Sunday, June 29, 2014

Melaka Bandaraya Bersejarah Bahagian 2: Berehat seketika di Tanjung Bidara melalui Jalan Masjid Tanah-Kuala Linggi FT138 dan Jalan Teluk Gong-Masjid Tanah FT138 / Historic City of Malacca Part 2: Having a break at Tanjung Bidara via Jalan Masjid Tanah-Kuala Linggi FT138 and Jalan Teluk Gong-Masjid Tanah FT138

Salam sejahtera,

Dalam bahagian pertama sebelum ini, saya ada menyatakan bahawa sungguhpun kami menggunakan Jalan Melaka-Port Dickson FT5 untuk ke Bandaraya Melaka, tetapi kami tidak menggunakan keseluruhan jalan tersebut; sebaliknya, kami melencong sebentar ke Tanjung Bidara sebelum kembali semula ke FT5 di Masjid Tanah. Kenapa kami mahu melencong ke Tanjung Bidara...? Saya lebih menyukai pantai Tanjung Bidara berbanding pantai Teluk Kemang dan Port Dickson kerana bagi saya, Tanjung Bidara merupakan antara pantai yang paling bersih di sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia. Buktinya? Jom ikut saya menyelusuri Jalan Masjid Tanah-Kuala Linggi FT138...!!!

Sedikit mengenai Jalan Persekutuan 138 ini. Jalan ini asalnya merupakan jalan negeri, yang terdiri daripada Jalan Negeri Sembilan N143 dari Sungai Raya ke Kuala Linggi, Jalan Negeri Melaka M143 dari Kuala Linggi ke Lubuk Redan dan Jalan Negeri Melaka M142 dari Lubuk Redan ke Masjid Tanah. Jambatan Kuala Linggi dibina pada tahun 1990an bagi menghubungkan antara Kuala Linggi di sebelah Melaka dengan Sungai Raya di sebelah Negeri Sembilan. Sebelum jambatan tersebut dibina, penduduk Kuala Linggi dan Sungai Raya menggunakan khidmat bot penambang untuk menyeberangi Sungai Linggi. Setelah jambatan tersebut siap, maka Jalan Persekutuan 138 diwartakan pada 22 Januari 1997.

Jika dibandingkan dengan Jalan Melaka-Port Dickson FT5, Jalan Masjid Tanah-Kuala Linggi ini lebih lurus dan kurang berselekoh. Selain itu, jalan ini juga mampu memendekkan perjalanan dari Port Dickson ke Melaka daripada lebih kurang 100 km kepada 89 km sahaja. Sebab itulah sejak jalan ini siap sepenuhnya pada tahun 1997, ia menjadi pilihan utama sebagai laluan tepi pantai tanpa tol untuk ke Melaka. Berikutan kepentingan jalan ini sebagai laluan tepi pantai yang mampu memendekkan perjalanan, kerajaan negeri Melaka pernah mencadangkan pembinaan sebuah lebuh raya kembar dari Kuala Linggi ke Bandaraya Melaka, yang mana jalan FT138 yang dinaik taraf merupakan sebahagian daripada laluan yang dicadangkan itu. Cadangan lebuh raya kembar itu masih lagi dalam peringkat kajian kemungkinan sebelum dimuktamadkan pembinaannya.

Kami memasuki Jalan Masjid Tanah-Kuala Linggi FT138 di Kampung Sungai Raya, tidak jauh dari Pasir Panjang. Jalan ini sememangnya lurus dan selesa, tambahan pula keadaan jalan ini juga sangat bagus tanpa sebarang cacat-cela. Memang nikmat...!!! Setibanya di Jambatan Sungai Linggi, kami berhenti sebentar untuk mengambil gambar sebelum meneruskan perjalanan.

Sebaik melintasi Sungai Linggi, kami secara rasminya sudah memasuki negeri Melaka. Kampung Sungai Linggi ternyata sangat pesat membangun terutamanya sejak Jambatan Sungai Linggi siap dibina, sekaligus menjadi mercu tanda kebanggaan penduduk kampung. Kuala Linggi juga menempatkan Akademi Laut Malaysia milik Tentera Laut Diraja Malaysia. Berikutan tahap kemajuan kampung tersebut yang begitu pesat, kerajaan seterusnya membina Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Melaka di Kuala Linggi.

Satu-satunya pekan utama yang terletak di tengah-tengah laluan FT138 ialah pekan Kuala Sungai Baru. Kuala Sungai Baru juga menempatkan kampus Kolej Universiti Islam Melaka. Secara kebetulan, Pak Usu saya juga tinggal di situ, bersebelahan dengan kolej tersebut. Sebaik melepasi Jambatan Sungai Baru, kami membelok ke kanan untuk ke Tanjung Bidara melalui Jalan Teluk Gong.

Di Jalan Teluk Gong, kami melalui satu kawasan berbukit berhampiran tanah perkuburan Cina sebelum menuruni bukit tersebut ke tepi laut, di mana jalan tersebut menjadi lurus sehingga tiba ke destinasi yang kami tujui. Akhirnya kami tiba di Tanjung Bidara, atau spesifiknya, Pengkalan Balak. Kami mencari sebuah warung untuk berhenti rehat sambil menikmati sebotol air Long Chan dan air kelapa muda.

Minuman ringan jenama Long Chan ini merupakan antara salah satu produk industri kecil dan sederhana Melaka yang begitu terkenal sehingga ke ibu negara. Syarikat yang mengeluarkan minuman tersebut mula ditubuhkan pada tahun 1910 dengan nama Long Chan Bros. Aerated Water Co. Ltd. yang berpangkalan di Pangkalan Rama, Bandaraya Melaka sebelum berpindah ke Kawasan Perindustrian Sungai Petai, Alor Gajah dan kini berpindah ke Kawasan Perindustrian Zarina, Alor Gajah. Apa yang menariknya mengenai minuman ringan ini ialah ia masih mengekalkan gaya pembungkusan retro atau old school melalui penggunaan botol kaca berlabel kertas serta kotak kayu. Tambahan pula, airnya kurang bergas, menjadikannya lebih berperisa jika dibandingkan dengan minuman berkarbonat berjenama arus perdana seperti F&N dsb. Sebab itulah minuman ini bukan sahaja popular di Melaka malah di Kuala Lumpur juga. Di Kuala Lumpur, anda boleh membeli air Long Chan di Uptown Danau Kota. Selain Danau Kota, ada lagi tak tempat untuk membeli air Long Chan di KL...? Harap para pembaca boleh membantu...!!!

Lokasi pantai Pengkalan Balak yang terletak di kawasan perkampungan menjadikan pantainya begitu bersih dan cantik tanpa dinodai sebarang unsur pencemaran laut. Jika dibandingkan dengan pantai Teluk Kemang dan Port Dickson, kedua-dua pantai tersebut sudah terlalu komersial. Sebab itulah tahap kecantikan pantai Pengkalan Balak inilah sebenarnya yang setanding dengan kebanyakan kawasan pantai di sebelah Pantai Timur.

Setelah puas disajikan dengan panorama tepi pantai Pengkalan Balak yang begitu bersih dan cantik sambil menikmati air kelapa, air Long Chan dan beberapa keping roti jala, kami meneruskan perjalanan semula ke Bandaraya Melaka. Kali ini, kami menggunakan laluan Jalan Teluk Gong-Masjid Tanah M157. Selain Bulatan Pengkalan Balak, mercu tanda penting di sepanjang jalan ini tentulah Kolej Matrikulasi Londang. Setibanya di Masjid Tanah, kami meneruskan perjalanan ke Bandaraya Melaka melalui Jalan Melaka-Port Dickson FT5.

Bagaimana hendak menyelusuri Jalan Persekutuan 5 di tengah-tengah kota sesat di bandar lama Melaka...? Teruskan bersama-sama Blog Jalan Raya Malaysia untuk mengetahui panduan menyelusuri kota sesat tersebut.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Jarak dari Sungai Raya ke Bandaraya Melaka melalui FT138 hanya 51 km sahaja






Jambatan Sungai Linggi






Di seberang Sungai Linggi ialah negeri Melaka






Grafiti kempen kesedaran kebersihan yang turut disokong oleh JKR






Belok ke kiri untuk ke Kuala Sungai Baru melalui FT138






Jalan masuk ke Akademi Laut Malaysia (ALAM)






Simpang masuk ke Kolej Universiti Islam Melaka di Kuala Sungai Baru






Pekan Kuala Sungai Baru, satu-satunya pekan yang terletak di tengah-tengah laluan FT138






Tiba di Pantai Pengkalan Balak - budak ini sedang menerbangkan layang-layang berbentuk kelawar






Berehat seketika sambil menikmati roti jala, air Long Chan dan air kelapa






Bulatan Pengkalan Balak






Penamat Jalan Teluk Gong-Masjid Tanah M157 di Masjid Tanah

No comments:

Post a Comment