Thursday, October 11, 2012

Anatomi sistem PGM-FI Honda Wave 125i / Honda Wave 125i PGM-FI system anatomy



Salam sejahtera,

Sebagaimana yang anda semua sedia maklum, model-model Honda Wave 125S / 125X Ultimo / Future 125 yang dijual di Malaysia masih menggunakan sistem karburetor, sedangkan model-model yang sama di Thailand, Indonesia dan Vietnam sudah pun menggunakan sistem pancitan bahan api PGM-FI. Sistem PGM-FI khas untuk motosikal kapcai keluaran Honda ini mula dibangunkan oleh Honda Thailand bagi kegunaan generasi pertama Wave 125i. Seterusnya, PT Astra Honda Motor Indonesia mula memasang sistem yang sama pada Honda Supra 125 di sana bermula tahun 2005, dan mereka sedang merancang untuk berhijrah kepada penggunaan sistem pancitan sepenuhnya pada semua model motosikal di sana setelah kerajaan Indonesia bakal menguatkuasakan piawaian emisi Euro 3 pada tahun 2013. Seterusnya, Honda mula memasarkan Honda Wave 125i generasi kedua sebagai Honda Innova 125i, juga menggunakan sistem PGM-FI. 

Di Indonesia, model berkarburetor dan model pancitan dijual bersama-sama. Contohnya, harga bagi Honda Supra 125X (Honda Wave 125X Ultimo di sini) ialah Rp 15.6 juta bagi model karburetor, manakala harga bagi Supra 125X Helmet-in (Honda Future 125 di sini) ialah Rp16.225 juta. Kesimpulannya, model pancitan memang lebih mahal daripada model berkarburetor, walaupun sebenarnya sistem PGM-FI ini dibangunkan sebagai versi kos rendah daripada sistem serupa pada motosikal yang lebih besar.

Apakah komponen utama sistem PGM-FI Honda Wave 125i? Komponen-komponen utamanya adalah seperti berikut:-

  1. Unit kawalan elektronik (ECU) - merupakan "otak" utama bagi sistem pancitan bahan api. Dengan berbekalkan data-data yang diberikan oleh sensor-sensor, ECU akan mengira dengan tepat kadar pancitan bahan api serta pemasaan penyalaan palam pencucuh.
  2. Badan pendikit - injap pendikit berfungsi mengawal aliran udara masuk ke enjin sebagaimana pada karburetor. Tidak seperti injap pendikit karburetor yang turut mengawal jumlah bahan api, fungsi tersebut diambil alih oleh ECU. Pada badan pendikit Wave 125i ini, tiga sensor digabungkan, iaitu sensor suhu udara masukan (IAT), sensor kedudukan pendikit (TPS), serta sensor tekanan mutlak rongga (MAP), berbanding badan pendikit sistem pancitan biasa yang hanya mempunyai TPS, manakala sensor-sensor lain ditempatkan berasingan.
  3. Pemancit bahan api - memancitkan bahan api dengan halus dan tepat setelah menerima isyarat daripada ECU.
  4. Unit penghantar bahan api - terdiri daripada penapis penuras bahan api, pam bahan api, pengawal tekanan bahan api serta pelampung tolok bahan api. Pam bahan api mengepam petrol ke pemancit pada tekanan 294 kPa.
  5. Pengesan denyutan - fungsinya sama seperti pengesan denyutan bagi motosikal berkarburetor iaitu untuk mengesan kedudukan aci engkol untuk pemasaan penyalaan, tetapi data yang sama turut digunakan untuk pemasaan pancitan bahan api.
  6. Pengesan suhu minyak pelincir - fungsinya sama seperti pengesan suhu bendalir penyejuk pada kereta iaitu untuk mengukur suhu enjin supaya kadar pancitan yang betul dikenakan sama ada semasa enjin sedang sejuk atau panas. Semasa enjin sejuk, pemancit akan memancitkan lebih banyak bahan api untuk memanaskan enjin tanpa memerlukan injap pencekik.
  7. Pengesan olengan - sensor ini ialah sensor keselamatan yang akan mematikan enjin secara automatik apabila motosikal tumbang akibat kemalangan, sekaligus mencegah daripada ancaman kebakaran.

2 comments:

  1. sudah ad wave 125 04, dan skrg berminat nak pakai future la..kui3..
    Wave 125 Gearbox fullset
    care to view..http://thegoldensentinel.blogspot.com/p/goods.html

    ReplyDelete
  2. tak sabar nak tunggu bila keluaq di msia

    ReplyDelete