Sunday, February 21, 2016

Apa Kejadahnya: Jangan sampai orang Tanjung Karang mati / What The Hell: Never let the people of Tanjung Karang die



Peta jajaran Lebuhraya Pantai Barat (WCE) E32 yang mencabuli piawaian lebuh raya ekspres
(klik untuk besarkan)


Salam sejahtera,

Sejak Blog Jalan Raya Malaysia mula menulis mengenai Lebuhraya Pantai Barat (WCE) E32, saya sering mencemuh, menghentam dan membalun projek kontroversi itu sehabis-habisnya susulan pencabulan piawaian lebuh raya ekspres yang dilakukan ketika pembikinan lebuh raya tersebut. Pencabulan piawaian yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah penggunaan sebahagian jajaran Jalan Klang-Teluk Intan FT5 dan Jalan Teluk Intan-Sitiawan FT5 sebagai sebahagian laluan WCE E32. Susulan dengan itu, saya meletakkan skandal projek WCE E32 sebagai satu skandal pencabulan yang terbesar, paling teruk dan paling tidak boleh dimaafkan dalam industri lebuh raya ekspres negara. Apa tidaknya, pencabulan piawaian lebuh raya ekspres tersebut akan membahayakan nyawa penduduk tempatan serta pengguna lebuh raya itu sendiri.




Blueprint kepada bala bencana: Jajaran Jalan Klang-Teluk Intan FT5 dari Tanjung Karang ke Hutan Melintang dijadikan sebahagian laluan Lebuhraya Pantai Barat E32, sedangkan jajaran FT5 itu sudah banyak memakan korban sejak ia dinaik taraf menjadi jalan super four


Kenapa saya menentang sekeras-kerasnya akan penggunaan sebahagian FT5 sebagai antara laluan E32...? Ada beberapa sebab kenapa saya amat menentang amalan tersebut yang saya sifatkan sebagai cubaan memperkosa piawaian lebuh raya ekspres. Pertama, ia sama sekali bertentangan dengan garis panduan lebuh raya ekspres yang telah ditetapkan dalam Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads. Garis panduan tersebut sudah terang-terangan menyebut bahawa lebuh raya ekspres wajib dikenakan kawalan masuk penuh, yang bermaksud lebuh raya tersebut tidak boleh ada sebarang bentuk capaian terhadap rumah, tanah, kebun, ladang, lombong, rumah, kedai, bangunan, mahupun sebarang bentuk hartanah sekalipun. Selain itu, tidak boleh ada sebarang bentuk lintasan di sepanjang laluan lebuh raya ekspres, yang bermaksud tidak boleh ada ada persimpangan searas, lampu isyarat dan pusingan U searas. Di samping itu juga, tidak boleh ada sebegitu banyak simpang jalan kecil yang dihubungkan terus ke lebuh raya ekspres. Sebaliknya, keluar masuk lebuh raya hanyalah melalui persimpangan bertingkat berlainan aras yang diwartakan dan dihadkan bilangan persimpangannya. Lebuh raya ekspres juga selalunya dibina sebagai lebuh raya kembar untuk mengelakkan pelanggaran secara berdepan ketika memotong, meskipun masih ada sebilangan kecil lebuh raya ekspres yang dibina sebagai lebuh raya 2 lorong, seperti Lebuhraya Senai-Desaru E22 dan SKVE E26 Fasa 3. Dengan penghapusan sebegitu banyak titik konflik di atas jalan raya, pengguna lebuh raya akan berasa lebih selamat dan had laju operasi boleh ditinggikan kepada 110 km/j. Hasilnya, lebuh raya ekspres diiktiraf sebagai jenis jalan raya yang paling selamat di dunia.

Selama ini, saya sering mengecam Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi akan isu pencabulan piawaian lebuh raya dalam pembikinan E32. Saya juga turut menggesa Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato' Ir. Haji Ismail bin Md. Salleh agar menggunakan laluan batas sempadan sawah padi dengan Hutan Simpan Sungai Tengi sebagai laluan lebuh raya. Namun, baru-baru ini, saya mendapat satu berita yang dikongsikan oleh seorang pemberi maklumat yang membawa kepada pendedahan mengenai dalang sebenar di sebalik skandal pencabulan piawaian lebuh raya ekspres dalam projek WCE E32. Dalang di sebalik skandal pencabulan piawaian lebuh raya terbesar di Malaysia sekarang ini sebenarnya ialah Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar.




Noh Omar, dalang di sebalik skandal pencabulan piawaian lebuh raya ekspres dalam projek Lebuhraya Pantai Barat E32


Pendedahan yang diberikan kepada saya itu akhirnya berupaya menyingkap sisi gelap di sebalik projek penuh kontroversi itu. Rupa-rupanya, KKR dan LLM yang sebelum ini saya kecam berikutan isu pencabulan ini sebenarnya memang mahu membina WCE E32 mengikut idea saya itu. Namun, rancangan tersebut ditolak mentah-mentah oleh Noh Omar atas alasan "boleh mengakibatkan kematian bandar Tanjung Karang", satu alasan yang ternyata dangkal sama sekali. Selain itu, Noh Omar juga mengatakan kononnya rancangan oleh KKR dan LLM itu juga mengakibatkan kampung tradisional Melayu dipecah-pecahkan. Maka, Noh Omar mendakwa isu-isu tersebut kononnya akan mengakibatkan kawasan Parlimen Tanjung Karang terlepas ke tangan parti pembangkang. Justeru, Noh Omar membantah rancangan KKR dan LLM membina WCE E32 sebagai sebuah lebuh raya ekspres sejati yang benar-benar memenuhi piawaian, sebaliknya dia mendesak KKR dan LLM agar menjadikan sebahagian Jalan Klang-Teluk Intan FT5 dari Tanjung Karang sehingga ke Hutan Melintang sebagai sebahagian laluan WCE E32 - satu idea yang jelas menunjukkan kebebalannya dalam bidang kejuruteraan jalan raya dan keselamatan pengguna jalan raya.

Semasa saya memperoleh berita tersebut, saya berasa teramat marah. Saya berasa teramat marah kerana wakil rakyat berotak udang dan jahil akan bidang kejuruteraan jalan raya itu lebih mementingkan nyawa pekan sendiri daripada nyawa para penduduk kampung di sepanjang Jalan Klang-Teluk Intan FT5. Sebab itulah saya hilang rasa hormat terhadapnya kerana sikap degil dan bodoh sombongnya itu menunjukkan bahawa dia langsung tidak hormat akan nyawa penduduk tempatan serta pengguna lebuh raya, dan ia dizahirkan apabila saya hanya menggunakan gelaran "Datuk Seri" dalam namanya sekali sahaja. Sikap bodoh sombongnya yang langsung tidak mempedulikan nasihat Dato' Ir. Haji Ismail itu jelas menunjukkan bahawa Noh Omar tidak kisah kalau ramai orang-orang Tanjung Karang, Sekinchan, Sungai Besar dan Sabak Bernam mati bergelimpangan setiap hari di sepanjang jajaran FT5 yang bakal dijadikan sebahagian lebuh raya E32, asalkan popularitinya dan karier politiknya sebagai Ahli Parlimen Tanjung Karang tidak terancam. Dengan kata lain, bantahan Noh Omar terhadap cadangan KKR dan LLM membina WCE E32 sebagai lebuh raya capaian terkawal sejati serta gesaannya untuk mencabul piawaian lebuh raya ekspres dengan menggunakan FT5 sebagai sebahagian laluan E32 tidak lain dan tidak bukan hanya bermotifkan politik semata-mata.

Kepada Noh Omar, tahukah anda berapa ramai orang yang mati di sepanjang Jalan Klang-Teluk Intan FT5 sahaja setiap tahun sehingga menjadikan jalan tersebut terkenal sebagai jalan raya yang paling banyak menyembelih nyawa pengguna jalan raya di Selangor...? Pernahkah anda merujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam sebelum mengeluarkan gesaan dangkal anda itu...? Apakah nyawa pekan Tanjung Karang jauh lebih berharga berbanding nyawa penduduk kampung serta pengguna jalan raya...? Sedarkah anda berapa ramai anak-anak yang menjadi yatim piatu, isteri-isteri yang menjanda dan suami-suami yang menduda akibat nahas jalan raya di Jalan Klang-Teluk Intan FT5...? Sedarkan anda berapa ramai anak-anak muda yang tewas di jalan tersebut dalam perjalanan menimba ilmu...? Sedarkah anda berapa ramai bapa-bapa dan ibu-ibu yang kecundang di tengah jalan tersebut dalam perjalanan mencari rezeki...?

Jika Noh Omar mendakwa rancangan LLM untuk tidak melalui pekan Tanjung Karang boleh mengakibatkan "kematian" pekan itu, biar saya tarbiahkannya "kaw-kaw". Lebuh raya ekspres capaian terkawal memang menghalang sebarang capaian terhadap premis hartanah sama ada secara langsung ataupun tidak, melalui pemasangan pagar di sepanjang jajaran; satu-satunya jalan untuk ke rumah penduduk tempatan melalui lebuh raya ekspres adalah dengan keluar ke jalan arteri melalui persimpangan bertingkat yang dihadkan bilangannya. Tujuannya ialah untuk mengurangkan bilangan titik konflik seminimum mungkin. Dengan kata lain, lebuh raya ekspres capaian terkawal sejati memang akan membelah sesebuah kampung, taman perumahan atau kejiranan kepada dua bahagian sehingga terpisah sepenuhnya. Itulah bayarannya jika mahukan lebuh raya berkelajuan tinggi yang selamat untuk semua - anda tidak boleh masuk terus ke rumah anda dari lebuh raya ekspres walaupun tumah anda betul-betul di sebelah lebuh raya ekspres, tetapi ia jauh lebih baik daripada mati katak di lebuh raya hanya semata-mata untuk ke kampung sebelah.

Kenapa lebih ramai orang akan mati sekiranya jajaran Jalan Klang-Teluk Intan FT5 dari Tanjung Karang ke Hutan Melintang dijadikan sebahagian jajaran Lebuhraya Pantai Barat E32...? Cuba bayangkan, orang-orang kampung di sepanjang laluan kebanyakannya menaiki motosikal kapcai dan menunggang perlahan (sekitar 40 km/j) di jalan tersebut, dan kebanyakannya tidak memakai topi keledar. Sementara itu pula, pengguna jalan raya di sepanjang FT5 itu pula rata-ratanya memandu laju di jalan tersebut. Had laju di jalan tersebut hanyalah 90 km/j seperti mana di jalan-jalan persekutuan biasa, tetapi disebabkan jalan tersebut merupakan jalan super four, ramai yang memecut laju sehingga 90 bsj (batu sejam) atau mungkin lebih. Akibatnya, setiap kali penduduk tempatan hendak menggunakan jalan tersebut adalah ibarat bermain rolet Rusia, kerana beza kelajuan yang sebegitu besar sudah tentulah menghasilkan nahas jalan raya yang sangat mengerikan. Jika jalan FT5 dijadikan sebahagian E32, maka bilangan nahas, angka korban serta tahap kedahsyatan nahas sudah tentulah akan meningkat berlipat kali ganda. Maka, tidak hairanlah kenapa admin laman Facebook Jabatan Kerja Raya (JKR) sendiri pun menentang idea penggunaan jalan FT5 sebagai sebahagian E32, kerana sudah ramai di kalangan orang-orang kampungnya sendiri yang menjadi mangsa. Justeru, jika anda mahu menggesa Jalan Klang-Teluk Intan FT5 dijadikan sebahagian laluan lebuh raya E32, saya cabar agar anda menyuruh pihak berkuasa tempatan (PBT) memacakkan papan tanda had laju 110 km/j di jalan masuk ke rumah anda sendiri dan memanggil mat-mat rempit mahupun kaki lumba haram kereta memecut di situ. Saya jamin, kalau bukan mereka yang mati, anda yang hendak keluar masuk ke rumah sendiri pun pasti akan mati akibat dilanggar oleh mereka.








Pemandangan seperti ini pasti akan lebih kerap menghiasi lanskap pemandangan di Tanjung Karang (atas), Sekinchan (tengah) dan Sabak Bernam (bawah) sekiranya Noh Omar masih berdegil dan tetap mahu WCE E32 dibina sebagai naik taraf sebahagian jajaran Jalan Klang-Teluk Intan FT5


Sekarang sudah nampak kenapa WCE E32 sepatutnya dibina sebagai lebuh raya ekspres tanpa sebarang capaian terhadap rumah-rumah, kedai-kedai, kebun-kebun, bangunan-bangunan serta mana-mana premis hartanah...? Masih tak nampak lagi...? Apakah nyawa anda ada sembilan kesemuanya...? Jika anda tetap berkeras mahu KKR dan LLM ikut cakap anda dan mencabuli piawaian lebuh raya ekspres, saya ingin mengajak penduduk kampung di Tanjung Karang serta pengguna WCE E32 untuk memfailkan tuntutan mahkamah sekiranya kami ataupun ahli keluarga kami mengalami kecederaan atau kematian di jajaran FT5 yang dijadikan sebahagian E32, ada berani...?

Sekiranya Noh Omar mendakwa kononnya cadangan KKR dan LLM membina laluan yang memintas pekan Tanjung Karang boleh mengakibatkan kematian pekan itu, ya memang pun itu risikonya. Sebenarnya sepanjang sejarah Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 serta Lebuhraya Pantai Timur E8, memang ada banyak bandar dan pekan yang diragut nyawanya oleh kedua-dua lebuh raya tersebut. Bandar Segamat, pekan Batu Anam, pekan Beranang dan pekan Kampar adalah antara bandar-bandar dan pekan-pekan yang diragut nyawanya akibat pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Malah, pekan Ayer Hitam juga nyaris-nyaris diragut nyawanya akibat pembukaan E2 sehinggalah kerajaan mengambil inisiatif membangunkannya. Pembinaan LPT1 E8 telah mengakibat kematian bandar Maran, sementara LPT2 E8 pula telah membunuh nadi ekonomi Ajil, Bukit Besi, Bandar Al-Muktafi Billah Shah dan Bandar Cheneh Baru setelah kadar aliran trafik Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 turun mendadak sehingga 80%. Itulah harga yang terpaksa dibayar untuk meperoleh lebuh raya ekspres yang lebih selamat dan lebih selesa. Jadi apa patut dibuat sekiranya mahu orang ramai datang ke Tanjung Karang...? Berusahalah untuk membangunkan dan mempromosikannya, jangan jadi malas...!!! Tanjung Karang, Sekinchan, Sungai Besar dan Sabak Bernam merupakan pekan penanaman padi serta perikanan, jadi eksploitasikanlah kedua-dua sumber ekonomi tersebut bagi supaya keempat-empat pekan tersebut boleh dieksploitasikan sebagai lokasi pelancongan yang berpotensi. Hiasi papan tanda keluar dari lebuh raya dengan sebegitu cantik dan menarik. Promosikan keempat-empat pekan tersebut sebagai lokasi pelancongan secara agresif. Noh Omar, adakah anda fikir bandar-bandar yang sebegitu makmur di sepanjang E1, E2 dan E8 itu maju dengan sendirinya...? Tidak, kesemua bandar tersebut maju hasil inisiatif kerajaan dan rakyat sendiri untuk memajukannya, bukannya datang secara bergolek.












Kedegilan Noh Omar hanya akan menyebabkan Lebuhraya Pantai Barat E32 menjadi seperti Lebuhraya Yangon-Mandalay - pencabulan piawaian lebuh raya seperti tidak memasang pagar (gambar paling atas), membiarkan warung-warung dibuka sewenang-wenangnya di tepi lebuh raya (gambar kedua atas) dan membiarkan simpang-simpang jalan kecil tanpa kawalan (gambar kedua bawah) hanya akan mengundang kepada lebih banyak nahas ngeri (gambar paling bawah)


Kesimpulannya, kepada Noh Omar, cukup-cukuplah hendak mendesak KKR dan LLM untuk mencabuli piawaian lebuh raya ekspres hanya untuk mengharapkan sokongan penduduk Tanjung Karang demi kelangsungan karier politik anda semata-mata. Cukup-cukuplah memperbodohkan orang-orang Tanjung Karang dengan dakyah kononnya pembinaan WCE E32 sebagai laluan baharu yang memintas pekan Tanjung Karang boleh mengakibatkan kematian pekan itu sendiri. Jangan fikir mereka orang kampung bermakna mereka boleh diperbodohkan dengan begitu mudah. Mereka masih boleh merujuk kepada sumber internet termasuklah Wikipedia dan Blog Jalan Raya Malaysia. Duit boleh dicari, sumber ekonomi Tanjung Karang boleh dipelbagaikan, tetapi nyawa penduduk tiada galang gantinya sama sekali. Jangan sampai orang Tanjung Karang mati. Jangan sampai lanskap sawah padi di sepanjang laluan Tanjung Karang-Sabak Bernam digantikan dengan lanskap tanah perkuburan. Kepada orang-orang Tanjung Karang, Sekinchan, Sungai Besar, Sabak Bernam, Hutan Melintang dan Lekir, saya ingin menyeru kepada anda untuk menyebarkan entri ini dan bersama-sama saya untuk bangkit menentang sebarang cubaan untuk mencabuli piawaian lebuh raya ekspres ini, kerana nilai nyawa anda semua jauh lebih berharga daripada karier ahli-ahli politik semata-mata.

23 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Fuh. Membekas tepat ke jiwa. Jom bertindak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Esok pagi kita ke Dewan Dato' Hormat di Tanjung Karang. Majlis briefing akan dimulakan jam 10.30 pagi. Di situ nanti kita boleh membantah sebarang cubaan mencabuli piawaian lebuh raya ekspres sehingga boleh menggadaikan nyawa penduduk kampung dan pengguna jalan raya.

      Delete
    2. saya cadangkan DS noh omar untuk mintak peruntukan kerajaan persekutuan untuk membina extra expressway yang link diantara wce dan tanjung karang. lihat seperti butterworth kulim expressway dimana kulim kedah sudah maju. jadi insya Allah tanjung karang lebih maju dan lebih selamat untuk dikunjungi

      Delete
    3. Itu pun dengan syarat isu berbangkit dapat diselesaikan.

      Delete
  3. Fuh. Membekas tepat ke jiwa. Jom bertindak.

    ReplyDelete
  4. Replies
    1. Saya sudah pun sedia maklum mengenainya hasil maklumat yang diberikan oleh penduduk tempatan semasa di Dewan Dato' Hormat tadi.

      Delete
    2. ds seri omar dia rasa ikut idea central spine road yg menghubungkan raub dengan kota bharu

      Delete
    3. Central Spine Road itu sememangnya bukan lebuh raya ekspres.

      Delete
  5. Sgt setuju dgn komentar penulis. Jln ni sejak jd 4 lanes mmg bnyk mkn korban. Bnyk lori besar ulang alik port klang - port lumut

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setul tu. Sebab itulah kita membantah penggunaan jajaran FT5 sebagai laluan WCE E32.

      Delete
  6. Bina d laut ..100 meter dr tpi pantai ler...takde ambek alih hartatnah rkyt..mcam d jepun...lurus laju,,trus masuk laut..kos bina mahal sikit tpi saraan baiki lbih jimat.unsebab highway tak mendap..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Masalah utamanya ialah kos pembinaannya bukan mahal sikit tapi mahal amat. Tempoh pembinaan pun lebih lama.

      Delete
  7. Bina d laut ..100 meter dr tpi pantai ler...takde ambek alih hartatnah rkyt..mcam d jepun...lurus laju,,trus masuk laut..kos bina mahal sikit tpi saraan baiki lbih jimat.unsebab highway tak mendap..

    ReplyDelete
  8. Bina elevated di kawasan tg karang bersempadan dgn hutan simpan raja musa

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya tidak rasa ada keperluan untuk membina jajaran tersebut secara bertingkat sebagaimana di Jalan Pintasan Rawang jika laluan sempadan hutan simpan tersebut dipilih, kerana memang tiada penduduk di situ. Jika dibandingkan dengan Rawang, memang itu sahaja penyelesaian paling sesuai disebabkan penduduk Rawang yang ramai. Bina secara searas (at grade) di luar sempadan hutan simpan Sungai Tengi sudah cukup bagus kerana kos membina secara bertingkat lebih mahal. Namun, kalau laluan searas pun syarikat konsesi memberikan alasan mahal, apatah lagi kalau dibina bertingkat.

      Delete
  9. Apa statusnya sekarang? Dengar khabar pihak konsesi kembali semula ke alignment asal tanpa masuk FT005.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mereka masih menggunakan jalan FT5 di pautan putus tersebut.

      Delete
    2. bukankah suara penduduk telah diambil kira pada bulan febuari terdahulu? adakah masih ada harapan jalan raya ini akan dibina tanpa menggunakan alignment sediaada ft5.. ?

      Delete
    3. Sepatutnya begitulah. Namun, suara mereka seolah-olah diketepikan oleh kerajaan negeri Selangor atas alasan dangkal iaitu kerana boleh menyebabkan pencemaran air terhadap ban canal. Selanjutnya, saya akan tulis dalam episod ketiga siri reviu FTRoadpedia.

      Delete