Friday, December 27, 2013

Jalan Lingkaran Dalam Segamat J152/J216/J217 / Segamat Inner Ring Road J152/J216/J217

Salam sejahtera,

Sudah begitu lama rasanya saya tidak membuat sebarang reviu jalan raya. Reviu terakhir yang saya hasilkan sebelum ini ialah reviu mengenai jajaran terakhir SKVE E26 yang dibina sebagai lebuh raya dua lorong lebih dua bulan lalu. Maka, bagi melabuhkan tirai tahun 2013 dengan jayanya, adalah lebih baik sekiranya saya sajikan anda dengan sekurang-kurangnya dua lagi reviu jalan raya khas dari kampung halaman saya sendiri di Segamat, Johor.

Saya mulakan terlebih dahulu dengan reviu mengenai Jalan Lingkaran Dalam Segamat. Jalan Lingkaran Dalam Segamat merupakan satu siri jalan lingkaran yang terbentuk daripada beberapa jalan perbandaran yang dinaik taraf kepada 4 lorong bagi mengurangkan kesesakan di sepanjang Jalan Persekutuan 1 di Segamat (Jalan Buloh Kasap FT1, Jalan Abdullah FT1, Jalan Ibrahim FT1 dan Jalan Genuang FT1). Projek Jalan Lingkaran Dalam Segamat adalah susulan kepada projek jambatan kedua Segamat yang mula dibina pada tahun 1998 dan siap pada tahun 2000. Projek ini turut dikenali sebagai Projek Jambatan Kedua Sungai Segamat Fasa 2 oleh Kementerian Kerja Raya.

Untuk mengetahui secara lebih lanjut mengenai sejarah Jalan Lingkaran Dalam Segamat, kita perlulah terlebih dahulu membuat kajian mengenai sejarah pengangkutan jalan raya di Segamat. Seperti yang kita sedia maklum, mod pengangkutan terawal di Segamat sebelum kedatangan penjajah British ialah melalui sungai. Setelah kedatangan penjajah British, mereka mula membina landasan kereta api dan jalan raya bagi mengeksploitasi hasil bumi Segamat terutamanya getah dan kelapa sawit. Dua batang jalan raya jarak jauh dibina di Segamat iaitu Jalan Persekutuan 1 dan Jalan Persekutuan 23. Hasilnya, banyak jalan-jalan kampung yang dibina bagi menghubungkan Segamat dengan kampung-kampung di sekitarnya.

Salah satu kampung yang dihubungkan dengan Segamat melalui jalan raya ialah Jalan Pemuda. Jalan Pemuda dibina bagi menghubungkan antara Segamat dengan Kampung Tengah tanpa melalui pusat bandar. Hasilnya, sebuah kampung dibuka di sepanjang jalan tersebut. Tarikh sebenar pembinaan dan pembukaan Jalan Pemuda tidak dapat dikenal pasti kerana tiada dokumentasi sahih mengenainya. Terdapat dua kumpulan utama di kalangan peneroka awal kampung tersebut iaitu Kaum Muda dan Kaum Tua, yang terdiri daripada dua peringkat umur yang berbeza. Pada masa itu, jalan tersebut masih belum bernama lagi. Semasa kedua-dua pihak berbincang mengenai nama kampung tersebut, Kaum Tua mahukan kampung tersebut dinamakan Kampung Tuaan bagi menghormati mereka yang telah lama menetap di situ, tetapi ditentang oleh Kaum Muda. Setelah perbincangan pusingan kedua dijalankan antara wakil-wakil daripada kedua-dua kumpulan, keputusan penamaan kampung lebih berpihak kepada Kaum Muda. Hasilnya, jalan (dan kampung) tersebut dinamakan sebagai Jalan Pemuda. Sementara itu, sebahagian Kaum Tua yang kecewa dengan keputusan tersebut pula berpindah ke tempat lain.

Sejak penamaan jalan dan kampung tersebut sebagai Jalan Pemuda, banyak pembaharuan dan pembangunan yang dikecapi penduduk seiring dengan perubahan zaman. Antaranya, Jalan Pemuda adalah antara kampung terawal di daerah Segamat yang memperoleh bekalan elektrik serta diterangi lampu jalan. Selain itu, Jalan Pemuda juga turut digunakan sebagai jalan pintasan (bersama-sama Jalan Hassan J154) bagi mengelak kesesakan pusat bandar Segamat, terutamanya apabila jalan-jalan di pusat bandar ditutup semasa acara-acara seperti perarakan Hari Kebangsaan. Namun, ia kekal sesak kerana pengguna jalan raya masih perlu mengharungi kesesakan jambatan Sungai Segamat yang merupakan satu-satunya jalan penghubung antara dua pusat bandar Segamat iaitu Bandar Atas dengan Bandar Seberang.. Dalil utama yang menyokong dakwaan tersebut ialah kesesakan teruk yang terpaksa diharungi pengguna jalan raya semasa Segamat menjadi tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan 1996 peringkat negeri Johor.

Berikutan masalah kesesakan di Jambatan Sungai Segamat FT1, maka kerajaan mengambil langkah membina sebuah jambatan baharu empat lorong. Ia dibina di simpang Jalan Hassan / Jalan Sultan J154 dengan Jalan Aji. Pada awal abad ke-20, tapak Jambatan Kedua Segamat asalnya merupakan bekas tapak jeti Pengkalan Esah, sebuah perhentian sungai utama di bandar Segamat yang dikenali dengan nama lama Rantau Panjang pada masa itu. Pembinaannya dimulakan pada tahun 1998 dan siap sepenuhnya pada tahun 2000. Nanti sekejap, jambatan kedua siap pada tahun 2000, tapi mana pula jalan penghubungnya...? Semasa jambatan tersebut siap, ia digunakan oleh bas-bas sebagai "jalan pintu belakang" untuk ke Arked Sri Genuang yang dijadikan stesen bas sementara apabila Majlis Daerah Segamat membina Terminal Pengangkutan Bersepadu Segamat bagi menggantikan stesen bas lama. Ia disusuli dengan pembinaan Jalan Hassan Abdullah bagi menghubungkan Jambatan Kedua Segamat dengan Bandar Seberang dan Kampung Abdullah melalui Jalan Pee Kang Hai.




Peta Jalan Lingkaran Dalam Segamat J152/J216/J217


Pada tahun 2002, projek pembinaan Jalan Lingkaran Dalam Segamat (dikenali sebagai Projek Jambatan Kedua Sungai Segamat Fasa 2 oleh Kementerian Kerja Raya) dimulakan sebagai salah satu projek dalam Rancangan Malaysia Kelapan. Projek tersebut melibatkan naik taraf Jalan Pemuda, Jalan Hassan J154, Jalan Pee Kang Hai, Jalan Chia Chin Koon dan Jalan Syed Abdul Kadir sepanjang 7 km keseluruhannya daripada 2 lorong kepada 4 lorong mengikut piawaian JKR U5 (lebar lorong: 3.5 m; had laju reka bentuk: 90 km/j), melibatkan kos keseluruhan RM9.54 juta. Ia turut membabitkan pembinaan semula persimpangan Kampung Tengah yang melencongkan Jalan Hassan J154 terus ke Jalan Pemuda dan sebaliknya; maka, pemandu dari arah pusat bandar yang selama ini hanya perlu jalan terus untuk ke Kampung Tengah kini perlu membelok ke kanan. Kalau diikutkan, jalan ini agak pendek sahaja dan tidak membabitkan kos yang sebegitu mahal untuk membinanya kerana ia sekadar naik taraf sahaja, tetapi kenapa pula ia memakan masa untuk disiapkan? Jawapannya ada dua - pertama, terdapat rumah-rumah yang perlu dirobohkan terlebih dahulu di sepanjang Jalan Pemuda; dan kedua, jajaran di Kampung Gubah terpaksa dibina dengan berhati-hati kerana ruangan yang terhad. 

Apa pun, mujurlah ia sempat disiapkan lebih awal sebelum Segamat dipilih sekali lagi sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Kebangsaan 2005 peringkat negeri Johor. Maka, temasya tersebut dijadikan kayu pengukur bagi menilai keberkesanan sistem Jalan Lingkaran Dalam Segamat dalam menyuraikan aliran trafik. Pada masa tersebut, didapati aliran lalu lintas sangat lancar tanpa sebarang kesesakan, sekaligus membuktikan keberkesanan Jalan Lingkaran Dalam Segamat dalam menangani kesesakan di bandar Segamat.

Sungguhpun demikian, Jalan Lingkaran Dalam Segamat ini bukanlah 100% sempurna. Ia memang berkesan dalam menangani kesesakan lalu lintas arah utara-selatan, tetapi bagaimana pula dengan lalu lintas ke arah Jalan Muar FT23 dan sebaliknya? Mahu tidak mahu, pengguna jalan raya terpaksa mengharungi kesesakan di sepanjang Jalan Persekutuan 1 untuk ke Jalan Muar FT23 dan sebaliknya. Pernah ada ura-ura cadangan kemungkinan pembinaan jalan pintasan atau jalan lingkaran di sebelah barat pula, tetapi setakat ini masih belum ada pengesahan rasmi lagi mengenainya.

Selain limitasi arah lalu lintas, kelemahan terbesar bagi Jalan Lingkaran Dalam Segamat ini ialah keadaan jalan yang malap di sepanjang Jalan Pemuda disebabkan pencahayaan yang tidak mencukupi. Lampu-lampu jalan di sepanjang Jalan Lingkaran Dalam Segamat adalah dari jenis atas tiang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) kecuali di sepanjang Jalan Hassan Abdullah yang dibina sebagai jalan raya kembar dan menggunakan lampu jalan jenis tiang besi galvani di bawah penyelenggaraan Majlis Daerah Segamat. Lampu-lampu jalan di sepanjang Jalan Hassan, Jalan Pee Kang Hai dan Jalan Chia Chin Koon cukup terang kerana dipasang pada setiap tiang elektrik, tetapi di sepanjang Jalan Pemuda pula sebuah lampu dipasang selang beberapa tiang, menjadikan pencahayaan di sepanjang Jalan Pemuda begitu malap. Keadaan tersebut sangat berbahaya pada waktu malam. Di samping itu juga, selekoh di Persimpangan Kampung Tengah sangat gelap berikutan ketiadaan lampu jalan. Oleh itu, saya menyeru agar TNB memasang lampu-lampu jalan secukupnya demi keselamatan pengguna jalan raya.

Pada tahun 2013, Jalan Lingkaran Dalam Segamat diwartakan sebagai Jalan Negeri Johor dengan tiga kod laluan iaitu J152, J216 dan J217. Jalan Pemuda diwartakan sebagai Jalan Negeri Johor J152, yang mana kod laluannya itu sebenarnya dikitar semula daripada kod laluan lama bagi Jalan Medoi sebelum ia diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 1384. Sementara itu, Jalan Hassan diasingkan daripada Jalan Kampung Tengah-Tungku Tiga J154 dan diberikan kod laluan baru iaitu J216. Akhir sekali, Jalan Hassan Abdullah dinamakan semula sebagai Jalan Laksamana, dan ia diberikan kod laluan J217 bersama-sama dengan Jalan Pee Kang Hai dan Jalan Chia Chin Koon.

Pembinaan Jalan Lingkaran Dalam Segamat bukan sahaja terbukti berjaya mengurangkan kesesakan jalan raya di bandar Segamat, malah ia turut menyumbang kepada pertumbuhan bandar Segamat itu sendiri. Ia terbukti melalui projek Taman Utama yang kini membentuk sebahagian pusat bandar Segamat. Pembinaan Taman Utama turut membawa kepada pembukaan Kip Mart Segamat di samping pembinaan jambatan ketiga Segamat selebar dua lorong. Selain itu, Taman Rekreasi Sungai Kapeh turut dibangunkan sebagai taman riadah kedua bagi warga Segamat selepas Taman Bunga Batu Hampar. Justeru, kemajuan dan arus pembangunan yang dinikmati Segamat hasil pembinaan Jalan Lingkaran Dalam Segamat adalah bukti kemakmuran negara dan masyarakat khasnya.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Jalan Lingkaran Dalam Segamat bermula di Persimpangan Pemuda sebagai Jalan Pemuda J152






Lanskap Jalan Pemuda yang begitu mendamaikan meskipun sangat hampir dengan pusat bandar Segamat






Selekoh tajam dekat Persimpangan Kampung Tengah. Jalan kecil di sebelah kiri adalah bekas persimpangan asal sebelum pembinaan Jalan Lingkaran Dalam Segamat






Persimpangan Kampung Tengah






Ibu pejabat Tenaga Nasional Berhad daerah Segamat






Persimpangan Laksamana - belok kiri untuk meneruskan perjalanan melalui Jalan Laksamana J217






Jalan Laksamana J217 dan Jambatan Kedua Segamat dari arah Bandar Atas






Persimpangan Pee Kang Hai - jalan raya kembar tamat






Simpang ke Jalan Medoi FT1384 untuk ke Kampung Jawa dan Felda Medoi






Jalan Lingkaran Dalam dilencongkan ke kanan ke Jalan Chia Chin Koon sebagai laluan keutamaan






Jalan Lingkaran Dalam Segamat tamat di Persimpangan Kenawar

2 comments: