Monday, May 15, 2017

FTRoadpedia Pantai Timur Part 8: Projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu T12 / Kuala Terengganu Bypass T12 project



Peta laluan Jalan Pintasan Kuala Terengganu T12
(kredit gambar: Paul Tan)


Salam sejahtera,

Siri entri FTRoadpedia Pantai Timur hanya berbaki 3 sahaja episod lagi (termasuklah entri ini) sebelum kita mulakan siri entri FTRoadpedia Zon Selatan pula.

Seperti yang saya ada nyatakan dalam reviu Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 sebelum ini, kami mengambil kesempatan untuk singgah sebentar ke tapak projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu T12. Ia merupakan salah satu projek penyuraian trafik di Kuala Terengganu selain projek Jambatan Pulau Sekati yang bakal membentuk laluan terpendek dari Exit 865 Persimpangan Kuala Terengganu di LPT2 E8 dan juga projek jambatan angkat Kuala Terengganu-Seberang Takir.

Projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu T12 ini dibina bagi menyelesaikan masalah kesesakan di jajaran Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu FT3 dari Persimpangan Batu Burok sehingga ke Persimpangan Chabang Tiga. Ia susulan laluan ini merupakan laluan utama dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu. Memang ada Jalan Tuanku Mizan FT65 sebagai laluan alternatif, tetapi ia masih memerlukan pengguna jalan raya untuk melalui Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu FT3 dari Persimpangan Batu Burok ke Persimpangan Bukit Besar untuk memasukinya. Maka, sudah tentulah jalan ini menjadi sangat sesak.




Datuk Seri Fadillah dibawa meninjau persembahan projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu T12




Sidang media sempena projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu T12


Berikut merupakan ringkasan fakta bagi projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu T12 ini:-
  1. Jalan Pintasan Kuala Terengganu T12 menggunakan Jalan Tok Adis T12 sebagai laluan perintis. Jadi, ia boleh dikatakan sebagai sambungan kepada Jalan Tok Adis T12.
  2. Projek ini bermula dari penamat Jalan Tok Adis T12 sedia ada di Persimpangan Tok Molor dan berakhir di Persimpangan Kampung Durian Burung, dengan panjang keseluruhan 5.875 km. Ia dibina dengan kos keseluruhan dianggarkan sejumlah RM321 juta.
  3. Jalan Pintasan Kuala Terengganu T12 ini akan dibina 4 lorong (2 lorong sehala) mengikut piawaian JKR U5 (lebar lorong 3.5 m; had laju reka bentuk 90 km/j). Jadi dijangkakan had laju yang dikenakan nanti ialah antara 70-80 km/j.
  4. Ada 4 persimpangan bertingkat yang akan dibina seperti berikut:-
    • Persimpangan Tok Molor (dinaiktaraf kepada persimpangan bertingkat)
    • Persimpangan Kampung Padang
    • Persimpangan Tok Ku (disambungkan ke Jalan Kuala Berang FT14/FT109)
    • Persimpangan Durian Burung (disambungkan ke Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu FT3)
  5. Selain itu, turut disediakan ialah dua buah terowong jenis vehicular box culvert untuk lintasan bagi dua jalan kecil yang dilintasi Jalan Pintasan Kuala Terengganu T12 ini nanti.
  6. Projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu T12 ini bakal memberi manfaat kepada 70,000 penduduk yang tinggal di sepanjang laluannya serta memendekkan masa perjalanan dari Kampung Durian Burung ke Kuala Ibai daripada 30 minit kepada hanya 10 minit.
  7. Projek sudah pun dimulakan pada Julai 2016 dan bakal siap pada Januari 2019.

Ikuti episod seterusnya bagi menyaksikan keseronokan kami bercuti di Kuantan dan Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment