Monday, December 31, 2012

Jalan Gunung Brinchang FT432

Salam sejahtera,

Cuti persekolahan hujung tahun 2012 semakin hampir melabuhkan tirainya, yang bermaksud masa untuk bercuti bersama keluarga semakin berakhir. Oleh itu, manfaatkanlah masa-masa yang tinggal ini untuk bersama-sama keluarga. Saya percaya ada di antara para pembaca yang menggunakan kesempatan hujung tahun ini dengan menghabiskan baki cuti tahunan yang tinggal dengan pergi bercuti bersama keluarga. Salah satu tempat percutian yang menarik di dalam negara ialah Cameron Highlands yang terkenal dengan cuacanya yang agak sejuk serta produk pertaniannya yang sukar diperolehi di kawasan rendah seperti sayur-sayuran, teh dan strawberi.

Asalnya, satu-satunya jalan untuk ke Cameron Highlands hanyalah melalui Jalan Persekutuan 59 dari Tapah di Perak. Kini, ada banyak pilihan jalan raya untuk ke sana - selain jalan lama FT59 yang sempit, dipenuhi selekoh tajam serta tiada bahu jalan, laluan alternatif paling popular untuk ke sana ialah Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 (juga dikenali sebagai Jalan Simpang Pulai-Gua Musang FT185). Selain itu, orang-orang Pahang boleh juga ke Cameron Highlands tanpa perlu keluar dari negeri Pahang melalui Jalan Ringlet-Sungai Koyan (setakat ini status jalan ini sama ada jalan persekutuan atau negeri serta kod laluannya masih belum diketahui, harap Kementerian Kerja Raya dapat memaklumkan status serta kod laluan). Untuk ke Sungai Koyan, hanya perlu memandu ke bandar Raub melalui Jalan Persekutuan 8 dan seterusnya ambil Jalan Negeri Pahang C5 untuk ke Sungai Koyan dan seterusnya Ringlet.

Selain menikmati cuaca yang sejuk dan menyamankan, teh Boh atau Cameron Bharat yang segar, atau strawberi segar yang baru dipetik dari kebun, saya ingin mengajak anda semua untuk mencuba jalan raya berturap tertinggi di Malaysia iaitu Jalan Gunung Brinchang FT432. Dengan ketinggian maksimum 2,032 m dari aras laut, jalan raya ini sememangnya jalan raya berturap tertinggi di Malaysia, malah jauh lebih tinggi daripada mana-mana jalan raya pergunungan di Sabah termasuklah Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22 yang terletak tidak jauh dari Gunung Kinabalu.


Peta Jalan Gunung Brinchang FT432 (klik untuk besarkan)

Baiklah, anda tentunya tertanya-tanya di mana anda hendak memasuki jalan tersebut bukan? Melalui Jalan Persekutuan 59, ia terletak lebih kurang 4.2 km di bahagian utara pekan Brinchang, iaitu arah untuk keluar ke FT185. Simpang masuk ke FT432 ini agak tersorok, jadi anda perlu memandu dengan lebih cermat supaya anda tidak terlepas simpang tersebut. Mercu tanda penting di situ ialah kebun madu lebah yang terletak betul-betul di sebelah kanan simpang tersebut. Dah dapat jumpa? Bagus!

Sebelum saya teruskan, ada beberapa perkara yang saya perlu ingatkan kepada para pembaca semua. Pertama sekali, jalan ini sebenarnya ialah jalan selorong seperti jalan kampung. Di kawasan tanah rendah dan rata, anda masih boleh berselisih di mana-mana bahagian jalan tersebut, tetapi ia berbeza dengan jalan ini. Memandangkan ia selorong sahaja, anda mungkin akan mengalami kesukaran untuk berselisih dengan kenderaan lain terutamanya lori-lori teh dari Ladang Teh Boh Sungai Palas yang terletak tidak jauh dari situ. Tambahan pula, terdapat banyak selekoh terlindung di sepanjang jalan ini. Oleh itu, anda perlulah sentiasa memandu dengan berhati-hati, sentiasa menyalakan lampu sepanjang jalan ini walaupun pada waktu siang, serta membunyikan hon setiap kali di selekoh. Memandangkan jalan ini hanya selorong seperti jalan kampung, had laju yang sesuai di FT432 ini hanyalah serendah 20 km/j. Dengan had laju yang sebegitu rendah, perjalanan ke puncak Gunung Brinchang dari simpang pangkal FT432 sejauh hanya 6.7 km mengambil masa lebih kurang setengah jam. Disebabkan keadaan jalan yang begitu sempit jugalah saya menyarankan agar anda menggunakan motosikal sekiranya anda benar-benar serius mahu menawan jalan raya tertinggi di Malaysia yang hanya selorong sahaja. Kenapa pula selorong? Tujuan jalan ini dibina ialah sebagai jalan masuk ke menara telekomunikasi dan balai cerap di Gunung Brinchang, maka kadar perselisihan dengan kenderaan lain adalah sangat kecil.

Kedua, jalan ini curam dan licin. Pada kebanyakan jajaran, FT432 mendaki bukit pada kecerunan antara 5-10%. Namun, setelah melepasi tapak perkhemahan Gunung Irau di mana had penyelenggaraan tamat, kecerunan meningkat sehingga lebih 20%, sehinggakan anda terpaksa menggunakan gear satu untuk mendaki cerun tersebut. Tambah memburukkan lagi, keadaan jalan menjadi kurang baik setelah melepasi had sempadan penyelenggaraan. Oleh itu, anda perlu sentiasa menggunakan gear rendah sepanjang jalan dan jangan pandu lebih 20 km/j. Selain itu, pastikan brek sentiasa berfungsi dengan baik dan pastikan bunga tayar masih tebal untuk mengelakkan daripada sebarang perkara yang tidak diingini.

Sekarang kita teruskan dengan reviu mengenai Jalan Gunung Brinchang ini. Saya pernah mencuba jalan ini semasa pergi berkonvoi menggunakan motosikal bersama-sama seorang sahabat saya di Universiti Selangor (Unisel) iaitu Khairul Azmi ke Cameron Highlands untuk bercuti pada Januari 2011. Rancangan asal saya pada masa itu ialah untuk pergi ke Ladang Teh Boh Sungai Palas untuk bersarapan dan menikmati teh segar. Namun, hasrat tersebut terpaksa dilupakan kerana kedai teh di Ladang Teh Boh Sungai Palas masih belum dibuka kerana masih awal pagi lagi. Akhirnya, rancangan tersebut bertukar kepada rancangan untuk menakluki jalan raya berturap tertinggi di Malaysia.

Sepanjang perjalanan, kami mengambil kesempatan untuk mengambil gambar pemandangan di sepanjang Ladang Teh Boh Sungai Palas ini. Ternyata ladang teh ini menawarkan satu panorama yang begitu memukau mata memandang. Had laju yang begitu rendah di FT432 membolehkan kami menunggang secara relaks dan santai sambil menikmati setiap pemandangan menarik yang disajikan di sepanjang jalan ini. Namun, semasa di tapak perkhemahan Gunung Irau pula, kedua-dua motosikal Yamaha Lagenda 110 yang kami tunggangi itu terpaksa bekerja keras mendaki pada kecerunan lebih 20% dalam gear 1. Keadaan jalan yang kurang baik sebaik sahaja melepasi tapak perkhemahan itu juga menyebabkan kami terpaksa menunggang dengan penuh berhati-hati.

Sebaik kami tiba semula di kawasan yang agak rata tidak sampai beberapa ratus meter dari penghujung jalan, kami memutuskan untuk mengakhiri misi menakluk jalan raya tertinggi di Malaysia dengan penuh kepuasan. Apa pun, misi menakluk jalan raya tertinggi di Malaysia ini berakhir dengan jayanya.

Untuk gambar penuh, sila klik sini.



Kemaskini: Kementerian Kerja Raya telah mengesahkan bahawa Jalan Ringlet-Sungai Koyan ialah jalan persekutuan dan kod laluannya ialah FT102. Harap maklum.






Salah satu kebun sayur-sayuran yang terdapat di Jalan Gunung Brinchang FT432






Pemandangan Ladang Teh Boh Sungai Palas yang begitu mengasyikkan






Rakan konvoi saya, Khairul Azmi






Ladang teh lagi






Mentari pagi menyinari alam






Salam 1Malaysia dari saya di Blog Jalan Raya Malaysia






Gelagat di Gunung Irau

4 comments:

  1. Saya pernah melalui jalan tersebut ketika saya ke Ladang Teh Boh Sungai Palas dam saya baru saja mendapat tahu yang jalan tersebut adalah jalan tertinggi diMalaysia. Tetapi semasa saya lalui, saya tidak perasan akan kod laluan jalan tersebut yang merupakan kod jalan persekutuan. Ya, jalan tersebut agak sempit dan berliku-liku namun pemandangan sangat indah. Teringin mahu pergi ke sana lagi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Benar, ia memang jalan persekutuan kerana ia menghubungkan premis milik kerajaan persekutuan iaitu menara pemancar dan balai cerap.

      Delete
  2. My father said you can see the whole city of Ipoh from the communication tower. Is that true?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setakat ini saya masih tak dapat nampak bandar raya Ipoh dari menara peninjau itu. Mungkin saya memerlukan binokular.

      Delete