Friday, May 1, 2015

Mythbuster: Tayar celup membahayakan nyawa pengguna jalan raya - mitos terbukti benar...!!! / Retread tyres endanger the lives of road users - myth confirmed...!!!



Bunga tayar celup yang tertanggal di tengah-tengah jalan berupaya menjadi jerangkap samar terhadap pengguna jalan raya yang lain khususnya penunggang motosikal


Salam sejahtera,

Sejak sebulan dua ini, isu mengenai penggunaan tayar celup oleh kenderaan berat yang membahayakan pengguna jalan raya sering menghiasi dada akhbar. Apa tidaknya, terdapat banyak tinggalan puing-puing bunga tayar celup di atas jalan raya yang ditinggalkan oleh kenderaan berat, yang seterusnya menjadi jerangkap samar yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain, khususnya penunggang motosikal. Sebab itulah terdapat suara-suara yang lantang mendesak kerajaan agar mengharamkan penggunaan tayar celup ini.

Apa itu tayar celup...? Tayar celup bermaksud tayar yang dikitar semula dengan memasang bunga baharu bagi menggantikan bunga lama yang sudah haus. Penggunaannya popular di kalangan kenderaan berat disebabkan harga tayar baharu yang sangat mahal - memanggil mekanik untuk membuka tayar sahaja pun sudah memerlukan ongkos sejumlah ratusan ringgit, apatah lagi membeli tayar baharu yang harganya mencecah ribuan ringgit. Kos untuk menghasilkan tayar celup hanya sekitar 20% daripada kos pembuatan tayar baharu, serta mengekalkan 90% daripada bahagian tayar lama. Selain itu, terdapat negara yang mewajibkan penggunaan tayar celup atas alasan lebih mesra alam dan menjimatkan penggunaan getah - bermaksud kurang hutan yang perlu digondolkan untuk dijadikan ladang getah.




Dua jenis proses pembuatan tayar celup, iaitu pre cure dan mold cure


Terdapat dua jenis proses pembuatan tayar celup, iaitu proses pre cure dan mold cure. Proses pre cure dilakukan dengan membuang bunga tayar lama, membersihkan tapak bunga tayar dan seterusnya melekatkan bunga tayar baharu yang memang sudah siap diacu dan divulkankan. Proses pre cure memerlukan modal awal yang sangat rendah, jadi kaedah pre cure merupakan kaedah pembuatan tayar celup yang paling lazim digunakan. Namun, tayar celup jenis pre cure mempunyai beberapa kelemahan tersendiri:-
  1. Penghujung bunga tayar tidak bercantum dengan baik, sekaligus memberi kesan terhadap sifat cengkaman dan saliran air hujan
  2. Kekuatan gam yang digunakan untuk melekatkan bunga tayar adalah diragui - boleh jadi terlalu lemah sehingga menyebabkan bunga tayar mudah tertanggal. Kecenderungan bunga tayar untuk tertanggal memang tinggi kerana kilasan yang terhasil pada tayar lori sangat tinggi.
  3. Usia sebenar tayar boleh diragui - selalunya, pengeluar tayar celup terkemuka sentiasa memeriksa keadaan tayar terlebih dahulu sebelum diberikan bunga baharu. Namun, ada kalanya usia tayar yang digunakan itu terlalu lama dan ada yang menampakkan kesan-kesan merekah, yang menjadikannya tidak lagi selamat untuk digunakan

Kaedah kedua ialah kaedah mold cure. Proses mold cure pula dilakukan dengan melilitkan getah baharu yang belum divulkankan pada tapak tayar lama yang sudah dibersihkan daripada bunga lama. Seterusnya, tayar dimasukkan ke dalam acuan untuk divulkankan serta mengecap bunga baharu. Hasilnya, kualiti tayar yang terhasil adalah paling menghampiri tayar baharu kerana ia memang benar-benar menggunakan getah baharu, dan lekatan yang terhasil antara lapisan bunga dan tapak taya terbentuk daripada getah baharu yang mencair semasa di dalam acuan. Namun, proses pembuatan sebegini lebih mahal daripada proses pembuatan tayar celup jenis pre cure.

Jadi, selamatkah penggunaan tayar celup ini sebenarnya...? Jawapannya ialah ya dan tidak. Jika tayar celup dibuat mengikut piawaian kawalan kualiti yang begitu ketat (MS 224: Specification for Retreading of Pneumatic Rubber Tyres for Passenger Car and Commercial Vehicle), ia memang selamat untuk digunakan - dengan syarat, anda tahu membezakan yang mana tayar celup asli dan yang mana tayar celup tiruan. Tayar celup tiruan pula sememangnya tidak selamat kerana tayar lama yang digunakan berkemungkinan sudah mula luput, merekah dan tidak selamat untuk digunakan lagi - tayar hanya sesuai digunakan dalam tempoh sehingga lima tahun selepas tarikh pengeluaran. Paling penting, tayar celup selalunya tiada jaminan pengeluar kerana secara teknikalnya tayar celup itu sendiri memang boleh dikategorikan sebagai tayar terpakai - maka, jika tayar celup lori anda tiba-tiba pecah di tengah jalan, anda tidak boleh membuat sebarang tuntutan waranti daripada pengeluar tayar celup.




Tayar celup yang nyaris meragut nyawa Encik Lando Zawawi di KL MRR2 FT28, Hulu Klang
(Kredit kepada: Encik Lando Zawawi)


Sebenarnya, kebimbangan pengguna jalan raya khususnya pengguna motosikal tentang bahaya penggunaan tayar celup oleh kenderaan berat memang ada asasnya, dibuktikan melalui puing-puing bunga tayar yang tertinggal di tengah jalan, dan ada kalanya ia menjadi punca kemalangan maut yang mengorbankan penunggang motosikal yang tidak sempat mengelak. Malah, Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan Amerika Syarikat (NHTSA) sendiri turut mengakui akan bahaya puing-puing bunga tayar celup yang berupaya menjadi jerangkap samar yang membahayakan pengguna lebuh raya Interstate. Encik Lando Zawawi, jurucakap kumpulan motosikal Brotherhood, juga pernah nyaris-nyaris kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28 dekau Hulu Klang semasa hendak mengelak serpihan tayar celup lori yang tertanggal dan tercabut bunganya. Begitulah dalil bagaimana berbahayanya penggunaan tayar celup cap ayam berkualiti cikai ini. Pun begitu, masih ada pihak yang masih mempertahankan tayar celup seperti Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, seolah-olah tayar celup tidak pernah langsung mengakibatkan kemalangan maut, sedangkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri pun menunjukkan bahawa memang ada kes kemalangan maut yang berpunca daripada penggunaan tayar celup cap ayam itu.






Kesimpulannya, mitos yang mendakwa bahawa penggunaan tayar celup mengancam keselamatan nyawa pengguna jalan raya terbukti benar sama sekali. Meskipun masih ada jenis tayar celup yang selamat, namun berita-berita tentang bagaimana tayar celup boleh menjadi ancaman terhadap keselamatan pengguna jalan raya juga tidak seharusnya dipandang enteng kerana ia melibatkan nyawa pengguna jalan raya yang lain. Justeru, kepada para pemandu lori sekalian, apa yang patut anda semua lakukan sekiranya bajet anda hanya mengizinkan anda untuk menggunakan tayar celup sahaja...? Hanya beli tayar celup daripada kedai-kedai pengedar asal bagi jenama-jenama tayar terkemuka sahaja (seperti Bridgestone, Michelin, Goodyear dan Continental). Tayar-tayar celup yang memang dikeluarkan oleh para pengeluar asal tayar itulah yang selamat digunakan di atas jalan raya kerana mereka mengamalkan piawaian pengeluaran tayar celup yang ketat. Jangan sekali-kali membeli tayar celup dari bengkel bawah pokok, kerana tayar-tayar sebegitu boleh jadi sudah luput dan merekah. Paling penting, terus tukar tayar anda kepada tayar baharu jika usia tayar tersebut sudah mencecah 5 tahun daripada tahun pengeluaran asal tayar, walaupun ketika bunga tayar celup anda masih tebal lagi. Penggunaan tayar yang betul bukan sahaja melindungi pengguna jalan raya lain daripada risiko kemalangan, malah ia juga boleh membantu menjimatkan penggunaan bahan api. Selain itu, jangan pandu pada kelajuan melebihi 80-90 km/j di lebuh raya ekspres, untuk mengurangkan kecenderungan kerosakan pada lapisan gam yang mengikat bunga tayar baharu. Anda mampu mengubahnya.

5 comments:

  1. Salam saudara Shinoda!

    Saya pengguna Lagenda 115Z EFI, saya baru servis kali ke 3 (11000mileage) tukar minyak engin dari yamalube fully syntentic kepada shell AX7 + JTX5000. Penapis minyak original juga baru tukar. Berikut adalah masalah dan soalan saya :-

    1) Klau 3-4 hari x start enjin, pagi berikutnya susah nak start enjin lebih seminit cuba baru ok, bukan ke klau Fuel Injection ni masalah berikut x berlaku lebih2 lagi baru lepas servis?
    2) Pagi-pagi lepas start enjin bunyi "klok" , "klok" kat bahagian enjin, bunyi apa itu? Top speed sy cuba hanya dapat 110km/h - 112km/h ada kaitan dengan masalah tu?
    3) Ada masalah x selalu bertukar antara semi syntentic dan fully syntentic? Pernah dengar kat radio kata x boleh..
    4) Apakah jenama minyak hitam fully syntentic yg pd pandangan saudara paling baik dari segi prestasi dan tempoh mileage? Motul? Total ? Daytona? Shell dll?
    5) Pandangan saudara dengan FSR Tech ECU ??

    Harap ada maklum balas dari saudara, Sekian terima kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam,

      1.) Enjin pancitan bahan api sepatutnya mudah untuk dihidupkan pada awal pagi. Jika anda mengalami masalah enjin susah hidup selepas beberapa hari tidak dihidupkan, ia mungkin berpunca daripada tekanan petrol yang tidak cukup kuat, kerana dalam tempoh sebegitu lama itu kesemua tekanan petrol mungkin sudah dilegakan sepenuhnya. Untuk memperoleh tekanan secukupnya, pusing kunci ke posisi On dan dengar bunyi pam bahan api sehingga ia berhenti. Kemudian pusing semula ke posisi Off. Ulang prosedur tadi sebanyak 3 kali lagi sebelum anda betul-betul menghidupkan enjin.
      2.) Saya tidak pasti apa sebab bunyi "klok klok" itu, anda perlu bertanya dengan mekanik untuk mengetahuinya. Mengenai kelajuan maksimum, anda hanya akan dapat mencapai kelajuan maksimum selepas 20,000 km.
      3.) Enjin anda masih baharu, jadi sepatutnya tiada masalah untuk bertukar-tukar antara minyak semi-sintetik ataupun sintetik penuh.
      4.) Untuk minyak enjin sintetik, saya cadangkan Motul.

      Delete
    2. 5.) Mengenai ECU FSR Tech, ia merupakan ECU boleh aturcara pertama bagi Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection. Namun, anda perlu banyak belajar mengenai pelbagai perkara teknikal seperti kelajuan melahu, nisbah bahan api-udara, sudut pemasaan penyalaan palam pencucuh, dsb.

      Delete
  2. Terima kasih byk, nak tanya satu lg kenapa rantai cepat sangat kendur? Sebulan dah kena betulkan, masa baru beli dlm 3 bulan sbb x perasan rantai tercabut terus bengkok kena tukar baru, memang motor yahama baru camtu ke? Yamaha sport 100 sy sbelum ni 8-12 bulan ok je, ada cara x atau alat tambahan utk lambatkan kendur rantai,klau ada brape harganya, sekian

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection lebih laju daripada Yamaha Sports 100, jadi sudah tentulah Lagenda FI lebih cepat kendur berbanding Yamaha Sports. Namun, anda boleh mengekalkan tegangannya secara automatik dengan memasang auto tensioner, tak silap saya ia berharga sekitar RM95.

      Delete