Monday, May 15, 2017

FTRoadpedia Pantai Timur Part 9: Berseronok di Kuantan dan Kuala Terengganu / Having fun in Kuantan and Kuala Terengganu

Salam sejahtera,

Sepanjang tiga kali pengalaman menyertai rombongan FTRoadpedia anjuran Kementerian Kerja Raya Malaysia (termasuklah siri FTRoadpedia Zon Selatan yang menyusul selepas siri entri FTRoadpedia Pantai Timur tamat), ada dua kelebihan utama yang saya perolehi. Pertama, saya berupaya menghasilkan sebegitu banyak reviu jalan raya yang bukan sahaja saya kongsikan sendiri kepada anda, tetapi turut sama dikongsikan oleh KKR sendiri sebagai bahan promosi jalan persekutuan. Kedua, saya turut sama dapat bercuti di tempat-tempat pelancongan yang menarik, merasai juadah tempatan dan mengenali budaya penduduk tempatan.

OK, saya tahu pastinya akan ada segelintir pihak yang tidak senang hati melihat saya mahupun para pegawai tertinggi KKR sedang bercuti dan berseronok sakan. Ada yang mengatakan kami sedang seronok berjoli sakan tatkala masih ada lagi jalan yang berlubang. Kalau begitu, saya ingin bertanya kepada golongan yang tidak senang hati melihat kami berseronok - bagaimanakah hendak mempromosikan tempat-tempat pelancongan yang menarik di sepanjang jalan persekutuan sekiranya kami datang dengan muka yang kelat dan masam mencuka...? Jika anda berniaga sekalipun, adakah pelanggan akan datang ke kedai anda sekiranya anda mempamerkan muka yang kelat dan masam mencuka kepada mereka...? Sudah tentulah pelanggar akan lari bukan...?

Modus operandi kami mudah sahaja. Kami ingin menjana permintaan terhadap penggunaan jalan persekutuan dengan mempamerkan tempat-tempat makan dan destinasi pelancongan yang menarik kepada semua. Malah, ada di antara lokasi-lokasi tersebut yang belum pernah didengari sebelum ini. Bagi konteks saya sendiri sebagai penulis Blog Jalan Raya Malaysia, saya dapat kongsikan kepada anda beberapa batang jalan raya yang seronok untuk dicuba. Memang saya tidak nafikan ada jalan yang berlubang, tetapi adalah tidak adil jika anda secara membuta-tuli mengatakan semua jalan persekutuan dan negeri rosak teruk dan berlubang di sana-sini seperti baru lepas perang, sedangkan masih ada banyak jalan persekutuan dan negeri yang berkeadaan bagus dan seronok untuk dicuba. Buktinya boleh anda saksikan melalui senarai panjang reviu jalan persekutuan dan jalan negeri di Blog Jalan Raya Malaysia yang telah saya cuba selama ini. Paling penting, kami ingin mengukir senyuman di wajah berjuta-juta warga Malaysia yang menjadikan jalan persekutuan sebagai sumber ekonomi mereka, seperti golongan penjaja, peniaga, pemilik warung, pengusaha kedai makan, pengusaha bengkel kereta dan motosikal, pengusaha homestay, pengusaha chalet, pengusaha hotel dsb.

Seterusnya, setelah permintaan terhadap jalan persekutuan semakin meningkat, maka kebergantungan terhadap lebuh raya ekspres juga akan berkurangan. Maka, duit rakyat yang selama ini dibazirkan untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi boleh dimanfaatkan untuk menambah baik rangkaian jalan persekutuan dan jalan negeri, termasuklah menampal semua lubang yang ada, membina semula jalan yang rosak teruk, menambah baik papan tanda, perabot jalan dan sistem pencahayaan, dan jika permintaan cukup tinggi, jalan-jalan tersebut boleh dinaiktaraf kepada lebuh raya kembar yang percuma dan berjiwa rakyat.

Sepanjang kembara FTRoadpedia Pantai Timur, saya boleh katakan bahawa orang-orang Pantai Timur lebih bijak dan lebih cakna akan jalan-jalan persekutuan jika dibandingkan dengan orang-orang Pantai Barat. Dalilnya, semasa kutipan tol LPT2 E8 dimulakan pelaksanaannya, orang-orang Pantai Timur yang tidak berkemampuan membayar tol mahal bertindak balas dengan cara yang lebih bijak, iaitu dengan beralih kepada penggunaan jalan-jalan persekutuan. Mereka boleh memilih sama ada untuk menggunakan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 mahupun Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 sebagai alternatif percuma bagi LPT2 E8. Malah, kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri. Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 misalnya menampilkan panorama indah di sepanjang laluannya sehingga membuatkan anda terlupa akan perjalanan yang panjang. Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 pula lebih menjimatkan masa kerana kurang pekan persinggahan. Secara amnya, LPT2 E8 lebih dimanfaatkan oleh golongan yang berjalan lebih jauh seperti ke Kuala Lumpur ataupun yang memang perlu cepat sampai ke destinasi. Hasilnya, kadar trafik di ketiga-tiga laluan boleh dikatakan agak seimbang.

Cukuplah berbicara secara serius buat masa sekarang. Saya mahu datang ke Terengganu untuk berseronok dan menikmati pemandangan indah di sepanjang jalan raya ke sana, bukannya untuk menaikkan tekanan darah saya.

Jadi apakah aktiviti menyeronokkan yang dapat kami lakukan sepanjang kembara 3 hari ini...? Semasa hari pertama, kami berupaya menikmati hidangan ikan patin dan tilapia Temerloh yang terkenal pada siang hari dan menikmati makanan laut segar di pantai Beserah pada malamnya. Pada hari kedua pula, kami berpeluang menaiki bot persiaran TTI River Cruise dari Pulau Duyung ke Taman Tamadun Islam dan seterusnya melawat Taman Tamadun Islam. Pada hari terakhir pula, kami mengambil kesempatan untuk "memborong" keropok lekor yang terkenal sebagai salah satu makanan identiti utama Terengganu, siap dapat menyaksikan sendiri di depan mata bagaimana keropok lekor dihasilkan. Kesemuanya ini merupakan detik-detik indah yang kami cipta sepanjang kembara 3 hari kami ke pantai timur.

Setelah puas "memborong" keropok lekor untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur, kami menggunakan LPT2 E8 untuk pulang ke Kuala Lumpur. Kami berhenti rehat sebentar di R&R Kijal dan seterusnya berhenti makan tengah hari di R&R Perasing, di mana saya menerima satu kejutan yang tidak disangka-sangka - tatkala saya merancang untuk pergi sendiri ke R&R Perasing sebagai aktiviti Skuad BJRM Prihatin bagi meninjau permasalahan peniaga di sana, rupa-rupanya pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia diketuai Dato' Ir. Haji Ismail bin Md. Salleh memang merancang untuk mengadakannya. Jadi apa permasalahan serta rancangan oleh pihak LLM bagi membela nasib para peniaga di sana...? Sama-samalah kita nantikan dalam episod finale bagi FTRoadpedia Pantai Timur.







Pada hari pertama di sebelah siangnya, kami berpeluang menikmati hidangan ikan patin dan tilapia Temerloh...






...manakala di sebelah malamnya pula kami menikmati hidangan makanan laut segar di Beserah






Majlis penutup jelajah FTRoadpedia Zon Timur di Pulau Duyung






Panorama indah di Sungai Terengganu pada waktu siang...






...dan pada waktu malam






Menaiki TTI River Cruise dari Pulau Duyung ke Taman Tamadun Islam






Jambatan Sultan Mahmud FT65 yang tersergam indah diterangi lampu berwarna-warni






Persembahan replika masjid di Taman Tamadun Islam






Lawatan kami ke Taman Tamadun Islam diakhiri dengan persembahan pancuran air berirama






Upacara "memborong keropok lekor di sebuah kilang membuat keropok lekor di Seberang Takir...






...siap dapat saksikan lagi bagaimana keropok lekor dihasilkan dan dimasak sebelum dibungkus. Memang terbaik!

No comments:

Post a Comment