Sunday, September 9, 2012

Yamaha TZM150 dalam kenangan / Yamaha TZM150 in memories



Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh pengunjung Blog Jalan Raya Malaysia yang telah memberikan sambutan yang amat menggalakkan terhadap rencana-rencana berkaitan motosikal seperti Honda Future 125 yang kini menjadi rencana paling diminati di blog ini. Asalnya, tujuan asal blog ini diwujudkan hanyalah sebagai rujukan bagi sistem jalan raya semata-mata, tetapi saya memikirkan adalah baik jika saya turut sama menerapkan sedikit sebanyak mengenai kereta dan motosikal walaupun tidak sehebat blog automotif tulen seperti Paul Tan dan Kereta.info.

Kali ini saya ingin bengkitkan sedikit kenangan lama terutamanya di kalangan rakan-rakan bikers "otai" tentang jentera beroda dua yang pernah menggegarkan jalan raya Malaysia sekitar dua dekad lalu. Jentera pilihan saya kali ini ialah Yamaha TZM150, mula dikeluarkan pada tahun 1994 dan dihentikan pengeluarannya sekitar tahun 2002. Di Malaysia, motosikal ini bersaing hebat dengan Honda NSR150. Yamaha TZM150 dibina berasaskan model TZR125 tetapi dengan enjin yang lebih besar dan reka bentuk yang lebih cantik dan menarik.

Semasa motosikal ini mula-mula dikeluarkan, ia terus menjadi kegilaan anak-anak muda pada masa itu, termasuklah saya. Bikers zaman dulu memang beruntung kerana dapat merasa motor-motor yang sangat hebat, tidak seperti zaman sekarang yang hanya dibanjiri motor-motor kapcai berikutan cukai import motosikal yang terlampau tinggi serta keengganan bank-bank membiayai pinjaman motosikal. Saya hanya berpeluang menunggang Yamaha TZM ini semasa di Universiti Teknologi Malaysia, itu pun motor sahabat baik saya di sana yang kini merupakan seorang guru matematik di Kulai.

Apa yang hebatnya dengan Yamaha TZM ini sehingga menjadi kegilaan anak-anak muda? Daya tarikan paling utama sudah tentulah enjin dua lejang satu silinder 147 cc sejukan cecair dengan teknologi Sistem Injap Kuasa Yamaha (YPVS). Fungsi injap kuasa ini ialah melaras bukaan liang rongga ekzos supaya enjin berupaya menghasilkan kuasa dan tork optimum pada keseluruhan banjaran kelajuan enjin. Enjin dua lejang berupaya menghasilkan kuasa kuda lebih tinggi apabila liang rongga ekzos lebih besar kerana lebih lawas, tetapi bukaan yang besar ini pula menyebabkan enjin menjadi semput pada kelajuan rendah. Bukaan rongga ekzos yang lebih kecil pula membolehkan enjin menjana lebih tork pada kelajuan rendah kerana ia menghasilkan sedikit rintangan yang mengurangkan campuran udara-bahan api yang tidak terbakar daripada terlepas keluar, tetapi bukaan yang kecil ini pula mengehadkan prestasi enjin dua lejang tersebut. Injap kuasa mengawal bukaan luang rongga ekzos agar bersesuaian dengan kelajuan enjin. Hasilnya, enjin TZM sangat bertenaga pada kelajuan tinggi tetapi dalam masa yang sama lincah memecut pada kelajuan rendah di samping lebih jimat minyak tanpa sedikit pun tanda-tanda semput. Konsep yang digunakan ini samalah seperti sistem pemasaan injap boleh laras kereta seperti VTEC. Penggunaan petrol TZM150 ini ialah 55 km/L di bandar (60 km/j) dan 25 km/L di lebuh raya (120 km/j).

Bagaimana dengan prestasi TZM ini? Tengok rupa saja pun semua orang tahu TZM ini bukan calang-calang motosikal. Dengan saiz lubang x lejang 59 x 54 mm serta nisbah mampatan 6.0:1, enjin TZM ini mampu menghasilkan kuasa kuda 36 PS @ 10,500 rpm dan tork 2.5 kgf-m @ 9,500 rpm. Hasilnya, TZM ini mampu mencapai kelajuan maksimum 200 km/j. Hebat bukan?

Namun, satu masalah yang sering dihadapi oleh pengguna Yamaha TZM150 ini ialah injap kuasa yang sering patah serta mudah bocor. Untuk menjaga injap kuasa supaya tidak mudah patah serta bocor, adalah dinasihatkan supaya tidak terlalu memulas pendikit dengan terlalu rakus. Selain itu, penunggang TZM (dan semua motosikal 2 lejang yang menggunakan sistem injap kuasa elektronik) mesti menggunakan suis pemati enjin pada bar hendal sebelah kanan sebelum menggunakan kunci supaya injap kuasa dapat diset semula pada kedudukan asal. Cara mematikan enjin yang salah (terus matikan enjin guna kunci) akan menyebabkan injap kuasa tidak diset semula pada kedudukan asal, sekaligus menyebabkan injap kuasa lambat laun akan patah. Semasa hendak menghidupkan enjin, hanya hidupkan setelah tiada lagi bunyi motor servo injap kuasa.

Menjelang peralihan ke alaf 21 pula, tekanan oleh piawaian emisi menyebabkan pengeluaran terpaksa dihentikan sekitar tahun 2002. Seperti motosikal 2 lejang lain, Yamaha TZM150 ini turut membakar minyak pelincir 2T, sekaligus menjadikan pembakaran minyak 2T sebagai bahan pencemar utama yang dihasilkan oleh motosikal dua lejang. Sementara TZM memperoleh pengganti di India iaitu Yamaha YZF-R15, Hong Leong Yamaha tidak pula membawa model tersebut untuk pasaran Malaysia. Boon Siew Honda ada membawa masuk model Honda CBR150R sebagai pengganti Honda NSR150, sebelum CBR150R itu digantikan pula dengan CBR250R satu silinder. Akhirnya, senario dunia motosikal sport 150 cc yang pernah meriah dengan persaingan antara Honda NSR150 dengan Yamaha TZM150 pada tahun 1990an kini sepi begitu sahaja.


Spesifikasi

Enjin: 2 lejang 1 silinder sejukan cecair, injap dedaun
Sesaran: 147 cc
Lubang x lejang: 59 x 54 mm
Nisbah mampatan: 6:0
Kuasa kuda maksimum: 36 PS @ 10,500 rpm
Tork maksimum: 2.5 kgf-m @ 9,500 rpm
Penghidup: Tendang
Transmisi: 6 kelajuan manual (1 bawah, 5 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 119 kg
Kelajuan maksimum: 200 km/j
Penggunaan bahan api: 55 km/L @ 60 km/j; 25 km/L @ 120 km/j

1 comment:

  1. dua kali beli TZM
    1st TZM stended, beli kena curi lepas tu pakai EX5
    tak tahan guna EX5 beli TZM balik dan modi skit2, sumbat fork Aprilia dan cat skit...at the end of story....jual sbb mmber pakat jual beli skuter sbb masa tu zaman skuter bermula (T_T)

    penah rembat kat highway tmn connaught 200kmj (mungkin ralat meter) lepas tu jarum meter jadi biol. skg dah tua ati basah da.

    paling tak boleh lupa masa brenti kat trafik light. masa tu tgh cover ensem...skali bunyi preng2 kat sebelah, tgk2 TZM indon penuh dgn selut dan ada box blakang...tanpa membuang masa saya terus langgar lampu merah. tak sanggup nak tunggu lama dah masa tu (T_T)

    kenangan bersama TZM tak dapat dilupakan...
    sekian...macih

    ReplyDelete