Saturday, May 6, 2017

Pengumuman: FTRoadpedia Zon Selatan / Announcement: FTRoadpedia Southern Zone







Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana lambat menyiapkan reviu Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 berikutan masalah pada perisian suntingan video yang saya gunakan, sehingga memaksa saya menggunakan perisian suntingan video yang lain.

Tatkala siri reviu FTRoadpedia Pantai Timur masih berbaki 3 episod sahaja lagi, sudah ada pengumuman tentang edisi ketiga siri jelajah FTRoadpedia, kali ini ke sebelah selatan pula. Seperti biasa, kami berkolaborasi dengan Kementerian Kerja Raya untuk edisi ketiga yang dikenali sebagai FTRoadpedia Zon Selatan. Siri jelajah tiga hari ini akan bermula pada Ahad ini, 7 Mei 2017 dan akan berakhir pada Selasa, 9 Mei 2017.




Peta laluan bagi hari pertama (7 Mei 2017)




Peta laluan pada hari kedua (8 Mei 2017)




Peta laluan pada hari ketiga (9 Mei 2017)


Kali ini, FTRoadpedia Zon Selatan bakal menyajikan anda dengan koleksi maraton reviu jalan raya terbanyak pernah kami adakan bagi mana-mana edisi. Laluan yang bakal kami lalui nanti adalah seperti berikut:-
  1. Jalan lama Kuala Lumpur-Seremban FT1
  2. Jalan Seremban-Tampin FT1
  3. Lebuh AMJ FT19
  4. Jalan Tanjung Minyak FT140 dan Jalan Batang Tiga M9
  5. Jalan Melaka-Port Dickson FT5
  6. Jalan Parit Jerman dan Jalan Negeri Johor J110
  7. Jalan Johor FT5
  8. Jalan Ulu Choh-Gelang Patah J7
  9. Lebuhraya Sultan Iskandar FT52
  10. Jalan Skudai J1
  11. Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam FT1
  12. Jalan Yong Peng-Ayer Hitam FT1
  13. Jalan Labis-Yong Peng FT1
  14. Jalan Segamat-Labis FT1
  15. Jalan Segamat-Muar FT23
  16. Lebuhraya Utara-Selatan E2

Banyak gila kan...? Justeru, saya boleh jangkakan FTRoadpedia Zon Selatan ini tentunya lebih meriah, lebih banyak gambar dan lebih banyak video khas untuk tatapan anda.

Semasa FTRoadpedia Pantai Timur, salah seorang peminat setia kami, Saudara Ecik M Syuhadaa Usu tidak melepaskan peluang turut serta memeriahkan kembara FTRoadpedia Pantai Timur semasa hari pertama dengan berhenti di checkpoint makan tengah hari kami di Restoran Go'Bang Maju Patin Tempoyak Temerloh. Susulan dengan itu, kami menerima banyak pertanyaan daripada ramai peminat yang ingin turut sama memeriahkan jelajah FTRoadpedia Zon Selatan nanti. Jika anda ingin turut serta menaiki bas kami, maaflah tempat amat terhad kepada staf KKR, ahli-ahli Rakan KKR dan wakil-wakil media. Meskipun kami dijangka akan datang menaiki dua buah bas seperti pada edisi pantai timur, namun tempat tetap terhad. Jadi, untuk tidak mengecewakan anda, anda masih berpeluang untuk turut sama memeriahkan FTRoadpedia Zon Selatan dengan pergi ke checkpoint berikut:-
  1. Rembau Crystal (hari pertama, jam 11.15-11.30 am)
  2. Dataran 1Malaysia, Klebang, Melaka (hari pertama, jam 3.00-4.30 pm)
  3. Tanjung Piai, Johor (hari kedua, jam 2.20-3.00 pm)
  4. Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia, Pejabat Pos Johor Bahru (hari ketiga, jam 8.35-9.00 am)

Jika anda berhasrat untuk ke mana-mana daripada checkpoint berikut untuk turut serta memeriahkan FTRoadpedia Zon Selatan, pastikan anda tiba selewat-lewatnya setengah jam sebelum waktu ketibaan kami. Siapa lambat, kena tinggal. Ia kerana jalan ke lokasi-lokasi tersebut akan ditutup oleh pihak polis lebih kurang setengah jam sebelum ketibaan kami bagi melancarkan perjalanan kami.

Buat para peminat Blog Jalan Raya Malaysia di Johor, kita jumpa di Johor Bahru...!!!

Reviu Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 akan menyusul selepas ini.

No comments:

Post a Comment