Monday, September 28, 2015

Mythbuster: Pelaksanaan kutipan tol elektronik (ETC) punca lebuh raya sesak - mitos terbukti karut...!!! / Electronic toll collection (ETC) implementation causes congestion on expressways - myth busted...!!!



Kesesakan di Plaza Tol Gombak ini boleh dikurangkan sekiranya pengguna lebuh raya lebih bijak merancang perjalanan mereka dari segi pemilihan masa serta laluan yang diikuti


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia berikutan kesibukan kerja sejak akhir-akhir ini. Entri kali ini ditulis hasil permintaan pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia, Saudara Ibnur Shahril, yang terserempak dengan satu kemas kini status oleh laman Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mendakwa kononnya pelaksanaan sistem pembayaran tol elektronik (ETC) sebagai punca kesesakan teruk di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 semalam. Justeru, saya ingin membuktikan bahawa dakwaan tersebut sangat mengarut dan tidak berasas.

Seperti yang anda semua sudah sedia maklum, Lebuhraya KL-Karak E8/FT2 mula melaksanakan sistem ETC sepenuhnya pada 9 September 2015 bersama-sama 6 lagi lebuh raya ekspres yang lain. Tujuan pelaksanaan sistem ETC sepenuhnya ini adalah bagi mengatasi masalah kesesakan di plaza tol yang berpunca daripada pembayaran tol secara tunai. Apa tidaknya, ramai pengguna lebuh raya yang membayar secara tunai yang terkial-kial hendak mengeluarkan dompet dari dalam kocek seluar dan seterusnya mencari wang kecil untuk membayar tol, sedangkan anda hanya memerlukan masa beberapa saat sahaja untuk menyentuh kad Touch 'n Go.

Jadi sejauh manakah keberkesanan pelaksanaan ETC sepenuhnya dalam menangani kesesakan di plaza tol...?

Sebagai salah seorang pengguna tetap Lebuhraya Duke E33 yang juga melaksanakan sistem ETC sepenuhnya sebagaimana Lebuhraya KL-Karak E8/FT2, biar saya sendiri yang memberikan testimoni mengenai keberkesanannya. Sebelum pelaksanaan ETC, Plaza Tol Sentul sering sesak teruk setakat pukul 7.00 pm pada hari-hari biasa sehingga melimpah keluar daripada Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar, tetapi setelah pelaksanaan ETC pada waktu sama, kesesakan di Plaza Tol Sentul hanyalah sekitar 200 m dari plaza tol. Pemerhatian saya di Plaza Tol Ayer Panas pun lebih kurang sama juga hasilnya.

Hasil pemerhatian saya sendiri pun sudah cukup untuk membuktikan bahawa dakwaan PPIM kononnya ETC punca kesesakan teruk di Lebuhraya KL-Karak E8/FT2 adalah karut dan tidak berasas. Jadi atas dasar apa pula mereka menyalahkan ETC sebagai punca kesesakan di situ...?

Pemerhatian oleh admin PPIM bagi menyokong dakwaan mereka pula adalah mengenai keadaan trafik selepas Plaza Tol Gombak yang didakwa tidak lagi sesak. Untuk pengetahuan admin PPIM, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 berakhir di Exit 801 Persimpangan Gombak Utara di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28, jadi aliran trafik besar dari Lebuhraya Karak E8/FT2 berpecah kepada beberapa aliran trafik yang lebih kecil di situ. Sebab itulah aliran trafik selepas Plaza Tol Gombak sangat lancar. Justeru, kepada admin PPIM yang menulis kemas kini status tersebut, sila kaji peta rangkaian jalan raya dan lebuh raya di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan sebegini.

Punca sebenar bagi kesesakan teruk di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 adalah akibat daripada gabungan dua aliran trafik besar dari Pahang dan Terengganu (melalui Lebuhraya Pantai Timur E8), serta dari Kelantan (melalui FT8), yang mana kesemuanya menggunakan Lebuhraya KL-Karak E8/FT2. Sebenarnya, masih ada Jalan Gombak FT68 sebagai laluan alternatif bebas tol yang berupaya memintas kesesakan Lebuhraya Karak E8/FT2, tetapi majoriti pengguna jalan raya tidak berani untuk menggunakannya disebabkan keadaan FT68 yang sangat berbahaya. Kesesakan di situ diburukkan lagi dengan perangai sesetengah pemandu bebal lagi tidak berotak yang memancung jalan dan menukar lorong ikut suka hati mak bapak mereka sahaja.



Imej Google Maps menunjukkan kesesakan teruk di sepanjang Lebuhraya Karak E8/FT2 semasa warga kota pulang ke kampung halaman masing-masing semasa cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri 2014
(klik untuk besarkan)


Maka, satu-satunya jalan terbaik untuk keluar daripada masalah kesesakan teruk setiap kali musim perayaan adalah dengan merancang perjalanan dengan teliti. Jika saya katakan "merancang perjalanan", ia bukan sahaja bermaksud merancang pukul berapa hendak bertolak, tetapi ia juga bermaksud merancang hendak ikut jalan alternatif yang mana satu sekiranya laluan utama sesak. Masalahnya sekarang ialah ramai pengguna jalan raya yang gagal merancang perjalanan - akibatnya, mereka terperangkap dalam kesesakan teruk sehingga boleh mencecah belasan jam lamanya. Satu-satunya laluan utama yang terlintas dalam kepala mereka hanyalah lebuh raya ekspres sahaja, sedangkan lebuh raya ekspres pun tetap ada had kapasiti trafik sebagaimana jalan-jalan raya yang lain. Malah, ada juga di kalangan mereka yang menunjukkan perangai bodoh sombong setiap kali dinasihati untuk menggunakan jalan persekutuan dan jalan negeri bagi memintas kesesakan lebuh raya, serta menganggap bahawa nasihat sebegitu tidak lain dan tidak bukan sebagai "kenyataan bodoh pak-pak menteri", sedangkan kebodohan mereka sendiri yang jelas lagi nyata tidak pula mereka sedari. Dah tahu lebuh raya sesak teruk setiap kali musim perayaan tapi masih juga berdegil nak ikut lebuh raya, siap tunjuk perangai bongkak dan bodoh sombong pula tu. Bila dah terperangkap dalam kesesakan, yang mereka tahu hanyalah menyalahkan orang lain, sedangkan mereka sendiri pun menyumbang kepada kesesakan lebuh raya. Apa gunanya telefon pintar yang mahal kalau merancang laluan perjalanan pun tak tahu...?

Mungkin ada di antara golongan yang gagal merancang perjalanan yang mempersoalkan laluan yang saya pilih untuk pulang ke kampung halaman di Segamat sejauh lebih kurang 200 km. Satu-satunya laluan yang terlintas dalam kepala mereka hanyalah Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan keluar ikut jalan lama sama ada di Exit 227 Persimpangan Simpang Ampat (melalui FT19 dan FT1) ataupun di Exit 235 Persimpangan Tangkak (melalui FT23). Saya pulang ke kampung pada 23 September 2015, sehari sebelum Hari Raya Aidiladha, dan jika saya ikut laluan biasa itu, sebelum subuh pun belum tentu saya sudah tiba. Apa tidaknya, pada masa itu E2 sesak disebabkan terdapat kemalangan di jajaran Bandar Ainsdale-Seremban dan Pedas Linggi-Simpang Ampat serta sebuah kebakaran kereta di jajaran Pedas Linggi-Simpang Ampat. Jadi laluan mana yang saya gunakan pada masa itu...? Saya menggunakan laluan Lebuhraya Lekas E21 ke Seremban dan seterusnya Jalan Seremban-Tampin FT1 dan Jalan Gemas-Tampin FT1 untuk pulang ke Segamat. Kenderaan bergerak agak perlahan dari Stesen Komuter Sungai Gadut sehingga ke pekan Pedas sebelum ia beransur-ansur lancar. Saya bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pm dan tiba di Segamat pada pukul 1.30 am. Masa perjalanan ialah 4 jam, hanya lebih lama sedikit berbanding menggunakan E2 pada hari biasa.

Jadi siapa kata kena lalu lebuh raya ekspres sahaja barulah perjalanan lebih cepat dan lebih lancar...? Kepada golongan berkenaan, sila ambil tukul besi dan ketuk kepala anda dengan tukul besi tersebut dengan sekuat hati. Saya menggunakan jalan persekutuan untuk pulang ke kampung semasa musim perayaan tetapi saya mampu sampai jauh lebih cepat daripada pengguna lebuh raya ekspres. Tidakkah golongan tersebut berasa malu kerana lambat sampai ke destinasi disebabkan kegagalan mereka sendiri merancang perjalanan...? 

Kesimpulannya, kesesakan di Lebuhraya KL-Karak E8/FT2 memang bukan berpunca daripada pelaksanaan ETC. Sebaliknya, masalah kesesakan di situ berpunca daripada gabungan dua aliran trafik tinggi di situ serta sikap pengguna lebuh raya sendiri yang gagal merancang perjalanan. Alasan "tiada laluan alternatif" hanyalah alasan dangkal oleh golongan yang malas merancang perjalanan, kerana kerajaan sudah membina sebegitu banyak jalan persekutuan dan negeri yang boleh dijadikan laluan alternatif; alasan "tiada laluan alternatif" hanya layak digunakan oleh orang-orang Sabah dan Sarawak berikutan masih tidak banyak jalan raya di sana. Sementara itu, masalah berkaitan kad Touch 'n Go seperti kekurangan baki kredit boleh diatasi sekiranya pengguna mengambil inisiatif menambah nilai lebih awal untuk mengurangkan kesulitan yang bakal dialami pada musim perayaan. Oleh itu, belajarlah untuk merancang perjalanan dengan teliti dan lebih awal kerana gagal merancang bermaksud merancang untuk gagal.

6 comments:

  1. saya setuju. bagaimanapun generasi sekarang tidak tahu akan jalan-jalan 'lama' berbanding orang yang hidup sebelum jalan-jalan ekspres wujud!

    bila balik kampung pun jarang-jarang, maka kesedaran nak kaji laluan jalanraya memang kurang lah.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Gunalah Waze untuk elak kesesakan jalan!

    ReplyDelete
  4. Gunakan twitter. Di Twitter ada option grouping list. Jadi group kan konsesi highway, akaun traffic yang kerap update keadaan trafik yang mereka sendiri dapat dari pengguna jalanraya sendiri. Information sharing. Semak status trafik sejam sebelum mulakan perjalanan supaya ada back up route sebagai contoh jika kesesakan teruk. Selain Waze, gunakan apps Google Maps yang pre installed bagi user Android. Google Maps dah integrated dengan apps Waze. Maknanya Google akan update sebarang kesesakan atau kemalangan jika Wazer update keadaan trafik. Contoh real time traffic dah admin tunjukkan seperti di atas.

    ReplyDelete
  5. Artikel yang mantap. Disamping bergantung kepada aplikasi Google Maps, Whatsapp atau Papago, pemandu boleh menyediakan peta (old school way) sebagai spare. Lebih-lebih lagi masalah bateri, tiada rangkaian atau GPS boleh membuatkan pengguna panik dan mudah tersesat. Walaupun ada peta tapi tak pandai baca tak guna juga. Ambillah sedikit masa untuk mengenal kod jalan raya supaya pengguna lebih biasa dengan papan tanda jalan raya. Ilmu ini sebenarnya sangat penting untuk memberi keyakinan dalam memilih simpang atau rangkaian jalan yang betul disebabkan kadang-kadang papan tanda jalan tidak menunjukkan destinasi yang hendak dituju directly. Sekadar pendapat sekian.

    ReplyDelete
  6. Artikel yang mantap. Disamping bergantung kepada aplikasi Google Maps, Whatsapp atau Papago, pemandu boleh menyediakan peta (old school way) sebagai spare. Lebih-lebih lagi masalah bateri, tiada rangkaian atau GPS boleh membuatkan pengguna panik dan mudah tersesat. Walaupun ada peta tapi tak pandai baca tak guna juga. Ambillah sedikit masa untuk mengenal kod jalan raya supaya pengguna lebih biasa dengan papan tanda jalan raya. Ilmu ini sebenarnya sangat penting untuk memberi keyakinan dalam memilih simpang atau rangkaian jalan yang betul disebabkan kadang-kadang papan tanda jalan tidak menunjukkan destinasi yang hendak dituju directly. Sekadar pendapat sekian.

    ReplyDelete