengah, membolehkan jalan tersebut dinaiktaraf menjadi jalan raya kembar dengan sebegitu mudah. Kedua-dua projek tersebut dilaksanakan sebagai projek Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), mula dibina pada tahun 1999 dan siap pada tahun 2005.

Dari Lebuhraya Latar E25, kami keluar ke Jalan Kuala Selangor-Kepong FT54 di Exit 2501 Persimpangan Ijok. Semas di FT54, Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato' Roslan Md. Taha memberitahu bahawa jajaran FT54 dari Ijok sehingga ke penamatnya di Assam Jawa akan dinaiktaraf sebagai jalan raya kembar 4 lorong. Ia bagi menambah kapasiti laluan tersebut yang dahulunya lengang tetapi kini menjadi sesak sejak pembukaan Lebuhraya Latar E25, memandangkan Ijok berperanan sebagai pintu masuk ke daerah Kuala Selangor melalui Lebuhraya Latar E25. Selain penerangan mengenai projek naik taraf FT54 dari Ijok ke Assam Jawa menjadi jalan raya kembar, Datuk Sarani ada juga menunjukkan kedai Cendol Bakar Kuala Selangor di Assam Jawa yang terkenal kerana membuatkan orang ramai tertanya-tanya bagaimana cendol itu dibakar. Rupa-rupanya Cendol Bakar mendapat namanya kerana pengusahanya itu bernama Abu Bakar...!!!

Kami mula memasuki Jalan Klang-Teluk Intan FT5 dari penamat Jalan Kuala Selangor-Kepong FT54 di Assam Jawa. Ok, sebelum kami memulakan perjalanan, ada sahabat dalam KKR yang membuat permintaan agar saya "menulis yang baik-baik" dalam siri reviu FTRoadpedia ini. Namun maaflah, sebagai penulis Blog Jalan Raya Malaysia yang memang sudah banyak menghasilkan reviu jalan raya, saya memang tidak boleh berbohong mengenai kondisi jalan-jalan yang saya uji. Dalam etika penulisan saya, saya tidak akan mengatakan jalan raya yang teruk sebagai bagus dan jalan raya yang bagus sebagai teruk. Jadi harap sahabat-sahabat di KKR dan JKR dapat telan apa sahaja komen saya mengenai kondisi jalan biarpun pahit. Jika saya katakan sesuatu jalan itu bagus, maka ia seharusnya memberikan motivasi kepada JKR agar dapat terus mengekalkan keadaan jalan yang begitu bagus itu serta turut menerapkannya ke jalan-jalan lain kendalian mereka. Namun, jika saya katakan sesuatu jalan itu teruk, maka adalah menjadi tanggungjawab JKR untuk membaiki semula jalan persekutuan atau negeri yang bermasalah itu supaya ia kembali selesa, selamat dan seronok untuk digunakan sekiranya saya kembali semula ke jalan tersebut. Inilah salah satu peranan utama reviu jalan raya yang saya tulis sebagai satu mekanisme pembetulan.

Ok, jadi anda semua sudah tentu hendak dengar sendiri dari mulut saya akan kondisi Jalan Klang-Teluk Intan FT5 ini bukan...? Saya percaya anda semua terutamanya dari Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sekinchan, Sabak Bernam, Simpang Empat Bagan Datoh dan Teluk Intan sudah pasti mahu dengar sendiri daripada mulut saya walaupun anda sendiri sudah lama tahu mengenainya. Baiklah, tiada gunanya saya sembunyikan lagi, jadi adakah anda sudah bersedia untuk berdepan dengan realiti yang memeritkan...? Bagus. Terus-terang saya katakan bahawa kondisi Jalan Klang-Teluk Intan FT5 ini hanya boleh dirumuskan dengan hanya satu patah perkataan - teruk. Malah, Datuk Seri Fadillah dan Dato' Roslan sendiri pun mengakuinya, yang mana Datuk Seri Fadilah menggambarkan jalan tersebut sebagai "memberikan urutan badan percuma". Nak saya gambarkan dengan perkataan yang baik-baik...? Saya sendiri pun sakit kepala hendak memikirkan ayat yang sesuai. Apa yang boleh saya katakan ialah Jalan Klang-Teluk Intan FT5 "dilengkapi kesan khas 3D yang sangat realistik tanpa perlu dilukis atau dicat". Kerja-kerja naik taraf jajaran dari Tanjung Karang sehingga selepas Jambatan Sabak Bernam FT5 menjadikan keadaan jalan yang memang sedia teruk semakin parah.

Jadi apakah keadaan Jalan Klang-Teluk Intan FT5 yang beralun, bergelombang, mendap dan berlubang di sana-sini itu berpunca daripada sikap malas JKR semata-mata...? Tidak sama sekali. Untuk pengetahuan anda, Jalan Klang-Teluk Intan FT5 ini mula dibina pada zaman penjajah British dan dibuka kepada lalu lintas pada tahun 1939. Majoriti jajarannya lurus kerana ia dibina di kawasan muka bumi yang begitu rata, tetapi ia merentasi kawasan tanah gambut berpaya ataupun kawasan tanah liat. Akibatnya, jalan sangat mudah mendap kerana sifat tanah liat dan tanah gambut yang mudah menyimpan air sehingga menyebabkan integriti struktur tanah menjadi lemah dan mudah mendap. Semasa zaman penjajah dulu manalah jurutera penjajah ada pengalaman mahupun teknologi bagi mengatasi masalah jalan mendap sebegitu. Yang mereka tahu hanyalah bina jalan raya ikut bentuk muka bumi. Menurut Dato' Roslan, jenis tanah yang paling sesuai untuk membina jalan raya ialah di kawasan berpasir kerana sifat pasir yang padu, padat dan mengalirkan keluar air yang mengalir di dalamnya, menjadikan integriti struktur tanah kekal kuat walaupun pada musim hujan. Ia faktor penting bagi mengelakkan daripada berlakunya kes jalan jerlus. Jadi, kalau JKR menampal lubang di jalan tersebut sekalipun, ia pasti akan berlubang balik di tempat sama. Ada yang mencadangkan agar JKR membina semula jalan tersebut sebagai laluan jejambat, tetapi sudah tentulah kosnya akan jadi terlalu mahal. Justeru, kaedah yang lebih baik ialah dengan menggantikan tanah asas jalan kepada pasir, memasang batang-batang paip plastik menegak untuk membuang keluar air di dalam tanah serta membiarkan tanah asas jalan baharu mendap dengan sempurna, dan kaedah pengukuhan asas jalan ini akan digunakan di dua "pautan putus" Lebuhraya Pantai Barat E32, di mana E32 akan dimatikan sementara dan pengguna E32 perlu keluar ke FT5, masuk E32 balik, keluar balik ke FT5, dan masuk balik ke E32. Kenapa boleh jadi begitu...? Nantikan penemuan kami dalam episod ketiga siri reviu jelajah FTRoadpedia ini.

Walaupun saya terang-terangan mengatakan bahawa keadaan Jalan Klang-Teluk Intan FT5 ini teruk, namun ia bukanlah bermakna perjalanan kami memang benar-benar teruk dan tidak menyeronokkan langsung. Tujuan saya menyertai jelajah FTRoadpedia bukannya sekadar hendak tengok jalan raya semata-mata. Jika ada jalan raya yang bagus, saya ingin syorkannya untuk anda cuba sendiri. Jika ada tempat makan yang sedap, saya ingin terjah sendiri. Jika ada tempat bersejarah, saya mahu mengabadikannya dalam reviu saya. Jika ada budaya tempatan yang menarik, saya mahu kongsikan dengan dunia luar. Jika ada kawasan yang berpotensi sebagai tarikan pelancongan, saya ingin mempromosikannya. Itulah matlamat sebenar setiap reviu jalan raya yang saya tulis, termasuklah siri reviu FTRoadpedia ini. Dalam kes Jalan Klang-Teluk Intan FT5, keadaan jalan yang teruk ini diimbangi dengan panorama indah di kampung-kampung dan sawah padi di sepanjang perjalanan.

Jadi apakah tarikan yang ada di sepanjang Jalan Klang-Teluk Intan FT5 ini...? Ada banyak. Bandar Kuala Selangor merupakan ibu negeri pertama di Selangor setelah Raja Lumu, Sultan pertama di Selangor mendarat di situ dan menjadikan Kuala Selangor sebagai ibu kota bagi kerajaan baginda. Ibu negeri Selangor kemudiannya berpindah ke Jugra, Klang, Kuala Lumpur dan akhir sekali Shah Alam. Sebab itulah Majlis Daerah Kuala Selangor menggunakan slogan Kuala Selangor Indah dan Bersejarah sebagai slogan mereka. Sejak akhir-akhir ini, daerah Kuala Selangor semakin menerima tempias arus pembangunan di Lembah Klang, dibuktikan melalui pembinaan bandar baharu Puncak Alam di sebelah tenggara daerah Kuala Selangor sebagai bandar satelit bagi Shah Alam, pembinaan kampus induk Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya (dahulunya Batang Berjuntai), serta pembinaan Lebuhraya Latar E25 sebagai laluan lebuh raya pintu masuk ke daerah Kuala Selangor dari Kuala Lumpur.

Di bandar Kuala Selangor terdapat Bukit Malawati yang turut menempatkan Taman Alam serta muzium. Jika anda datang pada hujung minggu, anda akan berpeluang menaiki tram mengelilingi Bukit Malawati, tetapi jika anda datang pada hari biasa pula anda boleh memandu sendiri mengelilinginya.

Sebelum tahun 1980an, pengguna jalan FT5 perlu menggunakan khidmat feri penambang untuk menyeberangi Sungai Selangor dari Kuala Selangor sehingga ke seberang di Pasir Penambang. Pada tahun 1970, projek jambatan Kuala Selangor telah diluluskan dan dimulakan. Namun, ia mula menimbulkan kontroversi apabila kontraktor terdahulu gagal menyiapkannya, menyebabkan tender baharu terpaksa dibuka. Projek jambatan tersebut disambung semula pada tahun 1976 setelah kontraktor baharu dilantik dan akhirnya jambatan tersebut selamat dirasmikan pada 24 April 1979 oleh Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Justeru, jambatan Kuala Selangor itu dinamakan sebagai Jambatan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah FT5.

Kita teruskan perjalanan kita ke Tanjung Karang pula. Tanjung Karang terletak 14.5 km dari bandar Kuala Selangor serta merupakan bandar kedua terbesar di daerah Kuala Selangor. Tanjung Karang turut menempatkan sebuah hospital kerajaan bagi daerah Kuala Selangor, menjadikan Kuala Selangor sebagai salah satu daerah di mana hospital daerah tidak terletak di ibu daerah. Tanjung Karang juga merupakan permulaan bagi zon jelapang padi di negeri Selangor yang berterusan sehinggalah ke Sabak Bernam. Zon jelapang padi Tanjung Karang-Sabak Bernam ini merupakan pengeluar beras ketiga terbesar di Malaysia selepas Dataran Kedah-Perlis (termasuk Seberang Perai dan barat laut Perak) dan Delta Kelantan. Sawah padi di kawasan ini diairi sebuah terusan besar yang dipanggil Ban Canal atau lebih dikenali sebagai "Bangkenal" oleh penduduk tempatan.

Tidak lama sebaik melepasi bandar Tanjung Karang, keadaan jalan yang memang kurang berapa elok bertambah teruk dengan tanah yang dikorek di kiri kanan jalan serta temboh Jersey plastik yang dipasang di sepanjang laluan, yang menandakan bermulanya pautan putus pertama Lebuhraya Pantai Barat (WCE) E32 dari Tanjung Karang sehingga selepas Jambatan Sungai Bernam di Perak.

Pemandangan sawah padi mula menghiasi lanskap di Jalan Klang-Teluk Intan FT5, di mana kami berhenti seketika di Padi Box Sekinchan untuk sarapan. Konvoi kami disambut oleh Yang Berhormat Budiman Mohd. Zohdi, Ahli Parlimen Sungai Besar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang. Kami disajikan dengan nasi lemak berserta telur mata kerbau dan tempe goreng. Jutaan terima kasih kepada YB Budiman atas layanan penuh budiman kepada seluruh peserta jelajah kali ini. Selain itu, terdapat sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang kebanyakannya terdiri daripada penunggang Kawasaki Versys yang turut menyertai konvoi kami sehingga ke Lekir.

Sebut tentang Padi Box Sekinchan ini, mungkin ramai yang tertanya-tanya apa dia. Padi Box Sekinchan ini merupakan sebuah homestay yang mana bilik-biliknya terdiri daripada kabin atau kontena yang diubah suai menjadi bilik. Ia dikelilingi sawah padi, menyajikan pemandangan yang begitu mengasyikkan dan mendamaikan. Sebenarnya ada banyak lagi homestay yang diusahakan oleh penduduk tempatan, tetapi saya boleh katakan Padi Box ini sebagai yang paling unik.

Selain sawah padi dan homestay, Sekinchan menempatkan sebuah kilang peralatan elektrik Khind-Mistral, sekaligus menyediakan satu lagi peluang pekerjaan kepada anak-anak Sekinchan. Jenama Khind bermula pada tahun 1961 apabila ia bermula sebagai sebuah kedai peralatan elektrik Kee Hin. Pengusahanya, Cheng King Fa kemudian memperkembangkan perniagaannya daripada sekadar menjual barangan elektrik kepada pengeluar peralatan elektrik pula. Pada tahun 2001, Khind membeli syarikat peralatan elektrik Mistral dari Australia, dan kini Khind merupakan antara syarikat peralatan elektrik tempatan terbesar di Malaysia.

Seterusnya kita ke bandar Sungai Besar pula. Sungai Besar merupakan bandar terbesar di daerah Sabak Bernam. Selain itu, kebanyakan pejabat kerajaan di daerah Sabak Bernam juga terletak di Sungai Besar meskipun ibu daerah sebenar Sabak Bernam ialah pekan Sabak. Bandar Sungai Besar juga nampak begitu maju, siap ada KFC dan McDonald's. Sementara itu, pekan Sabak yang terletak tidak jauh dari Sungai Besar agak tersorok sedikit dari jalan FT5. Pusat bandar Sungai Besar juga bukanlah betul-betul di tengah-tengah FT5 tetapi kena masuk ke dalam sedikit. Kenapa boleh jadi begitu...? Sebenarnya, ada sebatang jalan yang dipanggil Jalan Lama Kuala Selangor yang menghubungkan kedua-dua pusat bandar tersebut, yang mana saya percaya merupakan jalan asal dari Sabak Bernam ke Kuala Selangor sebelum jalan FT5 yang benar-benar teratur dibina. Jalan Lama Kuala Selangor kini diwartakan sebagai Jalan Negeri Selangor B53.

Jalan super four dari Klang akhirnya menyempit menjadi dua lorong sebaik selepas simpang ke hospital Sabak Bernam. Di situ, kerja-kerja pembinaan bagi projek naik taraf kepada jalan raya kembar semakin rancak. Kami akhirnya selamat memasuki negeri Perak setelah melalui Jambatan Sabak Bernam FT5.

Sebaik sahaja melalui Jambatan Sungai Bernam terdapat satu selekoh 90 darjah di mana kerja-kerja naik taraf tamat. Di selekoh tersebut, sebuah persimpangan bertingkat bagi melencongkan lalu lintas FT5 masuk kembali ke WCE E32 sedang dibina. Dari selekoh 90 darjah tersebut sehingga ke Simpang Empat Hutan Melintang, jalan FT5 berubah menjadi jalan raya kembar, tetapi ia dibina mengikut piawaian JKR R4, bukannya R5. Sepanjang jalan tersebut sehingga ke Simpang Empat Hutan Melintang, keadaan jalan masih tidak berapa cantik dan ada banyak tampalan, tetapi sekurang-kurangnya lebih bagus daripada jajaran Kuala Selangor-Sabak Bernam sebelum ini. Sebaik di Simpang Empat Hutan Melintang, laluan FT5 dilencongkan ke kanan, iaitu ke arah Teluk Intan; jika anda jalan terus, anda akan melencong ke arah Bagan Datoh melalui Jalan Persekutuan 69. Semasa di Simpang Empat, Dato' Roslan ada memberitahu mengenai projek Jambatan Bagan Datoh sepanjang 1.06 km berharga RM350 juta. Sebaik jambatan tersebut siap kelak, ia akan merampas kedudukan Jambatan Sultan Yussuf FT5 sebagai jambatan paling hampir dengan muara Sungai Perak. Namun, Jambatan Sultan Yussuf FT5 sepanjang 1.5 km masih mengekalkan rekod sebagai jambatan terpanjang di Sungai Perak.

Kami akhirnya tiba di jajaran terakhir Jalan Klang-Teluk Intan FT5. Jajaran terakhir ini dilengkapi dengan lorong motosikal di kiri dan kanan jalan. Memandangkan jajaran ini pendek sahaja, tidak banyak yang dapat saya ceritakan mengenai jalan ini. Jalan Klang-Teluk Intan FT5 tamat di persimpangan Jambatan Sultan Yussuf FT5 yang terletak lebih kurang 8 km dari bandar Teluk Intan. Laluan FT5 dilencongkan ke Jambatan Sultan Yussuf FT5 yang merupakan sebahagian Jalan Sitiawan-Teluk Intan FT5; jika anda jalan terus dan tidak membelok ke kiri, anda akan memasuki Jalan Teluk Intan-Bidor FT58, yang akan saya ceritakan dalam episod kedua terakhir nanti.

Ikuti perjalanan kami seterusnya di Jalan Sitiawan-Teluk Intan FT5.

Bagi entri kali ini, semua gambar diambil oleh Aiman Ab. Majid kecuali jika dinyatakan sebaliknya. Terdapat beberapa bahagian bagi galeri gambar sepanjang jalan ini:-

  1. Assam Jawa-Sekinchan
  2. Sekinchan-Jambatan Sungai Bernam
  3. Jambatan Sungai Bernam-Simpang Empat Hutan Melintang
  4. Simpang Empat Hutan Melintang-Jambatan Sultan Yussuf




Memasuki Jalan Klang-Teluk Intan FT5 dari Assam Jawa - lanskap kampung yang mendamaikan




Masjid Kuala Selangor




Bandar Malawati, Kuala Selangor




Pemandangan dari atas Jambatan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah FT5 - kelihatan jeti nelayan di sini. Sebelum ini, jeti tersebut juga berfungsi sebagai jeti bagi feri penambang




Stesen penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan yang terselindung di sebalik rimbunan pohon kelapa




Panorama sawah padi yang menghiasi lanskap antara Tanjung Karang sehingga ke Sabak Bernam
(Gambar oleh Hezery)




Kami berhenti bersarapan sebentar di Padi Box Sekinchan
(Gambar oleh Hezery)




Menikmati nasi lemak dan tempe goreng di Padi Box Sekinchan
(Gambar oleh Abang Madu)




Saya amat mengagumi pemilik Padi Box Sekinchan yang berjaya menghasilkan sebuah homestay yang indah daripada kontena
(Gambar oleh Hezery)




Antara superbikers yang turut menyertai konvoi kami
(Gambar oleh Hezery)




Saya (Hezery) dan Aiman di Sekinchan
(Gambar oleh Hezery)




Upacara flag-off oleh Datuk Seri Fadillah dan YB Budiman
(Gambar oleh Hezery)




Suasana di pekan Sekinchan




Siap ada Burger King tu...!!!




KFC tak usah cakaplah, memang ada




Kilang peralatan elektrik Khind yang menawarkan peluang pekerjaan kepada anak-anak Sekinchan




Maklumat homestay berhampiran pun ada




Gambar Jalan Klang-Teluk Intan FT5 yang sempat kami ambil, itu pun disebabkan bas sedang berhenti




Suasana di bandar Sungai Besar, Sabak Bernam




McDonald's di Sungai Besar




Jalan masuk ke pusat bandar Sungai Besar




Papan tanda yang sudah rosak dan rebeh ini perlu diganti




Simpang masuk ke pekan Sabak




Stesen minyak Shell ini terpaksa ditutup bagi memberi laluan kepada projek naik taraf jalan FT5




Kerja pembinaan begitu rancak




Pusingan U untuk kembali ke Sabak Bernam merupakan petanda bahawa kami akan meninggalkan Selangor




Pemandangan dari atas Jambatan Sabak Bernam FT5




Selamat datang ke Perak




Terima kasih kepada anggota polis trafik yang mengiringi konvoi kami sepanjang perjalanan ke Lekir




Nampak tak selekoh 90 darjah itu...? Di situlah pautan putus pertama Lebuhraya Pantai Barat (WCE) E32 akan berakhir




Pekan Simpang Empat Hutan Melintang




Menghampiri simpang yang melencongkan FT5 - belok kanan untuk teruskan perjalanan melalui FT5; jalan terus akan membawa ke Bagan Datoh




Inilah simpangnya - jangan tersalah masuk!




Hanya tinggal 18 km untuk ke Teluk Intan, bermakna hanya tinggal 10 km sebelum Jalan Klang-Teluk Intan FT5 berakhir




Jajaran dari Simpang Empat Hutan Melintang ke simpang Jambatan Sultan Yussuf dilengkapi lorong motosikal




Dari sini boleh nampak Sungai Perak




Menghampiri penamat Jalan Klang-Teluk Intan FT5 - belok kiri untuk teruskan perjalanan melalui FT5; jalan terus akan membawa ke Teluk Intan melalui FT58




Penamat Jalan Klang-Teluk Intan FT5 di persimpangan Jambatan Sultan Yussuf FT5

No comments:

Post a Comment