Wednesday, October 17, 2018

FTRoadpedia Sarawak Part 6: Jalan Akses Sibu aka Jalan Pelabuhan Rajang FQ902 / Sibu Access Road aka Rajang Port Road FQ902

Salam sejahtera,

Siri reviu FTRoadpedia Sarawak hanya berbaki 3 episod sebelum ia melabuhkan tirainya. Sebelum saya teruskan dengan reviu Jalan Sibu-Bintulu FQA1, izinkan saya menulis satu reviu ringkas mengenai sebatang jalan raya yang pernah menjadi satu-satunya pintu masuk utama ke bandar Sibu, bandar ketiga terbesar di Sarawak selepas Kuching dan Miri.

Sperti yang pernah saya ceritakan dalam entri sejarah lengkap Jalan Persekutuan 1 Sarawak, majoriti bandar-bandar utama di Sarawak terletak di tebing-tebing sungai utama. Maka, cara sesuatu jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 dibina adalah dengan membina antara dua bandar, kemudian apabila hendak dipanjangkan, ia disambung dari satu titik yang dijadikan simpang tiga ke bandar seterusnya. Proses sebegini diulang sehinggalah keseluruhan FQA1 siap. Hasilnya, jalan FQA1 biasanya tidak melalui pusat bandar bagi bandar-bandar kawalan utama di sepanjang laluannya. Hanya Miri satu-satunya bandar kawalan yang pusat bandar rayanya direntasi FQA1.

Jalan Sri Aman-Sibu FQA1 juga dibina dengan cara yang sama. Selepas Jalan Kuching-Sri Aman FQA1 siap, ia disambung ke Sarikei, menyebabkan wujud jalan masuk ke Sri Aman sebagai Jalan Negeri Sarawak Q7. Seterusnya, FQA1 disambung ke Bintangor dari Simpang Sarikei dekat pekan Jakar, seterusnya dari Simpang Bintangor hingga ke Sibu. Maka, Jalan Akses Sibu aka Jalan Pelabuhan Rajang FQ902 wujud hasil daripada pembinaan jajaran terakhir Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 dari Bulatan Sibu sehingga ke Bintulu.

Pada mulanya, jalan FQ902 ini merupakan satu-satunya jalan masuk ke Sibu melalui jalan raya. Kini, sudah ada pintu masuk kedua iaitu Jambatan Lanang melalui beberapa siri jalan negeri dari Sarikei dan Bintangor. Jika kerajaan negeri Sarawak membina sebatang jalan negeri dari Dalat ke Sibu, ia menambah baik akses dari Sibu ke Mukah tanpa perlu ikut jalan Q225 melalui Selangau yang lebih jauh.

Panjang keseluruhan jalan FQ902 ini ialah 18.05 km sahaja. Menurut senarai jalan institusi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), Jalan Persekutuan FQ902 didefinisikan "... dari simpang di kilometer 531.6 (diukur dari Sematan) di Laluan 1, melalui Jalan Ulu Oya ke persimpangannya dengan Jalan Deshon di kilometer 543, melalui Jalan Deshon ke Bulatan Deshon di kilometer 546.05, melalui Persiaran Brooke ke persimpangannya dengan..." Dengan apa...? Definisi FQ902 terhenti begitu sahaja.

Jadi saya cuba meninjau sendiri menggunakan ciri Street View pada Google Maps. Jika diikutkan definisi awalnya memang cukup mudah. Dari Persimpangan Sibu, hanya perlu jalan terus. Dari Persimpangan Sibu, FQ902 dikenali sebagai Jalan Tunku Abdul Rahman sebelum berterusan sebagai Jalan Deshon. Di bandar Sibu, Jalan Deshon bersilang dengan Persiaran Brooke di sebuah simpang empat, jadi belok kiri ke Persiaran Brooke untuk meneruskan perjalanan melalui FQ902.

Namun, penamatnya amat mengelirukan kerana definisi laluan yang tidak habis. Jalan Brooke dilencongkan ke kiri ke Jalan Kampung Nyabor. Di sinilah terletaknya peranan papan tanda yang mengikut piawaian JKR siap dengan kod laluan. Malangnya, seperti kebanyakan bandar utama lain di Sarawak, papan tanda jalan raya di Sibu langsung tidak mengikut piawaian seragam. Sebenarnya, ada jugalah beberapa papan tanda jalan raya di Sibu yang mengikut piawaian baru papan tanda JKR dengan warna latar biru dan tulisan font Transport berwarna putih. Pun begitu, saya masih tidak berpuas hati kerana masih tidak diterapkan kod laluan. Akibatnya, laluan melalui Persiaran Brooke perlu melalui satu siri kota sesat sebelum tiba di Pelabuhan Rajang. Sekiranya FQ902 melalui Jalan Tun Abang Haji Openg, sudah tentu laluan jadi lebih mudah untuk dijejaki.

Justeru kepada JKR Sibu, saya ingin menggesa JKR Sibu agar bertandang ke Miri dan belajar bagaimana JKR Miri bersungguh-sungguh memartabatkan jalan raya melalui penggunaan papan tanda yang mengikut piawaian JKR siap dengan kod laluan sekali. Untuk lebih memudahkan lagi, cat jata laluan FQ902 di atas jalan raya di sepanjang laluan FQ902. Saya harap semasa kunjungan kedua saya ke Sarawak nanti saya akan dapat melihat perubahan yang benar-benar saya kehendaki pada papan tanda jalan raya di Sarawak terutamanya di Kuching dan Sibu.

Ikuti sambungan seterusnya dalam entri reviu Jalan Sibu-Bintulu FQA1.





Jalan Akses Sibu bermula dari Bulatan Sibu (kini sedang dinaik taraf menjadi Persimpangan Sibu)




Jarak ke Sibu dari Persimpangan Sibu masih berbaki 19 km




Persimpangan Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce ke bahagian selatan Bintulu




Simpang ke Jalan Ulu Oya




Jalan Tunku Abdul Rahman FQ902 berterusan sebagai Jalan Deshon FQ902 selepas persimpangan ini




Belon kiri untuk meneruskan perjalanan ke pusat bandar Sibu melalui Persiaran Brooke FQ902




Persiaran Brooke dilencongkan ke kiri ke Jalan Kampung Nyabor - ke manakah sebenarnya jalan ke Pelabuhan Rajang...?




Di sinilah sebenarnya pintu masuk ke Pelabuhan Rajang

No comments:

Post a Comment