Video persembahan bagi projek naik taraf Lebuhraya Utara-Selatan kepada 8 lorong
(Kredit kepada: Kementerian Kerja Raya)
Salam sejahtera,
Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, terutamanya di sepanjang jajaran Nilai-Seremban, Bukit Lanjan-Rawang dan NKVE E1, tentunya sudah sedia maklum mengenai kerja-kerja naik taraf jajaran tersebut kepada 8 lorong berbanding 6 lorong sedia ada. Namun, tahukah anda kenapa kerja-kerja naik taraf lebuh raya tersebut perlu dilakukan?
Kita semua sudah sedia maklum bahawa bilangan kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 semakin meningkat setiap tahun, tetapi dalam masa yang sama pula perkembangan jalan raya pula amat terhad disebabkan oleh kekangan kewangan kerajaan. Jika hampir 20 tahun dahulu anda boleh memecut laju dan lancar tanpa sebarang halangan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, sekarang tidak lagi. Setiap kali berlakunya kesesakan, jajaran yang paling azab sudah tentunya jajaran Nilai-Seremban, Bukit Lanjan-Rawang, dan NKVE E1. Keadaan semasa musim perayaan pula lebih teruk; jika dahulunya hanya lebuh raya ekspres sahaja yang sesak semasa musim perayaan (itu pun berhampiran pintu masuk utama beberapa bandar raya utama negara), tetapi sekarang jalan raya biasa pun sesak juga. Maka, Plus Expressways Berhad selaku pemilik Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 mengambil inisiatif bagi melebarkan lebuh raya tersebut demi keselesaan pengguna dan kelancaran lalu lintas.
Kenapa jajaran yang dinyatakan tersebut sering sesak? NKVE E1 dan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 dari Bukit Lanjan ke Rawang merupakan antara laluan utama yang sering digunakan oleh warga Lembah Klang untuk berulang-alik ke tempat kerja. Jajaran Nilai Utara-Seremban di Lebuhraya Utara-Selatan E2 pula sering sesak kerana E2 bukan sahaja perlu menampung kadar aliran trafik Kuala Lumpur-Seremban, tetapi juga dari arah utara melalui Lebuhraya Elite E6. Maka, percampuran dua aliran trafik utama inilah yang menjadikan jajaran Nilai-Seremban sesak.
Kenapa jajaran yang dinyatakan tersebut sering sesak? NKVE E1 dan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 dari Bukit Lanjan ke Rawang merupakan antara laluan utama yang sering digunakan oleh warga Lembah Klang untuk berulang-alik ke tempat kerja. Jajaran Nilai Utara-Seremban di Lebuhraya Utara-Selatan E2 pula sering sesak kerana E2 bukan sahaja perlu menampung kadar aliran trafik Kuala Lumpur-Seremban, tetapi juga dari arah utara melalui Lebuhraya Elite E6. Maka, percampuran dua aliran trafik utama inilah yang menjadikan jajaran Nilai-Seremban sesak.
Kerajaan persekutuan telah meluluskan permohonan Plus Expressways Berhad untuk melebarkan lebuh raya tersebut pada Julai 2010. Seterusnya, kerja-kerja pembinaan dimulakan pada September 2012. Jumlah kos yang dianggarkan bagi projek naik taraf jajaran-jajaran kritikal Lebuhraya Utara-Selatan yang telah dinyatakan tadi itu kepada 8 lorong ialah RM1.143 bilion.Kerja-kerja naik taraf adalah melibat beberapa jajaran berikut:-
- Pakej A: Jajaran Shah Alam ke Sungai Buloh. Dalam jajaran tersebut, jajaran dari Exit 104 Persimpangan Subang sehingga Exit 106 Persimpangan Damansara pula dilebarkan sehingga 10 lorong. Selain itu, jajaran dari Kota Damansara ke Bukit Lanjan dilebarkan bagi arah Kuala Lumpur sahaja, daripada 3 lorong kepada 4 lorong, yang mana lorong keempat adalah lorong mendaki bagi mengurangkan cerutan (bottleneck) yang berpunca daripada kenderaan berat bergerak perlahan semasa mendaki bukit.
- Pakej B: Jajaran Bukit Lanjan ke Plaza Tol Jalan Duta.
- Pakej C: Jajaran Sungai Buloh-Rawang
- Pakej D: Nilai Utara-Nilai
- Pakej E: Nilai-Seremban. Jajaran 8 lorong dibina sehingga ke Exit 218 Persimpangan Seremban. Bagi arah selatan, jajaran 4 lorong berterusan sehingga ke Exit 219 Persimpangan Port Dickson, menjadikan jajaran 4 lorong kekal sehingga menghampiri Exit 220 Persimpangan Senawang. Sementara itu, jajaran Exit 219 Persimpangan Port Dickson ke Exit 218 Persimpangan Seremban arah utara pula kekal 3 lorong.
Jajaran Subang-Damansara di NKVE E1 dilebarkan daripada 6 lorong kepada 10 lorong
Lorong mendaki akan ditambah bagi jajaran Kota Damansara-Bukit Lanjan arah utara, menjadikannya 5 lorong, sementara jajaran sama arah ke Klang pula hanya 4 lorong sahaja
Meskipun Lebuhraya Utara-Selatan mempunyai rizab jalan yang sangat besar di sepanjang laluan, namun ia tidak bermakna kerja-kerja naik taraf 8 lorong itu tiada sebarang halangan. Antara halangan-halangan yang terpaksa dihadapi Plus Expressways Berhad adalah seperti berikut:-
- Menarah cerun-cerun berisiko terutamanya di sekitar Bukit Lanjan
- Melakukan kerja-kerja naik taraf dalam keadaan lebuh raya dipenuhi kenderaan yang laju-laju belaka
- Melebarkan jambatan dan / atau pembetung/terowong sedia ada
- Melakukan kerja-kerja naik taraf berhampiran kawasan perumahan
Jadi mampukah projek naik taraf Lebuhraya Utara-Selatan kepada 8 lorong ini mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jajaran kritikal tersebut? Sejujurnya, pelebaran lebuh raya sahaja semata-mata bukanlah penyelesaian muktamad terhadap masalah kesesakan, namun ia tetap perlu dilakukan demi keselamatan pengguna lebuh raya, kelancaran aliran trafik serta keselesaan pengguna. Penyelesaian yang lebih baik sebagai tambahan kepada projek naik taraf lebuh raya ini ialah mengimbangi pembangunan rangkaian jalan raya dan sistem pengangkutan rel.
Masih x mampu, dispersal di hujung perlebaran masih tak mampu menanggung trafik..NKVE dan PLUS E1..
ReplyDeletePs:macam mana tau byk pasal highway? LLM ke?
Setuju dengan pendapat anda. Masalah kesesakan hanya boleh diatasi jika keutamaan lebih banyak diberikan kepada pengangkutan awam terutamanya pengangkutan rel.
DeleteSebenarnya saya bukan bekerja di bawah JKR, LLM atau KKR, jadi segala-galanya adalah hasil kajian saya sendiri.