Thursday, March 8, 2012

KL banjir bukan kerana Terowong SMART / KL floods not because of SMART Tunnel




Pintu masuk ke terowong SMART (sumber: Wikipedia)





Salam sejahtera,

Buat kesekian kalinya, terowong SMART ditutup mulai semalam (7 Mac 2012) jam 8 malam berikutan banjir kilat di Kuala Lumpur akibat ribut petir dan hujan lebat yang berterusan. Seperti biasa, pasti ada sahaja cakap-cakap kurang menyenangkan yang mempersoalkan keberkesanan terowong SMART menangani banjir di ibu kota.

Golongan tersebut mendakwa KL banjir kononnya disebabkan kegagalan terowong SMART berfungsi mengalirkan air hujan keluar dari ibu kota. Golongan tersebut juga mendakwa kononnya penutupan terowong SMART menambah parah kesesakan jalan raya di ibu kota. Golongan sedemikian turut menzahirkan kejahilan mereka di dada akhbar melalui ruangan surat pembaca, di blog-blog dan laman sosial. Sebelum saya teruskan, saya ingin menyoal golongan sedemikian - adakah mereka sebenar-benarnya tahu fungsi paling utama terowong SMART, bagaimana ia berfungsi dan di mana kawasan liputan terowong tersebut? Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dalam menyebabkan banjir kilat yang semakin kerap di Kuala Lumpur? Adakah mereka ingin menyalahkan Tuhan selepas ini? Bagi pihak terowong SMART, biar saya sedarkan golongan yang lupa, lalai dan alpa tersebut buat kesekian kalinya.

Untuk pengetahuan semua, fungsi sebenar terowong SMART yang paling utama adalah sebagai "bekas" bagi menyimpan air banjir buat sementara untuk menghalang air dari Sungai Klang daripada membanjiri ibu kota. Air daripada "bekas" ini akan dilepaskan secara beransur-ansur ke kolam takungan di Kampung Berembang dan Taman Desa setelah cuaca kembali pulih. Fungsi sebagai lebuh raya hanyalah fungsi tambahan bagi membolehkan syarikat konsesi membayar balik pinjaman bagi membiayai pembinaannya di samping kos penyelenggaraan terowong tersebut.

Namun, jika cuaca adalah baik di sekitar Kampung Berembang, Taman Desa dan Bukit Bintang tetapi ribut petir dahsyat di sekitar Sungai Bunus di Titiwangsa sebagaimana yang berlaku pada 13 Disember 2011, maka sudah tentulah terowong tetap dibuka seperti biasa kerana sudah tentu tiada air banjir yang masuk ke terowong tersebut. Oleh itu, terowong SMART sebenarnya hanyalah salah satu komponen bagi mencegah banjir di ibu kota; masih ada banyak lagi komponen lain yang diperlukan seperti kolam takungan dan terusan bagi mencegah banjir.

Kesimpulannya, terowong SMART bukanlah penyebab banjir seperti yang didakwa oleh sebilangan golongan jahiliah yang mempertikaikan keupayaan terowong SMART. Terowong SMART tidaklah gagal seperti didakwa, sebaliknya terowong tersebut berupaya menyelamatkan ekonomi bernilai berbilion ringgit yang selalunya akan musnah sekiranya berlaku banjir kilat tanpa terowong SMART. Golongan-golongan jahiliah tersebut sepatutnya sedar; kealpaan mereka membuang sampah merata-rata serta kedegilan mereka yang tetap berkereta meskipun hanya berseorangan itulah sebenarnya punca banjir. Jika mereka menggunakan pengangkutan awam atau setidak-tidaknya menggunakan motosikal atau berkongsi kereta ke pejabat, sebenarnya bertan-tan gas rumah hijau dapat dikurangkan dan seterusnya mengurangkan kesan rumah hijan dan pemanasan global yang menjadi punca utama kepada keadaan cuaca yang semakin menggila dan tidak menentu akhir-akhir ini.

Sumber berita: Sinar Harian

2 comments:

  1. saudara, maybe anda boleh baca link yg akan saya paste di bawah..ada penerangan sedikit kenapa smart tunnel dibina..

    http://blogkaryait.wordpress.com/2012/03/10/kan-dah-ada-smart-tunnel-kenapa-banjir-kilat-kat-kl-lagi-kenapa-1000x/

    setelah baca sy sendiri tidak tahu hendak percaya atau tidak tetapi difikirkan ada kebenaran juga..blog yg sy link kn di atas juga ada menyelidik isu tentang jalan keretapi di malaysia

    ReplyDelete
  2. Link menarik, dan saya dah pun baca... cuma tak berkenan bila diselitkan dengan unsur politik...

    Tapi apa pun, moral paling penting dalam kisah terowong Smart ni ialah kita jangan jadi takbur dengan mengatakan kononnya KL tak akan banjir langsung bila ada terowong Smart ni. Tengok saja kapal Titanic, para pembinanya punyalah takbur mengatakan kononnya kapal tu tak akan boleh tenggelam... akhirnya bila terlanggar aisberg je terus karam. Kena masa pelayaran sulung pulak tu.

    ReplyDelete