Saturday, October 20, 2018

FTRoadpedia Sarawak Part 7: Jalan Sibu-Bintulu FQA1, jalan paling teruk di Sarawak yang perlukan perhatian / Sibu-Bintulu Road FQA1, the worst road in Sarawak that requires attention




Salam sejahtera,

Reviu Jalan Sibu-Bintulu membuka diari hari terakhir FTRoadpedia Sarawak pada 1 Oktober 2018. Sebelum saya menjejakkan kaki ke Sarawak, saya sering terdengar cakap-cakap yang mengatakan bahawa Jalan Sibu-Bintulu FQA1 merupakan jalan raya berturap yang paling teruk di Sarawak. Cerita tersebut pastinya sangat ironik, memandangkan jajaran Sibu-Bintulu merupakan jajaran terakhir yang disiapkan pada tahun 1985 bagi projek Jalan Raya Utama Pertama Sarawak. Jadi sempena hari terakhir FTRoadpedia Sarawak, saya mahu melihat sendiri sama ada cerita tersebut benar atau tidak.

Cuaca pagi di Sibu pada ketika itu mendung. Rombongan FTRoadpedia Sarawak meninggalkan hotel penginapan untuk ke destinasi pertama kami iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh, Selangau. Bukan di Selangor ya. Jadi, sudah tentulah Sungai Buloh di Selangau jauh berbeza daripada Sungai Buloh di Selangor.

Jarak Bintulu dari Bulatan Sibu cuma 201 km, lebih kurang sama seperti jarak Kuala Lumpur ke Segamat. Bezanya, tatkala saya hanya memerlukan masa lebih kurang 3 jam 45 minit untuk ke Segamat dari Kuala Lumpur, jarak serupa memerlukan masa daripada pagi hingga ke petang. Selain disebabkan banyak berhenti, keadaan jalan yang sangat teruk menyebabkan bas tidak dapat dipandu laju, dengan kelajuan purata sekitar 50 hingga 70 km/j di sepanjang Jalan Sibu-Bintulu.

Stapang merupakan pekan pertama yang kami lalui sepanjang Jalan Sibu-Bintulu FQA1. Ia sekadar pekan kecil yang terletak di tebing sungai Batang Oya dan terletak 28 km dari Persimpangan Sibu. Saiznya kecil sahaja, cuma terdiri daripada sederet kedai sahaja. Namun, destinasi hentian pertama kami sebenarnya terletak di pekan Selangau yang terletak 29 km dari pekan Stapang ini.

Selangau merupakan pekan persinggahan penting bagi pengguna Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 yang hendak ke pekan-pekan pesisir pantai seperti Mukah, Balingian, Igan, Oya, Matu dan Dalat. Menurut sejarah, tapak asal Selangau terletak di pertembungan antara Sungai Selangau dengan Batang Mukah, tetapi setelah siapnya Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1, maka penduduknya berpindah ke lokasi sekarang yang terletak di tepi FQA1. Asalnya Selangau dihuni penduduk dari suku kaum Beketan, tetapi majoriti penduduk Selangau sekarang terdiri daripada orang-orang Iban; orang-orang Beketan sekarang sudah berpindah ke Tatau, satu lagi pekan penting di sepanjang laluan Sibu-Bintulu FQA1.

Kami berhenti sebentar di Jennifer's Cafe bagi melepaskan hajat masing-masing. Jennifer's Cafe terletak betul-betul selepas Persimpangan Selangau yang dihubungkan dengan jalan raya pesisir pantai Mukah melalui Jalan Negeri Sarawak Q225. Jadi, memang sesuai sangat kafe ini dijadikan hentian rehat bagi para musafir di Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1. Keadaan langit yang gelap menunjukkan hujan akan turun pada bila-bila masa, tetapi sebenarnya memang sudah hujan seketika semasa menghampiri pekan Stapang dan reda sedikit sebaik menghampiri Jennifer's Cafe. Maka, tidak hairanlah kenapa sebegitu ramai yang mahu melepaskan hajat masing-masing di Jennifer's Cafe.

Semasa hendak meneruskan perjalanan ke Bintulu, kami singgah sebentar di Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh, Selangau. Kami terpaksa turun dari bas dan menaiki beberapa buat kereta untuk melalui jalan masuk ke sekolah berkenaan kerana berlakunya tanah runtuh tidak jauh dari pangkal jalan masuk ke sekolah berkenaan yang menyebabkan jalan tersebut terpaksa ditutup satu lorong. Kehadiran kami disambut murid-murid, guru-guru dan penduduk Kampung Sungai Buloh yang majoritinya terdiri aripada orang-orang Iban. Kami ke SK Sungai Buloh Selangau bagi menyaksikan majlis pecah tanah projek baik pulih sekolah tersebut yang dikategorikan sebagai sekolah daif. Projek ini dilaksanakan oleh kontraktor Musyati-Mudajaya, salah satu kontraktor bagi salah satu pakej projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka.

Hujan mula turun dengan lebatnya semasa majlis pecah tanah yang disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian. Kami terpaksa menunggu di sekolah sementara menunggu hujan teduh sebelum kami dapat kembali semula ke bas kami. Jadi sementara menunggu hujan teduh, kami disajikan dengan makanan oleh pihak sekolah. Sebaik hujan sudah agak teduh sedikit, kami kembali semula ke bas kami untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

Destinasi seterusnya ialah pekan Tatau yang terletak 74.5 km dari SK Sungai Buloh Selangau. Sepanjang perjalanan ke sana, ternyata dakwaan yang mengatakan bahawa Jalan Sibu-Bintulu FQA1 sebagai jalan raya berturap paling teruk di Sarawak terbukti benar, terutamanya di jajaran Selangau- Tatau. Keadaan jalan mendap, beralun dan berlubang di sana-sini macam baru lepas perang. Setiap kali melalui jajaran yang beralun, saya terasa seperti menunggang kuda liar. Setiap kali bas terlanggar lubang, seram memikirkan kemungkinan tayar bas pecah. Lagipun mana ada bengkel bas sepanjang 74.5 km perjalanan. Malah, kalau kami tiba di Tatau ataupun berpatah balik ke Selangau sekalipun, belum tentu ada bengkel bas mahupun kedai tayar. Jika anda menaiki motosikal, anda mungkin perlu bersiap-sedia dengan sekurang-kurangnya 10 ekor "cacing" - maksud saya, getah pelekat penampal tayar. 

Jangan salah sangka pula; saya bukanlah hendak menghentam JKR Sarawak semata-mata, tetapi apa yang saya mahu tunjukkan di sini ialah keadaan Jalan SIbu-Bintulu FQA1 yang sangat teruk itu jelas membentuk sebab utama kenapa projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 wajar diteruskan tanpa penangguhan dan tanpa cantasan. Jika di negeri-negeri lain masalah jalan berlubang adalah disebabkan keculasan kontraktor utiliti yang mengorek lurang atau lubang laluan kabel di jalan raya tanpa menutupnya dengan sempurna serta masalah birokrasi dan red tape semasa proses permohonan peruntukan pembaikan jalan, di Sarawak pula masalah logistik merupakan masalah nombor satu yang membawa kepada jalan rosak yang terbiar atau terlalu lambat dibaiki. Masalah logistik datang bukan sahaja akibat jalan yang teruk, tetapi juga akibat ketiadaan pejabat JKR daerah di beberapa daerah seperti Selangau dan Tatau. Jika di Sabah, setiap daerah mempunyai pejabat JKR daerah, malah ada sub-daerah seperti Telupid yang turut mempunyai pejabat JKR daerah. Namun, jika dibandingkan dengan Sarawak pula, pejabat-pejabat JKR daerah hanya ada di daerah tertentu yang ramai penduduk sahaja; daerah kurang penduduk seperti Selangau dan Tatau pula tiada pejabat JKR daerah. Justeru, adalah diharap agar siapnya projek Lebuhraya Pan Borneo FQA1 ini nanti akan mengurangkan masalah logistik yang dihadapi JKR Sarawak agar jalan-jalan rosak dapat ditangani segera.

Sebaik tiba di Tatau, kami meninjau projek pembinaan Jambatan Tatau bagi menggantikan jambatan sedia ada. Seterusnya, kami singgah solat sebentar di Masjid Pekan Tatau kerana selepas ini sudah tiada lagi tempat untuk berhenti rehat sepanjang 51 km sehinggalah kami tiba di Bintulu untuk meninjau projek Persimpangan Nyabau. Jadi selepas saya selesai solat, saya mengambil kesempatan untuk meninjau suasanan pekan Tatau sementara menunggu ahli rombongan selesai solat. Seperti kebanyakan pekan-pekan kecil lain di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1, kemakmuran ekonomi penduduk Tatau banyak bergantung kepada pengguna FQA1 yang lalu-lalang. Maka, kemudahan asas yang ada seperti kedai makan, stesen minyak dan masjid menjadikan Tatau pekan persinggahan wajib bagi pengembara yang melalui FQA1. Kewujudan masjid di Tatau adalah disebabkan oleh peratus penduduk Islam yang tinggi di Tatau, yang mana kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Melayu dan Melanau.

Kami meneruskan perjalanan. Keadaan jalan selepas pekan Tatau kali ini lebih baik daripada jajaran Selangau-Tatau. Selepas melalui perjalanan 51 km, kami akhirnya tiba di Bintulu, bandar keempat terbesar di Sarawak selepas Kuching, Miri dan Sibu. Bandar ini pesat membangun hasil aktiviti pelombongan minyak serta perindustrian. Dari segi pengangkutan, Bintulu merupakan penamat bagi Jalan Sibu-Bintulu FQA1 dan merupakan permulaan bagi Jalan Bintulu-Miri FQA1. Oleh kerana Jalan Sibu-Bintulu FQA1 dibina lebih kemudian daripada Jalan Bintulu-Miri FQA1, maka satu persimpangan utama yang dikenali sebagai Persimpangan Nyabau terbentuk beberapa km dari pusat bandar Bintulu, sekaligus membentuk titik penamat bagi Jalan Sibu-Bintulu FQA1.

Seperti beberapa persimpangan utama di sepanjang FQA1 seperti Persimpangan Sibu, Persimpangan Sarikei dan Persimpangan Sri Aman, Persimpangan Nyabau mempunyai masalah kesinambungan laluan yang menyebabkan kesesakan dan juga risiko keselamatan semasa keluar masuk simpang. Maka, untuk mengatasinya, sebuah persimpangan bertingkat kini sedang dalam pembinaan. Bagi projek lebuh raya kembar Pan Borneo FQA1, Persimpangan Nyabau dibina sebagai jejambat jalan raya kembar di atas simpang tiga sedia ada. Reka bentuk ini dipilih disebabkan sudah terdapat banyak bangunan yang didirikan di sekeliling Persimpangan Nyabau, menyebabkan ia tidak boleh dinaik taraf kepada persimpangan trompet.




Perkembangan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 di jajaran Sg. Arip-Bintulu




Perkembangan projek Jambatan Tatau
(kredit video: Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd.)


Hari sudah lewat petang. Dengan ini, maka tamatlah sudah epik jalan raya paling teruk di Sarawak yang mendapat perhatian arwah Tok Nan, Ketua Menteri Sarawak terdahulu yang bertegas mahu projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 diteruskan sebagai lebuh raya kembar demi anak bangsa Sarawak. Terima kasih kepada arwah Tok Nan dan Datuk Seri Fadillah Yusof kerana mengusahakan projek lebuh raya kembar ini demi anak bangsa Sarawak. Juga tidak ketinggalan ialah mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana melaksanakan pembinaannya - jangan kerana salah silapnya, terus dilupakan segala jasa beliau. Kita bukan hakim dan kita bukan tuhan, jadi serahkan kepada Allah dan Yang Arif untuk menentukan hukuman setimpal dan bukannya mengambil tugas hakim dan tuhan.

Kami perlu beredar sekarang kerana perjalanan ke Miri masih berbaki 203 km. Untuk mengetahui suasana sepanjang baki perjalanan 203 km ke Miri, ikuti reviu terakhir dalam siri FTRoadpedia Sarawak dalam entri Jalan Bintulu-Miri FQA1.





Pemandangan waktu pagi di bandar Sibu




Bergilir-gilir melepaskan hajat di Jennifer's Cafe, Selangau




Antara wajah-wajah ceria anak-anak kaum Iban yang bersekolah di SK Sungai Buloh, Selangau




Inilah antara anak-anak bangsa Sarawak yang menjadi harapan Sarawak untuk memajukan negeri pada masa akan datang




Projek pembinaan Jambatan Tatau di sebelah jambatan asal




Jalan Sibu-Bintulu FQA1 dari tapak projek Jambatan Tatau




Panorama pekan Tatau yang mendamaikan




Jalan Sibu-Bintulu FQA1 menjadi lebuh raya kembar bermula ari Persimpangan Lapangan Terbang Bintulu




Pelan Persimpangan Lapangan Terbang Bintulu




Persimpangan Bertingkat Nyabau yang sedang dalam pembinaan




Pelan Persimpangan Bertingkat Nyabau serta gambaran projek siap

Wednesday, October 17, 2018

FTRoadpedia Sarawak Part 6: Jalan Akses Sibu aka Jalan Pelabuhan Rajang FQ902 / Sibu Access Road aka Rajang Port Road FQ902

Salam sejahtera,

Siri reviu FTRoadpedia Sarawak hanya berbaki 3 episod sebelum ia melabuhkan tirainya. Sebelum saya teruskan dengan reviu Jalan Sibu-Bintulu FQA1, izinkan saya menulis satu reviu ringkas mengenai sebatang jalan raya yang pernah menjadi satu-satunya pintu masuk utama ke bandar Sibu, bandar ketiga terbesar di Sarawak selepas Kuching dan Miri.

Sperti yang pernah saya ceritakan dalam entri sejarah lengkap Jalan Persekutuan 1 Sarawak, majoriti bandar-bandar utama di Sarawak terletak di tebing-tebing sungai utama. Maka, cara sesuatu jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 dibina adalah dengan membina antara dua bandar, kemudian apabila hendak dipanjangkan, ia disambung dari satu titik yang dijadikan simpang tiga ke bandar seterusnya. Proses sebegini diulang sehinggalah keseluruhan FQA1 siap. Hasilnya, jalan FQA1 biasanya tidak melalui pusat bandar bagi bandar-bandar kawalan utama di sepanjang laluannya. Hanya Miri satu-satunya bandar kawalan yang pusat bandar rayanya direntasi FQA1.

Jalan Sri Aman-Sibu FQA1 juga dibina dengan cara yang sama. Selepas Jalan Kuching-Sri Aman FQA1 siap, ia disambung ke Sarikei, menyebabkan wujud jalan masuk ke Sri Aman sebagai Jalan Negeri Sarawak Q7. Seterusnya, FQA1 disambung ke Bintangor dari Simpang Sarikei dekat pekan Jakar, seterusnya dari Simpang Bintangor hingga ke Sibu. Maka, Jalan Akses Sibu aka Jalan Pelabuhan Rajang FQ902 wujud hasil daripada pembinaan jajaran terakhir Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 dari Bulatan Sibu sehingga ke Bintulu.

Pada mulanya, jalan FQ902 ini merupakan satu-satunya jalan masuk ke Sibu melalui jalan raya. Kini, sudah ada pintu masuk kedua iaitu Jambatan Lanang melalui beberapa siri jalan negeri dari Sarikei dan Bintangor. Jika kerajaan negeri Sarawak membina sebatang jalan negeri dari Dalat ke Sibu, ia menambah baik akses dari Sibu ke Mukah tanpa perlu ikut jalan Q225 melalui Selangau yang lebih jauh.

Panjang keseluruhan jalan FQ902 ini ialah 18.05 km sahaja. Menurut senarai jalan institusi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), Jalan Persekutuan FQ902 didefinisikan "... dari simpang di kilometer 531.6 (diukur dari Sematan) di Laluan 1, melalui Jalan Ulu Oya ke persimpangannya dengan Jalan Deshon di kilometer 543, melalui Jalan Deshon ke Bulatan Deshon di kilometer 546.05, melalui Persiaran Brooke ke persimpangannya dengan..." Dengan apa...? Definisi FQ902 terhenti begitu sahaja.

Jadi saya cuba meninjau sendiri menggunakan ciri Street View pada Google Maps. Jika diikutkan definisi awalnya memang cukup mudah. Dari Persimpangan Sibu, hanya perlu jalan terus. Dari Persimpangan Sibu, FQ902 dikenali sebagai Jalan Tunku Abdul Rahman sebelum berterusan sebagai Jalan Deshon. Di bandar Sibu, Jalan Deshon bersilang dengan Persiaran Brooke di sebuah simpang empat, jadi belok kiri ke Persiaran Brooke untuk meneruskan perjalanan melalui FQ902.

Namun, penamatnya amat mengelirukan kerana definisi laluan yang tidak habis. Jalan Brooke dilencongkan ke kiri ke Jalan Kampung Nyabor. Di sinilah terletaknya peranan papan tanda yang mengikut piawaian JKR siap dengan kod laluan. Malangnya, seperti kebanyakan bandar utama lain di Sarawak, papan tanda jalan raya di Sibu langsung tidak mengikut piawaian seragam. Sebenarnya, ada jugalah beberapa papan tanda jalan raya di Sibu yang mengikut piawaian baru papan tanda JKR dengan warna latar biru dan tulisan font Transport berwarna putih. Pun begitu, saya masih tidak berpuas hati kerana masih tidak diterapkan kod laluan. Akibatnya, laluan melalui Persiaran Brooke perlu melalui satu siri kota sesat sebelum tiba di Pelabuhan Rajang. Sekiranya FQ902 melalui Jalan Tun Abang Haji Openg, sudah tentu laluan jadi lebih mudah untuk dijejaki.

Justeru kepada JKR Sibu, saya ingin menggesa JKR Sibu agar bertandang ke Miri dan belajar bagaimana JKR Miri bersungguh-sungguh memartabatkan jalan raya melalui penggunaan papan tanda yang mengikut piawaian JKR siap dengan kod laluan sekali. Untuk lebih memudahkan lagi, cat jata laluan FQ902 di atas jalan raya di sepanjang laluan FQ902. Saya harap semasa kunjungan kedua saya ke Sarawak nanti saya akan dapat melihat perubahan yang benar-benar saya kehendaki pada papan tanda jalan raya di Sarawak terutamanya di Kuching dan Sibu.

Ikuti sambungan seterusnya dalam entri reviu Jalan Sibu-Bintulu FQA1.





Jalan Akses Sibu bermula dari Bulatan Sibu (kini sedang dinaik taraf menjadi Persimpangan Sibu)




Jarak ke Sibu dari Persimpangan Sibu masih berbaki 19 km




Persimpangan Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce ke bahagian selatan Bintulu




Simpang ke Jalan Ulu Oya




Jalan Tunku Abdul Rahman FQ902 berterusan sebagai Jalan Deshon FQ902 selepas persimpangan ini




Belon kiri untuk meneruskan perjalanan ke pusat bandar Sibu melalui Persiaran Brooke FQ902




Persiaran Brooke dilencongkan ke kiri ke Jalan Kampung Nyabor - ke manakah sebenarnya jalan ke Pelabuhan Rajang...?




Di sinilah sebenarnya pintu masuk ke Pelabuhan Rajang

Sunday, October 14, 2018

FTRoadpedia Sarawak Part 5: Jalan Sri Aman-Sibu FQA1,nampak dekat dalam peta tetapi sebenarnya jauh / Sri Aman-Sibu Road FQA1 - looks near in the map but actually far



Bagaimana bunyi buaya...? Bunyinya begini, "Hai cik adik manis, lawa baju. Cik adik nak pergi ke mana tu...? Mari abang temankan, boleh...?"


Salam sejahtera,

Perjalanan kami dari persimpangan Sri Aman ke Sibu untuk bermalam di sana masih berbaki 266 km. Sebelum itu, kemi berlu berhenti sebentar di sebuah lagi pejabat tapak projek Lebuhraya Borneo Utara (LBU) di pekan Layar untuk solat jamak qasar dan seterusnya di sebuah lagi pejabat tapak projek di tebing Batang Rajang di Durin. Di Semenanjung, jarak tersebut tidaklah terasa jauh sangat, lebih kurang 4 jam perjalanan sahaja. Namun, bagi kes di Sarawak pula, kami hanya tiba di Sibu pada waktu malam. Serius jauh...!!! 

Sebab itu dalam entri Jalan Kuching-Sri Aman FQA1 saya ingatkan awal-awal, jangan pandang rendah akan jalan raya di negeri Sarawak. Nampak dekat pada peta tidak bermakna dekat dalam erti kata sebenar. Lihat sahaja perjalanan dari Kuching ke simpang Sri Aman; perjalanan 190 km sahaja pun memakan masa lama - kami bertolak pukul 7 lebih tetapi sudah tengah hari barulah kami sampai. Sekarang, kami perlu bertahan lebih kurang 266 km lagi sebelum dapat bermalam di Sibu.

Pekan pertama di Jalan Sri Aman-Sibu FQA1 ini ialah Engkilili yang terletak di tebing Batang Lupar. Ia tidak terletak terus di tengah-tengah laluan FQA1 tetapi perlu melalui sebatang jalan cabang untuk ke sana. Simpang Engkilili terletak 24 km dari Simpang Sri Aman. Oh, di Engkilili ada stesen minyak, jadi legalah sikit.

Tidak jauh dari Simpang Engkilili ialah Simpang Lubok Antu yang menghubungkan FQA1 dwngan pekan Lubok Antu dan Batang Ai melalui Jalan Batang Ai FQ25 sepanjang 38 km. Meskipun Lubok Antu kelihatan sekadar pekan biasa, tetapi ia sebenarnya berpotensi untuk menjadi satu lagi pintu masuk utama merentasi Sempadan Malaysia-Indonesia selain Tebedu kerana di sebelah Kalimantan Barat pula, kompleks imigresen dan kuarantin Nanga Badau yang terletak hanya beberapa km dari Lubok Antu sudah siap. Sementara itu pula, Batang Ai menempatkan Empangan Batang Ai, salah satu stesen janakuasa hidroelektrik utama di Sarawak, dengan kapasiti maksimum 100 MW.

Dari Simpang Lubok Antu, hanya tinggal 31.5 km sahaja untuk ke pejabat tapak LBU di pekan Layar. Sebaik tiba di pekan Layar, kami menggunakan kesempatan ini untuk solat. Tidak seperti kebanyakan negeri di Malaysia, agak sukar sedikit hendak mencari masjid di pekan-pekan kecil sepanjang perjalanan, kerana di Sarawak penganut Islam bukanlah majoriti. Sebaliknya, kebanyakan rakyat Bumiputera di Sarawak merupakan penganut Kristian. Masjid hanya mudah didapati di bandar-bandar utama serta pekan-pekan yang didiami etnik-etnik Bumiputera yang menganut Islam seperti di Tatau. Oleh kerana majoriti rakyat Bumiputera Sarawak merupakan penganut Kristian, maka gereja-gereja mudah didapati di kampung-kampung, sebagai mana masjid-masjid mudah didapati di kampung-kampung di Semenanjung. Selesai solat, kami perlu meneruskan perjalanan segera kerana kami perlu tiba di Sibu sebelum matahari tenggelam; tambahan pula, keadaan jalan yang gelap pada waktu malam sudah tentu berbahaya kepada para musafir.

Seterusnya, jarak dari Layar ke Simpang Sarikei - atau lebih tepat lagi pekan Jakar ialah 93 km. Jauhnya...!!! Ya, memang jauh. Sebenarnya memang ada beberapa pekan yang boleh disinggahi seperti Spaoh, Debak, Pusa, Saratok dan Roban, tetapi kesemuanya perlu melalui jalan cabang masuk yang agak jauh ke dalam. Sebab itulah perancangan perjalanan amat penting jika anda mahu mengembara di serata Sarawak melalui jalan raya supaya anda tidak fasal-fasal menoleh akibat kehabisan bahan api. Pekan ini ternyata sangat meriah sebagai pekan persinggahan penting bagi pengguna Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 tanpa perlu memasuki bandar Sarikei kerana pekan ini ada segala-galanya yang diperlukan para musafir seperti kedai makan dan stesen minyak. Kalau penginapan dan bengkel motosikal / kereta pula saya tak pasti.

Dari Simpang Sarikei, saya menyangkakan perjalanan ke Sibu sudah dekat kerana nampak di dalam peta macam sudah dekat, tetapi rupa-rupanya masih jauh lagi. Masih ada baki 107 km sebelum sampai ke Sibu. Serius...? Ya, serius. Tetapi sebenarnya memang ada jalan pintas untuk ke Sibu, melalui satu siri jalan negeri melalui Bintangor dan seterusnya melintasi Batang Rajang melalui Jambatan Lanang. Dengan jalan potong tersebut, jarak ke Sibu dari Simpang Sarikei hanya sekitar 60 km sahaja. Tetapi kami sudah tentulah tidak menggunakan laluan itu kerana kami perlu singgah di tapak projek Jambatan Durin FQA1.

Dari Simpang Sarikei, jarak ke Simpang Bintangor cuma 27 km sahaja. Jika kami jalan terus, bolehlah kami sampai ke Sibu lebih awal. Lebih kurang 27 km dari Simpang Bintangor, barulah saya dapat menarik nafas lega kerana perjalanan yang sangat panjang pada hari kedua jelajah FTRoadpedia Sarawak bakal berakhir. Semasa perjalanan berbaki 59 km, Jalan Sri Aman-Sibu FQA berubah kepada jalan raya kembar bermula dari Bulatan Julau. Bulatan Julau sekarang sedang diubah suai untuk dijadikan persimpangan bertingkat dengan membina sebuah jejambat di atasnya.

Jajaran Sibu-Bulatan Julau yang dinaik taraf kepada lebuh raya kembar ini begitu selesa, tetapi ada beberapa bahagian yang mendap. Projek lebuh raya kembar ini berkongsi sejarah dengan pembinaan Jambatan Durin FQA1. Projek Jambatan Durin FQA1 bernilai RM95.8juta mula dibina pada tahun 1999 bagi menggantikan perkhidmatan feri melintasi Batang Rajang di Durin. Dalam skop projek, ia memang asalnya dibina sebagai jambatan jalan raya tunggal dua lorong. Namun, projek tersebut lewat siap kerana kontraktor asal gagal menyiapkan jambatan tersebut yang sepatutnya dibuka tahun 2002. Akibatnya, kerajaan persekutuan terpaksa melantik kontraktor baharu untuk menyiapkannya. Kali ini, skop projek termasuklah naik taraf jajaran FQA1 dari Bulatan Sibu sehingga ke Bulatan Julau jaripada jalan raya tinggal kepada jalan raya kembar. Memandangkan Jambatan Durin FQA1 masih belum siap lagi, maka perubahan tidak dilakukan agar tidak mengganggu skop projek sehingga boleh mengganggu kelancarannya. Sebab itulah Jambatan Durin kekal sebagai jambatan jalan raya tunggal. Jambatan Durin sepanjang 1,194 m dibuka kepada lalu lintas pada Oktober 2006, lebih lewat berbanding Jambatan Lanang yang dibuka bulan April tahun yang sama. Hanya semasa projek Lebuhraya Pan Borneo FQA1 dilancarkan oleh Datuk Seri Najib Razak barulah Jambatan Durin FQA1 dikembarkan sebagai salah satu komponen projek tersebut.

Kami tiba di pejabat tapak projek Jambatan Durin semasa sudah lewat petang. Kami dijamu dengan air kelapa muda segar sebelum dibawa ke tapak projek bagi melihat sendiri tahan kemajuan projek kembaran Jambatan Durin FQA1. Terima kasih kepada Lebuhraya Borneo Utara (LBU) dan pihak kontraktor kerana menjamu kami dengan air kelapa muda segar ini, terasa segar dan bertenaga badan ini setelah sehari suntuk di Lebuhraya Pan Borneo FQA1. Pelantar yang digunakan bagi melihat projek tersebut merupakan bekas jeti lama feri sungai Durin.

Hari sudah mulai gelap. Kami perlu bertolak sekarang ke Sibu untuk penginapan danjuga makan malam sebelum meneruskan perjalanan untuk hari terakhir. Tetapi sebelum itu, biar saya sempurnakan dahulu reviu Jalan Sri Aman-Sibu ini. Meskipun jalan dari Julau ke Bulatan Sibu sudah dinaik taraf menjadi lebuh raya kembar, tetapi hanya bermula dari Sibu Jaya barulah jalan terang-benderang dengan nyalaan lampu jalan; selebihnya, keadaan jalan gelap dan lampu isyarat hanya dipasang di persimpangan dan bulatan. Jalan Sri Aman-Sibu FQA1 berakhir di Bulatan Sibu yang sekarang dalam pembinaan sebagai Persimpangan Bertingkat Sibu. Oleh kerana projek pembinaan tersebut, lalu lintas dari Sibu dan Miri yang hendak ke Sri Aman pula dilencongkan ke jalan lencongan sementara yang bertemu dengan jajaran asal FQA1 berhampiran Lapangan Terbang Sibu. Sementara itu, pengguna jalan raya dari Miri ke Sibu perlu menggunakan Jalan Ulu Oya untuk ke pusat bandar Sibu.






Video tahap kemajuan projek di jajaran Simpang Pantu-Batang Skrang (atas) dan Batang Skrang-Sungai Awik (bawah)


Bagaimana rupanya jalan masuk ke Sibu...? Ikuti sambungannya dalam entri Jalan Masuk Sibu FQ902.









Peta laluan projek Pebuhraya Pan Borno Sarawak FQA1 dari Kuching. Dari atas ke bawah: Jajaran Kuching-Sri Aman, Sri Aman, Bintulu dan Bintulu-Miri




Rumah panjang mula banyak kelihatan selepas Simpang Bintangor, menunjukkan kami sedang memasuki kawasan majoriti Iban




Jalan FQA1 berubah menjadi lebuh raya kembar bermula dari Bulatan Tatau tatkala perjalanan berbaki 59 km




Jalan-jalan susur di pusingan U sebegini tidak seharusnya dibiarkan bersemak sehingga mengundang haiwan berbisa




Melalui Jambatan Durin FQA1 untuk melintasi Batang Rajang, sungai terpanjang di Malaysia




Panorama waktu senja di Batang Rajang yang begitu indah




Pelantar tempat kami meninjau projek kembaran Jambatan Durin FQA1 ini asalnya bekas jeti feri sungai Durin melintasi Batang Rajang




Kerja-kerja kembaran Jambatan Durin FQA1 yang sedang dilaksanakan