Wednesday, September 12, 2012

Keselamatan Ribut Petir Bahagian 1: Sepintas lalu / Thunderstorm Safety Part 1: Overview

Firman Allah: Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)



Salam sejahtera,

Di Malaysia, monsun barat daya sedang berakhir dan kini kita sedang berada dalam fasa peralihan monsun atau ekuinoks. Pada masa ini, matahari sedang berada di kawasan khatulistiwa, menyebabkan kawasan berkenaan sering mengalami cuaca panas terik ketika tengah hari tetapi kemudiannya berlaku ribut petir pada waktu petang atau awal senja. Memandangkan Malaysia mengalami iklim khatulistiwa, maka dijangkakan dalam tempoh tiga bulan bermula sekarang bakal berlaku banyak aktiviti ribut petir yang sudah tentunya menjejaskan aktiviti yang dijadualkan terutamanya di sebelah petang.

Namun, fenomena pemanasan global yang dialami sejak akhir-akhir ini menyebabkan ribut petir bukan sahaja semakin sukar untuk diramal, malah ribut petir sekarang semakin ganas dan menggila berbanding beberapa dekat lalu. Ia terbukti apabila semakin banyak kes kematian yang berpunca daripada panahan kilat di negara kita, di samping peningkatan kes kebakaran yang berpunca daripada panahan petir. Keadaan menjadi semakin parah apabila semakin kerap terjadinya ribut petir dahsyat yang sering menyebabkan kejadian banjir kilat, terutamanya di Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Sungguhpun fenomena ini semakin membimbangkan, namun majoriti di kalangan warga Malaysia masih mempunyai tahap kesedaran yang rendah mengenai bahaya ribut petir. Tiada amaran ribut petir dikeluarkan di media massa. Amaran ribut petir yang ada hanya disiarkan di laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia. Akibatnya, hanya segelintir sahaja yang mendapat maklumat awal mengenai ribut petir dahsyat.

Banyak golongan yang terdedah pada bahaya ribut petir ini. Buruh-buruh binaan, terutamanya di tapak-tapak projek bangunan tinggi, amat mudah terdedah kepada bahaya disambar petir. Begitu juga dengan petani, nelayan, pemain bola sepak, penunggang motosikal, dan sebagainya. Kebimbangan mengenai peningkatan kes kebakaran, kecederaan atau kematian yang berpunca daripada panahan kilat wajar diberikan perhatian serius. Sehubungan dengan itu, Blog Jalan Raya Malaysia kali ini ingin mendidik para pembaca mengenai bahaya ribut petir serta langkah perancangan awal bagi mengelakkan sebarang bencana terutamanya apabila bercadang untuk keluar rumah atau pejabat. Dalam entri kali ini, Blog Jalan Raya Malaysia akan menerangkan secara sepintas lalu mengenai fenomena ribut petir serta langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil semasa menghadapinya.

Menurut Jabatan Meterologi Malaysia, ribut petir ditakrifkan oleh Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) sebagai kejadian satu atau lebih nyahcas elektrik secara tiba-tiba yang menghasilkan lintasan cahaya (kilat) dan bunyi gemuruh (guruh). Ribut petir sering berlaku di kawasan yang dilitupi awan kumulonimbus yang berkembang secara menegak. Ribut petir terbahagi kepada empat jenis:-


  1. Sel tunggal - Berlaku secara berasingan serta dalam kawasan yang kecil. Biasanya ribut petir sel tunggal ini sangat lemah, menghasilkan kilat dan petir yang tidak berapa kuat, serta berlangsung dalam jangka masa sesingkat sekitar 15-30 minit. Oleh kerana luruan udara ke atas (updraft) dan ke bawah (downdraft) berlaku dalam sel yang sama, biasanya tiada angin kencang yang terhasil.
  2. Berbilang sel - Berlaku apabila banyak sel ribut petir (awan kumulonimbus) terbentuk secara berkelompok serta berlaku dalam kawasan yang lebih besar. Sementara setiap sel individu selalunya bertahan dalam masa sekitar 20-30 minit, kelompok ribut petir itu sendiri boleh berlangsung sehingga berjam-jam lamanya. Akibatnya, ribut petir berbilang sel berupaya menyebabkan banjir kilat, angin kencang, puting beliung serta hujan air batu.
  3. Garis badai - Sama seperti ribut petir berbilang sel, cuma kelompok sel-sel ribut membentuk satu garisan.
  4. Supersel - Berlaku apabila kelompok-kelompok awan ribut petir bergabung dan membentuk satu awan ribut petir yang sangat besar serta terdapat satu pusat sel yang sangat nyata. Ia berupaya menghasilkan puting beliung yang sangat kencang, hujan air batu bersaiz sangat besar serta hujan yang sangat lebat.



Semua ribut petir melalui tiga peringkat kitaran hayat, iaitu peringkat pembentukan, peringkat matang serta peringkat penyingkiran. ia bermula apabila pancaran matahari menyebabkan air menyejat dan naik ke atas membentuk awan kumulus yang berbentuk seperti kobis bunga. Selalunya awan kumulus yang kecil melambangkan cuaca yang baik, tetapi awan kumulus boleh berkembang secara menegak sehingga ia kelihatan gelap. Awan kumulus itu semakin menebal sehingga mencapai satu tahap ketinggian di mana ia tidak boleh naik lagi. Seterusnya, bahagian atas awan berkembang secara melintang dan menghasilkan bentuk rakap. Awan sebegitu kini dikenali sebagai awan kumulonimbus.

Apabila awan menjadi semakin besar, titisan-titisan halus air bergabung menjadi besar dan menyejuk untuk membentuk partikel ais. Jika luruan udara panas ke atas sudah tidak mampu lagi untuk menahan partikel-partikel air batu yang semakin besar dan berat itu, partikal-partikel tersebut gugur dan mencair sebagai hujan. Sebab itulah semasa ribut petir, air hujan berasa sangat sejuk. Hujan yang turun membawa bersama udara sejuk ke bawah, menghasilkan angin kencang. Namun, jika luruan udara panas cukup kuat untuk menolak kembali titisan hujan naik ke atas, ia membeku semula dan membentuk selapisan ais yang meliputi butiran ais asal yang membeku semula. Kitaran tersebut berulang sehingga butiran air batu tersebut sudah terlalu berat dan tidak lagi mampu ditahan oleh luruan udara panas ke atas. Butiran ais tersebut gugur sebagai hujan air batu. Akibat aktiviti turun naik udara panas dan sejuk di dalam awan, golakan terhasil di dalam awan dan seterusnya menghasilkan beberapa fenomena cuaca buruk seperti angin kencang, kilat dan petir, serta puting beliung.

Aktiviti turun naik udara panas dan sejuk juga dikatakan menyebabkan pemisahan dan pembentukan cas-cas positif dan negatif yang terkumpul sehingga melebihi had penebatan udara. Setelah voltan yang terbentuk sudah cukup tinggi untuk melepasi had penebatan udara, aliran cas elektrik yang dikenali sebagai kilat pendahulu terhasil daripada pengionan udara yang dilaluinya. Apabila alur kilat pendahulu positif dan negatif bertemu, satu nyahcas lengkap terhasil dan membentuk satu alur cahaya keputihan yang sangat terang dan berlaku dalam sekelip mata. Nyahcas tersebut dikenali sebagai kilat. Kilat yang terhasil itu mempunyai memanaskan udara sekitar pada suhu 10,000 °C dalam sekelip mata, menghasilkan satu gelombang kejutan yang dikenali sebagai guruh.

Hujan yang turun membawa bersama luruan udara sejuk ke bawah yang kemudiannya mendominasi aktiviti ribut petir, seterusnya menghapuskan aliran naik udara panas yang semakin lama semakin menyejuk. Pada peringkat ini, bahagian tepi awan kumulonimbus tersebut sudah tidak lagi termampu untuk ditahan oleh luruan udara panas ke atas, menyebabkan hujan renyai-renyai turun di kawasan tersebut. Peringkat ini dipanggil peringkat penyingkiran kerana pada peringkat ini segala isi awan gugur sebagai hujan yang membawa bersama udara sejuk, maka secara teknikalnya ribut petir tersebut sudah "terbunuh" pada peringkat ini.





Apakah langkah berjaga-jaga yang patut dilakukan?


Sebelum ribut petir

  1. Semak ramalan cuaca harian.
  2. Perhatikan sebarang tanda-tanda ribut petir (awan gelap, bunyi guruh, hujan yang mula turun).
  3. Jika tanda-tanda ribut petir mula muncul, gunakan telefon bimbit untuk menyemak amaran ribut petir di laman sesawang http://www.met.gov.my. Jangan jadi kedekut dan terlalu berkira untuk melaburkan sedikit nilai kredit telefon bimbit anda untuk menyemak amaran cuaca kerana nilai kredit yang dilaburkan itulah yang boleh menyelamatkan anda daripada terperangkap dalam ribut petir dan banjir kilat.
  4. Jika anda menunggang motosikal dan mendapati tanda-tanda ribut petir mula muncul, patah balik dari arah mana anda datang dan cari bangunan yang baik dan kukuh untuk berlindung (stesen minyak, tempat berteduh motosikal, kedai, dsb.) Jangan berteduh di bawah jejambat yang tiada lorong susur untuk berteduh ataupun jika lorong susur berteduh itu sudah penuh dengan motosikal lain.
  5. Tangguhkan sebarang aktiviti luar dengan serta-merta jika terdapat tanda-tanda ribut petir.
  6. Jika anda di tengah laut atau sungai dan mendapati tanda-tanda ribut petir mula muncul, kembali ke daratan dengan serta-merta dan cari tempat berlindung.
  7. Pastikan pelindung pusuan (surge protector) dipasang pada peralatan elektrik sensitif seperti televisyen, radio, penyahkod televisyen satelit, pemain DVD dan komputer.
  8. Pastikan pemutus litar bocor ke bumi (ELCB) berfungsi dengan baik. Tukarkannya dengan segera jika ia tidak terpelantik semasa suis ujian ditekan atau semasa berlaku petir yang kuat.

Semasa ribut petir

  1. Jangan berteduh di bawah pokok atau tempat yang kecil.
  2. Jika anda di luar kereta dan tiada bangunan kukuh, masuk ke dalam kereta dan tutup tingkap. Jangan menyentuh sebarang objek logam (terutamanya badan kereta).
  3. Keluar dari bot dan jauhi air.
  4. Jangan guna telefon atau sebarang peralatan elektrik. Cabut semua peralatan elektrik yang tidak digunakan.
  5. Jangan mandi. Jangan gunakan sebarang paip air.
  6. Matikan penyaman udara dan pemanas air mandian.
  7. Semasa memandu di lebuh raya, jejambat dan jambatan, awasi angin lintang kencang yang terhasil akibat ribut petir. Perlahankan kenderaan kerana hujan lebat mengehadkan penglihatan.
  8. Bersedia untuk berpindah jika banjir kilat dijangka bakal berlaku.
Jika terperangkap di luar dan tiada tempat berlindung

  1. Berteduh di tempat rendah yang tidak banjir dan jauh dari pokok atau pagar (seperti perhentian bas atau pondok).
  2. Jika berada di hutan, berteduhlah di pokok yang lebih rendah.
  3. Jika didapati kulit kita terangsang atau rambut kita menegak, berjongkoklah ke tanah. Letakkan tangan di lutut dengan kepala di antara kedua-dua lutut. Jadikan badan sekecil mungkin dan kurangkan daripada menyentuh tanah.
  4. Jika anda sedang berperahu atau berenang, kembali ke daratan dan segera dapatkan tempat berlindung.




Bahaya yang disebabkan oleh ribut petir

  1. Panahan petir yang boleh membawa maut dan merosakkan peralatan elektrik.
  2. Hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh.
  3. Angin kencang yang boleh menumbangkan pokok serta melayangkan bumbung rumah.
  4. Puting beliung yang boleh memusnahkan rumah dan harta-benda.
  5. Hujan air batu boleh memecahkan bumbung zink yang berkarat, tingkap rumah serta tingkap kereta. Ia juga boleh mencederakan manusia jika terdedah terlalu lama.


Lawati laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia serta blog Fenomena Kilat, Petir di Malaysia untuk memperoleh lebih banyak maklumat serta pendidikan mengenai ribut petir.

Ikuti sambungan kedua Keselamatan Ribut Petir iaitu cara membaca imej radar cuaca.

No comments:

Post a Comment