Friday, January 4, 2013

Apa Kejadahnya: Masalah parkir menghalang di KL - salah siapa? / What The Hell: Double-parking woes in KL - whose fault?



Salam sejahtera,

Bayangkan senario sebegini - anda mengambil kesempatan untuk pergi ke bank semasa waktu rehat makan tengah hari untuk membayar bil sementara menunggu waktu untuk masuk semula ke pejabat. Anda memparkir kereta anda di petak parkir betul-betul di hadapan bank. Namun, sebaik sahaja anda keluar dari bank setelah urusan pembayaran bil selesai, tiba-tiba anda dapati ada sebuah kereta yang diparkir menghalang kereta anda. Akibat daripada perbuatan si bahlul yang memparkir keretanya menghalang kereta anda, anda terpaksa membazirkan beberapa minit yang berharga untuk menunggu si bahlul itu mengalihkan keretanya. Jika mood anda tidak baik, sudah tentulah ia boleh mencetuskan pergaduhan. Anda tentunya akan berasa lebih meradang jika anda dapati sebenarnya memang ada banyak lagi petak parkir yang kosong, cuma si pemandu sengal itu tidak bertimbang rasa memparkir keretanya sehingga menghalang kereta anda.

Senario ini sering berlaku di mana-mana sahaja terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Sudahlah dengan kos petrol yang begitu mahal, ditambah lagi dengan tol jika menggunakan lebuh raya, masalah parkir yang sentiasa tidak mencukupi sering membuatkan warga kota berasa tertekan setiap kali berulang-alik ke tempat kerja. Tak cukup dengan itu, gejala parkir menghalang turut merebak ke kawasan perumahan, terutamanya di kawasan pangsapuri atau kondomunium. Malah, rumah teres biasa pun tidak terlepas daripada gejala parkir menghalang, memandangkan petak parkir bagi sebuah rumah teres biasanya boleh memuatkan maksimum dua buah kereta sahaja tetapi terdapat lebih daripada tiga buah kereta yang digunakan seluruh isi rumah. Gambar di atas diambil di kawasan pangsapuri perumahan rakyat di Taman Dato' Senu, Sentul, Kuala Lumpur, salah satu daripada kawasan-kawasan di ibu kota yang terkenal dengan masalah parkirnya.

Jadi siapakah yang patut dipersalahkan berikutan masalah parkir yang tak berkesudahan di Kuala Lumpur ini? Ada banyak pihak yang patut dipersalahkan. Jika gejala parkir menghalang berpunca daripada petak parkir yang tidak pernah mencukupi, maka pemaju perumahan serta pihak berkuasa tempatan patut dipersalahkan kerana gagal merancang dengan teliti serta menyediakan bilangan petak parkir yang mencukupi. Sebagai contoh, kita bandingkan antara pusat bandar lama Taman Sri Gombak dengan pusat komersial Prima Sri Gombak, di mana kedua-duanya hanya dipisahkan oleh Lebuh Utama Sri Gombak. Pusat bandar lama Taman Sri Gombak sering mengalami masalah kekurangan petak parkir memandangkan bilangan petak parkir yang ada di situ mengambil kira konteks tahun 1970an dan 80an semasa ia mula dibangunkan, di mana bilangan kereta pada masa itu tidak sebanyak sekarang. Sementara itu, Prima Sri Gombak pula mempunyai bilangan petak parkir yang sangat banyak kerana ia dirancang mengikut keadaan semasa di mana kadar milikan kenderaan adalah sangat tinggi.

Di sesetengah pangsapuri dan kondominium di ibu kota, bilangan parkir kosong masih banyak, tetapi masih banyak kereta yang parkir menghalang di luar. Kenapa pula boleh jadi begitu? Dalam konteks ini, kerenah birokrasi oleh pihak pengurusan pangsapuri atau kondominium patut dipersalahkan atas lambakan kereta yang masih parkir menghalang di luar, sekaligus mendedahkan pemilik kenderaan berkenaan kepada risiko kecurian dan vandalisme. Hendak melawat sekejap sahaja pun mesti serahkan lesen memandu, ambil pas dan parkir di tempat yang ditetapkan (ada kalanya terlalu jauh daripada rumah yang ingin dilawati). Tersalah parkir, kenderaan akan dikapit rodanya. Nak buka pengapit roda, kena bayar denda yang mahal. Begitu jugalah nasib yang menimpa kenderaan yang diparkir tetapi tiada pelekat pangsapuri atau kondominium berkenaan. Maka tidak hairanlah jika masih ada banyak kenderaan yang diparkir di luar kerana tidak mahu berdepan dengan kerenah birokrasi sebegitu.

Ada juga berlaku keadaan di mana petak parkir masih banyak lagi yang kosong, tetapi masih ada si bahlul yang parkir menghalang kereta orang. Alasannya, sebab malas nak berjalan jauh sedikit. Itu memang satu alasan yang bodoh dan tidak bertanggungjawab. Cuba kalau kereta si sengal itu pula yang dihalang, apa perasaan mereka? Tahu pula nak marah, tetapi menghalang kereta lain pandai pula! Sekolah memandu mana yang ajar mereka parkir menghalang kereta orang? Tiada satu sekolah memandu pun di dunia yang mengajar sebegitu. Kalau malas sangat nak cari parkir, lebih baik naik motor sajalah! Sekurang-kurangnya motosikal mudah untuk diparkir dan tidak banyak memakan ruang.

Sungguhpun demikian, memandangkan saya berbicara mengenai konteks Kuala Lumpur yang sering menghadapi masalah parkir yang tidak berkesudahan, secara kesimpulannya pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) patut dipersalahkan kerana gagal memastikan agar bilangan petak parkir sentiasa mencukupi. Lihat sajalah di Seksyen 2 Wangsa Maju, satu kawasan yang sering mengalami masalah parkir menghalang terutamanya pada waktu malam, sehinggakan pemandu terpaksa parkir di sebelah pembahagi jalan apabila kawasan tepi jalan sudah dipenuhi kereta. Pernahkah pihak DBKL bertindak mengenal pasti kawasan yang mengalami masalah parkir dan bertindak membina parkir bertingkat untuk kemudahan pemandu? Jangankan hendak membina parkir bertingkat, kenal pasti kawasan bermasalah pun tak pernah! Tetapi bila tiba bab hendak menyaman orang, laju pula! Apa kejadahnya semua ini? Sementara itu, apa pula tindakan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dalam menangani isu kekurangan petak parkir yang kian membarah ini? Sampai bila mereka harus tidur dan tidur lagi? Jika masalah parkir menghalang ini tidak berkesudahan, warga kota hanya bertambah sengsara, bukan sejahtera.

Kesimpulannya, DBKL mestilah berhenti berdolak-dalik dan segera mengambil tindakan membina parkir bertingkat di kawasan yang dikenal pasti mengalami masalah kekurangan petak parkir yang serius seperti Seksyen 2 Wangsa Maju, Sentul, dan banyak lagi. Jenayah curi kereta, pecah kereta dan arson (bakar dengan sengaja) melibatkan kenderaan yang diparkir berlapis kesemuanya berpunca daripada kegagalan pihak DBKL serta pemaju perumahan menyediakan bilangan petak parkir yang mencukupi. Jika kemelut sebegini gagal ditangani pihak DBKL, tak usahlah bermimpi hendak menyaman kereta-kereta yang diparkir menghalang kerana saman-saman tersebut sememangnya boleh dipertikaikan di mahkamah. Janganlah sampai slogan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" hanya tinggal slogan semata-mata.

No comments:

Post a Comment