Wednesday, September 9, 2015

Pesta kutipan tol elektronik di 12 plaza tol mulai hari ini / Electronic toll collection festival at 12 toll plazas starting today




Salam sejahtera dan selamat pagi kepada semua pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang budiman.

Seperti mana yang anda semua sedia maklum, mulai tengah malam tadi kutipan tol tunai di 12 plaza tol sudah pun dihentikan dan hanya pembayaran tol elektronik sahaja yang diterima. Inisiatif kutipan tol elektronik sepenuhnya dilaksanakan secara beransur-ansur sebagai satu langkah mengurangkan kesesakan di plaza tol akibat pembayaran tol secara tunai. Apa tidaknya, ada di antara pengguna yang terkial-kial meraba-raba dompet dan mencari wang kecil untuk membayar tol, menyebabkan pengguna lebuh raya yang lain di belakang angin satu badan. Masalah sebegini paling ketara terutamanya ketika waktu gegas. Inisiatif kutipan tol elektronik sepenuhnya ini dimulakan di Plaza Tol Kempas dan kesemua plaza tol Lebuhraya Linkedua E3 di Johor Bahru sebelum ia diperluaskan di Lebuhraya Persekutuan FT2. Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29.

Lebuh raya ekspres yang memulakan pelaksanaan kutipan tol sepenuhnya pada hari ini ialah:-

  1. Lebuhraya Utara-Selatan E1
    • Plaza Tol Jitra
    • Plaza Tol Bukit Kayu Hitam
  2. Keseluruhan Lebuhraya Butterworth-Kulim E15/FT4
    • Plaza Tol Lunas
    • Plaza Tol Kubang Semang
  3. Jambatan Pulau Pinang E36
  4. Keseluruhan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2
    • Plaza Tol Gombak
    • Plaza Tol Bentong
  5. Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) E12
  6. Keseluruhan Lebuhraya Duke E33
    • Plaza Tol Batu
    • Plaza Tol Sentul
    • Plaza Tol Ayer Panas
  7. Terowong SMART E38

Jadi sudah tentu ada yang merasa kurang selesa apabila berhijrah kepada penggunaan tol elektronik sepenuhnya. Alasan seperti "tak ada kad Touch 'n Go", "duit dalam kad Touch 'n Go dah habis" ataupun "duit dalam kad Touch 'n Go tak cukup" pasti akan menjadi halwa telinga bagi jurutol di kesemua 12 plaza tol tersebut. 

Tak ada kad Touch 'n Go...? Beli sahaja di plaza tol. Paling kedekut pun, kad pengenalan anda pun boleh digunakan sebagai kad Touch 'n Go asalkan anda menambah nilai kad tersebut. Lorong-lorong yang sebelum ini merupakan lorong tunai kini bertukar fungsinya menjadi lorong tambah nilai, jadi anda boleh menambah nilai kad Touch 'n Go anda sekiranya anda risau akan baki kredit yang tidak mencukupi.

Namun, masih ada satu lagi isu yang masih belum diselesaikan, iaitu masalah terpaksa mengundur secara berjemaah apabila ada pengguna lebuh raya yang mengalami masalah pembayaran yang berpunca daripada transponder Smart Tag yang tidak berfungsi ataupun "masalah-masalah bodoh" seperti kad Touch 'n Go kehabisan nilai kredit, transponder Smart Tag kehabisan bateri, mengekor terlalu rapat, dsb. Justeru, saya menyarankan agar syarikat konsesi yang melaksanakan kutipan tol elektronik sepenuhnya agar mengguna pakai idea oleh wartawan automotif terkemuka, Hezeri Samsuri:-




Gambar rajah pembinaan lorong Smart Tag berasingan berserta lencongan ke lorong tunai/Touch 'n Go sekiranya alatnya bermasalah
(Kredit kepada: Hezeri Samsuri)


Bagi masalah yang berpunca daripada model transponder Smart Tag itu sendiri, saya sudah pun mengenal pasti bahawa transponder jenis baharu (warna hitam) itulah yang sering mengalami masalah kualiti pembuatan dan sangat mudah rosak. Itulah salah satu punca utama kepada fenomena "terpaksa mengundur secara berjemaah" yang sering berlaku di plaza tol. Ramai pemilik transponder Smart Tag jenis baharu yang sangat tidak berpuas hati (termasuklah saya) kerana transponder mereka lebih sukar dikesan di lorong Smart Tag berbanding model lama (warna putih). Transponder Smart Tag yang dihadiahkan kepada saya secara percuma semasa sidang media Lebuhraya JB EDL E14 di ibu pejabat Kementerian Kerja Raya tahun lalu pun sudah tidak boleh digunakan kerana masalah sama. Bagaimana hendak meyakinkan orang ramai untuk menggunakan sistem pembayaran tol elektronik jika produk yang tawarkan itu sendiri sering bermasalah...? Dalam hal ini, pihak Touch 'n Go mungkin perlu melanjutkan tempoh waranti produk daripada setahun kepada dua tahun bagi memulihkan keyakinan orang ramai. Kepada Efkon selaku pengeluar, sila selesaikan isu kualiti teruk pada transponder Smart Tag model baharu - jika gagal, ada baiknya model baharu yang bermasalah itu dihentikan pengeluarannya dan pengeluaran model lama diteruskan semula.






Transponder Smart Tag model lama (gambar atas) dan model baharu (gambar bawah) - model baharu dikatakan sering bermasalah dan lebih sukar dikesan di lorong Smart Tag berbanding model lama


Satu lagi masalah yang memerlukan penyelesaian segera ialah masalah tuntutan wang baki pada kad Touch 'n Go yang bermasalah akibat rosak ataupun "dormant", kerana prosedur sedia ada memerlukan masa menunggu selama sebulan (tetapi dalam kes saya pula sebulan setengah), yang saya sifatkan sebagai sangat mengarut. Proses itu sepatutnya dipercepatkan kepada hanya serta-merta sahaja - penyelesaian paling baik ialah memindahkan baki kredit di dalam kad Touch 'n Go yang bermasalah kepada kad yang baharu. Kerenah birokrasi semasa menyelesaikan tuntutan wang baki pada kad Touch 'n Go yang bermasalah tidak seharusnya berlaku tatkala industri lebuh raya ekspres kini semakin beralih kepada pelaksanaan kutipan tol elektronik.




Satu-satunya alternatif kepada pengguna Lebuhraya Pantai Timur E8 yang enggan berhijrah kepada penggunaan kad Touch 'n Go ialah Jalan Gombak FT68 yang sempit, berbengkang-bengkok, dan ada gaung di sebelah jalan tanpa pengadang jalan mahupun bahu jalan - ada bran...?


Isu terakhir yang perlu ditangani pula dialami oleh orang-orang KL yang hendak ke pantai timur melalui Lebuhraya Pantai Timur E8, kerana pelaksanaan kutipan tol di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 bermaksud memiliki kad Touch 'n Go kini menjadi prasyarat utama untuk menggunakan lebuh raya tersebut untuk ke pantai timur, sedangkan orang-orang Pahang dan Terengganu yang tidak ke KL masih boleh bersenang-lenang membayar tol menggunakan tunai. Dalam hal ini, Anih Berhad mungkin perlu mempertimbangkan untuk memasang papan tanda di Exit 801 Persimpangan Gombak Utara dan Exit 810 Persimpangan Bentong Timur bagi melencongkan aliran trafik pengguna yang tidak memiliki kad Touch 'n Go melalui Jalan Gombak FT68. Kepada pengguna yang enggan berhijrah kepada sekurang-kurangnya kad Touch 'n Go, ada bran ke...?

Untuk pengguna Jambatan Pulau Pinang E36 pula, ini satu berita baik untuk anda yang masih belum berhijrah kepada penggunaan sistem pembayaran tol elektronik - Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah E28 masih menerima pembayaran tunai. Logiknya sangat mudah, iaitu kerana plaza tol utamanya menyepadukan bayaran tol Lebuhraya Utara-Selatan E1 dengan tol jambatan E28. Cuma, satu-satunya berita buruk ialah anda mungkin terpaksa pusing jauh sedikit.

Begitulah sedikit-sebanyak mengenai pelaksanaan kutipan tol elektronik yang bermula hari ini. Justeru, segeralah mendapatkan kad Touch 'n Go sebelum menggunakan lebuh raya ekspres yang saya senaraikan di atas untuk mengelakkan diri anda daripada dimalukan akibat sumpah-seranah pengguna lebuh raya lain yang berang apabila terpaksa mengundur secara berjemaah akibat kelalaian anda yang terlupa membeli kad Touch 'n Go ataupun terlupa menambah nilai.







Sat... Mamu, lagu mana hang mau beli kad Touch 'n Go kalau dompet hang sendiri pun hilang...?

No comments:

Post a Comment

Advertisement