Wednesday, September 19, 2012

Penandaan jata laluan / Marking the highway shield


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sambutan yang menggalakkan oleh para pembaca dalam menyokong perjuangan Blog Jalan Raya Malaysia memartabatkan rangkaian jalan raya dan lebuh raya negara. Sambutan daripada anda semua, daripada pembaca biasa sehinggalah kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia, dalam menyokong perjuangan memartabatkan rangkaian jalan raya negara amat saya hargai.

Akhir-akhir ini, sudah ada banyak jata laluan yang ditandakan di atas jalan raya sebagai alternatif untuk menandakan kod laluan selain daripada memacakkan tiang kod laluan di sepanjang lebuh raya. Kali pertama saya melihat pendekatan sebegini ialah semasa saya melalui Lebuhraya Persekutuan FT2. Sementara Plus Expressways Berhad memacakkan tiang kod laluan di sepanjang jajaran bertol (Subang Jaya-Bukit Raja), JKR Selangor pula bertindak mengecat jata laluan FT2 tersebut. Sementara saya memuji inisiatif JKR Selangor tersebut, saya berasa amat kesal kerana JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula tidak melakukan perkara sama, sedangkan untuk menghubungkan FT2 dari Jalan Syed Putra / Lebuhraya Persekutuan ke pangkal Lebuhraya Karak E8/FT2, pengguna terpaksa melalui satu siri kota sesat di Kuala Lumpur.

Di Johor dan Melaka, kesedaran mengenai kepentingan menggalakkan pengguna jalan raya menggunakan kod laluan dizahirkan melalui penandaan beberapa jalan raya utama. Sejak keseluruhan jajaran Lebuh AMJ diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 19 pada awal 2012, keseluruhan laluan bermula dari Persimpangan Kesang di sempadan Johor-Melaka (KM0) sehingga ke penamat Lebuh AMJ di Simpang Ampat kesemuanya sudah ditandakan dengan jata laluan FT19. Di Muar, JKR Muar turut mengambil inisiatif mengecat jata laluan FT5 di susur keluar Persimpangan Parit Bunga, Jambatan Sultan Ismail serta di sepanjang Jalan Khalidi FT5 yang melalui tiga bulatan utama Muar bagi menangani kota sesat di sana. Saya amat memuji inisiatif JKR Muar tersebut. JKR Segamat pula mengecat jata laluan FT12 di sepanjang Lebuhraya Tun Razak FT12. Di Yong Peng pula, JKR Batu Pahat mengecat jata laluan di sepanjang jalan FT1. Tidak ketinggalan juga di Lebuhraya Skudai FT1, JKR Johor Bahru turut mengambil inisiatif yang sama.

Apa pula yang dimaksudkan dengan jata laluan? Jawapannya akan saya jelaskan dalam entri berikutnya.

5 comments:

  1. Tidak ketinggalan juga JKR Kluang yang menandakan laluan FT50 (istilah polis trafik : jalan Batu Pahat - Mersing) di atas jalan tersebut.

    Mungkinkah JKR Johor dan JKR Melaka sudah melakukannya di setiap daerah negeri masing2?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau nak periksa setiap daerah memang tak larat la..tapi yang boleh saya katakan, usaha yang dilakukan di Melaka dan Johor wajar dipuji :)

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Sekarang ni, setiap kali berjalan, nampak tertera lambang heksagon dan nombor 1 (laluan persekutuan 1) di atas jalan raya di Johor. Syabas diucapkan pada JKR Johor ! Tapi, kalau tengok pada jalan negeri, takde lambang pulak. JKR hanya buat pada jalan persekutuan sahaja ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya percaya usaha sebegini elok dimulakan dengan jalan persekutuan dahulu, kemudian diikuti jalan negeri. Oleh itu bersabarlah.

      Delete

Advertisement