Thursday, September 20, 2018

Pengumuman: FTRoadpedia Sarawak / Announcement: FTRoadpedia Sarawak




Salam sejahtera,

Sudah terlalu lama Blog Jalan Raya Malaysia tidak menghasilkan sebarang reviu jalan raya terutamanya bagi tahun 2018 yang merupakan tahun paling tidak produktif bagi Blog Jalan Raya Malaysia. Setakat ini, entri reviu jalan raya terakhir yang saya tulis ialah entri Jalan Ayer Hitam-Segamat FT1 yang merupakan sebahagian daripada siri reviu FTRoadpedia Zon Selatan. Setelah sebegitu lama blog ini bersawang tanpa sebarang reviu jalan raya, kini siri jelajah FTRoadpedia kembali semula dengan menyelusuri Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 dari Teluk Melano sehingga ke Miri sejauh 957.5 km. Kenapa FQA1 dan bukannya FT1...? Nanti saya akan terangkan dalam entri prolog FTRoadpedia Sarawak.

Meskipun melibatkan hanya satu sahaja laluan persekutuan, namun jalan ini sangat panjang sehingga perlu dibahagikan kepada 3 entri berasingan, iaitu Kuching-Teluk Melano, Kuching-Sibu dan Sibu-Miri. Program jelajah kali ini akan bermula pada 29 September hingga 1 Oktober 2018.

Jelajah FTRoadpedia kali ini mencatatkan beberapa rekod tersendiri. Selain merupakan siri reviu jalan raya kedua termahal yang pernah disertai Blog Jalan Raya Malaysia (siri reviu termahal ialah siri reviu Kembara Merdeka Sabah 2013) serta menyelusuri laluan persekutuan terpanjang sehingga perlu mengambil masa selama 3 hari, FTRoadpedia Sarawak juga merupakan edisi sulung yang dikendalikan di bawah Menteri Kerja Raya baharu iaitu Tuan Baru Bian. Sebelum ini, kesemua edisi FTRoadpedia terdahulu dikendalikan di bawah Datuk Seri Fadillah Yusof. Meskipun beliau bukan lagi Menteri Kerja Raya, namun saya amat berharap beliau dapat turut sama menyaksikan perjalanan edisi FTRoadpedia Sarawak kali ini, atas kapasiti sebagai sahabat yang banyak membantu perjuangan Blog Jalan Raya Malaysia.

Namun, sebab nombor satu kenapa saya menyertai siri jelajah FTRoadpedia Sarawak adalah bagi menunaikan hajat seorang sahabat karib yang sudah meninggal dunia - tidak lain dan tidak bukan, Admin Aiman Abmajid. Semasa penghujung hayatnya, dia pernah menyuarakan hajatnya untuk meninjau projek lebuh raya kembar Pan Borneo FQA1 yang pada masa itu masih lagi baru dilaksanakan. Meskipun ibu saudaranya meyakinkannya bahawa dia boleh mencubanya bila-bila masa sebaik projek tersebut sudah siap, namun dia menyuarakan rasa terkilannya dengan mengatakan bahawa dia berkemungkinan tidak berpeluang untuk menyaksikan dan mencuba lebuh raya FQA1 itu setelah siap kelak.

Saya akan bertolak ke Kuching pada 28 September 2018, memandangkan acara utama bagi hari pertama FTRoadpedia Sarawak akan bermula pada keesokan harinya. Seterusnya, saya akan pulang semula ke Kuala Lumpur sama ada pada sebelah malam 1 Oktober ataupun awal pagi 2 Oktober, jadi sementara itu anda boleh membaca sejarah lengkap Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1/FQB1/FQC1 dan entri prolog FTRoadpedia Sarawak sebelum saya bertolak ke Kuching. Sebaik sahaja saya selesai menyempurnakan siri entri FTRoadpedia Sarawak, saya akan menyambung semula entri-entri baki siri FTRoadpedia terdahulu yang masih belum siap, terutamanya FTRoadpedia Lekir, FTRoadpedia Zon Selatan dan FTRoadpedia Zon Utara.

No comments:

Post a Comment