Wednesday, December 9, 2015

Senarai hajat: Projek naik taraf Lebuhraya Tun Razak FT12 / Wishlist: Tun Razak Highway FT12 upgrade project




Salam sejahtera,

Dalam episod kedua sempena kunjungan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ke Segamat bagi lawatan kerja ke tapak projek Lebuhraya Segamat-Muar FT23 (Pakej 1b & 2), saya ingin bawakan kepada anda satu lagi entri senarai hajat bagi projek naik taraf Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 pula. Entri ini adalah susulan daripada maklum balas oleh pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia yang memuat naik papan tanda projek naik taraf FT12 yang sudah pun bermula pada September 2015.

Projek naik taraf Lebuhraya Tun Razak FT12 memang sudah lama disuarakan oleh para pengguna lebuh raya berkenaan terutamanya dari Melaka, Muar, Batu Pahat, Seremban dan Johor Bahru yang hendak ke pantai timur atau sebaliknya. Gesaan ini timbul susulan bilangan kemalangan maut yang tinggi di lebuh raya berkenaan, meskipun keadaan jalan di FT12 sebenarnya agak lurus, selesa dan kurang selekoh tajam; kalau ada selekoh pun, rata-ratanya boleh ditangani dengan selamba pada kelajuan 100 km/j. Namun, apa sebenarnya yang menjadikan Lebuhraya Tun Razak FT12 ini banyak memakan korban...? Sepanjang pengalaman saya menggunakan lebuh raya FT12, saya mendapati majoriti kes kemalangan di sana berlaku akibat tidak lepas hendak memotong berikutan kadar aliran trafik yang sangat tinggi. Keadaan diburukkan lagi dengan sikap sebilangan kecil pemandu kenderaan berat yang enggan mengalah. Justeru, ia perlu dinaiktaraf kepada lebuh raya kembar agar pengguna FT12 dapat memotong kenderaan yang lebih perlahan dengan lebih selamat.

Sebenarnya, Menteri Kerja Raya terdahulu, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor memang ada menggesa kepada kerajaan agar memulakan segera kerja naik taraf lebuh raya FT12 ini pada tahun 2010. Malah, projek naik taraf Lebuhraya Tun Razak FT12 ini turut terkandung dalam manifesto Barisan Nasional semasa Pilihan Raya Umum ke-13 pada tahun 2013. Namun, projek tersebut hanya dapat dimulakan pada September tahun ini kerana menunggu peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk memulakannya. 

Akibat tempoh menunggu yang agak lama, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pahang mendakwa kerajaan sengaja melengah-lengahkan projek naik taraf FT12 ini, tetapi dakwaan tersebut sebenarnya tidak benar. Menurut maklumat yang saya perolehi, kerja-kerja ukur tanah memang sudah lama dijalankan, dan ramai penduduk serta peniaga tepi jalan di sepanjang FT12 memang sudah tahu sama ada premis mereka berkemungkinan akan dirobohkan untuk projek naik taraf sedemikian atau tidak. Semasa Lebuhraya Tun Razak FT12 mula-mula dibina sekalipun, memang kerajaan ada mewartakan kawasan rizab jalan yang begitu luas di sepanjang FT12 ini, cukup besar untuk dinaiktaraf menjadi lebuh raya kembar 4 lorong tanpa perlu banyak membayar pampasan. Yang tinggal sekarang cuma menunggu duit untuk memulakan projek kerana projek naik taraf FT12 ini satu projek yang sangat mahal kerana melibatkan jarak yang begitu jauh. Kalau diikutkan sekarang pun, kos keseluruhan RM1.5 bilion bagi menaiktaraf jalan raya tunggal sejauh 147 km menjadi lebuh raya kembar 4 lorong sebenarnya boleh dikatakan sangat murah.

Dipendekkan cerita, sebab utama kenapa projek naik taraf Lebuhraya Tun Razak FT12 ini memakan masa yang lama untuk dimulakan tidak lain dan tidak bukan adalah kerana duit. Anda sendiri pastinya sudah tahu berapa banyak peruntukan yang dipotong oleh Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2016. Akibatnya, setiap kementerian terpaksa bersaing sesama sendiri untuk menuntut tambahan peruntukan dalam projek-projek infrastruktur rakyat, dan ini termasuklah Kementerian Kerja Raya sendiri. Semasa banjir besar pada penghujung 2014, Jabatan Kerja Raya (JKR) rugi paling besar dan memerlukan peruntukan yang sangat banyak untuk memulihkan semula infrastruktur asas rakyat di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perak. Maka, anda tidak sepatutnya menuduh KKR mahupun JKR sengaja melengah-lengahkan projek infrastruktur rakyat sebegini. Anda mahukan lebuh raya percuma, maka itulah harga yang perlu anda bayar.

Kita kembali semula kepada projek naik taraf Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 ini. Projek naik taraf Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 ini dibahagikan kepada 2 fasa, iaitu Fasa 1 (Gambang-Paloh Hinai sejauh 47 km) dan Fasa 2 (Paloh Hinai-Segamat sejauh 100 km). Fasa 1 sudah pun dimulakan pembinaannya pada September 2015 dan dijangka siap pada September 2018. Meskipun Fasa 1 dikatakan dari Gambang ke Paloh Hinai, tetapi penamat sebenar bagi Fasa 1 ialah di sekitar Persimpangan Chini, kerana KM100 bagi FT12 terletak lebih selatan sedikit daripada Persimpangan Chini. Fasa 1 dibina dengan anggaran kos RM300 juta. Sementara itu, fasa kedua sejauh 100 km dari Persimpangan Chini ke Segamat akan dibina paling awal pun selepas Fasa 1 siap pada tahun 2018. Fasa 2 dijangkakan akan memakan kos RM1.2 bilion kerana ia lebih jauh.




Cadangan Persimpangan Bertingkat Tun Abdul Razak




Cadangan Persimpangan Bertingkat Keratong


Dalam projek naik taraf FT12 ini, saya ingin menggesa kepada KKR mahupun JKR agar membina dua persimpangan bertingkat semasa pelaksanaan projek ini, iaitu di Persimpangan Tun Abdul Razak di Segamat serta di Persimpangan Keratong. Persimpangan Tun Abdul Razak dihubungkan ke Jalan Buloh Kasap FT1 ke Segamat dan Lebuhraya Segamat-Muar FT23, manakala Persimpangan Keratong dihubungkan ke Lebuhraya Bahau-Keratong FT11 ke Bahau dan Seremban. Kenapa pula perlu bina persimpangan bertingkat di dua lokasi tersebut...? Kalau setakat persimpangan searas berlampu isyarat tak boleh ke...? Sebab utama kenapa perlu bina dua persimpangan bertingkat di lokasi-lokasi yang telah saya nyatakan itu adalah kerana di dua persimpangan itulah pertenuan antara beberapa aliran lalu lintas berkepadatan tinggi. Persimpangan Tun Abdul Razak merupakan titik pertemuan antara lalu lintas dari arah selatan (Segamat, Johor Bahru dan Batu Pahat) dan barat daya (Melaka, Muar dan Gemas). Sementara itu, Persimpangan Keratong pula merupakan titik pertemuan bagi lalu lintas dari arah Segamat tadi dengan lalu lintas dari Negeri Sembilan khususnya dari Seremban, Kuala Pilah dan Bahau. Justeru, kedua-dua persimpangan tersebut perlu dibina sebagai persimpangan bertingkat dan bukannya persimpangan searas kerana persimpangan searas tidak mampu untuk menangani aliran trafik berkepadatan tinggi yang telah saya nyatakan tadi, sekaligus meningkatkan risiko nahas jalan raya.




Cadangan Persimpangan Bertingkat Gambang


Sementara itu, saya sebenarnya ada satu lagi cadangan persimpangan bertingkat iaitu di Gambang, bagi menghubungkan FT12 dengan Jalan Gambang FT2. Namun, saya menjadikan Persimpangan Bertingkat Gambang ini sebagai pilihan sahaja, bergantung kepada peruntukan yang diperolehi KKR, kerana saya mengandaikan majoriti pengguna FT12 sebaliknya akan jalan terus ke Lebuhraya Pantai Timur E8 (kecuali pengguna lebuh raya FT12 yang enggan membayar tol untuk ke Kuantan). Maka, pengurusan trafik di Gambang masih boleh diaturkan melalui pemasaan lampu isyarat itu sendiri.

7 comments:

  1. Ulasan yang begitu tepat untuk pengetahuan semasa pengguna FT12. Seperti kita sedia maklum, sememangnya begitu kerap berlakunya kemalangan di FT12. Pada pandangan saya, jalanraya FT12 yang agak lurus sebenarnya menggalakkan pemandu memandu pada kelajuan tinggi (100kmh - 120kmh). Sedangkan jalanraya FT12 hanyalah dua arah yang biasa, yang mana kelajuan maksimum hanyalah 90kmh. Tambah pula dengan kehadiran kenderaan berat (lori, bas) serta kawasan perkampungan yang membabitkan penduduk kampung turut sama menggunakannnya hanyalah membantu menambahkan risiko bahaya FT12 ini. Saya juga mencadangkan supaya jalanraya berkembar nanti dilindungi dengan pagar untuk menghalang binatang ternakan/ liar melintasi jalanraya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cadangan baik, namun saya tidak fikir keseluruhan jajaran akan dipagar kerana Lebuhraya Tun Razak FT12 memang bukan lebuh raya capaian terkawal. Jika dipagar, saya fikir hanya jajaran yang dikenal pasti sahaja yang akan dipagar.

      Delete
    2. Memasang pagar pada jajaran yang dikenal pasti dan strategik mungkin lebih praktikal. Namun saya juga tertanya-tanya, kenapa pihak konsesi lebuhraya tidak membina laluan lebuhraya capaian terkawal untuk menghubungkan pantai timur dengan selatan Malaysia. Jika dilihat pada kepadatan laluan yang tinggi di FT12 ini, semestinya lebuhraya baru dapat menampung dan memberi manfaat kepada pengguna jalanraya. Apakah faktor-faktor yang mendorong kepada hal ini yang mungkin tuan sendiri boleh kupaskan.

      Delete
    3. Memasang pagar pada jajaran yang dikenal pasti dan strategik mungkin lebih praktikal. Namun saya juga tertanya-tanya, kenapa pihak konsesi lebuhraya tidak membina laluan lebuhraya capaian terkawal untuk menghubungkan pantai timur dengan selatan Malaysia. Jika dilihat pada kepadatan laluan yang tinggi di FT12 ini, semestinya lebuhraya baru dapat menampung dan memberi manfaat kepada pengguna jalanraya. Apakah faktor-faktor yang mendorong kepada hal ini yang mungkin tuan sendiri boleh kupaskan.

      Delete
    4. Ia disebabkan faktor kepadatan penduduk di sepanjang tenggara Pahang dan Johor timur. Jarak antara Mersing dengan Kota Tinggi sudah mencecah 100 km; satu-satunya pekan yang ada di tengah-tengah laluan hanyalah Jemaluang yang terletak lebih kurang 20 km di selatan Mersing. Itu menunjukkan jarak antara pekan di situ begitu jauh dan kurang sesuai untuk dibina lebuh raya capaian terkawal. Selain itu, kadar aliran trafik di situ juga sangat sedikit dan tidak menjustifikasikan keperluan untuk membina lebuh raya ekspres.

      Delete
  2. Ulasan yang begitu tepat untuk pengetahuan semasa pengguna FT12. Seperti kita sedia maklum, sememangnya begitu kerap berlakunya kemalangan di FT12. Pada pandangan saya, jalanraya FT12 yang agak lurus sebenarnya menggalakkan pemandu memandu pada kelajuan tinggi (100kmh - 120kmh). Sedangkan jalanraya FT12 hanyalah dua arah yang biasa, yang mana kelajuan maksimum hanyalah 90kmh. Tambah pula dengan kehadiran kenderaan berat (lori, bas) serta kawasan perkampungan yang membabitkan penduduk kampung turut sama menggunakannnya hanyalah membantu menambahkan risiko bahaya FT12 ini. Saya juga mencadangkan supaya jalanraya berkembar nanti dilindungi dengan pagar untuk menghalang binatang ternakan/ liar melintasi jalanraya.

    ReplyDelete
  3. Hampir 2 tahun tak balik ke kuantan...nampak seperti projek dah siap...tapi kecewa ingatkan projek jadikan 4 lorong...rupanya tambahan lorongan memotong di beberapa tempat

    ReplyDelete