Saturday, December 15, 2018

Mobiliti Elektrik Bahagian 1: Stesen pengecas EV berkuasa solar pertama di Lebuhraya Utara-Selatan E2 / Electric Mobility Part 1: The first solar-powered EV charging station at North-South Expressway E2




Salam sejahtera,

Malaysia merupakan salah satu daripada 11 buah negara yang berkeupayaan mengeluarkan kereta sendiri bermula dari peringkat lakaran reka bentuk. Status tersebut adalah hasil daripada penubuhan dua syarikat kereta nasional iaitu Proton dan Perodua, serta syarikat motosikal nasional Modenas (Demak juga pengeluar motosikal nasional, tetapi sudah pun ditutup pada pertengahan tahun 2018). Ironinya, Malaysia ternyata jauh ketinggalan dalam perkembangan teknologi automotif. Buktinya, Perodua hanya menghentikan pengeluaran Perodua Kancil pada tahun 2009, menjadikan Kancil sebagai model kereta berkarburetor terakhir di Malaysia yang dihentikan pengeluarannya. 




Perodua Kancil merupakan model kereta berkarburetor terakhir yang dihentikan pengeluarannya


Tatkala Thailand mengeluarkan motosikal kapcai pancitan bahan api pertama di dunia pada tahun 2003 melalui Honda Wave 125i, Malaysia hanya mula mengeluarkan motosikal pancitan bahan api sulung pada tahun 2013 melalui Modenas 118EFI diikuti Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection. Terkini, tatkala Jerman sedang giat berusaha menjadi negara pertama yang berhijrah kepada kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya menjelang tahun 2030, EV amat jarang kelihatan di jalan raya Malaysia, meskipun Malaysia mempunyai beberapa pengeluar motosikal elektrik seperti Eclimo, Treeletrik & Modenas.

Di manakah silapnya sehinggakan Malaysia yang ada dua syarikat kereta nasional dan sebuah syarikat motosikal nasional boleh jauh ketinggalan dalam bidang teknologi automotif...? Ada dua pihak yang seharusnya dipersalahkan. Pihak pertama yang dipersalahkan sudah tentulah kerajaan kerana terlalu lama memberikan perlindungan berlebihan kepada syarikat automotif tempatan sehingga ke tahap menyekat inovasi kerana terlalu lama berada dalam zon selesa tanpa persaingan yang adil. Jika ada pun insentif daripada kerajaan bagi menggalakkan pembangunan teknologi automotif yang hijau dan mesra alam, ia sekadar umpama melepaskan batuk berkahak hijau di tangga sahaja. Sembang kononnya mahu mengurangkan 40% pelepasan karbon menjelang 2020 tetapi hanya mula menguatkuasakan piawaian emisi Euro 4 pada tahun 2016 tatkala negara-negara Eropah sudah memasuki Euro 6. Sembang kononnya mahu menggalakkan penggunaan EV, tetapi stesen pengecas tidak pula didirikan secara giatnya. Paling kasihan sudah tentulah pengeluar EV tempatan kerana pelaksanaan dasar menggalakkan penggunaan EV oleh kerajaan sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja.

Pihak kedua yang patut dipersalahkan atas kelembapan negara dalam mengikuti perkembangan teknologi automotif hijau ialah rakyat Malaysia sendiri yang begitu skeptikal terhadap teknologi hijau baharu, terutamanya jika ia dibangunkan oleh orang Malaysia sendiri. Tatkala mekanik bawah pokok di Indonesia rata-ratanya tahu mencuci pam bahan api motor pancitan bahan  api elektronik (EFI) yang tersumbat & menggodek-godek PC untuk menala unit kawalan enjin (ECU), mekanik kita masih lagi bercerita tentang karburetor paling besar yang boleh dipadankan pada sesebuah model motosikal. Tambah menyedihkan, ada mekanik yang menawarkan khidmat menurun taraf sesebuah motor EFI kepada karburetor, meskipun ia terang-terangan salah di sisi undang-undang. Bagaimana pula dengan motosikal elektrik keluaran tempatan...? Selain skuter elektrik Eclimo yang digunakan oleh KFC, rasanya itu sahajalah motosikal elektrik keluaran tempatan yang sering saya lihat di jalan raya Malaysia.




Modenas CTric sudah lama dilancarkan pada tahun 2011, tetapi masih tidak kelihatan di jalan raya Malaysia
(Kredit gambar: funtasticko.net)




Selain di KFC, rasanya itu sahajalah lokasi untuk menemui motosikal elektrik di Malaysia


Persekitaran di Malaysia sekarang telah mewujudkan situasi "ayam dan telur" yang menyukarkan penembusan EV di Malaysia. Hendak bawa masuk EV, stesen pengecas tak ada. Hendak dirikan stesen pengecas, tidak berbaloi kerana bilangan pengguna EV terlalu kurang, lebih rare daripada motosikal Yamaha RX-Z yang dianggap rare di kalangan mat-mat motor. Namun, mujurlah ada pihak yang berhasrat mahu menghentikan kitaran "ayam dan telur" ini, iaitu Malaysian Green Technology Corporation aka GreenTech Malaysia, sebuah badan di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA; kini Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim).

GreenTech Malaysia merupakan pihak yang paling agresif mempromosikan penggunaan EV di Malaysia, termasuklah mendirikan stesen-stesen pengecas EV di seluruh negara. Mereka juga turut bekerjasama dengan beberapa pengeluar EV seperti Nissan, Mitsubishi, BMW & Renault untuk membawa masuk model-model EV mereka di Malaysia. Selain itu, mereka turut menjadi wakil mengedar bagi kereta Tesla Model S, sama ada menyewakannya bagi tempoh tertentu ataupun jualan secara sewa-beli. Setakat Jun 2018, terdapat lebih 1,000 buah kereta elektrik dan 249 stesen pengecas, di mana 150 daripadanya terletak di Lembah Klang.

Pada 13 Disember 2018, saya dijemput oleh PLUS Malaysia bagi menyaksikan majlis perasmian stesen pengecas EV berkuasa solar pertama di Malaysia. Ia terletak di Restoran Jejantas Ayer Keroh Arah Selatan di Lebuhraya Utara-Selatan E2. Stesen pengecas solar ini didirikan hasil kerjasama GreenTech Malaysia dengan PLUS Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pembangunan Industri (UNIDO). Lihatlah betapa seriusnya GreenTech Malaysia mahu membudayakan penggunaan EV sehingga ke tahap bekerjasama dengan sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dalam perjalanan ke Restoran Jejantas Ayer Keroh, saya berpeluang menikmati pengalaman menaiki kereta Tesla Model S, yang mana saya akan tulis reviu mengenainya dalam episod kedua entri ini nanti. Majlis perasmian disempurnakan oleh Datuk Azman Ismail, Pengarah Urusan PLUS Malaysia, dan juga Tuan Syed Ahmad Syed Mustafa, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech Malaysia.

Stesen pengecas EV ini mendapat tenaganya daripada panel solar yang memayungi bukan sahaja stesen pengecas ini sahaja tetapi juga parkir motosikal yang terletak di seberang jalan dari stesen tersebut. Tenaga elektrik arus terus (DC) yang dikumpulkan daripada panel solar tersebut kemudian disimpan ke dalam pek bateri sebelum ditukarkan kepada arus ulang-alik (AC) oleh inverter bagi bekalan elektrik sepanjang hari di stesen pengecas ini. Stesen pengecas ini mampu mengecas dua buah kereta elektrik serentak, sama ada menggunakan soket IEC62196 Jenis 2 (AC 3 fasa 400 V 16 A) bagi pengecasan biasa, ataupun soket pengecas pantas CHAdeMO (DC 480 V 125 A). Contoh kereta yang menggunakan soket IEC62196 Jenis 2 ialah Tesla Model S dan juga kereta-kereta elektrik buatan jenama-jenama Eropah, manakala soket CHAdeMO pula digunakan oleh kereta-kereta elektrik buatan Jepun seperti Nissan Leaf & Mitsubisi i-MIEV.






Gambar rajah pin bagi plag IEC62196 Jenis 2 (atas) dan plag CHAdeMO (bawah)




Dari kiri ke kanan: Plag pengecas IEC62196, CHAdeMO & Sistem Pengecas Gabungan (CCS)







Pengarah Urusan PLUS Malaysia, Datuk Azman Ismail, mendemonstrasikan cara mengecas kereta Tesla Model S menggunakan plag IEC62196 Jenis 2 (atas) & kereta Nissan Leaf menggunakan plag CHAdeMO (bawah)

Trivia: Nama CHAdeMO merupakan kependekan bagi "CHArge de MOve" yang menunjukkan bahawa ia merupakan format pengecas pantas. Ia juga diambil daripada frasa Jepun, "お茶でもいかがですか?" yang bermaksud "kita mengeteh dulu boleh?"

Langkah GreenTech memperkenalkan stesen pengecas suria ini sangat bijak, kerana pasti akan ada pihak yang memperlekehkan usaha membina stesen-stesen pengecas dengan alasan kononnya hendak menjana elektrik untuk mengecas kereta EV pun menggunakan bahan api fosil yang mencemar alam sekitar. Mereka lupa bahawa TNB juga menjana elektrik menggunakan tenaga boleh baharu seperti loji hidroelektrik. Terbaru, TNB baru sahaja menyiapkan projek ladang solar terbesar di Malaysia berkeluasan 98 hektar di Mukim Tanjung 12, Sepang, Selangor, dengan kapasiti maksimum 73.2 MW.




Ladang solar di Mukim Tanjung 12, Sepang, Selangor merupakan projek ladang solar terbesar di Malaysia


Selain Restoran Jejantas Arah Selatan, PLUS & GreenTech juga sedang merancang untuk membuka lima lagi stesen pengecas EV berkuasa solar di sepanjang rangkaian lebuh raya ekspres kendalian PLUS Malaysia, iaitu di R&R Pagoh (arah selatan), R&R Tapah (arah selatan), R&R Dengkil (arah selatan), R&R Gunung Semanggol (arah utara) & R&R Seremban (arah utara). Inisiatif sebegini selaras dengan Pelan Hala Tuju Hijau PLUS 2018-2020, yang menjadikan perjalanan jarak jauh menaiki kereta elektrik tidak lagi menjadi kerisauan pengguna EV, ditambah pula dengan keupayaan beberapa model kereta elektrik sekarang yang kini sudah mula mampu mencatatkan perjalanan setangki penuh petrol dalam sekali cas.

Namun, masih terdapat dua kerisauan saya yang perlu ditangani bagi membolehkan orang ramai berasa yakin untuk menggunakan EV. Pertama, bagaimana pula dengan motosikal elektrik yang pastinya mempunyai jarak perjalanan yang lebih pendek bagi sekali cas penuh...? Modenas CTric misalnya hanya mampu bergerak antara 30-50 km bagi sekali cas penuh. Ada 2 cara yang boleh dilaksanakan bagi memberi kemudahan kepada penunggang motosikal elektrik. Pertama, dirikan stesen mengecas motosikal di setiap hentian sebelah dan hentian rehat & rawat yang terdiri daripada beberapa petak parkir motosikal, beberapa biji soket 13 A biasa dan wakaf bagi membolehkan pengguna motosikal elektrik tidur sebentar, memandangkan masa mengecas motosikal elektrik adalah begitu lama - dan masa mengecas terlalu lama itulah yang menyebabkan motosikal elektrik kurang sambutan. Cara kedua yang lebih pantas pula ialah mendirikan stesen menukar bateri bagi menukar pek bateri yang sudah kehabisan kuasa dengan pek bateri yang sudah penuh dicas - konsep sama seperti menukar tong gas. Cuma masalah yang bakal timbul ialah pek bateri bagi model-model motosikal elektrik yang dijual di Malaysia tidak seragam & tidak sama saiz.




Lain pengeluar, lain bentuk bateri motosikal elektrik - ini bateri Modenas CTric


Kerisauan kedua saya ialah bagaimana pula dengan pengguna jalan persekutuan...? Soalan ini saya ajukan sendiri kepada Tuan Syen Ahmad sendiri. Menurut beliau, setakat ini pihak GreenTech belum menemui sebarang penyelesaian mengenai formula yang boleh diguna pakai bagi pengguna jalan persekutuan, yang mana memang ada logiknya. Lebuh raya ekspres merupakan persekitaran yang begitu terkawal, jadi GreenTech dapat menganggarkan jumlah sebenar stesen pengecas yang diperlukan bagi mencapai tahap mobiliti tanpa had melalui lebuh raya ekspres. Persekitaran di jalan persekutuan juga tidak begitu terkawal, jadi adalah sukar untuk mengagak keperluan bagi stesen mengecas. Namun, ada wakil GreenTech yang memaklumkan kepada saya bahawa Greentech ada perancangan untuk mendirikan stesen-stesen pengecas di Sarawak setelah Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 siap, yang mana Lebuhraya Pan Borneo FQA1 itu sendiri sememangnya jalan persekutuan. 

Jadi bagaimana hendak mendirikan stesen pengecas di jalan persekutuan...? Cadangan saya, tumpukan kepada laluan utama sahaja seperti laluan tulang belakang (Jalan Persekutuan 1, 2, 3, 4 & 5) dan beberapa jalan persekutuan yang menjadi laluan utama seperti Lebuhraya Tun Razak FT12, Jalan Persekutuan 8 & Jalan Raya Utama Tengah (CSR) FT34. Bagi tujuan ini, GreenTech Malaysia boleh cuba dapatkan kerjasama dengan agensi milik kerajaan negeri. Misalnya, hentian-hentian rehat di sepanjang Lebuh AMJ FT19 dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), jadi GreenTech boleh bekerjasama dengan PKNM untuk mendirikan stesen pengecas di Lebuh AMJ FT19.

Usaha GreenTech bekerjasama dengan pengendali lebuh raya ekspres seperti PLUS Malaysia dan juga Petronas bagi mendirikan infrastruktur mengecas EV sememangnya wajar dihargai. Ia diharap dapat memberi kemudahan kepada para pemilik EV untuk mengecas kereta masing-masing tanpa perlu tersadai di "tempat jin bertendang". Namun, usaha menggalakkan penggunaan EV oleh GreenTech pasti sia-sia jika rakyat Malaysia sendiri tidak memberikan sokongan dan jika kerajaan sendiri tidak bersungguh-sungguh menggalakkan penggunaan EV melalui dasar automotif dan penggubalan undang-undang seperti penguatkuasaan piawaian emisi dan pelaksanaan cukai pencemaran.

Ok, bagaimana pula rasanya menaiki kereta Tesla Model S dari Persada PLUS ke Restoran Jejantas Ayer Keroh...? Ikuti reviu mengenainya dalam episod kedua siri ini.





Stesen pengecas EV berkuasa solar ini mampu mengecas dua buah kereta elektrik serentak




Stesen pengecas ini mendapat tenaga elektrik daripada panel solar yang turut memayungi petak parkir motosikal berhampiran




Ucapan perasmian oleh Pengarah Urusan PLUS Malaysia, Datuk Azman Ismail, & Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech Malaysia, Tuan Syed Ahmad Syed Mustafa




Gimik pelancaran oleh Datuk Azman & Tuan Syed Ahmad




Berposing bersama-sama plag pengecas CHAdeMO

1 comment: