Friday, September 7, 2018

Lebuh Raya ke Neraka Bahagian 3: Lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 selepas 2 tahun... / Highway to Hell Part 3: Federal Highway FT2 motorcycle lanes after 2 years...




Salam sejahtera,

Ingat lagi akan reviu eksklusif lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 pada Ogos 2016 yang melibatkan Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), Blog Jalan Raya Malaysia & Ikatan Silaturrahim Brotherhood...? Reviu tersebut telah membawa kepada bermulanya projek penambahbaikan lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2 termasuklah pembinaan sepasang jejambat motosikal serba baharu bagi menggantikan terowong motosikal di Exit 226 Persimpangan Jalan Templer yang sering banjir setiap kali hujan lebat. 

2 tahun sudah pun berlalu, jadi KKR menghantar jemputan kepada saya untuk meninjau semula projek tersebut yang terhasil daripada perjuangan saya, Lando Zawawi serta Menteri Kerja Raya pada masa itu, Datuk Seri Fadillah Yusof. Lawatan kerja diadakan pada 6 September 2018, tetapi sayangnya saya tidak dapat turut serta kali ini disebabkan lawatan kerja. Namun, saya tetap berterima kasih kepada sahabat-sahabat di KKR kerana sudi berkongsi gambar-gambar liputan semalam untuk dikongsikan kepada anda semua.

Sebenarnya, projek tersebut sepatutnya siap pada Jun 2018, tetapi terpaksa ditunda disebabkan beberapa isu teknikal terutamanya isu kualiti turapan. Apa tidaknya, semasa Datuk Seri Fadillah membuat lawatan mengejut sebelum itu, beliau kurang berpuas hati akan kualiti turapan dan mahukannya ditangani segera. Akhirnya, pembukaan semula lorong motosikal terpaksa ditunda kepada pertengahan Oktober 2018 melibatkan laluan arah timur (arah Kuala Lumpur), manakala laluan arah barat (arah Klang) dijangkakan lebih lewat lagi kerana jejambat baharu bagi arah barat masih belum siap. Projek penambahbaikan terowong lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 menelan kos sejumlah RM532,000 manakala keseluruhan projek penambahbaikan termasuklah pembinaan sepasang jejambat bagi menggantikan terowong di Exit 226 Persimpangan Templer memakan kos RM29 juta, dan ia bakal memanfaatkan para penunggang motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2.

Dalam majlis lawatan kerja semalam, selain penampilan jejambat motosikal arah Kuala Lumpur yang sudah siap tetapi belum dibuka, lawatan tersebut turut menampilkan penambahbaikan di terowong-terowong motosikal melibatkan pemasangan pemantul jalan, penambahbaikan sistem perparitan dan penggunaan cat berwarna (merah, biru & hijau) agar penunggang motosikal lebih berhati-hati terutamanya semasa hujan. Penggunaan cat-cat berwarna ini diharap dapat membantu penunggang motosikal terutamanya sekiranya sistem lampu terowong tidak berfungsi.

Sejujurnya, saya masih kurang berpuas hati dari segi aspek pencahayaan, lebar lorong & jejari selekoh, tetapi saya terpaksa menerima hakikat bahawa isu tanah telah menyebabkan masalah lebar lorong & jejari selekoh tidak dapat ditangani. Lebar lorong purata masih lagi 2.0 m & tidak dapat dilebarkan lagi kerana tiada rizab jalan yang mencukupi. Semuanya bahana projek pembangunan di sepanjang jajaran di Petaling Jaya yang menyebabkan tiada ruang untuk menambah baik lebar lorong motosikal. Jadi apa yang mampu dilakukan hanyalah sekadar meningkatkan tahap keselamatan sedia ada, meskipun hasilnya masih belum mencapai tahap yang memuaskan saya. Sementara itu pula, sistem pencahayaan di sepanjang lorong motor Lebuhraya Persekutuan FT2 masih perlu lagi penambahbaikan, tetapi semuanya bergantung kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sama ada beliau sanggup menghulurkan peruntukan tambahan atau tidak. Harapan saya, jangan makin dicantas sudahlah. Apa pun, penggunaan cat & pemasangan pemantul jalan di lorong motor Lebuhraya Persekutuan FT2 merupakan langkah pertama yang patut dipuji ke arah pencahayaan lorong motosikal yang lebih baik.

Apa pendapat anda tentang lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 yang sudah ditambah baik ini...? Secara peribadi, meskipun masih ada beberapa aspek yang masih belum memuaskan, namun secara amnya Kementerian Kerja Raya & Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah pun melakukan tugas baik dalam meningkatkan tahap keselamatan lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2. Harapan saya, inisiatif penambahbaikan seumpamanya perlu dilaksanakan di lorong-lorong motosikal di lebuh raya lain seperti Lebuhraya Shah Alam E5 & Lebuhraya Guthrie E35.




Ketibaan Menteri Kerja Raya, Baru Bian




Taklimat projek penambahbaikan lorong motosikal oleh JKR Petaling




JKR Petaling memberikan penerangan kepada Menteri Kerja Raya, Baru Bian




Menteri Kerja Raya, Baru Bian bersama-sama para pegawai tertinggi JKR yang hadir




Meninjau keadaan di dalam terowong




Penggunaan cat berwarna di terowong diharap membantu penglihatan penunggang motosikal




Baru Bian menjawab soalan wartawan


Semua kredit gambar: Kementerian Kerja Raya Malaysia, JKR Petaling & Pn. Noreha Mohd. Ripin

No comments:

Post a Comment