Tuesday, August 28, 2018

Urus niaga Visa PayWave di hentian rehat kendalian PLUS / Visa PayWave transaction at rest areas operated by PLUS




Salam sejahtera,

Mungkin anda akan tergelak & merasakan kelakar sekiranya anda menggunakan kad kredit semasa hendak membeli sepinggan nasi goreng gara-gara tidak membawa banyak wang tunai bukan...? Bunyinya memang agak kelakar, tetapi itulah yang ingin diperkenalkan oleh PLUS Malaysia Berhad sebagai usaha menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai di semua hentian rehat kendalian mereka.

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama PLUS mengadakan inisiatif seumpamanya. Sebelum ini, PLUS pernah cuba memperkenalkan mod pembayaran tanpa tunai di hentian rehat kendalian mereka sebanyak 2 kali, bermula dengan penggunaan kad Touch 'n Go untuk membayar makanan, disusuli dengan penggunaan app Boost hasil kerjasama dengan Axiata pada awal 2018.

Pada hari ini (28 Ogos 2018), PLUS dengan kerjasama Visa Malaysia melancarkan projek perintis penggunaan kad kredit atau kad debit Visa PayWave sebagai mod pembayaran harga makanan di hentian rehat bertempat di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Dengkil (Arah Utara) di Lebuhraya Elite E6. Sebenarnya saya ada menerima jemputan daripada PLUS untuk turut sama menghadiri majlis tersebut, tetapi saya tidak dapat menyertainya atas sebab kesibukan kerja. Apa pun, terima kasih kepada PLUS kerana sudi berkongsi gambar serta salinan kenyataan media bagi membolehkan saya berkongsi berita ini kepada anda.

Majlis perasmian ini dirasmikan oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail & turut dihadiri Ng Kong Boon, Pengurus Negara, Visa Malaysia. Menurut Datuk Azman, secara purata sebanyak 62,000 buah kenderaan menggunakan jajaran KLIA-Putrajaya di Lebuhraya Elite E6, termasuklah daripada kalangan pelancong asing. Justeru, beliau mensasarkan 25% daripada keseluruhan transaksi di R&R Dengkil Arah Utara menggunakan Visa PayWave. 

Sebagai usaha mencapai sasaran ini, PLUS & Visa mengumumkan diskaun RM1 bagi saetiap transaksi pembelian melebihi RM2 menggunakan Visa PayWave. Nak lebih banyak lagi diskaun...? Boleh, buat lebih banyak lagi pembelian asalkan setiap kali pembelian itu mesti lebih daripada RM2. Oh, tawaran ini akan berakhir 30 November ini, jadi jangan lepaskan peluang untuk mencubanya sendiri.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa kad kredit...? Kan lawak bunyinya kalau sekadar hendak membeli sekeping roti canai & secawan teh tarik pun pakai kad kredit...? Jawapannya mudah sahaja - sebenarnya tidak selamat untuk membawa terlalu banyak wang tunai dalam tangan anda semasa hendak bermusafir. Nanti kena rompak pula semasa dalam perjalanan. Justeru, lebih baik jika memegang sedikit sahaja wang tunai mengikut keperluan.

Selain itu, boleh dikatakan rata-rata pengguna lebuh raya memiliki setidak-tidaknya kad debit yang terdiri daripada kad ATM dengan ciri kad kredit yang dikeluarkan oleh bank masing-masing. Hendak menggunakan app e-dompet, tidak semua orang memiliki telefon pintar, dan tidak semua telefon pintar yang berupaya untuk memasang app sedemikian sama ada disebabkan oleh versi Android / iOS yang sudah tidak disokong, tidak cukup ruang storan dalaman, tiada sokongan untuk telefon pintar dengan akses root dsb. Di samping itu juga, pelancong asing yang tidak membawa banyak wang tunai dalam Ringgit Malaysia juga berupaya untuk menggunakan kad kredit masing-masing untuk mencuba juadah tempatan di hentian rehat kendalian PLUS.

Bagi peniaga pula, penggunaan transaksi tanpa tunai juga amat membantu urusan perniagaan mereka. Tiada lagi risiko rompakan kerana tiada tunai yang dipegang dalam tangan. Tiada lagi kes juruwang tidak amanah & kaki songlap duit. Tiada lagi masalah hendak menyediakan duit kecil untuk dipulangkan kepada pelanggan. Tidak perlu lagi pening kepala hendak merekod, menyediakan penyata akaun.

Apa pun, syabas diucapkan kepada PLUS kerana terus-menerus mengambil inisiatif memperkenalkan sistem urus niaga jual beli tanpa tunai di kesemua lebuh raya kendalian mereka. Semoga syarikat konsesi lain turut sama mencontohi PLUS dalam memperkenalkan inisiatif urusan jual beli tanpa tunai yang lebih selamat & lebih memudahkan.




Ucapan pelancaran oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail




Ucapan oleh Ng Kong Boon, Pengurus Negara, Visa Malaysia




Bergambar bersama replika kad kredit Visa PayWave




Gimik menyentuh kad kredit gergasi ke terminal gergasi sebagai gimik perasmian




Bergambar kenangan semasa majlis perasmian




Bolehkah anda membeli secawan teh tarik pakai kad kredit...? Jom kita cuba di kedai betul pula...!!!


Semua kredit gambar: PLUS Malaysia Berhad

Thursday, August 9, 2018

Smart Tag sah berkubur & digantikan dengan RFID / Smart Tag is dead, long live the RFID



Rupa pelekat RFID yang akan digunakan tidak lama lagi


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana terlalu lama tidak mengemaskini blog ini, sehinggakan tahun 2018 menjadi tahun paling tidak produktif untuk Blog Jalan Raya Malaysia. Kekerapan mengemaskini yang sebegitu rendah kali ini adalah disebabkan oleh kesibukan kerja serta masalah kesihatan. Mohon maaf saya ucapkan. Justeru, teruskanlah sokongan anda terhadap Blog Jalan Raya Malaysia & doakan kesihatan saya agar saya dapat kembali menyajikan kepada anda dengan sebegitu banyak reviu jalan raya seperti sebelum ini.

Sebagai pembuka bulan Ogos ini, saya bawakan kepada anda satu berita yang sudah tentu dinanti-nantikan selama ini, iaitu mengenai sistem pembayaran tol RFID (Pengenalan Frekuensi Radio). Saya sudah menulis mengenainya sebelum ini, tetapi tarikh pelaksanaannya masih menjadi teka-teki pada masa itu. Namun, baru-baru ini Touch 'n Go Sdn. Bhd. baru-baru ini mengeluarkan bukan hanya satu, tetapi dua kenyataan rasmi yang membawa kepada penamat teka-teki mengenai bila RFID mula dilaksanakan.

Kenyataan pertama menyebut bahawa RFID akan mula dilaksanakan bermula 3 September 2018 sebagai "ujian beta terbuka" (atau dengan kata lain, ujian perintis tambahan) yang boleh disertai sesiapa sahaja termasuklah saya & anda. Ujian beta terbuka ini diadakan bagi mengenal pasti & memperbaiki sebarang kelemahan tambahan dari sudut pandangan pengguna lebuh raya sendiri sebelum ia mula dilaksanakan di semua lebuh raya ekspres utama bermula Januari 2019. Sebelum ini, ujian RFID merupakan "ujian beta tertutup" terhad kepada sekumpulan kecil pengguna ujian yang terdiri daripada kenderaan milik syarikat konsesi, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM & Touch 'n Go sendiri, dengan jumlah edaran sebanyak 3,872 kenderaan sahaja.

Untuk fasa ujian beta terbuka ini, beberapa lebuh raya ekspres yang dilengkapi sistem RFID termasuklah Lebuhraya KL-Karak E8/FT2, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11, Lebuhraya Shah Alam (Kesas) E5, Lebuhraya Duta-Ulu Klang E33 & Lebuhraya Besraya E9. Pengguna lebuh raya yang ingin mendaftar sebagai "penguji beta terbuka" bagi sistem RFID ini boleh mendaftar di laman web Touch 'n Go di http://www.touchngo.com.my.




Rupa akhir logo RFID yang sudah dimuktamadkan


Itu baru kenyataan pertama yang dikeluarkan oleh pihak Touch 'n Go. Kenyataan kedua yang dikeluarkan pada masa yang sama juga ialah pengumuman pemberhentian jualan transponder Smart Tag bermula 8 Ogos 2018 (semalam). Dengan berakhirnya penjualan transponder Smart Tag ini bermakna berakhir jugalah "mimpi ngeri" yang sering dialami pengguna Smart Tag seperti insiden "mengundur secara berjemaah", transponder Smart Tag tidak dapat dikesan kerana cermin gelap, kedudukan yang serta tidak kena serta bateri lemah, dan juga tidak boleh melepasi palang tol sekiranya baki kad Touch 'n Go yang digunakan itu terlalu kurang.






Pengumuman pelancaran RFID bermaksud berakhirnya penggunaan Smart Tag


Jadi bagaimana pula dengan nasib pengguna Smart Tag sedia ada serta pemilik kereta Perodua Myvi generasi ketiga varian premium yang turut dilengkapi transponder Smart Tag terbina dalam...? Jangan risau, anda masih boleh menggunakan peranti Smart Tag sedia ada. Lebuh raya ekspres sedia ada akan terus menerima Smart Tag sehinggalah tiada lagi yang menggunakannya ataupun sekiranya pengumuman penamatan sokongan Smart Tag diumumkan. Jadi, lama lagilah. Juga, pengguna Touch 'n Go sedia ada juga akan terus boleh menggunakan kad Touch 'n Go mereka kerana pengumuman penamatan tersebut hanya melibatkan Smart Tag sahaja & tidak melibatkan kad Touch 'n Go.

Kepada para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang baru hendak mengenali apa itu RFID, rasanya tidak perlulah saya menulisnya lagi kerana saya sudah pun menulis secara panjang-lebar mengenainya dalam entri sebelumnya. Buat masa sekarang saya belum bercadang untuk menyertai "ujian beta lanjutan RFID" itu kerana kereta saya mengalami kerosakan & sedang berada di bengkel; jika saya menyertai ujian beta tersebut, saya akan maklumkan & akan menulis reviu eksklusif mengenainya. jadi doa-doakanlah agar segala urusan dipermudahkan supaya saya dapat turut serta dalam ujian tersebut & seterusnya menulis reviu mengenainya khas untuk anda.

Saturday, July 21, 2018

Pengalaman memasang sendiri Fuel Gain Kit pada motosikal / An experience of installing Fuel Gain Kit on a motorcycle

Salam sejahtera,

Pertama sekali, saya memohon maaf kepada semua peminat Blog Jalan Raya Malaysia kerana sebegitu lama tidak mengemaskini blog ini. Dalam tempoh sebulan kebelakangan ini, saya sangat sibuk dengan kerja harian saya termasuklah sebagai pengedar Fuel Gain Kit di Kuala Lumpur & Lembah Klang. Untuk pengetahuan anda, Fuel Gain Kit merupakan sebuah kit penukaran sistem karburetor kepada pancitan bahan api khas buat motosikal kapcai & skuter 4 lejang 1 silinder jenis baring ke hadapan bawah 150 cc.

Seperti yang anda semua sedia maklum, Blog Jalan Raya Malaysia dilantik sebagai wakil pengedar sah Fuel Gain Kit oleh pengeluarnya, APT Touch Sdn. Bhd pada Mei 2018. Pada masa itu, saya memulakan aktiviti sebagai wakil pengedar FGK sebagai sumber kewangan bagi menyokong aktiviti Blog Jalan Raya Malaysia supaya boleh kembali semula menghasilkan reviu-reviu jalan raya setelah sebegitu lama tidak menghasilkan sebarang reviu. Namun, aktiviti jualan hanya bermula secara rasminya pada 1 Julai 2018 setelah laman Facebook rasmi Fuel Gain Kit - Kuala Lumpur dilancarkan. Meskipun saya memulakannya secara kecil-kecilan, namun saya berasa gembira atas sambutan menggalakkan yang diterima, dibuktikan dengan kesemua stok awal sebagai modal permulaan saya habis licin dalam masa seminggu sahaja, malah saya terpaksa menjual demo set saya sendiri sementara menunggu stok baharu tiba dari Johor Bahru. Jutaan terima kasih atas sokongan semua.




Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman memasang salah satu set Fuel Gain Kit pada motosikal Encik Syafiq, salah seorang pelanggan saya di Puchong. Dia membeli 1 set Fuel Gain Kit pada 11 Julai 2018 & meminta saya untuk memasangnya pada motosikal Honda Wave 110DX miliknya. Jadi cara-cara pemasangannya adalah seperti berikut:-




Pertama: Bogelkan motosikal anda dengan mencabut set badan plastik yang menutupinya.




Kedua: Kosongkan tangki minyak. Untuk tugasan kali ini, saya menggunakan pam hos sifon yang dibeli dari kedai Mr. DIY.




Ketiga: Cabut hos bahan api lama, kabel pendikit & seterusnya cabut karburetor. Untuk tugasan ini, saya mengekalkan hos bahan api dari tangki ke penapis bahan api & juga penapis bahan api asal supaya pam bahan api & pemancit bahan api tidak tersumbat.




Keempat: Pasang badan pendikit FGK. Seterusnya, sambungkan kabel pendikit ke injap pendikit pada badan pendikit.




Kelima: Sambungkan hos bahan api baharu dari tangki (atau dalam kes ini, dari penapis bahan api) ke pam bahan api & seterusnya ke pemancit. Arah bahan api keluar pada pam bahan api ialah pada terminal penyambung elektriknya.




Keenam: Sambungkan penyambung elektrik dari abah-abah pendawaian ke lokasi berikut. Wayar 12VDC disambung ke wayar kuasa kunci (dalam kes ini, wayar merah-hitam)...




...manakala wayar GND pula dibumikan pada casis motosikal.




Wayar FP+ ke terminal positif pam bahan api manakala wayar FP- pula ke terminal negatif.




Ini bahagian paling mengelirukan. Sambungkan wayar IPS pada wayar-wayar gelung pemicu CDI. Bagi kes motor Honda, sambungkan wayar IPS+ ke wayar biru-kuning manakala IPS- ke wayar hijau (jika anda terkeliru, anda boleh semak kod warna di sini).




Ketujuh: Akhir sekali barulah kita sambungkan ECU ke soketnya.


Namun, proses pemasangan tersebut tidak semestinya lancar sepenuhnya. Semasa ujian pemasangan kali pertama, motosikal gagal dihidupkan & tiada langsung bunyi pam bahan api. Sangkaan awal saya berkemungkinan pam bahan api rosak. Jadi saya terpaksa kembali semula pada 15 Julai 2018 bersama-sama dengan pam bahan api dan ECU gantian daripada demo set baharu yang saya perolehi semasa stok baharu tiba pada sebelah pagi hari sebelumnya. Namun, sekali lagi motosikal gagal dihidupkan walaupun setelah ditukar ECUnya, dan setelah menguji kedua-dua pam bahan api, saya dapati kedua-dua pam bahan api berfungsi dengan baik. Daripada situ, saya dapati bahawa punca motosikal pelanggan saya itu gagal dihidupkan bukan kerana pam bahan api mahupun ECU, tetapi kerana abah-abah pendawaian berkemungkinan sudah terputus dalam.




Sepanjang minggu berikutnya, saya sangat sibuk dengan kerja utama saya, jadi saya terpaksa mengepos abah-abah pendawaian gantian daripada demo set baharu saya kepada Encik Syafiq. Hanya pada pagi tadi (21 Julai 2018) barulah saya berkesempatan untuk berkunjung semula ke rumahnya untuk meninjau semula pemasangan Fuel Gain Kit pada motosikalnya. Akhirnya, motosikal Honda Wave 110DX itu berjaya dihidupkan.




Kepada para peminat Blog Jalan Raya Malaysia yang memiliki motosikal berkarburetor, harap anda semua dapat membuktikan sokongan anda kepada kami dengan membeli set FGK di laman Facebook Fuel Gain Kit - Kuala Lumpur. Klik atau tekan butang Beli Sekarang atau Shop Now di laman Facebook FGK KL. Harganya hanya RM300 sahaja. Semoga pembelian anda dapat membantu kami untuk kembali semula menghasilkan lebih banyak reviu jalan raya seperti dahulu.

Terima kasih atas sokongan anda.