Wednesday, October 31, 2012

Kenapa jalan raya ada had laju / Why roads have speed limit



Salam sejahtera,

Saya percaya ramai di kalangan pengguna jalan raya tertanya-tanya rasional sesebuah jalan raya mempunyai had laju masing-masing. Mungkin ada di antara anda yang menganggap had laju hanya melambatkan sesebuah perjalanan terutamanya perjalanan jauh yang mustahak. Ada juga yang menganggap had laju hanya menyumbang kepada kesesakan jalan raya. Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa had laju sebenarnya ditemtukan hasil kajian jurutera jalan raya yang mengambil kira pelbagai faktor dalam rekaan sesebuah jalan raya. Anda mungkin tidak sedar bahawa had laju sebenarnya mampu menyelamatkan nyawa daripada melayang apabila terdapat halangan yang tidak disangka-sangka; misalnya, apabila ternampak seekor lembu tiba-tiba melintas sebatang jalan raya yang lengang pada waktu tengah malam. Jika anda memandu melebihi had laju, anda sudah tentu tidak dapat mengelak lembu berkenaan dan seterusnya melanggar lembu tersebut. Namun, jika anda mematuhi had laju, anda masih berupaya untuk mengelak lembu itu dengan selamat tanpa sebarang perlanggaran.

Menurut Arahan Teknik (Jalan) 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads oleh Jabatan Kerja Raya, had laju reka bentuk adalah kelajuan maksimum selamat yang boleh dikekalkan pada sesebuah jajaran jalan raya dalam keadaan yang bersesuaian. Had laju reka bentuk ditentukan dengan mengambil kira bentuk muka bumi, penggunaan tanah bersebelahan jalan raya serta jenis jalan. Seterusnya, had laju pengendalian dikenakan dengan berpandukan kepada had laju reka bentuk; had laju pengendalian mestilah tidak melebihi had laju reka bentuk.

Melalui kriteria bentuk muka bumi, had laju yang tinggi tidak boleh dikenakan pada cerun curam tak kira sama ada untuk mendaki bukit atau menuruni bukit. Ramai yang beranggapan bahawa had laju sepatutnya lebih tinggi semasa mendaki bukit (contohnya ketika mendaki bukit di Lebuhraya SKVE E26) atas alasan supaya boleh "mengambil lajak" atau mendapatkan momentum mencukupi untuk mendaki bukit. Anggapan ini salah sama sekali. Sebaik berada di puncak bukit, tenaga keupayaan yang besar terhasil dan akan menyebabkan kenderaan meluncur laju menuruni bukit sehingga ke tahap hilang kawalan. Malah, penggunaan brek yang berterusan pada cerun menuruni bukit yang panjang akan menyebabkan kegagalan brek.

Kriteria kedua ialah penggunaan tanah. Di kawasan luar bandar, tanah yang digunakan selalunya atas tujuan pertanian, perladangan dan penternakan, manakala kediaman selalunya dibuat agak jauh daripada jalan raya berikutan kawasan tanah yang luas. Ia seterusnya membolehkan terdapatnya rizab jalan yang lebih luas. Hasilnya, kawalan masuk separa boleh dikenakan dan had laju yang sederhana tinggi boleh dikuatkuasakan. Di sepanjang lebuh raya pula, tanah rizab lebuh raya dipagar untuk menghalang kemasukan manusia, haiwan dan kenderaan ke lebuh raya secara terus, membolehkan had laju yang tinggi dikenakan. Di kawasan bandar  pula, premis-premis kediaman, perniagaan dan perindustrian terletak begitu rapat antara satu sama lain, menyebabkan had laju lebih rendah dikenakan.

Kriteria terakhir dalam menentukan had laju ialah jenis jalan raya. Saya sudah pun menerangkan hirarki jalan raya dalam entri sebelum ini, dan had laju yang dikenakan adalah mengikut hirarki jalan raya tersebut. Namun, selain daripada faktor kawalan masuk jalan raya, lebar lorong turut mempengaruhi had laju reka bentuk. Lebar lorong yang lebih sempit lazimnya mempunyai had laju reka bentuk lebih rendah kerana lorong yang sempit bermakna margin keselamatan yang lebih kecil sekiranya pemanduan tersasar sedikit. Jika lebar lorong adalah lebih besar, bermaksud margin keselamatan lebih besar sekiranya pemanduan tersasar. Dengan kata lain, jalan raya yang lebar lorongnya lebih sempit lebih cenderung untuk "makan jalan" sekiranya pemanduan tersasar (understeer atau oversteer). Sebab itulah jalan yang lebih sempit mempunyai had laju reka bentuk yang lebih rendah daripada jalan yang lebar. Untuk membayangkan faktor ini, anda boleh bayangkan kenapa kereta api di Malaysia mempunyai had laju yang lebih rendah daripada kereta api luar negara kerana landasan kereta api di Malaysia adalah dari jenis tolok sempit (1,000 mm) berbanding kebanyakan landasan di luar negara yang menggunakan tolok piawai (1,435 mm). Jika dipandu terlalu laju, kereta api akan lebih mudah tergelincir dari landasan. Mungkin ada yang menganggap jalan raya yang mempunyai banyak lorong sepatutnya mempunyai had laju yang lebih tinggi, tetapi anggapan itu salah sama sekali kerana had laju reka bentuk mengambil kira lebar satu lorong sahaja, bukannya banyak lorong. Berbeza pula keadaannya di litar perlumbaan, di mana lebar litar berkenaan dianggap sebagai selorong. Sebab itulah litar lumba boleh mempunyai had laju reka bentuk yang sangat tinggi.

Seterusnya, setelah had laju reka bentuk ditentukan hasil daripada ketiga-tiga kriteria yang telah dibincangkan tadi, had laju pengendalian dapat ditentukan. Had laju pengendalian tidak boleh lebih tinggi daripada had laju reka bentuk. Hasil daripada kriteria inilah terhasilnya Perintah Had Laju Kebangsaan 1989 yang menetapkan had laju maksimum 110 km/j bagi lebuh raya ekspres, 90 km/j bagi jalan raya persekutuan dan negeri, serta 60 km/j bagi kawasan bandar. Selain itu, had laju kenderaan berat turut dikenakan iaitu 90 km/j di lebuh raya ekspres dan 80 km/j di jalan raya persekutuan dan negeri. Malangnya, ramai pemandu kenderaan berat (terutamanya bas ekspres) yang sering mengingkari had laju kenderaan berat berikutan tiada papan tanda dwihad laju.

Melalui penerangan mengenai bagaimana had laju ditentukan serta kepentingan mematuhi had laju, diharap tidak akan ada lagi pemandu yang enggan mematuhi had laju serta mempersoalkan rasional penguatkuasaan had laju dengan pelbagai alasan mengarut. Oleh itu, bersabarlah dan patuhilah had laju. Kalau diikutkan, semua orang pun hendak cepat, tetapi tiada gunanya anda berlumba-lumba untuk sampai ke destinasi yang dituju kerana tak akan lari tempat yang dituju. Kalau anda tetap berdegil tidak mahu mematuhi had laju, destinasi anda hanyalah sama ada ke hospital ataupun ke liang lahad. Tak berbaloi langsung. Kecanggihan teknologi automotif zaman sekarang sepatutnya dimanfaatkan untuk meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya, bukannya sebagai "lesen besar" untuk memandu laju. Akhir kata, ingatlah orang yang tersayang.

6 comments:

  1. Ini bagus kepada yg ingin tahu dan seterusnya faham dan lakukan sesuatu yg positif. Maslahnya ramai di kalangan rakyat Malaysia tidak faham tapi tak nak belajar dan bersifat penting diri di atas jalanraya.

    ReplyDelete
  2. Saya ada melihat banyak papan tanda had laju diletakkan di tempat yang tidak sesuai, mungkin ada yg 'main pacak' sahaja. Sebagai contoh, sebelum persimpangan. Sepatutnya, ia perlu diletakkan selepas persimpangan, bukan begitu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang amalan biasa ialah memacakkan papan tanda had laju selepas persimpangan. Tetapi, tidak salah sekiranya papan tanda had laju dipacakkan sebelum persimpangan, bagi mengingatkan pemandu agar mengurangkan kelajuan ketika menghampiri persimpangan tersebut. Kalau dua papan tanda yang berlainan had laju dipacakkan seperti di MRR2 FT28 di Ulu Klang, itu memang tak betul.

      Delete
  3. Ya, tetapi ia akan mengelirukan pengguna jalan raya bagi saya. Mula-mula papan tanda amaran, "Awas - Lampu Isyarat Di Hadapan - Kurangkan Laju", kemudian papan tanda had laju 60km/j.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya rasa mungkin kerana simpang lampu isyarat tersebut sering berlaku kemalangan maut yang disebabkan kenderaan gagal memperlahankan kenderaan.

      Delete
  4. Ya, anda benar. Sebelum terbinanya lampu isyarat di simpang tersebut, kerap juga berlaku kemalangan di situ.

    ReplyDelete