Wednesday, May 9, 2012

Apa Kejadahnya: SDE E22 berlubang-lubang / What The Hell: Potholes at SDE E22

Salam sejahtera,

Kali ini, Blog Jalan Raya akan memulakan satu segmen baru yang dikenali sebagai Apa Kejadahnya, yang memaparkan skandal dan kesalahan memalukan yang tidak sepatutnya berlaku dalam industri jalan raya negara.

Saya mulakan skandal pertama kali ini dengan laporan seorang pengguna prihatin di laman Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia mengenai keadaan lebuh raya yang berlubang teruk pada jajaran lebuh raya tunggal dua lorong di Lebuhraya Senai-Desaru E22, meskipun tidak sampai setahun dibuka kepada lalu lintas.











Keadaan Lebuhraya Senai-Desaru E22 yang berlubang teruk (Sumber: Lembaga Lebuhraya Malaysia)





Hasil kajian saya, saya dapati ada 2 punca utama mengapa lebuh raya tersebut boleh berlubang dengan begitu teruk:-
  1. Turapan dilakukan pada waktu hujan - Waktu paling sesuai untuk melakukan turapan ialah semasa cuaca cerah kerana ia membolehkan tar pada campuran Dense Bitumonous Macadam (DBM) yang digunakan untuk turapan kering dengan sempurna, membolehkan tar melekat dengan baik pada agregat batu-batu halus. Jika turapan dilakukan pada waktu hujan, air hujan akan menyebarkan minyak tar yang cair dan masih belum kering itu keluar dari jalan, menyebabkan tar tidak melekat dengan baik dan seterusnya menjejaskan kekuatan turapan.
  2. Turapan tidak cukup tebal - Saya telah membuat kajian bagi faktor kedua ini dan menemui satu laporan yang sungguh memeranjatkan. Laporan oleh Malaysiakini mendedahkan hasil laporan audit 2010 menunjukkan bahawa Lebuhraya Senai-Desaru E22 sebenarnya sudah gagal ujian jalan, berikutan turapan yang bermutu rendah dan tidak cukup tebal. Ketebalan minima yang telah ditetapkan dalam kontrak pembinaan lebuh raya ini ialah 95 mm, manakala ketebalan yang dinyatakan dalam spesifikasi Approved Detail Design ialah 100 mm. Namun, Laporan Audit Negara 2010 mendapati ketebalan sebenar turapan E22 sebenarnya jauh lebih rendah daripada spesifikasi dibenarkan, di mana ujian di beberapa titik rawak sepanjang lebuh raya ialah 79 mm, 81 mm dan 89 mm, dan turapan ternipis yang dicatatkan ialah 72 mm. Jika turapan senipis kulit bawang ini digunakan bagi sebuah lebuh raya, sudah tentulah ia tidak dapat menampung aliran trafik yang tinggi, lebih-lebih lagi jika ia digunakan oleh kenderaan berat.

Gabungan kedua-dua faktor utama ini telah menyebabkan E22 cepat berlubang, malah ada kalanya lubang yang terhasil itu sangat besar dan berbahaya kepada pengguna. Malah, faktor cuaca dijadikan alasan bagi kelewatan kerja pembinaan serta kualiti turapan yang rendah.

Jika keadaan ini berterusan, bagaimana pula keadaan E22 dalam masa 5 tahun jika ia digunakan oleh lori-lori berat ke Pasir Gudang sebagai alternatif kepada Lebuhraya Pasir Gudang FT17? Adakah pengguna membayar tol yang mahal untuk menikmati perjalanan seakan jalan estet yang berlubang di sana sini? Pihak Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) sepatutnya lebih serius dalam menangani isu kualiti turapan ini kerana ia menjejaskan reputasi sistem jalan raya negara.

Nampaknya lebuh raya E22 secara keseluruhannya perlu diturap semula dengan turapan yang lebih tebal, bukannya sekadar mengikis turapan lama dan menggantikannya dengan turapan yang sama nipis seperti kulit bawang. Turapan lebuh raya sepatutnya bertahan selama sekurang-kurangnya 5 tahun sebelum ia perlu diturap semula. Sekiranya turapan sempurna dan berkualiti tinggi mengikut spesifikasi dilakukan dari awal lagi, sudah tentu turapan semula tidak diperlukan kecuali selepas 5 tahun.

2 comments:

  1. kecewa... 1st time lalu jalan e22, dari air tawar 1 ke batu pahat, hiway 1 lorong sepanjang lebih kurang 30km tapi bayar tol utk 1st class hiway... kecewa... lebih baik ikut jln biasa...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pembetulan... yang sebetulnya ialah lebuh raya 2 lorong, bukan 1 lorong. Jika selorong, ia samalah seperti jalan kampung yang cuma selebar sebuah kereta sahaja. Sila rujuk entri ini bagi penerangan kesalahan penggunaan bilangan lorong, harap maklum.

      Mengenai isu lebuh raya cuma 2 lorong, ia sebenarnya bukanlah menjadi satu masalah. Untuk pengetahuan saudara, sebenarnya ada banyak negara yang membina lebuh raya 2 lorong, contoh paling ketara ialah di Jepun dan Switzerland. Di Jepun misalnya, Lebuhraya Hokkaido yang merupakan salah satu lebuh raya tulang belakang utama dibina sebahagian besarnya cuma lebuh raya 2 lorong dengan had laju 70 km/j. Untuk pengetahuan saudara, Lebuhraya Karak E8 / FT2 itu sendiri asalnya lebuh raya 2 lorong sahaja.

      Jadi kesimpulannya di sini ialah bilangan lorong bukanlah penentu status lebuh raya ekspres, sebaliknya kawalan masuk jalan itulah penentu sebenar.

      Delete