Sunday, January 8, 2012

KL - Unisel Part 3: Jalan Bukit Badong B35

Salam sejahtera,

Reviu Jalan Bukit Badong B35 kali ini menutup siri tiga episod jelajah KL ke Unisel sebelum saya pulang semula ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Latar E25.

Jalan Negeri Selangor B35, atau lebih dikenali sebagai Jalan Bukit Badong pendek saja, hanya sejauh 7 km dari pekan Ijok ke Bestari Jaya. Secara amnya jalan ini lurus dan rata tanpa selekoh. Di Kampung Bukit Badong, bahagian jalan di situ asalnya ada selekoh sebelum laluan tersebut diluruskan dengan menarah sebuah bukit bersebelahan sebuah sekolah di situ. Bahagian tersebut memang wajar diluruskan kerana keadaannya yang gelap pada waktu malam menjadikan selekoh tersebut berbahaya.

Ada sebuah loji air di Bukit Badong, yang mana menurut Cikgu Shida dari SM Teknik Kuala Selangor merupakan loji pemprosesan air terbesar di Asia Tenggara. Saya tak tahulah sama ada ia betul atau tidak, tetapi apa yang pasti ialah tanpa loji tersebut Selangor akan mengalami krisis air yang parah.

Bahagian B35 dari simpang Jalan Rawang B33/B27 sehingga ke SMK Raja Muda Musa di Bestari Jaya telah dinaik taraf sebagai jalan raya kembar empat lorong sebagai sebahagian pakej membaiki rangkaian jalan masuk ke Unisel. Di penamat bahagian jalan empat lorong tersebut terdapat longgokan batu-batu kerikil yang menandakan ada kemungkinan bahagian selebihnya ke Ijok bakal dinaik taraf kepada empat lorong suatu hari nanti.

Penamat Jalan Bukit Badong B35 ini ialah di Jalan Persekutuan 54 di Ijok. Ijok sememangnya sebuah pekan yang sibuk berikutan ia terletak di tengah-tengah laluan Kuala Lumpur ke Kuala Selangor melalui jalan lama FT54. Pembukaan kampus induk Unisel di Bestari Jaya pada tahun 2005 turut menjadikan laluan ini bertambah sibuk. Pekan Ijok ini sendiri berkembang dengan sangat pesat sejak Tan Sri Khalid menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Ijok merangkap Menteri Besar Selangor. Kini, Ijok menerima satu lagi limpahan pembangunan dengan siapnya Lebuhraya Latar pada Jun 2011.

Setelah selesai penggambaran, saya mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Latar E25. Ia satu lagi pengalaman menarik yang seharusnya saya kongsi bersama pengguna E25.

Pada Jumaat lalu (6 Januari 2012), saya menerima panggilan telefon daripada pihak Lebuhraya Latar berikutan reviu E25 yang saya kongsi di laman Facebook mereka. Reviu tersebut telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan maklum balas penggunaan E25 dan mereka akan menawarkan hadiah tiket-tiket pelancongan di Kampung Kuantan dan Kuala Selangor. Saya berasa begitu teruja untuk mengunjungi tempat-tempat tersebut dan berkongsi bersama-sama anda semua.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.





Pekan Bestari Jaya






Bahagian jalan raya kembar di Bestari Jaya






Penamat jalan empat lorong. Batu-batu kerikil yang dilonggokkan itu menandakan kemungkinan bahagian empat lorong ini akan disambung ke Ijok






Simpang Tiga Ijok






Balik semula ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Latar E25

KL - Unisel Part 2: Jalan Raja Musa B42

Salam sejahtera,

Reviu Jalan Raja Musa B42 ini adalah reviu kedua dalam siri KL ke Unisel kali ini. Ia adalah sambungan kepada reviu Jalan Timur Tambahan B74, jadi tidak banyak yang dapat saya tulis untuk kali ini.

Jalan Negeri Selangor B42 ini menghubungkan antara Bestari Jaya dengan Tanjung Karang, bandar kedua terbesar dalam daerah Kuala Selangor. Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu Jalan Raja Musa dengan Jalan Ulu Tiram Burok.

Bahagian pertama antara Bestari Jaya dengan Kampung Hang Tuah telah dinaik taraf sebagai jalan super two bersama-sama Jalan Timur Tambahan B74 sebagai sebahagian pakej menaik taraf jalan masuk ke Unisel. Semasa di simpang Kampung Hang Tuah, pemandu perlu belok ke kiri untuk meneruskan perjalanan ke Tanjung Karang sehinggalah bertemu dengan simpang Jalan Kunci Air 2, di mana nama jalan B42 bertukar kepada Jalan Ulu Tiram Buruk. Bahagian dari Ulu Tiram Buruk ke Tanjung Karang pula menyaksikan perubahan lanskap daripada pemandangan estet kelapa sawit kepada pemandangan sawah padi. Insya-Allah saya akan membuah reviu penuh B42 jika keadaan mengizinkan.

Jangan lupa ikuti siri akhir kembara KL-Unisel di sini.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.




Bahagian empat lorong di B42






Jambatan Sungai Selangor






Penamat B42 di simpang Bestari Jaya

KL - Unisel Part 1: Jalan Timur Tambahan B74

Salam sejahtera dan selamat tahun baru 2012,

Sudah lama juga saya tidak menulis untuk blog ini. Kesibukan kerja serta keadaan cuaca yang tidak mengizinkan saya untuk menulis reviu jalan raya merupakan punca utama mengapa sudah lama saya tidak menulis. Hanya bermula minggu ini barulah saya berkesempatan untuk menulis untuk blog ini.

Pada 5 Januari 2012, saya berkesempatan untuk ke alma mater saya iaitu Universiti Selangor (Unisel) kerana ada hal mustahak untuk diuruskan di sana. Ia membuka peluang untuk saya membuat reviu jalan raya di situ kerana di daerah Kuala Selangor masih ada banyak jalan raya yang seronok untuk bermotor atau berkereta. Tiga jalan untuk reviu hari ini ialah Jalan Bukit Badong B35, Jalan Raja Musa B42 dan Jalan Timur Tambahan B74. Untuk reviu kali ini, saya mulakan dengan Jalan Timur Tambahan terlebih dahulu.

Laluan Negeri Selangor B74, atau lebih dikenali sebagai Jalan Timur Tambahan menghubungkan antara pekan Bestari Jaya dengan Felda Sungai Tengi dan Felda Soeharto. Asalnya laluan ini lebih panjang iaitu 43.2km, tetapi bahagian dari simpang Bukit Tagar dengan penamat laluan asal di Jalan Sungai Panjang B44 sudah pun diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 1205 (di Felda Sungai Tengi) dan Jalan Persekutuan 1206 (di Felda Soeharto). Oleh itu, laluan yang tinggal hanyalah sepanjang 15.2 km dari Kampung Sepakat dekat simpang Bukit Tagar hinggalah ke Kampung Hang Tuah dekat simpang Jalan Raja Musa B42. Bagaimanapun, laluan saya pada hari tersebut hanyalah sehingga Unisel.

Laluan dari Bestari Jaya ke Unisel telah dinaik taraf ke jalan super two, mula dinaik taraf pada tahun 2007 dan siap pada tahun 2009. Saya ingat lagi semasa kali pertama saya menjejakkan kaki ke Unisel, keadaan jalan masuk ke Unisel agak teruk dengan banyak bahagian jalan yang rosak di B42 dan B74 berikutan terdapat banyak lori pasir dan kelapa sawit yang melaluinya. Kini setelah dinaik taraf, keadaan jalan bukan sahaja sangat cantik malah ia lurus dan rata kecuali satu bahagian jalan yang mendap sedikit dekat Kampung Hang Tuah memandangkan jalan tersebut terletak di kawasan berpaya.

Apa itu jalan super two? Jalan super two merupakan jalan raya dua lorong yang dibina dengan piawaian geometri menghampiri lebuh raya ekspres tetapi dengan kawalan masuk separa. Lebar lorong minimum sama seperti lebuh raya ekspres iaitu 3.5 m serta turut dilengkapi lorong kecemasan, walaupun lebarnya cuma separuh daripada lorong kecemasan di lebuh raya ekspres. Di Malaysia, jalan super two ditakrifkan sebagai piawaian JKR R5. Insya-Allah saya akan menulis lebih lanjut mengenainya pada masa akan datang.

Projek naik taraf laluan Bestari Jaya - Unisel turut melibatkan pembinaan benteng di sepanjang tebing Sungai Selangor bagi mengelak banjir. Sebelum adanya benteng ini, air Sungai Selangor sering melimpahi kawasan estet di sepanjang laluannya setiap kali musim hujan ribut petir yang kerap. Air yang melimpah ini ada kalanya turut melimpah hingga ke atas jalan sehingga menyebabkan jalan terpaksa ditutup dan kelas terpaksa dibatalkan kerana banjir.

Semasa jalan ini dinaik taraf, saya (dan para pelajar Unisel lain) terpaksa menggunakan Jalan Rantau Panjang yang lebih sempit tetapi lebih baik keadaannya pada ketika itu. Kerja-kerja pembinaan yang dijalankan pada ketika itu menyebabkan jalan B74 tidak sesuai digunakan oleh motosikal.

Garisan penanda jalan di sepanjang Jalan Timur Tambahan B74 sehingga ke Unisel lebih kurang sama tebal seperti di lebuh raya ekspres. Sepanjang melalui jalan B74 ini saya rasakan seperti berada di lebuh raya, tidak seperti semasa ia belum dinaik taraf di mana saya terpaksa menunggang dengan penuh berhati-hati bagi mengelak lubang.

Jalan ini asalnya ada banyak lampu jalan yang menggunakan sel suria tetapi semuanya telah dicabut; lampu-jampu jalan sel suria terakhir di simpang Unisel juga telah dicabut setelah simpang tersebut dijadikan simpang lampu isyarat, cuma lampu isyaratnya belum berfungsi lagi.

Ikuti sambungan siri kedua di Jalan Raja Musa di sini..

Untuk galeri penuh, sila klik sini.






Unisel cuma tinggal 4 km saja dari titik permulaan Jalan Timur Tambahan.






Jalan Timur Tambahan B74






Benteng sungai dibina di sepanjang Sungai Selangor bagi mengelak banjir






Simpang Unisel






Penamat Jalan Timur Tambahan B74 dekat Kampung Hang Tuah