Salam sejahtera,
Baru-baru ini saya berkesempatan menguji kereta Proton Suprima S, model pengganti sah Proton Gen-2 pada 22 Oktober 2013.Sesi pandu uji ini sebenarnya adalah sempena dengan Peraduan 60 Hari Pandu & Menang yang dianjurkan oleh Proton, yang menawarkan hadiah utama Proton Preve LE, varian edisi terhad yang (akhirnya) menampilkan enam biji beg udara setelah dikecam teruk kerana hanya menggunakan empat beg udara pada varian Premium, sedangkan model sama di Australia dipasang dengan enam biji beg udara walaupun pada varian termurah. Jutaan terima kasih kepada Proton Holdings Berhad selaku penganjur dan Uniplex Sdn. Bhd. (Proton Edar Sentul Raya) kerana sudi menyediakan sebuah Proton Suprima S untuk dipandu uji.
Sebagaimana yang telah saya nyatakan dalam entri semasa pelancaran Proton Suprima S, kereta ini sememangnya Preve hatchback yang sudah banyak ditambah baik berbanding dengan kembar sedannya itu. Jika sebelum ini Proton dikritik kerana hanya meletakkan paling banyak 4 beg udara pada Preve (saya juga pernah komplen perkara yang sama dalam ruang Facebook Proton Holdings Berhad), Suprima S pula dilengkapi 6 biji beg udara walaupun pada varian termurah. Selain beg udara, banyak lagi penambahbaikan yang telah dilakukan oleh Proton semasa membangunkan Suprima S ini, antaranya termasuklah melabelkan butang info yang terletak pada suis pengelap cermin untuk menukar paparan maklumat LCD, menukar gril hadapan yang nampak kurang fotogenik kepada jenis honeycomb, menggunakan unit GPS terbina dalam dengan skrin sentuh lebih besar (dan menggunakan OS Android) bagi menggantikan unit GPS yang kurang cekap ruang berikutan saiz skrin sentuh yang sangat kecil, dsb. Hasilnya, Proton Suprima S ternyata sebuah kereta yang menawarkan nilai untuk wang yang terbaik dalam kelasnya.
Sesi pandu uji bermula dengan mengisi borang penyertaan, borang pandu uji serta menandatangani borang ganti rugi pandu uji sebagai jaminan. Seterusnya, setelah semua dokumen telah diisi, saya diberikan kunci bagi kereta pandu uji tersebut. Seperti Preve, kunci Suprima S berupa seakan fob, tetapi sebenarnya terdapat satu butang untuk melepaskan bilah kunci, yang hanya berguna untuk mematikan beg udara penumpang. Berbeza dengan model-model Proton terdahulu, tiada sebarang bunyi sistem penggera semasa membuka kunci Suprima S tersebut, samalah seperti model-model terkini Honda.
Menghidupkan enjin Suprima S cukup mudah. Anda hanya perlu masukkan fob kunci ke dalam slotnya, menekan brek, dan terus menekan suis penghidup tekan. Jika anda tidak menekan brek, kereta akan memasuki mod Aksesori apabila suis penghidup ditekan sekali, mod On apabila ditekan sekali lagi, dan kembali semula ke mod Lock apabila ditekan sekali lagi tanpa menekan brek. Prosedur sama juga digunakan untuk kereta-kereta lain yang menggunakan suis penghidup tekan, cuma bezanya ialah sama ada perlu memasukkan fob kunci ke dalam slot ataupun sekadar menyimpan fob kunci ke dalam kocek seluar.
Sebenarnya, saya ingin mengambil kesempatan menguji unit GPS Suprima S itu, tetapi malangnya sistem navigasinya tidak berfungsi dan lumpuh. Saya juga ingin memainkan lagu-lagu dari pemacu kilat USB saya, tetapi entah kenapa agaknya saya tidak dapat menyambung pemacu kilat saya kerana port USB itu sangat ketat. Aduh, kempunan saya... tapi yang lebih penting ialah pandu uji itu sendiri.
Laluan yang saya gunakan dalam sesi pandu uji ini ialah Sentul Link dan Lebuhraya Mahameru FT2 sebelum berpatah balik di Persimpangan Parlimen. Sebelum mula bergerak, saya terlebih dahulu menukar paparan LCD kepada paparan penggunaan bahan api. Untuk membolehkan saya menguji penggunaan bahan api Suprima S ini, saya mengosongkan semula maklumat penggunaan bahan api dengan menekan dan menahan butang info selama beberapa saat. Sebaik sahaja mula bergerak, saya dapati setting CVT yang digunakan kali ini sangat responsif, lebih baik daripada Preve. Walaupun dengan menekan pedal pendikit sedikit sahaja, Suprima S meluncur laju dengan mudah. Setelah saya melepasi kelajuan yang saya kehendaki, sekali-sekala saya melepaskan pedal pendikit dan menekan semula dengan sedikit sahaja bagi mengekalkan momentum dan kelajuan di samping untuk menjimatkan bahan api. Namun, jarum takometer Suprima S ini seakan tidak mahu jatuh lebih rendah daripada 2,000 rpm. Maka, saya membuat kesimpulan bahawa talaan CVT Suprima S kali ini lebih ke arah prestasi daripada penjimatan bahan api, manakala talaan CVT Preve pula lebih ke arah penjimatan. Sebab itulah ada yang komplen mengatakan Preve seakan malas untuk memecut laju walaupun varian yang digunakan itu adalah varian CFE. Kalau setakat tekan pendikit sedikit sahaja, memanglah macam tak mahu pergi! Sebenarnya, prestasi Preve CFE boleh dikatakan sangat bagus, cuma untuk mendapatkan kelajuan yang dikehendaki, anda tidak seharusnya terlalu sayang akan pedal pendikit anda. Tekan pedal pendikit lebih kuat dan biarkan jarum takometer sekitar hampir 3,000 rpm dan melepaskan kembali dan main-main pedal pendikit sedikit sahaja sebaik melepasi kelajuan yang dikehendaki. Melalui teknik sebeginilah saya berupaya memperoleh angka penggunaan bahan api yang sangat jimat pada kebanyakan kereta yang saya pandu.
Saya berpatah balik di Persimpangan Parlimen untuk kembali semula ke Sentul. Semasa menghampiri Persimpangan Jalan Kuching FT1, jalan menjadi sesak, sekaligus menjejaskan sedikit angka-angka penggunaan bahan api. Lalu lintas kembali lancar semula sebaik memasuki Sentul Link. Hasilnya, saya berupaya mencatatkan 8.9 L/100 km (11.24 km/L) untuk pandu uji ringkas ini. Jika saya diberi peluang untuk memandu lebih jauh, sudah tentu angka yang diperolehi juga akan jadi jauh lebih bagus. Sungguhpun demikian, angka yang berjaya saya catatkan dalam keadaan lalu lintas bandar yang sibuk ini sebenarnya lebih baik daripada yang didakwa dalam risalah rasmi Suprima S yang mendakwa kadar penggunaan bahan apinya ialah 9.1 L/100 km pada kitar gabungan. Dengan kata lain, Suprima S ini sebenarnya tidaklah sebegitu pelahap seperti yang digambarkan dalam risalahnya. Saya patut tabik Proton kerana merendah diri dalam soal penggunaan bahan api, tidak seperti Toyota yang mendakwa kononnya kereta Toyota Vios generasi ketiga sangat jimat bahan api meskipun masih menggunakan enjin dan kotak gear yang ketinggalan zaman, tetapi hakikatnya hanya mampu mencatatkan angka yang sama seperti Suprima S bagi perjalanan lebih jauh dari Kuala Lumpur ke Rawang.
Dari segi pemanduan pula, pengendalian kereta ini sememangnya sangat mantap. Meskipun masih lagi menggunakan stereng kuasa hidraulik berbanding beberapa model pesaing yang menggunakan stereng kuasa elektrik, namun stereng kuasa hidraulik yang digunakan Proton ternyata lebih baik kerana pengendaliannya dipadankan dengan kelajuan kereta, tidak seperti stereng kuasa elektrik yang boleh jadi terlalu sensitif terutamanya di lebuh raya ekspres. Sistem suspensi yang digunakan juga sangat mantap.
Sebaik kembali semula ke bilik pameran Proton Edar Sentul Raya, saya sempat mencuba kamera undur yang mana imejnya dipaparkan pada unit GPS Suprima S. Memang berbaloi memilikinya! Satu lagi perkara yang baru saya perasan ialah lampu-lampu LED hadapan itu sememangnya lampu DRL dalam erti kata sebenar kerana ia dihidupkan secara automatik sebaik kereta mula bergerak, tidak seperti Preve yang mana "lampu DRL" kereta tersebut sebenarnya hanyalah lampu posisi yang perlu dihidupkan secara manual melalui suisnya di sebelah kiri ruang stereng.
Secara amnya, saya dapati Suprima S ini ternyata sangat bagus kerana Proton sudah pun membuat banyak pembaharuan hasil daripada kelemahan-kelemahan yang sebelum ini terdapat pada Preve, menunjukkan bahawa Proton sememangnya mendengar kritikan pengguna dan mengambil inisiatif melakukan penambahbaikan pada model-model seterusnya. Hasilnya, kedua-dua Preve dan Suprima S kali ini dibandingkan dengan model-model kereta segmen C yang lebih ternama, iaitu Honda Civic, Hyundai Elantra, Mazda 3 dan Toyota Corolla Altis bagi Preve, manakala Suprima S pula dibandingkan dengan Mazda 3 Hatchback, Ford Focus dan Volkswagen Golf. Kesemuanya ini membuktikan bahawa Proton kini semakin matang dan bersedia untuk bersaing dengan pemain-pemain utama industri automotif global.
Laman web rasmi Proton Edar: http://www.proton-edar.com.my
Spesifikasi Proton Suprima S
Enjin: DOHC 16 injap 4 silinder sebaris 1.6 liter turbo Campro CFE
Sesaran: 1561 cc
Lubang x lejang: 76 x 86 mm
Nisbah mampatan: 8.8:1
Kuasa kuda: 103 kW (140 PS) @ 5,000 rpm
Tork: 205 N-m @ 2,000-4,000 rpm
Jarak roda: 2,650 mm
Berat kering: 1,375-1,575 kg
Muatan tangki bahan api: 50 liter
Saiz tayar: 215/45 R17 (varian Premium); 205/55 R16 (varian lebih rendah)
Apa yang saya suka
Pandangan bahagian belakang
Suprima S dari hadapan
Pandangan sisi
Beginilah rupa kunci kereta Proton Suprima S
Imej kamera undur dipaparkan pada unit GPS
Papan pemuka Proton Suprima S sama sahaja dengan Preve
Peringatan penyelenggaraan berkala, ciri yang serupa dengan Honda Insight
Proton Suprima S memang terbaik...!!!
Berposing bersama-sama Proton Suprima S
Apa yang saya suka
- Akhirnya Proton akur terhadap desakan memberikan 6 biji beg udara bagi pasaran tempatan - varian rendah pun diberi 4 biji beg udara
- Paparan GPS Android yang lebih besar, lebih cantik dan lebih responsif serta menyokong berbilang sentuhan
- Tiada lagi pilihan enjin IAFM+ yang tidak cukup berkuasa
- Nilai terbaik untuk wang - anda tidak akan berupaya mencari model pesaing yang mempu memberikan sebegitu banyak ciri pada tanda harga sekitar RM80,000
- Lampu belakang berprofil rendah yang sangat cantik - nampak macam "biasa-biasa" tetapi sebenarnya sangat cantik apabila lampu dihidupkan
- ABS, EBD, kawalan cengkaman dan ESC adalah standard pada kesemua varian
Apa yang saya tidak suka
- Masih belum ada varian transmisi manual 6 kelajuan seperti digambarkan pada buku panduan pengguna
- Nombor-nombor pada paparan LCD lebih kecil daripada labelnya, berkongsi kelemahan yang sama dengan Preve (sepatutnya angka-angka tersebut lebih besar daripada labelnya)
Pandangan bahagian belakang
Suprima S dari hadapan
Pandangan sisi
Beginilah rupa kunci kereta Proton Suprima S
Imej kamera undur dipaparkan pada unit GPS
Papan pemuka Proton Suprima S sama sahaja dengan Preve
Peringatan penyelenggaraan berkala, ciri yang serupa dengan Honda Insight
Proton Suprima S memang terbaik...!!!
Berposing bersama-sama Proton Suprima S
No comments:
Post a Comment