Saturday, October 20, 2018

FTRoadpedia Sarawak Part 7: Jalan Sibu-Bintulu FQA1, jalan paling teruk di Sarawak yang perlukan perhatian / Sibu-Bintulu Road FQA1, the worst road in Sarawak that requires attention




Salam sejahtera,

Reviu Jalan Sibu-Bintulu membuka diari hari terakhir FTRoadpedia Sarawak pada 1 Oktober 2018. Sebelum saya menjejakkan kaki ke Sarawak, saya sering terdengar cakap-cakap yang mengatakan bahawa Jalan Sibu-Bintulu FQA1 merupakan jalan raya berturap yang paling teruk di Sarawak. Cerita tersebut pastinya sangat ironik, memandangkan jajaran Sibu-Bintulu merupakan jajaran terakhir yang disiapkan pada tahun 1985 bagi projek Jalan Raya Utama Pertama Sarawak. Jadi sempena hari terakhir FTRoadpedia Sarawak, saya mahu melihat sendiri sama ada cerita tersebut benar atau tidak.

Cuaca pagi di Sibu pada ketika itu mendung. Rombongan FTRoadpedia Sarawak meninggalkan hotel penginapan untuk ke destinasi pertama kami iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh, Selangau. Bukan di Selangor ya. Jadi, sudah tentulah Sungai Buloh di Selangau jauh berbeza daripada Sungai Buloh di Selangor.

Jarak Bintulu dari Bulatan Sibu cuma 201 km, lebih kurang sama seperti jarak Kuala Lumpur ke Segamat. Bezanya, tatkala saya hanya memerlukan masa lebih kurang 3 jam 45 minit untuk ke Segamat dari Kuala Lumpur, jarak serupa memerlukan masa daripada pagi hingga ke petang. Selain disebabkan banyak berhenti, keadaan jalan yang sangat teruk menyebabkan bas tidak dapat dipandu laju, dengan kelajuan purata sekitar 50 hingga 70 km/j di sepanjang Jalan Sibu-Bintulu.

Stapang merupakan pekan pertama yang kami lalui sepanjang Jalan Sibu-Bintulu FQA1. Ia sekadar pekan kecil yang terletak di tebing sungai Batang Oya dan terletak 28 km dari Persimpangan Sibu. Saiznya kecil sahaja, cuma terdiri daripada sederet kedai sahaja. Namun, destinasi hentian pertama kami sebenarnya terletak di pekan Selangau yang terletak 29 km dari pekan Stapang ini.

Selangau merupakan pekan persinggahan penting bagi pengguna Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 yang hendak ke pekan-pekan pesisir pantai seperti Mukah, Balingian, Igan, Oya, Matu dan Dalat. Menurut sejarah, tapak asal Selangau terletak di pertembungan antara Sungai Selangau dengan Batang Mukah, tetapi setelah siapnya Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1, maka penduduknya berpindah ke lokasi sekarang yang terletak di tepi FQA1. Asalnya Selangau dihuni penduduk dari suku kaum Beketan, tetapi majoriti penduduk Selangau sekarang terdiri daripada orang-orang Iban; orang-orang Beketan sekarang sudah berpindah ke Tatau, satu lagi pekan penting di sepanjang laluan Sibu-Bintulu FQA1.

Kami berhenti sebentar di Jennifer's Cafe bagi melepaskan hajat masing-masing. Jennifer's Cafe terletak betul-betul selepas Persimpangan Selangau yang dihubungkan dengan jalan raya pesisir pantai Mukah melalui Jalan Negeri Sarawak Q225. Jadi, memang sesuai sangat kafe ini dijadikan hentian rehat bagi para musafir di Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1. Keadaan langit yang gelap menunjukkan hujan akan turun pada bila-bila masa, tetapi sebenarnya memang sudah hujan seketika semasa menghampiri pekan Stapang dan reda sedikit sebaik menghampiri Jennifer's Cafe. Maka, tidak hairanlah kenapa sebegitu ramai yang mahu melepaskan hajat masing-masing di Jennifer's Cafe.

Semasa hendak meneruskan perjalanan ke Bintulu, kami singgah sebentar di Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh, Selangau. Kami terpaksa turun dari bas dan menaiki beberapa buat kereta untuk melalui jalan masuk ke sekolah berkenaan kerana berlakunya tanah runtuh tidak jauh dari pangkal jalan masuk ke sekolah berkenaan yang menyebabkan jalan tersebut terpaksa ditutup satu lorong. Kehadiran kami disambut murid-murid, guru-guru dan penduduk Kampung Sungai Buloh yang majoritinya terdiri aripada orang-orang Iban. Kami ke SK Sungai Buloh Selangau bagi menyaksikan majlis pecah tanah projek baik pulih sekolah tersebut yang dikategorikan sebagai sekolah daif. Projek ini dilaksanakan oleh kontraktor Musyati-Mudajaya, salah satu kontraktor bagi salah satu pakej projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka.

Hujan mula turun dengan lebatnya semasa majlis pecah tanah yang disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian. Kami terpaksa menunggu di sekolah sementara menunggu hujan teduh sebelum kami dapat kembali semula ke bas kami. Jadi sementara menunggu hujan teduh, kami disajikan dengan makanan oleh pihak sekolah. Sebaik hujan sudah agak teduh sedikit, kami kembali semula ke bas kami untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

Destinasi seterusnya ialah pekan Tatau yang terletak 74.5 km dari SK Sungai Buloh Selangau. Sepanjang perjalanan ke sana, ternyata dakwaan yang mengatakan bahawa Jalan Sibu-Bintulu FQA1 sebagai jalan raya berturap paling teruk di Sarawak terbukti benar, terutamanya di jajaran Selangau- Tatau. Keadaan jalan mendap, beralun dan berlubang di sana-sini macam baru lepas perang. Setiap kali melalui jajaran yang beralun, saya terasa seperti menunggang kuda liar. Setiap kali bas terlanggar lubang, seram memikirkan kemungkinan tayar bas pecah. Lagipun mana ada bengkel bas sepanjang 74.5 km perjalanan. Malah, kalau kami tiba di Tatau ataupun berpatah balik ke Selangau sekalipun, belum tentu ada bengkel bas mahupun kedai tayar. Jika anda menaiki motosikal, anda mungkin perlu bersiap-sedia dengan sekurang-kurangnya 10 ekor "cacing" - maksud saya, getah pelekat penampal tayar. 

Jangan salah sangka pula; saya bukanlah hendak menghentam JKR Sarawak semata-mata, tetapi apa yang saya mahu tunjukkan di sini ialah keadaan Jalan SIbu-Bintulu FQA1 yang sangat teruk itu jelas membentuk sebab utama kenapa projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 wajar diteruskan tanpa penangguhan dan tanpa cantasan. Jika di negeri-negeri lain masalah jalan berlubang adalah disebabkan keculasan kontraktor utiliti yang mengorek lurang atau lubang laluan kabel di jalan raya tanpa menutupnya dengan sempurna serta masalah birokrasi dan red tape semasa proses permohonan peruntukan pembaikan jalan, di Sarawak pula masalah logistik merupakan masalah nombor satu yang membawa kepada jalan rosak yang terbiar atau terlalu lambat dibaiki. Masalah logistik datang bukan sahaja akibat jalan yang teruk, tetapi juga akibat ketiadaan pejabat JKR daerah di beberapa daerah seperti Selangau dan Tatau. Jika di Sabah, setiap daerah mempunyai pejabat JKR daerah, malah ada sub-daerah seperti Telupid yang turut mempunyai pejabat JKR daerah. Namun, jika dibandingkan dengan Sarawak pula, pejabat-pejabat JKR daerah hanya ada di daerah tertentu yang ramai penduduk sahaja; daerah kurang penduduk seperti Selangau dan Tatau pula tiada pejabat JKR daerah. Justeru, adalah diharap agar siapnya projek Lebuhraya Pan Borneo FQA1 ini nanti akan mengurangkan masalah logistik yang dihadapi JKR Sarawak agar jalan-jalan rosak dapat ditangani segera.

Sebaik tiba di Tatau, kami meninjau projek pembinaan Jambatan Tatau bagi menggantikan jambatan sedia ada. Seterusnya, kami singgah solat sebentar di Masjid Pekan Tatau kerana selepas ini sudah tiada lagi tempat untuk berhenti rehat sepanjang 51 km sehinggalah kami tiba di Bintulu untuk meninjau projek Persimpangan Nyabau. Jadi selepas saya selesai solat, saya mengambil kesempatan untuk meninjau suasanan pekan Tatau sementara menunggu ahli rombongan selesai solat. Seperti kebanyakan pekan-pekan kecil lain di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1, kemakmuran ekonomi penduduk Tatau banyak bergantung kepada pengguna FQA1 yang lalu-lalang. Maka, kemudahan asas yang ada seperti kedai makan, stesen minyak dan masjid menjadikan Tatau pekan persinggahan wajib bagi pengembara yang melalui FQA1. Kewujudan masjid di Tatau adalah disebabkan oleh peratus penduduk Islam yang tinggi di Tatau, yang mana kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Melayu dan Melanau.

Kami meneruskan perjalanan. Keadaan jalan selepas pekan Tatau kali ini lebih baik daripada jajaran Selangau-Tatau. Selepas melalui perjalanan 51 km, kami akhirnya tiba di Bintulu, bandar keempat terbesar di Sarawak selepas Kuching, Miri dan Sibu. Bandar ini pesat membangun hasil aktiviti pelombongan minyak serta perindustrian. Dari segi pengangkutan, Bintulu merupakan penamat bagi Jalan Sibu-Bintulu FQA1 dan merupakan permulaan bagi Jalan Bintulu-Miri FQA1. Oleh kerana Jalan Sibu-Bintulu FQA1 dibina lebih kemudian daripada Jalan Bintulu-Miri FQA1, maka satu persimpangan utama yang dikenali sebagai Persimpangan Nyabau terbentuk beberapa km dari pusat bandar Bintulu, sekaligus membentuk titik penamat bagi Jalan Sibu-Bintulu FQA1.

Seperti beberapa persimpangan utama di sepanjang FQA1 seperti Persimpangan Sibu, Persimpangan Sarikei dan Persimpangan Sri Aman, Persimpangan Nyabau mempunyai masalah kesinambungan laluan yang menyebabkan kesesakan dan juga risiko keselamatan semasa keluar masuk simpang. Maka, untuk mengatasinya, sebuah persimpangan bertingkat kini sedang dalam pembinaan. Bagi projek lebuh raya kembar Pan Borneo FQA1, Persimpangan Nyabau dibina sebagai jejambat jalan raya kembar di atas simpang tiga sedia ada. Reka bentuk ini dipilih disebabkan sudah terdapat banyak bangunan yang didirikan di sekeliling Persimpangan Nyabau, menyebabkan ia tidak boleh dinaik taraf kepada persimpangan trompet.




Perkembangan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 di jajaran Sg. Arip-Bintulu




Perkembangan projek Jambatan Tatau
(kredit video: Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd.)


Hari sudah lewat petang. Dengan ini, maka tamatlah sudah epik jalan raya paling teruk di Sarawak yang mendapat perhatian arwah Tok Nan, Ketua Menteri Sarawak terdahulu yang bertegas mahu projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 diteruskan sebagai lebuh raya kembar demi anak bangsa Sarawak. Terima kasih kepada arwah Tok Nan dan Datuk Seri Fadillah Yusof kerana mengusahakan projek lebuh raya kembar ini demi anak bangsa Sarawak. Juga tidak ketinggalan ialah mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana melaksanakan pembinaannya - jangan kerana salah silapnya, terus dilupakan segala jasa beliau. Kita bukan hakim dan kita bukan tuhan, jadi serahkan kepada Allah dan Yang Arif untuk menentukan hukuman setimpal dan bukannya mengambil tugas hakim dan tuhan.

Kami perlu beredar sekarang kerana perjalanan ke Miri masih berbaki 203 km. Untuk mengetahui suasana sepanjang baki perjalanan 203 km ke Miri, ikuti reviu terakhir dalam siri FTRoadpedia Sarawak dalam entri Jalan Bintulu-Miri FQA1.





Pemandangan waktu pagi di bandar Sibu




Bergilir-gilir melepaskan hajat di Jennifer's Cafe, Selangau




Antara wajah-wajah ceria anak-anak kaum Iban yang bersekolah di SK Sungai Buloh, Selangau




Inilah antara anak-anak bangsa Sarawak yang menjadi harapan Sarawak untuk memajukan negeri pada masa akan datang




Projek pembinaan Jambatan Tatau di sebelah jambatan asal




Jalan Sibu-Bintulu FQA1 dari tapak projek Jambatan Tatau




Panorama pekan Tatau yang mendamaikan




Jalan Sibu-Bintulu FQA1 menjadi lebuh raya kembar bermula ari Persimpangan Lapangan Terbang Bintulu




Pelan Persimpangan Lapangan Terbang Bintulu




Persimpangan Bertingkat Nyabau yang sedang dalam pembinaan




Pelan Persimpangan Bertingkat Nyabau serta gambaran projek siap

No comments:

Post a Comment