Monday, May 28, 2012

Majlis pecah tanah Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai / Kota Bharu-Kuala Krai Expressway ground-breaking ceremony


Upacara pecah tanah oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Azik Nik Mat


Salam sejahtera,

Sebelum ini Blog Jalan Raya Malaysia pernah melaporkan mengenai projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, di mana kerajaan negeri Kelantan terpaksa membina sendiri lebuh raya tersebut setelah tidak mendapat kerjasama daripada kerajaan pusat. Seperti dijanjikan, hari ini berlangsungnya majlis pecah tanah bagi menandakan bermulanya projek lebuh raya tersebut.

Sebaik saja majlis pecah tanah dilaksanakan, maka pembinaan Pakej 1 dari Kuala Krai ke Machang bermula. jajaran tersebut dipilih untuk dibina dahulu kerana majoriti jajaran berkenaan hanya melalui tanah milik kerajaan negeri, maka tiada prosedur serta kos pengambilalihan tanah yang leceh diperlukan.





Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai secara amnya dibina sebagai lebuh raya ekspres kembar empat lorong dengan kawalan masuk penuh serta selari dengan Jalan Persekutuan 8 dan bukannya sekadar melebarkan jalan FT8 sedia ada. Terdapat 9 persimpangan bertingkat bakal dibina di sepanjang laluan ini:-
  1. Persimpangan Dusun Damar (laluan FT8)
  2. Persimpangan Keroh (FT8)
  3. Persimpangan Bukit Bakar (FT8)
  4. Persimpangan Bukit Tiu (FT4)
  5. Persimpangan Kok Lanas (D136)
  6. Persimpangan Ketereh (D14)
  7. Persimpangan Kadok (D126)
  8. Persimpangan Pasir Hor (D3)
  9. Persimpangan Kota Bharu (FT3 dan FT8)

Pakej 1 bermula dari Persimpangan Dusun Damar (Kuala Krai) ke Persimpangan Bukit Tiu (Machang). Sementara itu, jajaran Bukit Hor-Kota Bharu adalah jajaran bertingkat yang akan dibina di atas Jalan Persekutuan 8 sedia ada sehingga ke persimpangan Kota Bharu. Jajaran tersebut dijadikan jajaran terakhir berikutan kosnya yang tinggi. Tempoh pembinaan dijadualkan selama 2 tahun 6 bulan setelah mengambil kira musim tengkujuh.

Untuk menonton video upacara pecah tanah lebuh raya tersebut, sila klik sini.

Sumber berita: Blog PASPB

No comments:

Post a Comment