Monday, May 28, 2018

FAQ pemasangan Fuel Gain Kit / Fuel Gain Kit installation FAQ



Kandungan kit pancitan bahan api Fuel Gain Kit


Salam sejahtera,

Seperti yang telah saya nyatakan dalam entri lepas, Blog Jalan Raya Malaysia kini telah dilantik sebagai pengedar bagi set kit pancitan bahan api motosikal kapcai Fuel Gain Kit (FGK) keluaran APT Touch Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Johor Bahru, Johor. Untuk membantu anda yang berminat untuk membeli set FGK dan seterusnya memasangnya pada motosikal anda, ada baiknya anda baca dahulu kompilasi soalan-soalan yang kerap ditanya (FAQ) mengenai FGK ini.

  1. Q: Apa itu Fuel Gain Kit (FGK)...?

    A: Fuel Gain Kit (FGK) merupakan satu kit ubah suai sistem pancitan bahan api bagi menggantikan karburetor, direka khusus untuk kegunaan motosikal kapcai 1 silinder 4 lejang bawah 130 cc. Ia merupakan hasil ciptaan Profesor Madya Dr. Ahmad Jais Alimin dan Ir. Dr. Hazrina Selamat bertujuan untuk membolehkan para pemilik motosikal menukarkan sistem karburetor motosikal masing-masing kepada sistem pancitan bahan api yang lebih jimat minyak, lebih mersa alam & lebih berkuasa tanpa perlu menukar motosikal baharu dengan harga yang paling mampu milik.

  2. Q: Di manakah saya boleh membeli set FGK ini...?

    A: Anda boleh membelinya dengan harga RM300 di ibu pejabat APT Touch Sdn. Bhd. di Taman Universiti, Johor Bahru ataupun secara atas talian di sini. Jika anda tinggal di Kuala Lumpur & Lembah Klang, anda boleh membeli set ready stock dengan menghubungi saya melalui PM laman Facebook rasmi Blog Jalan Raya Malaysia.

  3. Q: Motosikal manakah yang sesuai menggunakan FGK ini...?

    A: Majoriti motosikal kapcai & skuter 4 lejang 1 silinder sejukan udara jenis baring ke hadapan bawah 130 cc boleh menggunakan FGK ini. (Kemaskini: Model FGK untuk 2 lejang sudah boleh didapati) Namun, sudah ada pengguna yang berjaya memasang FGK pada motosikal Yamaha 135LC meskipun ia motosikal berenjin condong dan bukannya baring (sila rujuk jawapan bagi soalan berikutnya untuk mengetahui caranya.

    Motosikal yang disahkan boleh menggunakan FGK adalah seperti berikut:-
    • Semua model kapcai berkarburetor SYM
    • Honda EX5 / Wave 100
    • Honda Wave 110 / Wave Dash (model karburetor) / Wave Alpha
    • Honda Wave 125 / Honda Future (model karburetor)
    • Modenas Kriss 110 / Kriss 2 / CT110 / Kriss 120 / Ace 120
    • Modenas Kriss 100 / CT100 / Kriss MR1
    • Modenas Kriss MR2
    • Modenas X-cite 130 / GT128
    • Yamaha SR Lagenda / Lagenda 110 / Lagenda 115 (model berkarburetor)
    • Yamaha 135LC
    • Majoriti model kapcai Demak (kecuali model berenjin condong)

  4. Q: Bolehkan model motosikal berenjin 2 lejang menggunakan FGK...?

    A: Boleh. Nyatakan model FGK 2 lejang semasa membuat pesanan.

  5. Q: Adakah pemasangan FGK boleh membatalkan waranti motosikal saya...?

    A: Ya, pemasangan FGK boleh membatalkan waranti motosikal anda kerana anda menukarkan karburetor standard kepada pancitan bahan api. Justeru, jika anda begitu kisah akan waranti motosikal anda, tunggu sehingga tempoh waranti tamat (biasanya sekitar 10,000-20,000 km atau 1-2 tahun, yang mana dahulu) sebelum menggunakan FGK untuk mengelakkan kesulitan tuntutan waranti.

  6. Q: Apakah piawaian emisi yang dipatuhi oleh FGK...?

    A: FGK dijamin lulus Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Motosikal) 2003, bersamaan dengan piawaian Euro 2.

  7. Q: Berapa banyak penjimatan bahan api yang boleh dicapai setelah menggunakan FGK...?

    A: Anda akan berupaya menjimatkan sehingga 34% bahan api pada kelajuan 90 km/j, dengan penjimatan kos bahan api sehingga 25% berbanding karburetor. Namun harus diingat, kadar penggunaan bahan api sebenar amat bergantung kepada cara tunggangan pengguna sendiri, termasuklah kelajuan operasi, cara pecutan & nyahpecutan, berat penunggang (& pembonceng), tekanan angin tayar dsb.

  8. Q: Bolehkah motor Honda Cub C70 menggunakan FGK...?

    A: Honda Cub C70 menggunakan sistem elektrik 6V, jadi anda perlu menukarkannya kepada sistem elektrik 12V sebelum anda boleh menggunakan FGK. Penukaran kepada sistem 12V memerlukan anda menukar gelung stator, rektifier, bateri, sistem pendawaian & segala peralatan elektrik. Jika anda tidak menukar kepada sistem 12V, anda tidak boleh menggunakan sistem FGK kerana FGK memerlukan voltan 12 volt untuk beroperasi.

  9. Q: Bolehkah motor Yamaha 135LC menggunakan FGK...?

    A: Boleh. Caranya ialah dengan menggunakan badan pendikit (throttle body) Yamaha FZ150i ataupun Yamaha Y15Z & mengubah suai sambungan pendawaian ke sensor pengesan pendikit (TPS) & pemancit bahan api.

  10. Q: Bolehkah motor Suzuki Belang R150 (dan Suzuki FXR150) menggunakan FGK...?

    A: FGK kini sudah terbukti berjaya dipasang pada Suzuki Belang R150 ataupun FXR150. Seperti Yamaha 135LC, gunakan badan pendikit & pemancit Yamaha Y15ZR.

  11. Q: Motosikal saya menggunakan pili bahan api (petcock) kendalian vakum. Apa yang patut saya lakukan...?

    A: Ada motosikal yang menggunakan pili bahan api manual seperti Honda EX5, SYM Bonus 110 & Modenas Kriss 110, manakala ada pula yang menggunakan pili bahan api vakum seperti Honda Wave 125 & Yamaha Lagenda 110. Pili bahan api vakum hanya beroperasi setelah enjin dihidupkan, jadi ia akan menyebabkan bahan api disekat & menghalang pam bahan api menghasilkan tekanan bahan api yang diperlukan untuk menghidupkan enjin motosikal. Maka, pili bahan api ini mestilah dipintas atau digantikan dengan pili manual supaya tiada halangan terhadap aliran bahan api ke pam bahan api, membolehkan pam menghasilkan tekanan mencukupi untuk menghidupkan enjin.

    Jika motosikal anda menggunakan pili bahan api vakum, anda mesti memintas sambungannya (bermakna, talian bahan api tidak melalui pili bahan api vakum) jika ia boleh dipintas seperti Yamaha Lagenda 110 & Honda Wave 125. Jika pili bahan api vakum dipasang terus pada tangki, gantikannya dengan pili bahan api manual.

  12. Q: Saya tidak faham langsung tentang pemasangan wayar IPS+ & IPS-. Di manakan wayar-wayar tersebut sepatutnya disambungkan...?

    A: Arahan pemasangan FGK adalah berpandukan motosikal SYM Bonus 110 & Honda EX5. Jika diperhatikan pada rajah pendawaian Honda EX5, didapati bahawa wayar-wayar IPS+ & IPS- disambungkan pada wayar-wayar dari gelung pemicu CDI (pickup coil) pada gelung stator generator sebagai sensor kedudukan aci engkol (CKP).

    Sila rujuk jadual di bawah ini untuk kod warna wayar yang perlu disambungkan kepada wayar IPS+ & IPS- seperti berikut.


    Jenis motosikal
    IPS+
    (pickup coil +)
    IPS-
    (pickup coil -)
    Modenas Kriss 100 & semua motosikal Honda & SYM
    Biru-kuning
    Hijau
    Semua motosikal Yamaha
    Putih
    Merah
    Modenas Kriss 110, Kriss 2, Kriss SG, Kristar, Kriss 120, CT110
    Hijau
    Biru
    Modenas X-cite. GT128
    Biru
    Dibumikan ke casis


    Sekiranya motosikal anda selain daripada yang disenaraikan di atas, sila rujuk kepada mekanik bengkel motosikal terdekat untuk mengenal pasti wayar-wayar pickup coil motosikal anda.

  13. Q: Bolehkah model motosikal yang memang menggunakan pancitan bahan api dipasang FGK...?

    A: Tidak boleh, kerana motosikal anda itu menggunakan sistem pancitan bahan api yang lebih sempurna manakala FGK pula direka seringkas mungkin supaya boleh digunakan pada motosikal yang asalnya berkarburetor. ECU FGK hanya direka untuk mengendalikan maklumat daripada 2 sahaja sensor iaitu sensor kedudukan pendikit (TPS) & sensor kedudukan aci engkol (CKP). Motosikal anda pula menggunakan sama ada 4 sensor (seperti Honda EX5 FI dan Honda Future FI), 5 sensor (seperti SYM Sport Rider 125i) ataupun 6 sensor (seperti Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection & Modenas 118EFI).

  14. Q: Saya rasa bekalan elektrik motosikal saya macam tidak mencukupi setelah menggunakan FGK. Bagaimana saya boleh menambah baik sistem elektrik motosikal saya...?

    A: Terlebih dahulu, anda perlu menggunakan bateri dengan kadaran 7 Ah. Jika anda tidak dapat memperoleh bateri seumpamanya yang bersesuaian untuk motosikal anda, anda boleh pertimbangkan untuk menggunakan bateri model penghidup elektrik. Misalnya, jika anda menggunakan motosikal Modenas Kriss 110, gunakan bateri berkadaran 5 Ah seperti yang digunakan pada model penghidup elektrik. Rasionalnya kerana penghidup elektrik paling banyak memakan kuasa bateri, jadi kadaran bateri model penghidup elektrik paling sesuai untuk menampung keperluan elektrik FGK.

    Selain itu, anda boleh mempertimbangkan untuk menukar gelung stator generator motosikal anda kepada jenis lebih banyak teras supaya berupaya menghasilkan voltan nominal lebih tinggi. Di samping itu, anda juga boleh mempertimbangkan untuk menukar sistem pencahayaan motosikal anda kepada lampu-lampu LED terutamanya lampu kepala. Mentol lampu kepala LED pun ada dijual di Lazada, tetapi gunakannya atas risiko sendiri kerana anda berkemungkinan berdepan risiko disaman oleh JPJ.

  15. Q: Adakah motor yang dipasang dengan FGK mudah dihidupkan ketika sejuk...?

    A: Ya. Sistem pancitan lain menggunakan sensor suhu enjin (ECT) yang mengarahkan pemancit bahan api menambah bahan api sekiranya enjin sejuk, tetapi FGK pula menggunakan algoritma yang menambah bahan api selama beberapa ketika sebelum turun ke paras normal.

    Sekiranya motosikal anda sukar dihidupkan, cuba hidupkan semula dalam keadaan pendikit tidak dipulas. Jika masih tidak hidup juga, cuba hidupkan dalam keadaan pendikit dipulas separuh. Jika masih tidak hidup, cuba tukar palam pencucuh kepada palam baru yang bersih.

  16. Q: Saya ada masalah tidak cukup ruang untuk memasang set badan pendikit FGK. Apa yang patut saya buat...?

    A: Anda boleh cuba memendekkan rongga masukan FGK dengan memotongnya sedikit & mengimpalnya kembali sebelum cuba memasangnya semula. Bagi kes Honda Wave 125 ataupun Honda Future, cara kedua yang boleh anda cuba ialah menggunakan rongga masukan Honda Future FI.

  17. Q: Selepas memasang set FGK, saya mengalami masalah untuk memasang penapis udara asal. Apa yang patut saya lakukan...?

    A: Ada beberapa penyelesaian yang anda boleh cuba, sama ada mengubah suai kotak penapis udara, memendekkan sedikir rongga masukan, menggunakan rongga masukan lain yang sepadan (contohnya rongga masukan Honda Future FI bagi kes Honda Wave 125 & Honda Future), ataupun menggunakan penapis udara jenis open pod.

  18. Q: Memandangkan FGK tiada penapis bahan api, bolehkan saya memasang penapis bahan api semasa memasangnya...?

    A: Boleh, malah anda memang patut memasang penapis bahan api untuk mengelakkan pam bahan api & pemancit daripada tersumbat. Untuk memasangnya, kerat sedikit talian bahan api asal sebagai sambungan dari tangki bahan api ke penapis, & seterusnya gunakan talian bahan api pendek FGK untuk sambungan dari penapis bahan api ke pam bahan api.

  19. Q: Adakah sebarang cut-off atau pengehad RPM pada FGK...? Jika ada, berapa had RPM maksimum & bagaimana hendak membuang atau menaikkan had RPM...?

    A: FGK mempunyai had RPM maksimum 12,000 rpm, lebih tinggi daripada had RPM pada mana-mana motosikal kapcai 4 lejang 1 silinder jenis baring ke hadapan dengan talaan standard kilang. Namun, had RPM enjin tetap bergantung kepada cut-off pada modul CDI (penyalaan nyahcas kapasitor). Untuk menaikkan had RPM enjin, anda hanya perlu menggunakan CDI perlumbaan. Namun demikian, had RPM maksimum FGK tetap kekal 12,000 rpm, jadi jika anda menggunakan CDI perlumbaan dengan had RPM lebih tinggi, enjin motosikal anda akan jadi sebu selepas 12,000 rpm.

  20. Q: Bagaimana saya hendak menala sistem pancitan bahan api FGK ini...?

    A: Gunakan perisian Ignitus yang boleh dimuat turun di sini untuk menala ECU FGK. Untuk menyambung ECU FGK ke komputer, gunakan adapter USB yang disediakan dalam set FGK & gunakan kabel USB pencetak atau pengimbas untuk menyambungkannya ke komputer (kabel tidak disediakan; anda perlu membelinya sendiri di kedai komputer). Arahan penggunaan perisian Ignitus boleh dimuat turun di sini.

  21. Q: Bagaimana dengan penjagaan motosikal yang dipasang FGK ini...?

    A: Penjagaannya sama seperti motosikal pancitan bahan api biasa. Gunakan bahan api yang bersih. Jika anda menggunakan bateri basah, pastikan aras air bateri mencukupi. Sekiranya bateri mulai lemah, terus ganti bateri baharu kerana bateri yang lemah akan menyebabkan bekalan elektrik tidak mencukupi untuk operasi pam bahan api. Anda juga digalakkan untuk menggunakan bahan pencuci pemancit bahan api ke dalam tangki minyak.

  22. Q: FGK ini tiada lampu Periksa Enjin, jadi bagaimana hendak mengetahui kerosakan komponen pada FGK ini...?

    A: FGK tidak menggunakan lampu Periksa Enjin kerana ia menggunakan hanya dua sahaja sensor iaitu sensor kedudukan pendikit (TPS) & sensor kedudukan aci engkol (CKP) yang merupakan gelung pemicu CDI (CDI pickup coil) sedia ada.

    Tanda-tanda kerosakan bagi komponen-komponen sistem FGK adalah seperti berikut:-

    • Sensor TPS rosak - sekiranya kelajuan enjin tidak berubah walaupun anda sudah memainkan pendikit. Cuba betulkan sambungan & uji semula, jika masih berterusan, anda perlu tukar 1 set badan pendikit.
    • CDI pickup coil rosak - jika enjin tidak boleh dihidupkan. Cuba terbalikkan sambungan wayar IPS, mungkin sambungan yang salah menyebabkan enjin tidak boleh dihidupkan setelah pemasangan. Jika masih tidak hidup, cuba uji bunga api palam pencucuh dengan mencabut palam pencucuh daripada enjin, memasang kepala palam pencucuh, menyentuhkan palam pencucuh ke badan enjin & sambil menyentuhkan palam pencucuh ke badan enjin, hidupkan enjin menggunakan penghidup tendang. Jika tiada bunga api, boleh jadi kerosakan pada CDI ataupun pickup coil.
    • Pam bahan api rosak - sekiranya tiada bunyi pam bahan api sebaik kunci diputarkan ke posisi On. Juga sekiranya bacaan tolok tekanan bahan api kurang daripada 290 kPa atau 2.9 bar semasa ujian tekanan bahan api.
    • ECU rosak - sekiranya ia gagal dikesan oleh perisian Ignitus setelah disambungkan ke komputer.

    Sekiranya berlaku tanda-tanda kerosakan yang disebutkan di atas, sila hubungi APT Touch Sdn. Bhd. di 016-7214542 untuk membeli komponen-komponen gantian. Juga, hubungi nombor sama sekiranya anda ada soalan lain mengenai FGK.

5 comments:

  1. pada pendapat saya.product ni ok just managment agak smpah.product rosak pn boleh lepas.bukan sy sorang je kene tapi kene pada pengguna yg dah berjaya tp sebelumnya kena masalah mcm sy.mule2 nak support.tp bile brg beli dah pasang tp x boleh pkai.dapat claim skali je pastu claim balik x bleh sbb warranty tamat tempoh.eh...kepale babi betol ingat 300 tu korek pepek je dapat...?nk claim blik kne beli baru..memang fuck tahap sial.sekian dr aku.smpai skrg pn brg masih x siap sbb kene beli baru ecu dh x lepas claim.korang memang keturunan babi FGK

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maaf atas kesulitan yang anda hadapi.

      Untuk makluman anda, sebenarnya memang ada pelanggan FGK yang membuat tuntutan waranti bukan sekali, tetapi 3 kali sehingga berjaya - ECU 2 kali, abah-abah pendawaian sekali. Tetapi kesemuanya dilakukan dalam tempoh sebulan. Kuncinya di sini ialah pengurusan masa. Jadi apa yang patut dilakukan...? Terus pasang sebaik sahaja barang sampai, jangan tunggu lagi. Sekurang-kurangnya, apa sahaja masalah semasa pemasangan dapat dikesan segera & tindakan pembetulan (termasuk tuntutan waranti) dapat dilakukan segera. Tindakan sama juga semasa membuat tuntutan waranti, dapat alat gantian terus pasang, jangan tunggu.

      Jadi sila ambil beberapa tindakan berikut supaya anda tidak berdepan dengan kesulitan bagi menuntut waranti:-

      1.) Pastikan anda mendapat resit pembelian berserta tarikhnya.
      2.) Sebaik sahaja barang sampai, terus guna, jangan tunggu lagi.
      3.) Jika produk yang digunakan itu bermasalah, terus laporkan segera supaya tindakan pembetulan termasuk tuntutan waranti dapat dilakukan segera.
      4.) Bagi tuntutan waranti yang berjaya, sebaik sahaja alat gantian sampai, terus pasang & jangan tunggu lagi. Jika bermasalah juga, terus laporkan supaya dapat ditukarkan dengan alat gantian baru yang berfungsi.
      5.) Paling penting, masa itu emas, jadi jangan sekali-kali berlengah dalam urusan membuat tuntutan waranti. Bak kata pepatah, kerja bertangguh tidak menjadi. Harus diingat bahawa tempoh waranti tidak akan dilanjutkan walau sehari atau 1 km, jadi bertindak segera tanpa bertangguh.

      Nasihat ini bukan sahaja untuk FGK, tetapi juga untuk kesemua barangan lain termasuklah motosikal & kereta.

      Diharap pengalaman anda ini dapat dijadikan iktibar supaya tidak berlengah-lengah dalam tuntutan waranti.

      Delete
  2. wiring tps y15zr utk msuk ke wiring fgk ni cmne ye... sye pkai lc v1

    ReplyDelete
  3. Jika fuel coil baru dan original dipasang tetapi tetap tak hasilkan sebarang api..apa masalah sebenarnya ya ?

    ReplyDelete
  4. Sambungan...fuel coil pada kriss mr2 dah dipasang fuel coil baru dan original tetapi tak hasilkam sebarang api..apa masalahnya yaa

    ReplyDelete