Tuesday, April 17, 2012

Sepintas lalu: Lebuhraya Kimanis-Keningau / Overview: Kimanis-Keningau Highway



Salam sejahtera,

Lebuhraya Kimanis-Keningau merupakan sebatang jalan raya dua lorong baharu yang dibina bagi menghubungkan antara Kimanis di daerah Papar, Bahagian Pantai Barat, Sabah dengan ibu kota Bahagian Pedalaman iaitu Keningau. Ia asalnya merupakan jalan pembalakan yang digunakan bagi mengangkut kayu-kayu balak dari kawasan pedalaman (terutamanya Nabawan) untuk dihanyutkan ke laut dekat Kimanis. Ia kemudian dinaik taraf oleh Jabatan Kerja Raya sebagai jalan raya dua lorong dengan piawaian R5, walaupun dokumen rasmi projek berkenaan oleh Kementerian Kerja Raya mengatakan ia dibina di bawah piawaian R3.

Kerja pembinaan dimulakan pada 22 November 2003 dan siap pada 21 Mei 2007. Kontraktor utama yang dilantik adalah usaha sama antara Borneo Era Sdn. Bhd. dengan Kenari Express Sdn. Bhd. Setelah siap, lebuh raya ini bertindak sebagai laluan alternatif bagi Jalan Persekutuan 500 dari Kota Kinabalu ke Keningau yang lebih panjang.


Jalan ini bermula dari bandar Keningau sebagai Jalan Masak (jalan sedia ada) sehingga tiba di satu bulatan yang terletak di kaki Banjaran Crocker. Di bulatan tersebut, anda perlu mengambil pusingan pukul tiga (belok kanan) ke Lebuhraya Kimanis-Keningau. Membelok ke kiri pula akan membawa anda ke Tenom melalui jalan FT500.

Secara amnya, Lebuhraya Kimanis-Keningau ini begitu lebar dan selesa, menyebabkan pemandu teruja untuk memandu laju di jalan ini. Namun, harus diingat kerana had laju di sepanjang laluan ini ialah 50 km/j. Mengapa? Sebabnya mudah sahaja - selekoh yang tajam serta cerun yang curam - adalah dilaporkan bahawa cerun-cerun di sepanjang jalan ini adalah dalam lingkungan 10% sehingga 20%, menjadikannya sebagai jalan raya utama paling curam di Sabah. Maka disebabkan itulah lorong memotong disediakan di sepanjang bahagian-bahagian curam di jalan ini. Untuk melalui jalan ini, anda dinasihatkan agar menggunakan kereta yang lebih berkuasa; sebenarnya boleh juga jika anda sekadar menggunakan kereta Perodua Kancil atau motosikal kapcai untuk mendaki Banjaran Crocker melalui jalan ini, tetapi anda mungkin perlu banyak berhenti untuk mengelakkan enjin panas lampau.

Setelah mengharungi Banjaran Crocker, jalan ini kembali landai sehingga Lebuhraya Kimanis-Keningau ini tamat di Bulatan Kimanis di mana ia dihubungkan dengan Jalan Persekutuan 1 ke Kota Kinabalu, Papar dan Beaufort.

Sungguhpun secara amnya keadaan di sepanjang jalan ini sangat baik, namun anda perlu sentiasa berwaspada kerana keadaan muka bumi yang bergunung-ganang memungkinkan berlaku tanah runtuh atau tanah mendap yang seterusnya boleh merosakkan jalan. Selain selekoh tajam, cerun curam serta kemungkinan tanah runtuh, kabus tebal juga boleh menghalang pemandangan anda. Oleh itu, waktu paling sesuai untuk menggunakan jalan ini ialah waktu tengah hari.

Ada beberapa persoalan yang ingin saya kemukakan kepada Kementerian Kerja Raya serta JKR Sabah - apa sebenarnya status jalan ini? Adakah ia jalan persekutuan atau jalan negeri? Apa kod laluannya?

Jika diberi kesempatan, saya ingin mencuba sendiri jalan ini. Namun, disebabkan harga tiket kapal terbang yang mahal, maka lebih baik jika saya himpunkan beberapa rancangan reviu jalan raya sekaligus dalam lawatan saya ke Sabah suatu hari nanti.



Kemaskini: Kementerian Kerja Raya telah mengesahkan bahawa Lebuhraya Kimanis-Keningau diwartakan sebagai Jalan Negeri Sabah, cuma kod laluannya belum ditentukan lagi. Harap maklum.

2 comments:

  1. saya pernah melalui banyak jalan persekutuan seperti di tasik banding
    (kelantan-perak-kedah), genting sepah, kk-ranau. tapi jalan kimanis-keningau ini yang paling curam. paling tinggi. dan paling mencabar. cubalah sendiri.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Benar. Cabaran terhebat di Lebuhraya Kimanis-Keningau ini ialah cerun curamnya yang ada kalanya boleh mencecah 20%. Kalau siapa yang tak pandai guna gear memang takut tak lepas naik punya, ataupun terbabas kalau nak turun. Kalau tak silap dalam kemaskini peta GPS oleh Malfreemaps, ada satu jajaran yang mana ada jalan baru dibuat, mungkin jajaran baru untuk menggantikan jajaran paling curam (tak pasti betul ke tak, kena cuba sendiri baru tau).

      Delete