Monday, April 1, 2013

Media Jalan Raya Malaysia: Karak / Malaysian Highway Media: Karak





Salam sejahtera,

Hari ini saya ingin memperkenalkan satu segmen baru di Blog Jalan Raya Malaysia, iaitu Media Jalan Raya Malaysia. Media Jalan Raya Malaysia menampilkan unsur-unsur memartabatkan jalan raya Malaysia dalam media popular seperti filem, siri drama, novel, lagu mahupun permainan video. Entri pembuka bagi segmen Media Jalan Raya Malaysia ialah filem Karak yang ditayangkan pada tahun 2011 terbitan United Studios milik trio adik-beradik KRU yang pernah dikenali sebagai sebuah kumpulan rap Malaysia yang popular tahun 1990an. Filem tersebut merupakan filem seram yang menampilkan cerita-cerita hantu popular yang dikaitkan dengan Lebuhraya Karak E8/FT2

Filem tersebut mengisahkan sekumpulan empat sahabat yang terdiri daripada Nik, Zura, Ida dan Jack sedang dalam perjalanan pulang ke Kuantan melalui Lebuhraya Karak E8/FT2. Namun, kesesakan luar biasa di lebuh raya tersebut di Persimpangan Karak menyebabkan mereka memilih untuk keluar dari lebuh raya dan sebaliknya melalui Jalan Persekutuan 2. Semasa berhenti rehat di pekan Karak, Nik dan Jack diganggu hantu semasa berada di sebuah tandas yang usang dan tidak terurus. Semasa mereka meneruskan perjalanan di jalan raya persekutuan itu, sekali lagi mereka diganggu hantu sehingga menyebabkan kereta yang dipandu Jack hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung. Setelah Zura berjaya mendapatkan rakan-rakannya, mereka menjumpai sebuah rumah di dalam hutan yang didiami oleh Tok Malam serta sepakat untuk menumpang di rumah tersebut sementara menunggu hari siang untuk mendapatkan bantuan. Namun demikian, pelbagai kejadian seram berlaku semasa mereka berada di rumah tersebut. Adalah didedahkan bahawa hantu-hantu yang mengganggu mereka selama ini asalnya merupakan hantu belaan arwah isteri Tok Malam, manakala pada penghujung cerita pula didedahkan bahawa Nik, Ida dan Jack sebenarnya sudah mati akibat kemalangan tersebut; "rakan-rakan" Zura semasa di rumah Tok Malam pula adalah hantu-hantu yang mahu menyesatkan Zura.

Setelah menonton filem tersebut, saya amat memuji usaha Norman, Yusry dan Edry memartabatkan jalan raya Malaysia melalui filem ini. Ia dibuktikan melalui penggunaan kod laluan yang betul bagi papan tanda lebuh raya tersebut seperti dalam poster promosinya. Namun, kelemahan ketara filem ini ialah kurang realisme pada jalan-jalan yang digunakan dalam filem ini. Misalnya, jika anda perhatikan betul-betul pada "Lebuhraya Karak" yang digunakan dalam babak terawal filem ini, "lebuh raya" tersebut sebenarnya ialah jalan-jalan raya sekitar Putrajaya dan bukannya Lebuhraya Karak E8/FT2 yang sebenar, boleh dikenali melalui bentuk tiang lampunya. Begitu juga dengan "jalan Karak lama" dalam filem tersebut sebenarnya ialah jalan di Hulu Langat (kemungkinan sama ada Jalan Negeri Selangor B52, B19 atau B116) dan bukannya Jalan Persekutuan 2 ataupun Jalan Gombak-Bentong FT68 (juga dikenali sebagai Jalan Karak Lama yang sebenar). Namun demikian, saya percaya KRU tentunya tidak mahu menggunakan lokasi sebenar kerana tidak mahu perkara buruk terjadi kepada seluruh kru produksi dan para pelakon, berikutan pengalaman sebenar mereka sendiri yang pernah diganggu hantu di Lebuhraya Karak FT2 semasa awal kerjaya muzik mereka. Sebab itulah mereka terpaksa menggunakan lokasi lain bagi tujuan penggambaran dan "mencipta" sendiri "Lebuhraya Karak E8/FT2" dan "Jalan Karak Lama FT2" versi mereka bagi filem ini melalui teknik imej janaan komputer (CGI).

Sebagai langkah penambahbaikan, saya cadangkan agar KRU mengkaji sistem papan tanda jalan raya Malaysia secara mendalam supaya dapat menimbulkan realisme dalam filem sebegini meskipun tidak dibuat di lokasi sebenar. Penggunaan fon tulisan mestilah dari jenis FHWA Gothic Siri E ataupun fon Transport, kerana kedua-dua fon inilah yang diterima pakai sebagai fon piawai bagi papan tanda jalan raya Malaysia.

Apa pun, saya ucapkan tahniah kepada KRU kerana berjaya menghasilkan sebuah filem yang saya sifatkan sebagai filem tempatan pertama yang benar-benar memartabatkan jalan raya Malaysia. Mungkin saya perlu cadangkan kepada KRU agar menerbitkan sebuah filem mengenai kisah perjuangan pekerja JKR serta anggota tentera membina Lebuhraya Timur-Barat FT4 pada tahun 1970an di tengah-tengah ancaman pengganas komunis. Sekurang-kurangnya, filem sedemikian berupaya menerapkan sifat patriotik, cintakan negara serta menghargai jasa pekerja JKR serta anggota tentera yang terkorban semasa menyiapkan Lebuhraya Timur-Barat FT4 tersebut, di samping mendidik rakyat agar memartabatkan jalan raya Malaysia.

Bagi anda yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Lebuhraya Karak E8/FT2, sila klik sini untuk sejarah Lebuhraya Karak dan klik sini untuk reviu eksklusif Lebuhraya Karak E8/FT2.


Maklumat filem

Pengarah: Yusry Abdul Halim
Penerbit: Yusry Abdul Halim, Edry Abdul Halim dan Norman Abdul Halim
Penulis: Yusry Abdul Halim (lakon layar); Norman Abdul Halim (cerita asal)
Pelakon:-

  • Nik: Shahir AF8
  • Zura: Shera Aiyob
  • Ida: Kilafairy
  • Jack: Md. Eyzendy
Penyunting: Hafizan Malek
Tarikh mula tayangan: 26 Mei 2011 (Malaysia)
Perbelanjaan: RM1.14 juta
Pulangan kasar: RM4.28 juta

No comments:

Post a Comment