Wednesday, October 3, 2012

Kawalan masuk jalan raya serta hirarki jalan / Road access control and hierarchy

Salam sejahtera,

Seperti yang telah saya janjikan sebelum ini, saya akan menerangkan sedikit-sebanyak mengenai kawalan masuk jalan raya serta hirarki jalan raya dalam entri kali ini. Dalam bidang kejuruteraan jalan raya, pengetahuan asas mengenai asas kawalan masuk serta hirarki jalan adalah sangat penting bagi mengelakkan kecelaruan trafik yang disebabkan oleh kegagalan yang berpunca daripada peringkat perancangan lagi, sebagaimana yang sering berlaku terutamanya di Lembah Klang.

Kita mulakan dengan kawalan masuk jalan raya. Kawalan masuk jalan raya adalah penting bagi memastikan kelancaran aliran trafik yang dijejaskan oleh capaian terhadap rumah, premis kediaman, ladang, dan premis-premis atau hartanah lain. Jalan masuk ke premis-premis atau hartanah dikatakan tiada kawalan masuk kerana pengguna jalan raya boleh memasuki terus ke premis berkenaan tanpa sebarang perantaraan. Namun, jalan sebegini mempunyai had laju yang rendah kerana jika had laju dikenakan terlalu tinggi, maka pemandu yang hendak masuk ke premis tersebut akan berdepan dengan risiko perlanggaran. Anda boleh bayangkan bagaimana penghuni rumah teres yang berkereta hendak memasuki rumahnya dan memparkir keretanya. Penghuni tersebut perlu memberhentikan keretanya dahulu sebelum membuka pintu pagar dan seterusnya memparkir keretanya. Kereta lain di jalan tersebut mestilah memandu dengan perlahan supaya dapat berhenti dengan selamat apabila nampak tuan rumah tersebut hendak memasuki rumah dan memparkir keretanya. Situasi yang sama sudah pun saya terangkan dalam rencana mengenai jalan kampung.

Bagi lebuh raya ekspres pula, keupayaan untuk memandu dengan lancar pada kelajuan tinggi diutamakan. Untuk membolehkan pemandu memandu pada kelajuan tinggi dengan selamat, akses terhadap sebarang premis atau hartanah tidak dibenarkan sama sekali, melalui pemasangan pagar di sepanjang lebuh raya. Sebarang lintasan dengan jalan-jalan lain tidak dibenarkan. Sebaliknya, jejambat dibina bagi mengasingkan aras trafik supaya tidak berlaku sebarang konflik. Bilangan simpang dihadkan dan jika ada, ia hanya boleh dibina sebagai persimpangan bertingkat dengan pengasingan aras yang diwartakan. Persimpangan bertingkat yang dibina pun hanya boleh menghubungkan lebuh raya ekspres dengan jalan arteri / utama ataupun lebuh raya ekspres lain sahaja. Bagi kebanyakan negara, jarak minimum antara dua persimpangan bertingkat juga ditetapkan. Untuk mengelakkan konflik akibat lintasan semasa memotong, lebuh raya ekspres selalunya dibina sebagai lebuh raya kembar dengan sekurang-kurangnya empat lorong (dua bagi setiap arah). Namun, ada sesetengah lebuh raya ekspres yang dibina dua lorong sahaja tetapi mengekalkan hampir kesemua kriteria kawalan masuk penuh kecuali ia dibina sebagai lebuh raya tunggal dan bukannya lebuh raya kembar.

Bagaimana pula dengan jalan raya utama biasa? Jalan raya utama biasa mempunyai kawalan masuk separa. Ia bermaksud akses terhadap sebarang premis atau hartanah secara terus tidak dibenarkan, sebaliknya ia mestilah melalui jalan perantara iaitu jalan sekunder atau pengumpul, ataupun jalan tempatan (jalan kampung atau jalan perumahan). Dengan itu, had laju operasi di jalan raya utama biasa adalah sederhana laju iaitu sehingga maksimum 90 km/j.

Lazimnya, jalan yang mempunyai darjah kawalah masuk yang lebih tinggi dikatakan mempunyai piawaian geometri tinggi, manakala jalan yang tiada kawalan masuk dikatakan mempunyai piawaian geometri yang rendah. Berikut adalah jadual bagi hirarki jalan raya mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) serta kawalan masuk jalan:-

Piawaian
Had laju rekabentuk (km/j)
Lebar lorong minima (m)
Kawalan masuk
Aplikasi
R6
120
3.5
Penuh
Primer
Lebuh raya ekspres
R5
100
3.5
Separa
Kelas I / II
Jalan super two, lebuh raya kembar, lebuh raya capaian separa, jalan raya utama
R4
90
3.25
Separa
Kelas III
Jalan raya utama / sekunder
R3
70
3.0
Separa
-
Jalan raya sekunder
R2
60
2.75
Tiada
-
Jalan raya tempatan
(Nota: Piawaian JKR R2 ialah piawaian paling rendah bagi jalan raya dua lorong)
R1
40
(5.0) *
Tiada
-
Jalan kampung / estet
R1a
40
(4.5) *
Tiada
-
Jalan masuk kuari / lombong / kawasan larangan
Hirarki jalan raya luar bandar

Piawaian
Had laju rekabentuk (km/j)
Lebar lorong minima (m)
Kawalan masuk
Aplikasi
U6
100
3.5
Penuh
Primer
Lebuh raya ekspres
U5
80
3.5
Separa
Kelas I / II
Jalan raya arteri / lebuh raya capaian terhad
U4
70
3.25
Separa
Kelas III
Jalan raya arteri / pengumpul
U3
60
3.0
Separa
-
Jalan raya pengumpul / tempatan
U2
50
2.75
Tiada
-
Jalan raya tempatan
(Nota: Piawaian JKR U2 ialah piawaian paling rendah bagi jalan raya dua lorong)
U1
40
(5.0) *
Tiada
-
Jalan raya tempatan
R1a
40
(4.5) *
Tiada
-
Jalan masuk kawasan perumahan kos rendah
Hirarki jalan raya bandar



Untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai kawalan masuk jalan raya ini, anda boleh perhatikan gambar di atas. Terdapat dua lebuh raya ekspres yang bersilang dan dihubungkan bersama oleh persimpangan bertingkat dengan pengasingan aras. Lebuh raya tersebut tidak dihubungkan terus kepada mana-mana rumah kediaman atau premis lain. Sebaliknya, lebuh raya yang mengufuk dihubungkan kepada satu jalan raya arteri di bahagian bawah gambar. Terdapat banyak persimpangan di sepanjang jalan arteri tersebut yang menghubungkannya dengan jalan-jalan perantara (jalan pengumpul / tempatan) sebagai perantara untuk ke premis-premis.



Ini pula ialah contoh lebuh raya ekspres di Malaysia yang tidak mematuhi keperluan kawalan masuk penuh sebagai kriteria utama sesebuah lebuh raya ekspres. Di Lebuhraya Sprint E23 (Jalan Semantan) ini, masih terdapat beberapa persimpangan jalan kecil ke premis-premis, yang tidak boleh wujud sama sekali pada sesebuah lebuh raya ekspres. Kegagalan mematuhi keperluan kawalan masuk penuh inilah salah satu punca utama kenapa banyak "lebuh raya" yang bukan sahaja gagal menangani kesesakan, malah menjadikan kesesakan menjadi semakin teruk akibat percampuran lalu lintas tempatan dengan lalu lintas luar. Ia benar terutamanya di beberapa "lebuh raya ekspres" yang dibina sekadar mengambil jalan-jalan arteri sedia ada seperti Lebuhraya Damansara-Puchong E11. Malangnya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) langsung tidak mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat konsesi yang gagal memastikan lebuh raya yang dibina memenuhi keperluan kawalan masuk penuh.

2 comments:

  1. Kan SPRINT dengan LDP kan ambil jalan biasa dan upgradekannya menjadi EXPRESSWAY. Memangla tak boleh nak buang LILO tu.( Left in/Left out) Nanti orang marah pulak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak boleh sebegitu sama sekali. Apa yang dilakukan oleh Sprint dan LDP menyalahi etika kejuruteraan jalan raya sama sekali kerana telah mencabuli hirarki jalan raya. Anda kena ingat bahawa setiap persimpangan termasuklah LILO adalah titik konflik yang wajib dikawal dan diminimakan dalam sesebuah lebuh raya ekspres. Jika dibiarkan, maka akibatnya ialah kesesakan yang lebih teruk kerana titik-titik konflik yang diwujudkan oleh persimpangan akan memperlahankan kadar aliran trafik dan menjadikannya bercelaru.Lagipun, jalan-jalan arteri yang diambil oleh Sprint dan LDP tidak direka untuk menampung kadar aliran trafik yang tinggi. Jika mereka terpaksa mengambil jalan raya sedia ada, mereka sepatutnya membina kedua-dua lebuh raya itu sebagai lebuh raya bertingkat; jalan raya arteri sedia ada sepatutnya dibiarkan percuma untuk penduduk tempatan. Litrak dan Sprint sepatutnya belajar dengan Jepun bagaimana mereka boleh membina lebuh raya ekspres sebenar dengan kawalan masuk penuh tanpa mengganggu lalu lintas tempatan walaupun dalam keadaan kekurangan ruang untuk membina lebuh raya. Litrak dan Sprint juga sepatutnya malu dengan Thailand dan Filipina kerana mereka sendiri boleh membina lebuh raya ekspres sebenar dengan kawalan masuk penuh walaupun terpaksa membinanya di atas jalan raya arteri sedia ada.

      Delete