Saturday, January 19, 2019

Perodua Aruz vs Proton X70: Cerita dua SUV nasional / The story of two national SUVs

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana mengambil masa terlalu lama untuk menghasilkan entri sulung bagi menyambut Tahun Baru 2019 kerana saya sudah kembali sibuk dengan kerja. Tahun Baru 2019 ini disambut dengan kehadiran bukan satu, tetapi dua model kenderaan utiliti sukan (SUV) nasional, meskipun salah satu daripadanya sebenarnya dilancarkan pada penghujung tahun lalu.

SUV bukanlah genre baharu bagi kereta buatan Malaysia. SUV nasional sulung sudah tentulah tidak lain dan tidak bukan Perodua Kembara. Mula dikeluarkan pada tahun 1998, Perodua Kembara yang dilencanakan semula daripada model generasi pertama Daihatsu Terios laris bagai pisang goreng panas kerana menjadi SUV paling mampu milik pada masa itu. Meskipun sekadar digerakkan oleh enjin HJ-EJ 1.3L 16 injap SOHC yang sekadar mampu menghasilkan kuasa 83 bhp pada 6,100 rpm & tork 105 N-m pada 5,100 rpm, namun Perodua Kembara terbukti gagah meredah hutan & mendaki cerun sehingga securam 25% kerana dilengkapi sistem pacuan empat roda (4WD) sepenuh masa dengan suis pengunci gear kebezaan tengah. Namun, satu-satunya kelemahan Perodua Kembara ialah kuat melahap minyak, dengan kadar penggunaan bahan api terbaik yang pernah saya capai pun sekitar 10-12 km/L. Pada Jun 2003, enjin HC-EJ asal digantikan dengan enjin K3-VE DVVT yang turut menggerakkan Perodua Myvi selama 2 generasi.

Kembara dihentikan pengeluarannya pada tahun 2006 & digantikan dengan Perodua Nautica pada tahun 2008. Ia menampilkan enjin 3SZ-VE DVVT 1.5L yang turut digunakan pada Toyota Avanza, Perodua Alza & Perodua Myvi 1.5. Sayangnya, Nautica bukan sahaja gagal mengulangi kejayaan Kembara, malah ia juga merupakan model keluaran Perodua yang paling gagal dalam sejarah, dengan jumlah jualan tidak sampai 500 unit. Punca utama kegagalan Nautica tidak lain & tidak bukan adalah disebabkan keputusan Perodua untuk mengimportnya terus dari Jepun dengan sekadar menepek logo Perodua sahaja, meyebabkan Nautica dijual dengan harga dua kali ganda Kembara. Disebabkan harga Yahudi yang dikenakan pada sebuah SUV berenjin 1.5L sahaja, Nautica dihentikan pengeluarannya dalam masa tidak sampai setahun. Sejak itu, Perodua ketandusan model SUV selama 10 tahun sehinggalah pengenalan Perodua Aruz pada 15 Januari 2019.

Sepanjang "dekad kosong" tersebut, pasaran SUV lebih banyak diisi model-model lori pikap berenjin diesel seperti Toyota Hilux, memandangkan rata-rata lori pikap yang dijual sekarang dilengkapi sistem pacuan empat roda separuh masa yang menjadikannya sesuai dilenjan ke dalam hutan. Jika ada pun SUV, model-model SUV sekarang adalah daripada jenis crossover dengan kerangka jenis monokok (jenis keluli dicap, sama seperti kereta biasa) dan bukannya jenis kerangka tangga (ladder frame) seperti lori pikap & SUV tradisional. SUV tradisional yang ada dijual di Malaysia sekarang cumalah Mitsubishi Pajero Sport & Land Rover, itu sahaja. Peralihan trend tersebut adalah susulan daripada krisis harga minyak yang membawa kepada runtuhnya pasaran SUV tradisional dan peralihan kepada SUV jenis crossover. Apa tidaknya, SUV crossover dengan kerangka monokok lebih ringan, lebih aerodinamik & lebih jimat minyak berbanding SUV tradisional yang berat dan menggunakan kerangka tangga.

Para pengeluar kereta nasional di Malaysia juga tidak ketinggalan mengikuti peralihan ini semasa mahu memperkenalkan SUV terbaru masing-masing. Proton yang kini 49% dimiliki pengeluar automotif Geely menggunakan model Geely Boyue yang merupakan sebuah SUV crossover sebagai asas untuk SUV sulung mereka. Perodua pula seperti biasa melencanakan semula Daihatsu Terios generasi ketiga sebagai SUV ketiga mereka, tetapi tidak seperti Kembara dan Nautica yang merupakan SUV tradisional dengan kerangka tangga, SUV terbaru Perodua ini pula merupakan sebuah SUV crossover. Nama yang dipilih bagi dua SUV nasional ini ialah Proton X70 dan Perodua Aruz.

Saya meilih untuk meninjau Perodua Aruz terlebih dahulu, memandangkan Aruz memang ada dipamerkan di Perodua Taman Samudera, Batu Caves, tidak jauh dari rumah saya. Perodua Aruz dilancarkan pada 15 Januari 2019 manakala saya pula meninjau Aruz pada 17 Januari. Nama Aruz ini diambil daripada perkatan "arus" sebagai simbolik kepada arus perubahan dinamik Perodua, daripada sekadar pengeluar picisan yang sekadar menyalin model-model kereta kecil Daihatsu kepada pengeluar kereta rakyat yang bukan sahaja merajai pasaran automotif tempatan, tetapi juga mampu merekabentuk kereta sendiri dari mula. Dari segi rupa luaran, ia nampak sama seperti Toyota Rush generasi kedua yang dilancarkan lebih dahulu pada 18 Oktober 2018 - rupa hadapan & belakang sama, kedua-duanya menggunakan enjin 1.5L 2NR-VE Dual VVT-i yang dipadankan dengan transmisi automatik 4 kelajuan, dan kedua-duanya boleh muat 7 tempat duduk. Err...tidakkah Aruz & Rush ini nanti akan saling berbunuhan sesama sendiri...? Untuk pengetahuan, Daihatsu Terios memang berkongsi pelantar dengan Toyota Rush. Ini bermakna, Perodua Nautica kelihatan sama seperti Toyota Rush generasi pertama, cuma bezanya ialah Nautica ada 4WD sepenuh masa & boleh muat 5 orang, manakala Rush generasi pertama boleh muat 7 orang tetapi sekadar menggunakan pacuan roda belakang sahaja. Sementara itu, Perodua Aruz dan Toyota Rush generasi kedua pula 100% sama, Jadi bagaimana hendak membezakan antara kedua-dua model ini...? Jawapannya ialah melalui aksesori dan julat harga. Perodua Aruz dijual dalam julat harga RM72,900 (1.5X) hingga RM77,900 (1.5AV) manakala Toyota Rush dijual pada julat harga RM93,000 hingga RM98,000 dengan lebih banyak kelengkapan canggih.

Bahagian dalaman Aruz ini memang luas. Kerusi baris tengah cukup luas untuk memuatkan 3 orang dewasa biasa. Jika dibandingkan dengan Kembara, kerusi belakang Kembara pula agak sempit. Saya cuba masuk ke kerusi baris belakang Aruz untuk cuba membuat perbandingan dengan Perodua Alza yang juga boleh memuatkan 7 orang. Serius, kerusi baris belakang Aruz memang lebih luas daripada Alza, dengan ruang kaki yang mencukupi. Sementara itu, tombol gearnya pula mengingatkan saya kepada Toyota Avanza mahupun Toyota Vios. Seperti kereta-kereta Perodua yang lain, Aruz ini didatangkan dengan cangkuk beg tangan yang mula diperkenalkan pada Myvi generasi kedua untuk mengelakkan beg tangan daripada diragut. Suis-suis kawalan penyaman udara & butang penghidup tekan didatangkan secara standard.

Perkara yang paling saya kurang gemari mengenai Aruz ini ialah ketiadaan varian pacuan empat roda. Kesemua varian Aruz (dan juga Rush) menggunakan sistem pacuan roda belakang dan bukannya 4WD, walaupun pada varian spesifikasi tertinggi. Tetapi memang ada sebabnya kenapa Aruz menggunakan pacuan roda belakang dan bukannya 4WD seperti pada Kembara & Nautica. Aruz ini dibangunkan sebagai SUV crossover kerana kurangnya permintaan terhadap SUV tradisional yang dikatakan berat, lembab & kuat melahap minyak. Pembeli SUV crossover selalunya membelinya sebagai kereta biasa sahaja tanpa menggunakannya untuk memasuki jalan tanah merah mahupun hutan. Maka, sistem 4WD dianggap satu pembaziran yang sekadar menambah berat, beban enjin dan kos pembuatan. Apalah gunanya sistem 4WD jika ia tidak digunakan. Isu berat & beban enjin merupakan satu faktor utama yang membawa kepada runtuhnya pasaran SUV tradisional, memandangkan kedua-dua isu tersebut membawa kepada masalah penggunaan bahan api yang lahap. Dengan membuang sistem 4WD ini Aruz bukan sahaja tidak selahap Kembara mahupun Nautica, malah Aruz berjaya memperoleh status sebagai SUV subpadat EEV (kenderaan cekap tenaga) dengan penggunaan bahan api lebih kurang 15.5 km/L. Turut menyumbang kepada angka penggunaan bahan api yang cemerlang bagi kategori SUV ini ialah penggunaan sistem henti lahu (idle stop) yang membantu menjimatkan minyak terutamanya di tengah-tengah bandar raya yang sesak.

Sekarang kita pergi kepada reviu Proton X70 pula. Memandangkan dua buah kedai Proton Edar di Taman Samudera & Giant Batu Caves langsung tiada kereta bilik pameran bagi model X70, saya terpaksa ke Proton Edar Jalan Pahang yang ada kereta X70 ini. Seperti yang anda semua sedia maklum, Proton X70 ini merupakan SUV Geely Boyue yang dilencanakan semula hasil daripada pengambilalihan 49% saham Proton oleh Kumpulan Geely dari China yang sebelum ini telah menguasai Volvo. Hasilnya ialah sebuah SUV sulung Proton yang bukan sahaja merupakan kereta tercanggih Proton, tetapi juga merupakan kereta paling mewah Proton dengan harga sekitar Honda Civic "ketam". Empat varian ditawarkan iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD & Premium 2WD, dengan julat harga antara RM99,800 hingga RM123,800. Ada juga yang komplen kononnya X70 ini terlalu mahal bagi sebuah kereta nasional, tetapi buat masa sekarang ini X70 merupakan kereta yang diimport sepenuhnya dari China, yang bermaksud harga yang mahal itu disebabkan oleh cukai import yang dikenakan; pemasangan tempatan hanya akan bermula sekitar separuh tahun kedua 2019 yang pastinya akan menyaksikan penurunan harga yang ketara.

Bagaimana canggihnya kereta X70 itu...? Pertama, X70 ini merupakan kereta Proton pertama yang menggunakan panel meter jenis LCD 7 inci. Kedua, kawalan penyaman udaranya pun jenis panel sentuh LCD. Selain itu X70 dilengkapi brek parkir elektrik, mod Eco & Sport, dan lampu-lampu LED hadapan & belakang (kecuali lampu hadapan halogen pada varian terendah). Tapi ciri X70 yang paling terkenal sudah tentulah unit radio dengan skrin sentuh LCD 8 inci dengan fungsi pengecaman suara, dikuasai sistem operasi Android, digandingkan dengan sistem audio 6-8 pembesar suara Kenwood. X70 ini juga dilengkapi 6 soket USB di mana salah satu daripadanya adalah untuk sambungan ke pemacu kilat USB bagi memainkan lagu-lagu MP3 manakala yang lain hanya untuk mengecas telefon pintar.

Sekarang kita lihat pula enjinnya. Proton X70 ini menggunakan enjin Geely JLE-4G18TDB 1.8L turbo dengan pancitan terus petrol (GDI) yang menghamburkan kuasa 182 bhp pada 5,500 rpm dan tork 285 N-m antara 1,700 hingga 4,400 rpm, dipadankan dengan transmisi automatik 6 kelajuan. Jika anda tertanya-tanya sama ada Proton X70 ini dilengkapi dengan sistem 4WD atau tidak, ya X70 dilengkapi dengan sistem 4WD, tetapi hanya pada varian pertengahan (Executive AWD) sahaja.

Saya suka penutup but yang menggunakan topang gas seperti mana Proton Persona 2007 menggunakan topang gas pada penutup but belakang. Juga, ruangan enjinnya nampak kemas dengan adanya penutup enjin, tetapi penutup enjin ini juga menyukarkan kerja-kerja mengesan kerosakan kerana kabanyakannya sudah terlindung.

Oh, saya hampir terlupa. Meskipun Proton X70 ini besar, tetapi ia cuma boleh memuatkan 5 orang sahaja. Tapi yang bagusnya, ruangan butnya sangat besar & mampu memuatkan sehingga 512L barangan. Jika dibandingkan Arus hanya boleh memuatkan 213L barangan sahaja jika kesemua kerusi dinaikkan, tetapi sekiranya kerusi baris belakang dilipat, maka kemungkinan Aruz boleh mengalahkan X70 dari segi muatan.

Jadi antara Perodua Aruz dengan Proton X70, yang manakah pilihan SUV nasional yang lebih baik...? Jika anda mahukan SUV yang murah & praktikal, maka sudah tentulah Aruz pilihan yang paling sesuai. Tetapi sekiranya anda mahukan SUV nasional yang canggih & mempunyai keupayaan 4WD, maka X70 paling sesuai. Secara jujurnya, perbandingan antara Perodua Aruz & Proton X70 bukanlah satu perbandingan yang adil kerana meskipun kedua-duanya adalah SUV, tetapi masing-masing sebenarnya berada dalam segmen harga yang berbeza. Model pesaing sebenar bagi Perodua Aruz (dan kembarnya Toyota Rush) ialah Honda BR-V, manakala model pesaing sebenar bagi Proton X70 pula ialah Honda CR-V & Mazda CX-3.



Spesifikasi Perodua Aruz 2019

Enjin: 2NR-VE 1,496 cc Dual VVT-i DOHC 16 injap 4 lejang 4 silinder sebaris sejukan cecair
Sesaran: 1,496 cc
Lubang x lejang: 72.5 x 90.6 mm
Nisbah mampatan: 11.5:1
Kuasa kuda: 103 bhp (76 kW) @ 6,000 rpm
Tork: 136 N-m @ 4,200 rpm
Transmisi: Automatik 4 kelajuan
Sistem pacuan: Pacuan roda belakang
Jarak roda: 2,685 mm
Berat kering: 1,300-1,310 kg
Muatan tangki bahan api: 45 liter

Apa yang saya suka
  1. SUV nasional paling murah dalam pasaran sekarang
  2. Luas & boleh muat 7 orang
  3. SUV EEV paling jimat minyak dalam kelasnya (15.5 km/L)
Apa yang saya tidak suka
  1. Tiada varian 4WD
  2. Sukar dibezakan dengan Toyota Rush


Spesifikasi Proton X70 2019

Enjin: Geely JLE-4G18TDB 1,799 cc GDI turbo DOHC 16 injap 4 lejang 4 silinder sebaris sejukan cecair
Sesaran: 1,799 cc
Lubang x lejang: n/a
Nisbah mampatan: n/a
Kuasa kuda: 184 bhp (135 kW) @ 5,500 rpm
Tork: 285 N-m @ 1,700-4,400 rpm
Transmisi: Automatik 6 kelajuan
Sistem pacuan: Pacuan 4 roda (Executive AWD); Pacuan roda hadapan (varian lain)
Jarak roda: 2,670 mm
Berat kering: 1,660-1,725 kg
Muatan tangki bahan api: 60 liter

Apa yang saya suka
  1. SUV sulung Proton yang juga merupakan model tercanggih Proton buat masa sekarang
  2. Ada varian 4WD
  3. Ciri-ciri SUV lebih mewah daripada Honda CR-V pada harga Honda Civic FC
Apa yang saya tidak suka
  1. Kos servis berkala yang lebih mahal daripada Honda CR-V
  2. Amat sukar mencari bilik pameran Proton yang siap sedia ada unit pandu uji






Pandangan hadapan Perodua Aruz dengan lampu dihidupkan






Bahagian belakang Aruz dengan lampu dihidupkan






Lampu isyarat membelok sisi






Paparan meter Aruz sebelum lampu dihidupkan...






...dan selepas enjin dihidupkan






Perodua Aruz menggunakan enjin 2NR-VE 1.5L Dual VVT-i...






...yang digandingkan dengan transmisi automatik 4 kelajuan






Unit audio skrin sentuh Aruz ini merupakan komponen standard bagi semua varian






Suis-suis kawalan penyaman udara digital






Butang penghidup sentuh adalah standard bagi kesemua varian Aruz






Cangkuk beg tangan yang kini dijadikan ciri standard bagi kesemua kereta Perodua






Suis-suis tingkap kuasa dan suis kawalan cermin sisi yang sangat comel






Bahagian but belakang dengan salah satu kerusi baris belakang dilipat






Untuk melipat kerusi baris tengah untuk masuk ke baris belakang, tarik tuas ini ke hadapan,...






...dan kerusi akan terlipat dengan pantas






Tidak seperti Alza, kerusi baris belakang cukup luas dengan ruang kaki mencukupi untuk penumpang yang tinggi lampai seperti saya






Pandangan hadapan Proton X70






Pandangan sisi X70






Sempat pula budak ini menyorok






Pandangan belakang X70






Ruang but belakang X70 ini sangat besar, memandangkan X70 ini mengangkut 5 orang sahaja






Tombol gear automatik 6 kelajuan berserta panel kawalan penyaman udara digital, suis-suis mod pemanduan & brek parkir elektrik






Unit audio skrin sentuh yang digunakan oleh X70 ini sangat canggih dengan fungsi pengecaman suara, tetapi saya kurang berkenan akan peta yang digunakannya kerana tiada kod laluan






Stereng X70 ini merupakan stereng Proton dengan paling banyak butang-butang kawalan






Suis-suis tingkap kuasa






Salur udara penyaman udara untuk penumpang belakang






Enjin Geely 1.8L GDI turbo yang dikelilingi penutup ruang enjin yang menjadikannya sangat kemas






Penutup but hadapan ini menggunakan topang gas - sama seperti penutup but belakang Proton Persona 2007!

3 comments:

  1. numpang share ya min ^^
    bosan tidak tahu mesti mengerjakan apa ^^
    daripada begong saja, ayo segera bergabung dengan kami di
    F*A*N*S*P*O*K*E*R cara bermainnya gampang kok hanya dengan minimal deposit 10.000
    ayo tunggu apa lagi buruan daftar di agen kami ^^

    ReplyDelete
  2. Nonton Bola Online Streaming Bola Live Yalla Shoot TV Malam Hari Ini Cara Nonton Bola Online Live Gratis. Nobar Streaming Bola Live Siaran Langsung Sepak Bola Yalla Shoot TV Kualitas HD

    #bola #streaming #live #yalla #shoot #liga #hari #yalla shoot #malam #malam hari #shoot tv #bola live #bola online #streaming bola #online #streaming bola live #yalla shoot tv #live

    www.NOBARTV.top

    www.NOBARTV.top

    www.NOBARTV.top



    Nonton Bola Online Streaming Bola Live Yalla Shoot TV Malam Hari Ini Cara Nonton Bola Online Live Gratis. Nobar Streaming Bola Live Siaran Langsung Sepak Bola Yalla Shoot TV Kualitas HD

    #bola #streaming #live #yalla #shoot #liga #hari #yalla shoot #malam #malam hari #shoot tv #bola live #bola online #streaming bola #online #streaming bola live #yalla shoot tv #live

    www.Lihatbola.live
    www.Lihatbola.live
    www.Lihatbola.live



    Nonton Film Streaming Movie Layarkaca21 Lk21 Dunia21 Bioskop Cinema 21 Box Office Subtitle Indonesia Gratis Online Download - Layarkaca21 Box Office Cinema21 Bioskop Terlengkap Terbaru

    www.Layarkaca21indo.com
    www.Layarkaca21indo.com
    www.Layarkaca21indo.com



    Nonton Film Streaming Movie INDOXXI Layarkaca21 Lk21 Dunia21 Bioskop Cinema 21 Box Office Subtitle Indonesia dan English Gratis Online Download - INDOXXI Box Office Cinema21 Bioskop Terlengkap Terbaru.

    Bioskopkeren, Nonton Movie 21, Dunia21, Lk21, Jurangan21, Nonton Film21, Indoxxi, Nonton streaming, Nonton Drakor

    www.Bioskopgaul.com
    www.Bioskopgaul.com
    www.Bioskopgaul.com

    ReplyDelete