Thursday, September 27, 2012

Apa Kejadahnya: Melanggar lampu merah - Buta mata atau hati? / What The Hell: Hitting the red lights - Blind at the eyes or heart?



Salam sejahtera,

Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mula dijalankan pada hari Ahad lalu (23 September 2012), dan dalam masa 2 hari sahaja sudah lebih 2,900 kenderaan diambil gambarnya secara automatik melalui sistem ini, majoritinya atas kesalahan melanggar lampu merah. Bilangan saman perangkap laju AES pula hanya sekitar 817 sahaja, berikutan peningkatan kesedaran untuk mematuhi had laju oleh para pengguna jalan raya. Sejak rencana mengenai AES mula disiarkan bulan lalu, ramai di kalangan warga siber yang membaca rencana tersebut sebagai persediaan awal menghadapi AES yang menjanjikan surat saman dalam masa 5 hari kepada para pesalah.

Kenapa pula sebegitu ramai pesalah melanggar lampu merah? Sebenarnya, pesalah langgar lampu merah ini boleh dibahagikan kepada 2 golongan. Golongan pertama ialah golongan yang melanggar lampu merah secara tidak sedar atau tidak sengaja. Mereka ini sama juga seperti golongan biasa yang mematuhi warna lampu isyarat. Cuma yang menjadikan mereka melanggar lampu merah ialah kerana kelemahan persepsi lampu kuning. Untuk pengetahuan anda, lampu kuning bukan bermaksud boleh jalan. Jika lampu kuning sudah menyala dari jauh, anda memang patut berhenti terus kerana jika anda tetap cuba melepasi persimpangan tersebut, lampu akan bertukar merah sebelum anda sempat melepasi persimpangan itu. Anda hanya boleh jalan semasa lampu kuning jika lampu bertukar kuning dan dalam masa yang sama pula anda sudah terlalu hampir dengan persimpangan dan sebarang cubaan untuk anda berhenti boleh mengakibatkan kemalangan akibat brek mengejut. Selang masa bagi lampu kuning selalunya sekitar 2-3 saat sebelum bertukar merah. Secara amnya golongan sebegini boleh dimaafkan berikutan kelemahan persepsi manusia, tetapi saman tetap saman untuk mendidik pengguna jalan raya agar berhenti apabila lampu kuning, bukan berlumba-lumba melepasi simpang semasa lampu kuning.

Golongan kedua pula tidak boleh dimaafkan sama sekali kerana mereka ini terdiri daripada pemandu bebal yang dikurniakan mata yang cukup sempurna tetapi tetap sengaja melanggar lampu merah. Adakah golongan kedua ini terdiri daripada spesies-spesies buta warna yang sepatutnya tidak layak memohon lesen memandu tetapi entah bagaimana boleh berjaya mendapat "lesen kopi O"? Kalau mereka celik warna pun, adakah mereka ini sebenarnya buta hati sehinggakan tak kisah kalau nyawa melayang kerana melanggar lampu merah? Untuk pengetahuan anda semua, lembu yang sering dianggap "boleh naik darah jika ternampak warna merah" seperti yang dimomokkan dalam sukan matador Sepanyol sebenarnya buta warna dan hanya boleh mengenal warna hitam, putih dan kelabu sahaja. Mata manusia sebenarnya berupaya membezakan lebih 10 juta warna, tetapi kenapa masih ada jenis manusia yang diberikan mata yang cukup sempurna tetapi menjadi buta warna semasa di persimpangan lampu isyarat? Harus diingat, jika berlaku kemalangan di persimpangan lampu isyarat, golongan yang melanggar lampu merah itulah pesalah utama yang paling dahulu dipersalahkan sebagai punca kemalangan.

Kesimpulannya, kesedaran pemandu Malaysia supaya mematuhi warna lampu isyarat masih lagi rendah. Malah, budak-budak tadika sendiri pun jauh lebih cerdik daripada pemandu-pemandu "sengal" yang dikurniakan dua biji mata yang sempurna tetapi masih tidak serik-serik sengaja melanggar lampu merah. Apa pun, pemandu patut bersedia untuk berhenti semasa lampu sudah bertukar kuning; anda hanya boleh terus jalan semasa lampu kuning jika anda terlalu hampir dengan simpang tersebut sehinggakan kemalangan boleh berlaku jika anda berhenti mengejut. Kalau lampu sudah merah, berhenti sajalah tanpa banyak soal. Bukannya lama sangat pun. Kalau terpaksa tunggu lama kerana kesesakan jalan raya, sabar sajalah. Orang lain pun nak cepat juga, jadi janganlah pentingkan diri saja. Lampu isyarat direka supaya memberikan masa mencukupi bagi setiap cabang untuk melepasi simpang secara adil. Oleh itu, patuhilah warna lampu isyarat demi mengelakkan tragedi kemalangan yang sepatutnya boleh dicegah dengan begitu mudah.

5 comments:

  1. terus terang saya melanggar lampu isyarat di kawsan rumah saya apabila menggunakan motor...tapi kalau ngan kereta tak pernah buat

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cikgu Musi, anda sepatutnya tahu akibat melanggar lampu merah walaupun semasa jalan lengang. Untuk pengetahuan anda, hampir kesemua kemalangan yang berlaku di simpang jalan berpunca sama ada melanggar lampu merah ataupun tidak mematuhi aturan hak keutamaan jalan di simpang. Hanya dua keadaan sahaja yang mengizinkan anda melanggar lampu merah, iaitu semasa kehadiran polis trafik mengawal lalu lintas, ataupun semasa hendak memberi laluan kepada kenderaan kecemasan yang membunyikan siren (kereta polis, ambulans dan kereta bomba).

      Delete
    2. adoi, aku pon x berani buat camtu

      Delete
  2. ramai orang langgar lampu merah terutama klu lampu isyarat rosak timing dia, 2 minit hijau, 15 minit merah..nk tunggu lama, langgar, salah..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Laporkan sebarang kerosakan lampu isyarat kepada pihak yang bertanggungjawab dengan segera. Kebanyakan lampu isyarat adalah dalam tanggung jawab pihak berkuasa tempatan (PBT), kalau tak pun JKR atau syarikat konsesi lebuh raya (jika di persimpangan lebuh raya ekspres). Pastikan anda menyimpan salinan original laporan anda tersebut, kerana jika anda disaman merana melanggar lampu merah di persimpangan lampu isyarat yang bermasalah, anda boleh mengenepikan saman tersebut dengan menunjukkan salinan laporan anda kepada hakim majistret.

      Delete